Categories
SELANGOR

BERSATU kesal usaha cemar nama baik MB

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor kesal wujud usaha kotor yang cuba mewujudkan pertembungan kurang sihat antara parti itu dengan KEADILAN membabitkan usaha mencemar nama baik Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pengerusinya, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, BERSATU memgambil pendirian tegas dan tidak mahu dikaitkan dengan isu pemilihan KEADILAN 2018 yang sedang berlangsung kini.

Katanya, pendirian berkenaan atas dasar menghormati antara anggota parti komponen Pakatan Harapan negeri.

“Kami dengan tegas menyuarakan sokongan penuh kepada kepimpinan Amirudin selaku Dato’ Menteri Besar sejak dari hari pertama beliau mengangkat sumpah jawatan untuk menerajui Kerajaan Negeri yang amat dikasihi.

“BERSATU kesal kewujudan usaha kotor ini yang cuba mengwujudkan pertembungan kurang sihat dan mencemarkan nama baik Amirudin,” katanya dalam kenyataan.

Categories
NASIONAL

Teliti pemimpin pembangkang yang ingin sertai PAKATAN

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu menubuhkan Jawatankuasa Khas dalam masa terdekat untuk menyaring dan meneliti permohonan pemimpin politik daripada pembangkang yang ingin menyertai parti itu.

Exco Pemuda BERSATU, Muzammil Ismail berkata, hal itu bagi memastikan mereka yang ingin ‘melompat’ tidak semudahnya mendapat tempat dalam parti.

“Tiada istilah ‘kebal’ sekiranya didakwa terlibat dalam jenayah sivil seperti politik wang, rasuah, salah guna kuasa mahupun kesalahan jenayah berat.

“Pada saat ini, ramai yang mula mengubah haluan, sedangkan tidak adil untuk menerima mereka dengan mudah,” katanya dalam kenyataan.

Muzammil berkata, keperluan itu diusulkan ekoran khuatir mereka (pembangkang) yang ingin menyertai PAKATAN mempunyai agenda tersendiri.

 

Categories
SELANGOR

KEADILAN letak calon di 21 kerusi

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 20 APR: KEADILAN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) depan.

Pengarah Pilihan Raya negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, calon lain diikuti 16 (DAP), 10 (AMANAH) dan 9 (BERSATU).

“Calon yang akan bertanding ini memenuhi permintaan daripada calon muda, wanita dan calon lama.

“Kita akan menampilkan calon baru dan calon lama. Ada yang dikekalkan kerusi dan ditukarkan kerusi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Terdahulu, PAKATAN mencapai kata sepakat memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi memberikan perkhidmatan cemerlang dan terbaik untuk merealisasikan aspirasi rakyat Selangor.

Dalam kenyataan bersama, PAKATAN yakin perpaduan pimpinan akan melonjakkan sokongan rakyat untuk mengekalkan pentadbiran dalam Kerajaan Selangor bagi meneruskan pembangunan ekonomi dan agenda peduli rakyat.

PAKATAN akan memberi fokus sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya dan memantapkan jentera.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRU-14: KEADILAN terbuka bincang pembahagian kerusi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 DIS: KEADILAN bersikap terbuka bagi membincangkan pembahagian kerusi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara terbabit sudah dibincangkan bersama pimpinan parti yang mengambil kira persefahaman dijalinkan dengan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Kita harus mengambil sikap terbuka kerana ketika KEADILAN dibentuk, kita tiada kerusi sebaliknya diberikan DAP dan PAS.

“Justeru, kini giliran kita untuk bersikap terbuka dan bertanggungjawab dalam isu pembahagian kerusi kerana apa yang kita mahu adalah kemenangan dalam PRU-14,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu di Bangunan SUK, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, pembahagian kerusi tertakluk pada kekuatan dan keupayaan parti di sesuatu kawasan selepas perbincangan diadakan.

AZMINBagaimanapun, katanya, soal strategi tidak boleh dibincangkan secara terbuka dan menegaskan kerjasama terbabit tidak spesifik kepada beberapa negeri sahaja.

