Categories
AGENSI SELANGOR

PGA tahan tujuh tekong seludup 21 migran di perairan Sekinchan

PELABUHAN KLANG, 22 OGOS: Tujuh bot nelayan tempatan membawa 28 migran termasuk tujuh tekong ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dalam satu operasi bersepadu di perairan Sekinchan, dekat sini pada Rabu dan Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Jabatan Siasatan Jenayah D3 Bukit Aman.

Beliau berkata operasi yang bermula jam 1.30 petang Rabu itu adalah hasil risikan pihaknya selepas mendapati sindiket penyeludupan migran kini menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar sebagai taktik terbaharu untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Sindiket didalangi dua tekong warga Myanmar dan lima tekong warga Indonesia berkenaan menyeludup masuk pendatang tanpa izin dari negara asal menggunakan bot-bot nelayan tempatan kelas B dan C dan bertindak sebagai ‘transporter’ di Selat Melaka.

“Pemeriksaan mendapati, kesemua lelaki yang ditahan dalam serbuan ke atas bot berkenaan tidak mempunyai dokumen sah dan kita sedang menyiasat sama ada mereka merupakan kru kapal atau migran yang dibawa masuk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan memindahkan migran daripada kapal rakan sejenayah di sempadan perairan antarabangsa ke bot nelayan tempatan dalam jumlah yang sedikit.

Katanya, taktik tersebut bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa kononnya migran berkenaan merupakan kru kapal malah ada migran yang terpaksa mengikuti aktiviti menangkap ikan sebelum diturunkan di jeti tertentu.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati sindiket mengenakan caj antara RM800 hingga RM1,500 untuk satu perjalanan masuk seorang migran ke negara ini.

“Polis sedang mengesan pemilik bot-bot nelayan berkenaan dan sejauh mana penglibatan mereka dengan sindiket penyeludupan migran tersebut.

“Hasil risikan mendapati, kawasan pendaratan migran yang menjadi tumpuan adalah di sekitar pesisir pantai di Selangor atau diseludup melalui jeti nelayan di Sekinchan,” katanya.

Muhammad berkata kesemua migran yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu direman sehingga 17 September depan dan bot nelayan serta peralatan yang dirampas bernilai RM4.2 juta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bot nelayan Indonesia ditahan di Pulau Jarak

LUMUT, 24 Jun : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan bersama seorang tekong dan enam awak-awak warga Indonesia, kira-kira 28 batu nautika, dari tenggara Pulau Jarak, di sini, pagi semalam.

Pengarahnya Kapten Wan Mat Wan Abdullah berkata pihaknya turut merampas 100 kilogram hasil ikan yang berada di dalam bot berkenaan.

Katanya bot berkenaan dikesan bot ronda Maritim Malaysia, ketika sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Negeri Perak kira-kira pukul 8.40 pagi.

“Bot yang tiada nombor pendaftaran itu, ditahan bersama enam orang awak-awak dan seorang tekong ketika sedang menangkap ikan.

“Setelah diperiksa, tekong gagal mengemukakan dokumen berkaitan bot dan kesemua enam awak–awak tiada pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Mat berkata kesemua tekong dan awak-awak berumur 20 hingga 46 tahun itu, disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia. -BERNAMA

 

Foto Kredit : Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Categories
NASIONAL

PPM Tawau tahan tiga bot nelayan menunda di kawasan larangan

 

TAWAU, 29 Mei : Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, menahan tiga bot nelayan tempatan yang dikesan menjalankan aktiviti menunda ikan dalam kawasan kurang dua batu nautika dari persisir pantai di Laut Merotai dan Laut Sungai Udin Tawau, pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata dalam Op Gelora kira-kira pukul 9 pagi itu, sepasukan polis marin sedang menjalankan rondaan rutin dan mengesan bot-bot nelayan tempatan tersebut yang sedang leka menjalankan aktiviti memukat tunda.

Katanya, juragan tiga bot berkenaan, seorang rakyat tempatan dan dua warga Indonesia, yang masing-masing berumur 37 hingga 44 tahun ditahan, beserta hasil tangkapan.

“Anggaran berat keseluruhan hasil tangkapan ikan iaitu 60 kg dianggarkan bernilai RM1,950.

“Turut ditahan enam lelaki anak kapal berumur antara 30-40 tahun warga Indonesia dan mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, pada hari yang sama dalam Ops Gelora Khas, PPM menahan empat lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri di kawasan laut Tinagat dekat sini.

Mohamad Pajeri berkata PPM menahan perahu tidak berdaftar dalam keadaan mencurigakan, yang sedang menghala ke kawasan perumahan setinggan atas air di Batu 4 di sini.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati empat lelaki berumur lingkungan 19 hingga 28 tahun dipercayai warga asing dalam perahu berkenaan, dan gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.

“Pengakuan awal secara lisan mendapati mereka cuba mendapatkan bekalan minyak petrol dan dipercayai untuk dibawa ke Filipina,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata semua suspek dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut, dan turut dirampas sebuah bot dan tiga unit enjin pam dengan anggaran nilai RM 6,500.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -BERNAMA

 

Foto Ihsan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau