Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pemimpin komuniti, petugas masjid dapat bantuan kewangan RM1.55 juta

SHAH ALAM, 11 MEI: Seramai 761 pemimpin masyarakat dan petugas masjid negeri ini menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Aidilfitri berjumlah RM1.55 juta.

Bantuan kepada 390 petugas masjid membabitkan peruntukan RM1.36 juta sementara 371 setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mendapat RM185,500.

Bantuan khas berkenaan disalurkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) baru-baru ini melalui Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Hadir sama EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek.

Sebanyak RM500 diberikan kepada petugas masjid membabitkan nazir, imam, siak dan bilal serta setiausaha MPKK menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) anak syarikat Kerajaan Negeri.

Sementara pemimpin masyarakat negeri mendapat RM1,000 meliputi pengerusi MPKK dan pegawai perhubungan kampung baru, bagan serta tersusun.

Bantuan kewangan sama turut diagihkan kepada ketua komuniti India dan penyelia Pusat Wanita Berdaya sementara Penggerak Belia Selangor menerima RM500.

Categories
AGENDA NASIONAL

Imam, nazir masjid dapat bantuan khas kewangan RM500

SHAH ALAM, 23 APRIL: Semua petugas masjid di negeri ini menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM500.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan membabitkan nazir, imam, siak dan bilal turut diberikan kepada Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

“Kerajaan Negeri sentiasa mementingkan kebajikan petugas masjid yang memikul tanggungjawab penting terutama pada Ramadan,” menurut Dato’ Seri Amiruddin Shari di Facebook.

Beliau berkata bantuan khas berkenaan akan disumbangkan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) anak syarikat Kerajaan Negeri.

Pagi tadi, Amirudin disertai pemimpin Kerajaan Negeri menghadiri Majlis Mahabbah Ramadan Bersama Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak di sini.

Pada majlis tersebut, beliau mengumumkan BKK setengah bulan gaji kepada kakitangan awam negeri ini dengan jumlah keseluruhan melebihi RM22 juta.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CUEPACS mohon bantuan khas Aidilfitri bagi penjawat awam, pesara

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan bersempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Presidennya Adnan Mat berkata bantuan berkenaan yang lazimnya diberikan setiap tahun, wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam di samping meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaan itu.

“Pemberian ini juga wajar diberikan memandangkan kali terakhir penjawat awam menerima bonus ialah pada 2012 dan selepas tahun tersebut penjawat awam hanya menerima bantuan khas kewangan sahaja,” katanya.

Adnan berkata pihaknya juga telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar dipertimbangkan perkara itu.

Beliau turut berharap kerajaan negeri memberikan bantuan serupa kepada penjawat awam yang bertugas di peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan serta semua badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Adnan berkata pihaknya turut meminta semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan sekiranya kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam.

Ini memandangkan kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri, tegasnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Penjawat awam terima bantuan khas setengah bulan gaji hari ini

SHAH ALAM, 29 DIS: Penjawat awam Gred 54 ke bawah di Selangor menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian itu selaras dengan kelulusan Belanjawan Selangor 2021 pada Oktober lalu.

“Semoga usaha oleh Kerajaan Negeri ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh warga Selangor,” kata Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook.

Beliau  berkata pada Jun lalu, buat kali pertama Kerajaan Negeri memberikan BKK sebanyak RM1,000 kepada golongan terbabit sebagai insentif dalam mendepani wabak Covid-19.

Pada 9 Jun, seramai 18,500 kakitangan Gred 56 ke bawah menerima BKK berjumlah RM1,000 meliputi kakitangan pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri dan anak syarikat Kerajaan Negeri melibatkan peruntukan RM18.5 juta.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2021, Amirudin mengumumkan bantuan buat kali kedua untuk tahun ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM16.5 juta.

Categories
EXCO SELANGOR

MPKK Hulu Langat terima bantuan Aidilfitri Kerajaan Negeri

BANGI, 9 JUN: Seramai 744 setiausaha dan ahli biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Hulu Langat menerima bantuan Aidilfitri dari Kerajaan Negeri, hari ini.

EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata bantuan berjumlah RM223,200 itu membabitkan 62 kampung tradisi dalam daerah berkenaan.

“Semoga bantuan ini mengembirakan jawatankuasa MPKK yang sejak awal berusaha membantu Kerajaan Selangor mengekang penularan wabak Covid-19 dan sentiasa turun padang membantu penduduk,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri di Pejabat Daerah Hulu Langat, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Hulu Langat, Yusri Zakariah dan Ketua Pegawai Bisnes Amal Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Mohd Jaafarudin Md Ali Al-Hafiz.

Pada 15 Mei Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan khas kewangan RM300 sekali bayar kepada setiausaha dan AJK Biro MPPK di 371 kampung tradisi membabitkan implikasi kewangan RM1.335 juta.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penjawat awam Selangor terima bantuan khas kewangan hari ini

SHAH ALAM, 9 JUN: Bantuan khas kewangan sebanyak RM18.5 juta disalurkan kepada penjawat awam Selangor hari ini sebagai menghargai usaha menangani Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

“Bantuan ini turut meliputi kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun negeri dan anak syarikat Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Facebooknya.

Pada 15 Mei lalu, Amirudin mengumumkan bantuan RM1,000 sekali bayar kepada kakitangan awam Gred 56 ke bawah yang akan disalur bermula 9 Jun.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Negeri tidak termasuk dalam bantuan ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjawat awam terima Bantuan Khas Kewangan 18 Disember

PUTRAJAYA, 10 DIS: Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM250 bagi pesara akan dibuat pada 18 Dis ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bayaran khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

“Pembayaran sebelum hujung tahun dibuat antara lainnya untuk membantu ibu bapa di kalangan penjawat awam dengan persiapan untuk persekolahan anak mereka menjelang tahun baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, bantuan RM500 itu akan memberi manfaat kepada 1.5 juta penjawat awam kerajaan Persekutuan merangkumi pegawai lantikan tetap serta pegawai kontrak.