“Ketika ini, PAKATAN hanya mewakili tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Sudah tentu BERSATU di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kekuatan tersendiri di selatan Semenanjung,” katanya.

Terdahulu, PAKATAN dan BERSATU bersetuju untuk menjalin kerjasama berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/1963.

Melalui kerjasama itu, pimpinan bersetuju untuk menggunakan satu calon sahaja dalam PRU-14.

-AA-

Categories
NASIONAL

Kerjasama PAKATAN-BERSATU permulaan baik

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 15 DIS: Perjanjian kerjasama antara Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) disifatkan permulaan baik bagi mewujudkan persefahaman antara parti pembangkang.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau optimis kerjasama itu akan berterusan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Bagi parti pembangkang, ini adalah satu permulaan baik untuk mewujudkan kerjasama dan tidak dilihat sebagai dua blok berbeza.

“Saya optimis terhadap perjanjian kerjasama itu,” katanya mengulas perkara itu.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, kerjasama itu bukan perkara asing bagi negara maju yang dilaksanakan untuk membetulkan ketirisan dalam pentadbiran kerajaan.

“Kita sudah nyatakan dari awal mana-mana parti yang bersedia menerima agenda reformasi, kita raikan mereka,” katanya.

Pada 13 Disember lalu, perjanjian bersama PAKATAN dan BERSATU ditandatangani bagi membentuk kerjasama politik dalam menghadapi Barisan Nasional (BN), pada PRU-14.

Categories
NASIONAL

Rundingan kerjasama PAS masih berjalan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 DIS: Rundingan kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan PAS masih berjalan bagi mencari formula terbaik bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Bagaimanapun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rundingan itu diteruskan hingga mencapai satu peringkat jangka masa tertentu diputuskan nanti.

“Rundingan (dengan PAS) dimulakan sebelum kita mengadakan perbincangan menandatangani perjanjian petang ini dan saya juga maklumkan kepada semua barisan kepimpinan Pakatan.

“Oleh sebab rundingan itu sudah bermula, sekarang kita akan meneruskan rundingan yang kita mulakan itu hingga ke satu peringkat masa,” kata Muhyiddin.

mou-pakatan1Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama Kerangka Kerjasama Pakatan Harapan dan Pribumi Bersatu Malaysia di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di sini, petang tadi.

Sebelum itu, perjanjian kerjasama Pakatan Harapan bersama Bersatu ditandatangani bagi mewujudkan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 nanti.

Perjanjian itu ditandatangani pucuk pimpinan parti komponen Pakatan terdiri daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, manakala Bersatu pula diwakili Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun perjanjian dimeterai itu bertujuan untuk memastikan matlamat satu lawan satu tercapai, namun satu lagi parti bekas ahli gabungan Pakatan Rakyat, PAS belum menyertai perjanjian itu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pakatan – Bersatu tandatangani perjanjian kerjasama hadapi PRU-14

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 DIS: Perjanjian kerjasama di antara Pakatan Harapan (Pakatan) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditandatangani hari ini bagi membentuk satu kerjasama politik bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Perjanjian itu ditandatangani pucuk pimpinan parti-parti komponen Pakatan yang terdiri daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, manakala Bersatu pula diwakili Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perjanjian menggariskan tujuh perkara dipersetujui bersama termasuklah perkara keempat iaitu mengadakan rundingan dengan parti yang belum berada dalam perjanjian ini bagi memastikan tiada pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya nanti.

mou-pakatan1Perjanjian ditandatangani di Ibu Pejabat KEADILAN itu turut menggariskan umewujudkan gabungan parti-parti politik pembangkang sebelum Pilihanraya Umum ke-14 dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya.

