Categories
AGENDA NASIONAL

Imam, bilal enggan divaksin diberi kaunseling

KOTA BHARU, 4 SEPT: Kumpulan imam dan bilal yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat untuk menjalani sesi kaunseling.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata sesi kaunseling itu bagi menjelaskan tentang kepentingan pengambilan vaksin serta memberi penerangan kepada golongan terbabit bahawa vaksinasi tidak membawa keburukan.

“Sesetengah negeri kelompok sasar yang tertentu tidak mahu mengambil vaksin ini kerana terpengaruh dengan dakyah dan juga propaganda sesetengah pihak. Perkara ini perlu diambil tindakan sewajarnya, bukan tindakan undang-undang tetapi penerangan dan penjelasan termasuk mengadakan kaunseling,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat Kampung Landak, Pengkalan Chepa hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap 95 guru agama, 17 pegawai masjid serta jurunikah yang menolak suntikan vaksin Covid-19 walaupun negeri itu mencatatkan bilangan jangkitan harian yang tinggi.

Ahmad Marzuk berkata keengganan golongan antivaksin perlu dipandang serius kerana vaksinasi itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok memandangkan hakikat Covid-19 kini merupakan endemik.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan titah percepat suntikan vaksin kepada pentadbir masjid

SHAH ALAM 29 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kesihatan Negeri mempercepatkan pemberian vaksin kepada imam, bilal, siak dan jurunikah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah suntikan kepada pentadbir sebagai persediaan awal bagi membolehkan masjid dan surau dibuka untuk lebih ramai jemaah khususnya ketika solat Jumaat bergantung kepada perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Baginda berpandangan adalah penting golongan ini diberi keutamaan memperoleh vaksin Covid-19 secepat mungkin sebagai perlindungan kerana tugas mereka terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Terdahulu, Baginda berkenan berangkat mengurniakan watikah lantikan mufti dan timbalan mufti Selangor yang baharu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Dato’ Dr Anhar Ophir dilantik sebagai mufti berkuat kuasa 21 Mei lalu yang mana sebelum ini beliau merupakan timbalan mufti sejak 2016.

Manakala jawatan timbalan mufti kini diambil alih Prof Madya Dr Miszairi Sitiris yang sebelum ini bertugas sebagai timbalan dekan Hal Ehwal Pelajar, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Imam, nazir masjid dapat bantuan khas kewangan RM500

SHAH ALAM, 23 APRIL: Semua petugas masjid di negeri ini menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM500.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan membabitkan nazir, imam, siak dan bilal turut diberikan kepada Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

“Kerajaan Negeri sentiasa mementingkan kebajikan petugas masjid yang memikul tanggungjawab penting terutama pada Ramadan,” menurut Dato’ Seri Amiruddin Shari di Facebook.

Beliau berkata bantuan khas berkenaan akan disumbangkan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) anak syarikat Kerajaan Negeri.

Pagi tadi, Amirudin disertai pemimpin Kerajaan Negeri menghadiri Majlis Mahabbah Ramadan Bersama Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak di sini.

Pada majlis tersebut, beliau mengumumkan BKK setengah bulan gaji kepada kakitangan awam negeri ini dengan jumlah keseluruhan melebihi RM22 juta.