Bayaran khas sebanyak RM250 pula akan memberi manfaat kepada satu juta pesara termasuk veteran tidak berpencen dan pesara awam tidak menerima pencen bagi mengenang khidmat bakti mereka, katanya.

Bantuan Khas Kewangan tersebut diumumkan Guan Eng dalam ucapan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjawat awam dapat `durian runtuh’ dua bulan gaji

SHAH ALAM, 1 NOV: Penjawat awam di Selangor bakal menerima ‘durian runtuh’ menerusi Bantuan Khas Kewangan (BKK) dari RM500 sehingga dua bulan gaji pada 24 Disember ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata imbuhan itu adalah bantuan kali kedua berdasarkan prestasi jabatan dan individu yang menelan perbelanjaan RM30 juta.

“Justeru sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja baik dan meningkatkan pencapaian di masa hadapan, saya mengumumkan suatu BKK berdasarkan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan dan Prestasi Individu anggota perkhidmatan awam Kerajaan Negeri.

“Sikap profesionalisme dan saling hormat-menghormati menjadi adunan penting dalam memastikan Selangor kekal unggul,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 di sini hari ini.

BKK kali pertama iaitu insentif sebulan gaji diagih kepada penjawat awam menjelang sambutan Aidilfitri lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Berita baik buat penjawat awam, dapat bantuan RM500

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Beberapa berita baik diumumkan dalam Belanjawan 2020 bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti 1.6 juta penjawat awam yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan akan menambah baik saraan penjawat awam, selain turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah serta RM250 bagi pesara kerajaan yang turut dipanjangkan kepada veteran tidak berpencen.

Kedua-dua bantuan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2019.

“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, doktor, jururawat, guru dan semua penjawat awam atas bakti perkhidmatan mereka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas berhubung penambahbaikan saraan penjawat awam, Guan Eng berkata kerajaan akan menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta setahun.

Beliau berkata, kerajaan juga membenarkan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

“Menawarkan Perlindungan Kemalangan Diri Berkelompok bernilai RM100,000 secara percuma selama dua tahun kepada peminjam baharu kemudahan pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA),” katanya.

Bagi membantu meringankan beban waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, Lim berkata kerajaan akan memperkenalkan faedah Ex-Gratia Kematian untuk diberikan kepada waris bernilai sehingga RM150,000, selain pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG).

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Jan, 2020 dengan jumlah peruntukan tambahan RM26 juta.

Sebagai penghargaan kepada perkhidmatan yang mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, semua anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat bakal menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan dengan peruntukan RM35 juta bagi 2020, yang memberi manfaat kepada 14,400 anggota bomba.

“Kerajaan menghargai pengorbanan dan keperwiraan anggota tentera, khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia. Oleh itu, bayaran secara one-off sebanyak RM500 akan diberikan kepada hampir 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia yang melibatkan peruntukan RM35 juta,” umumnya lagi.

Selaras falsafah 3R (Repair, Replace and Restore), Lim berkata kerajaan akan memperuntukkan RM330 juta kepada Bahagian Pengurusan Hartanah di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membaiki dan menyelenggara kuarters penjawat awam.

Sebagai tambahan, RM150 juta untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan RM250 juta untuk kuarters PDRM juga akan diperuntukkan bagi tujuan sama, katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bonus tanda kepercayaan kepada penjawat awam

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 17 MEI: Penjawat awam Selangor menyifatkan pemberian bantuan khas kewangan oleh Kerajaan Negeri adalah bukti kepercayaan terhadap golongan itu dalam menjalankan dasar kerajaan.

Pegawai Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat SUK, Sulaiman Azhar Halpi berkata, pemberian itu adalah tanda kerajaan menghargai penjawat awam yang berhempas pulas bekerja.

 

“Bonus ini juga adalah bukti Kerajaan Negeri memberi kepercayaan penuh kepada penjawat awam dalam menjalankan dasar kerajaan tanpa prejudis.

“Alhamdulillah, dari segi masa pemberian sangat bersesuaian, biasa kita belanja persediaan raya dengan duit gaji, jadi beri pada hari ketiga raya boleh tampung perbelanjaan selepas raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam Kerajaan Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad berkata, konsep pemberian bonus dilaksana Dato’ Menteri Besar adalah sesuatu yang bijak kerana mendorong penjawat awam bekerja bersungguh-sungguh.

 

“Pada saya Dato’ Menteri Besar tahu bagaimana hendak menjadikan penjawat awam yang selama ini ‘penumpang menjadi pemandu’, pada saya itu sesuatu yang sangat hebat.

“Ucapan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar kerana keluar dengan sesuatu yang lain, ia bukan sekadar berapa jumlah dibayar tetapi konsepnya. Bila semua bekerja bersungguh, yang dapat manfaat adalah rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Penolong Pegawai Tanah Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Raihana Jamilla Jamaluddin berkata, beliau tidak menyangka Kerajaan Negeri akan memberi bonus sebanyak tiga bulan gaji.

 

“Saya ucap terima kasih banyak kepada kepimpinan Selangor kerana masih menjaga kebajikan penjawat awam,” katanya.

Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan, iaitu Insentif Mahabbah Selangor satu bulan gaji kepada 19,244 penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri yang akan dibayar pada 7 Jun.

Kerajaan Negeri turut membuat keputusan memuktamadkan jumlah bantuan khas kewangan untuk tahun ini sebanyak tiga bulan gaji.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)