Perkara lain yang turut dimuatkan dalam dokumen perjanjian bersejarah itu adalah seperti berikut:

Perjanjian Kerjasama Pakatan Harapan – PPBM

PERJANJIAN

BAHAWASANYA Pakatan Harapan (yang terdiri daripada KEADILAN, DAP dan AMANAH); dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan ini bersetuju dan komited akan perkara-perkara berikut:

1. Berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/63 terutamanya:

i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas, aman dan damai di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;

ii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan; dan

iii. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

2. Memperjuangkan Agenda Reformasi dalam kebangunan-semula negara demi rakyat dengan berpaksikan nilai-nilai yang dikongsi bersama, termasuk kebenaran, keadilan, kebebasan, integriti, kebajikan dan tatakelola yang baik.

3. Meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili Pakatan Harapan – PPBM di dalam sesuatu pilihanraya di mana-mana peringkat setelah pembahagian kerusi ditentukan melalui perundingan di antara kedua pihak berdasarkan prinsip kebolehmenangan (winnability).

4. Berunding dengan parti yang belum berada di dalam perjanjian ini untuk memastikan seboleh mungkin satu calon sahaja yang akan mewakili pembangkang bagi melawan Barisan Nasional.

5. Mewujudkan gabungan parti-parti politik pembangkang sebelum Pilihanraya Umum ke 14 dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas pilihanraya.

6. Mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Bersama untuk membincangkan pembahagian kerusi pilihanraya, manifesto dan logo bersama dan merangka gerakerja Pilihanraya Umum ke 14.

7. Atas semangat setiakawan dan kerjasama, parti-parti dalam rangka perjanjian ini hendaklah memelihara hubungan baik antara satu sama lain dan menyelesaikan pertikaian menerusi perundingan bersama.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Keangkuhan Pandikar punca rakyat turun ke jalan raya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Keangkuhan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tanpa asas undang-undang antara faktor mendorong rakyat mengadakan tunjuk perasaan seperti himpunan BERSIH 5, baru-baru ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keadaan itu menyebabkan rakyat tidak mempunyai banyak pilihan bagi menyelamatkan negara daripada terus dikuasai pemimpin kleptokrasi seperti Datuk Seri Najib Razak.

“Yang nyata adalah walaupun terbukti jelas jenayah dilakukan Najib, laporan kepada polis tidak boleh digunakan terhadapnya kerana Pendakwa Raya akan dakwa tiada kesalahan, sekali gus mengambil alih tanggungjawab hakim dan mahkamah.

“Apabila percubaan dibuat untuk mengadakan undi tidak percaya dalam Parlimen, Speaker dengan angkuh tanpa asas undang-undang atau cara demokrasi menyatakan dia tidak akan benar undi tidak percaya dibahas dalam Parlimen,” kata bekas Perdana Menteri keempat itu dalam blognya, semalam.

Tun Mahathir berkata, ahli Dewan Rakyat daripada parti kerajaan juga diketahui disogok dan tidak dibenarkan menyokong undi tidak percaya walaupun jelas menyedari jenayah rasuah dilakukan Najib.

tun-mKatanya, rayuan kepada pihak atasan dengan bukti berkenaan pencurian berbilion ringgit oleh Najib juga tidak mendapat layanan, sekali gus menambah kekecewaan rakyat.

“Ahli dewan yang dipilih rakyat sebagai jurucakap mereka sudah jadi bisu dan pekak. Hanya apabila kena cambuk parti barulah bergerak.

“Dalam keadaan inilah rakyat mengadakan demonstrasi melaungkan kehendak mereka supaya Najib undur,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kita akan bincang dengan Anwar hasrat BERSATU

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin berkata, pihaknya akan berbincang bersama Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mahu menjalinkan kerjasama.

AZMIN“Sudah tentu kita perlu bekerjasama. Kita akan berbincang dengan Datuk Seri Anwar,” katanya ketika ditemui selepas solat Aidiladha di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah.

Terdahulu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dilaporkan berkata, beliau mengakui BERSATU memerlukan kebenaran Anwar sebelum menjalinkan sebarang kerjasama erat dengan KEADILAN.

Katanya, pertemuan Anwar bersama Mahathir di mahkamah tempoh hari diharapkan dapat membuka jalan ke arah itu.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Apa yang ditakutkan dengan BERSATU?

