Categories
AGENDA NASIONAL

Bazar Aidilfitri lorong Tunku Abdul Rahman operasi seperti biasa tahun ini

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Bazar Aidilfitri di Lorong Tunku Abdul Rahman (TAR), di sini akan beroperasi seperti biasa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata bagaimanapun pihaknya akan melonggarkan sedikit kawalan SOP di tapak bazar berkenaan berbanding tahun lepas termasuk tidak lagi memasang pagar di sekeliling kawasan itu.

“Namun, pemakaian pelitup muka, mengimbas MySejahtera dan menetapkan penjarakan fizikal antara gerai penjaja tetap dilaksanakan,” katanya pada pemberita selepas melancarkan Karnival Ohh Kuala Lumpur 2022 di Panggung Anniversari, di sini hari ini.

Tahun ini, Bazar Aidilfitri di Lorong TAR mempunyai 216 petak niaga dan bakal beroperasi selama sebulan bermula 1 Ramadan ini.

Mahadi berkata walaupun terdapat kelonggaran SOP, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya berlaku ketidakpatuhan sehingga berlakunya penularan Covid-19 di kawasan tersebut.

“Kalau berlaku pada tahap perlu ditutup, maka kita terpaksa menutupnya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam mematuhi SOP dan tidak menjadi kepada penyebaran kluster baharu,” katanya.

Beliau berkata DBKL juga sedang menguruskan permohonan daripada persatuan penjaja yang berhasrat mengadakan Bazar Ramadan di sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mahadi berkata penganjuran Karnival Ohh Kuala Lumpur 2022 bertujuan menerapkan konsep perpaduan dan persefahaman antara warga kota yang berbilang kaum selain menyahut seruan kerajaan bagi menyediakan aktiviti dan program bersesuaian dengan norma baharu.

“Ia juga dapat mengaktifkan aktiviti pelancongan domestik sekali gus menarik minat penyertaan dalam kalangan warga ibu kota,” katanya.

Karnival Ohh Kuala Lumpur 2022 berlangsung dua hari bermula hari ini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur 2022 dengan pelbagai program dianjurkan antaranya pertandingan KUL Sign Grafiti, Mr Fit Kuala Lumpur, Mini Konsert HWP 2022, e-sukan, kolaj pakaian dan aktiviti keceriaan kanak-kanak.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PBT, penganjur kerjasama kawal ketat SOP bazar Aidilfitri

SHAH ALAM, 9 MEI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama penganjur bazar Aidilfitri di enam daerah memperketat kawalan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata langkah itu sekali gus meningkatkan bilangan penguat kuasa dan membolehkan pemantauan ketat pada setiap masa.

“Sejak penularan pandemik Covid-19, Kerajaan Selangor menggerakkan anggota PBT di kawasan pentadbiran masing-masing bagi mengawal premis perniagaan.

“Kali ini (pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan) kita ambil inisiatif jalin kerjasama dengan penganjur dalam memperketat kawalan SOP,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata bazar Ramadan dan Aidilfitri di tiga daerah negeri itu pula terus dipantau mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara.

Operasi bazar Ramadan di enam daerah iaitu Petaling, Gombak, Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang dan Klang dihentikan mulai 8 Mei, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bazar Aidilfitri dan pasar malam dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dengan mematuhi syarat ketat.

Enam daerah di Selangor dikenakan PKP berkuat kuasa hingga 17 Mei manakala tiga daerah iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor kekal PKP Bersyarat.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA pantau bazar Aidilfitri hari pertama PKP, pastikan SOP dipatuhi

SHAH ALAM, 7 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memantau empat bazar bawah pentadbirannya malam tadi sempena hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis berkata pantauan kakitangan Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan dilakukan di Bazar Raya Seksyen 7, Bazar Raya Seksyen 23 dan Uptown Shah Alam di Seksyen 24 serta Uptown D’Santai, Setia Alam.

“Pantauan turut disertai anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Ini bagi memastikan lokasi tumpuan itu mengikut tatacara operasi piawaian (SOP).

“Penganjur serta pengunjung dinasihatkan sentiasa mematuhi SOP supaya jangkitan wabak Covid-19 dapat dibendung,” katanya di Facebook hari ini.

Semalam Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata MBSA memantau ketat bazar Aidilfitri pada minggu terakhir Ramadan bagi memastikan SOP dipatuhi.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membenarkan bazar Aidilfitri dan pasar malam di enam daerah dikenakan PKP beroperasi sehingga jam 10 malam dengan mematuhi syarat ketat.

PKP di daerah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang itu bermula semalam hingga 17 Mei.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PBT pantau ketat bazar Aidilfitri minggu terakhir Ramadan

SHAH ALAM, 7 MEI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau ketat bazar Aidilfitri pada minggu terakhir Ramadan bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan peniaga dan pengunjung.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata anggota penguat kuasa bersama polis melakukan rondaan sepanjang masa di enam bazar yang beroperasi luar bangunan membabitkan Seksyen 7 (dua), 23, U5 dan U20 (dua).

“Walaupun pemantauan setakat ini mendapati keadaan masih terkawal namun kawalan diteruskan bagi memastikan tiada pelanggaran SOP antaranya masa operasi, jumlah pengunjung dihadkan mengikut keluasan dan larangan membawa masuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun,” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan pihaknya tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun dan menutup operasi bazar sekiranya penganjur gagal mematuhi syarat digariskan.

Sementara itu, ketua bahagian pengurusan penjaja dan jabatan pelesenan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata pendekatan sama dilakukan ke atas satu-satunya bazar Aidilfitri di daerah tersebut iaitu di Selayang Mall yang menempatkan 30 peniaga.

Menurut Syairah Zahidi Baki, meskipun tiada jumlah anggota tetap ditugaskan di lokasi namun kawalan pematuhan SOP dijalankan dari semasa ke semasa.

“Antara syarat am permit perayaan dikeluarkan kepada penganjur adalah perlu memastikan SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.

“Bagaimanapun, tiada apa-apa pelanggaran dikesan sejak ia beroperasi pada awal Ramadan dengan penganjur mewujudkan penjarakan khemah dan patuh syarat lain ditetapkan,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar mengarahkan operasi bazar Ramadan di enam daerah dikenakan PKP dihentikan bermula esok.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bazar Aidilfitri dan pasar malam dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dengan mematuhi syarat ketat.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan PKP mulai semalam hingga 17 Mei manakala Kuala Selangor, Sabak Bernam serta Hulu Selangor kekal dalam kawasan PKP Bersyarat.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi bazar Aidilfitri dibuka sehingga 2 pagi

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan membenarkan operasi bazar Aidilfitri tahun ini dilanjutkan sehingga 2 pagi bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas peniaga merungut waktu operasi hingga 12 malam terlalu pendek.

“Kami dimaklumkan Ramadan ini, pengunjung bazar Aidilfitri mula keluar selepas Isyak, iaitu selepas menunaikan solat terawih.

“Jadi waktu perniagaan mereka terlalu pendek dan memohon supaya dilanjutkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengenai tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Aidilfitri, beliau berkata ia sedang diperhalusi dan akan diumumkan minggu depan setelah mendengar pembentangan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) termasuk solat sunat Aidilfitri, ziarah kubur dan takbir raya dari rumah ke rumah.