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 OGOS: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perbincangan secara kolektif bersama parti pembangkang boleh dilakukan termasuk hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mengintai beberapa kerusi PAS dan KEADILAN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

AZMIN-500x357Katanya, perkara itu tidak perlu ditakutkan, bahkan sudah menjadi hasrat setiap parti politik yang ditubuhkan ingin menyertai pilihan raya.

“Apabila parti politik dibentuk mesti nak sertai pilihan raya.

“Ini bukan soal ambil tapi bincang. Tiada parti politik dibentuk untuk duduk dan tengok daripada jauh,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, KEADILAN juga pernah melakukan tindakan sama dengan berbincang dengan PAS dan DAP ketika mula ditubuhkan, pada 1999.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata rundingan kerusi bersama parti pembangkang lain akan dimulakan sebaik saja pendaftaran parti itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Umno ‘aneh’ serang BERSATU jadikan DAP ‘hantu’

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 16 OGOS: Cubaan Umno merancakkan serangan bertalu-talu ke atas parti baru BERSATU dengan menakut-nakutkan masyarakat Melayu disifatkan sebagai suatu yang aneh.

Presiden Penaja BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Umno juga terdesak sehingga menjadikan DAP sebagai ‘hantu’ paling menggerunkan dengan mengaitkan kerjasama politik (BERSATU-DAP) tidak akan memberi manfaat kepada Melayu.

“Tidak sampai seminggu saya mengemukakan permohonan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menubuhkan BERSATU, serangan terhadap parti yang belum lagi ditubuhkan ini datang bertalu-talu daripada pemimpin UMNO. Terbaharu ialah daripada Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“Aneh juga sebuah parti yang belum lahir ini mendapat perhatian daripada Najib. Parti ini belum ada ahli dan tidak ada cawangan. Ia hanyalah parti serpihan umpama parti nyamuk.

“Belum apa-apa lagi Najib telah melompat. Orang putih kata ‘jump the gun’,” katanya menerusi laman Facebook.

Terdahulu, Najib ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Tinggi mempersoalkan keupayaan BERSATU membela nasib Melayu dengan mengaitkan hubungan parti itu dengan DAP.

MUHYIDDINMenyifatkan ia sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab dan pra-matang, Muhyiddin sudah menyangka taktik kotor itu akan digunakan Najib dan konconya untuk mengalihkan perhatian rakyat khususnya Melayu daripada segala kesalahan dan kemungkaran pentadbiran Najib.

“Mereka akan terus berkata DAP musuh utama sambil mengajak Melayu untuk terus mempertahankan Najib yang terpalit dengan skandal kewangan paling buruk dalam sejarah bangsa Melayu.

“Sudah-sudahlah. Saya yakin Melayu tidak mudah terpengaruh dengan tipu daya Najib dan konco-konconya. Saya tahu orang Melayu walaupun diam tetapi mereka bijaksana,” katanya.

Membalas tuduhan itu, Muhyiddin berkata, BERSATU komited memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa, sekali gus mewujudkan amalan tadbir urus baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti.

“Ini adalah kelemahan utama pentadbiran Najib. Rasuah bermaharajalela, penyelewengan berleluasa dan pecah amanah menjadi amalan biasa.

“Ini menyebabkan kerajaan pimpinan beliau tidak popular dan amat tidak disenangi rakyat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar sambut baik BERSATU

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menyambut baik penubuhan parti baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Memetik Malaysia Kini, Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun berharap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menggerakkan parti itu.

“Sekarang beliau harus gerakkannya,” katanya kepada pemberita mengulas penubuhan BERSATU.

Terdahulu, Anwar hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas memberi keterangan dalam aduan qazaf terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

AnwarPada 9 Ogos lalu, Muhyiddin menyerah permohonan mendaftar BERSATU sebagai parti politik kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Selain Muhyiddin, BERSATU turut disertai Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Naib Presiden.

Sebelum ini, Tun M mengesahkan beliau akan menjadi pengasas sebuah parti politik baru.

Katanya, parti itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Umno Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

-NFN-