Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan penjara seumur hidup, sebat seludup migran

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Hukuman bagi kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat dicadang dinaikkan daripada penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, kepada pemenjaraan seumur hidup dan boleh juga dihukum sebat.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 yang dibentang bagi bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu turut memperuntukkan pegawai awam yang menyeludup migran ketika melaksanakan kewajipan awamnya tergolong dalam kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat.

Pindaan itu juga meliputi hukuman penjara bagi kesalahan penyeludupan migran dinaikkan daripada tidak melebihi 15 tahun kepada maksimum 20 tahun.

Selain itu, pindaan juga melibatkan hukuman penjara berhubung kesalahan pemerdagangan orang dalam transit yang dinaikkan daripada tempoh maksimum tujuh tahun kepada tidak melebihi 15 tahun.

Rang undang-undang itu bertujuan memastikan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) selaras dengan kehendak Protokol Palermo dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Manusia terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP).

Ismail berkata bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada sidang Parlimen ini.

-BERNAMA

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Usaha yakinkan migran jangan takut ambil vaksin

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Abdullah Abbass, 25, mahu mendapatkan segera vaksin Covid-19 sebaik sahaja ianya diberi kepada semua orang di Malaysia.

Cuma ada satu perkara yang membimbangkan pelarian Rohingya ini yang ketika ini tinggal di Selayang.

“Saya tak takut vaksin. Apa yang saya takut saya akan diusir jika saya pergi ambil vaksin kerana saya tak boleh balik ke Myanmar,” Abdullah memberitahu Bernama menerusi seorang jurubahasa.

Berlainan pula halnya dengan Jenny (bukan nama sebenar) yang ditemui di sebuah rumah orang tua di Lembah Klang.

Wanita Filipina yang berusia 36 tahun ini tidak mahu divaksin tetapi mungkin perlu melakukannya sebagai syarat penggajian. “Saya takut divaksin, tak pasti sama ada ia selamat atau tidak.

“Saya takut kesan sampingannya, ” kata Jenny, sambil menambah dia ada membaca tentang kesan sampingan vaksin dalam media sosial.

Abdullah dan Jenny tiba di Malaysia in 2014, seorang mencari perlindungan, sementara yang seorang lagi mencari pekerjaan dan pada akhirnya, kedua-duanya mungkin tidak akan mengambil vaksin kerana faktor ketakutan itu.

Pakar kesihatan serta pemimpin masyarakat bimbang rasa takut ini mungkin menghalang migran mengambil vaksin, sedangkan mereka kumpulan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 dan boleh menjangkiti orang lain.

Sekiranya keadaan ini berlaku, sudah tentu ia akan menjejaskan usaha Malaysia untuk mencapai sasaran imuniti kelompok.

Jamin tiada tindakan

Malaysia berhasrat memberi imunisasi kepada 80 peratus atau sekurang-kurang 23.6 juta penduduk dewasanya, untuk mencapai imuniti kelompok.

Untuk itu, vaksin akan diberikan secara percuma kepada warganegara dan bukan warganegara di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Mengikut perancangan, penduduk bukan warganegara akan mula mendapatkan vaksin mereka pada Fasa Tiga, yang dijadualkan bermula pada bulan Jun, meskipun migran tanpa dokumen, mereka yang digelar tanpa negara dan pelarian berkemungkinan divaksin pada tahun 2022, iaitu penghujung Fasa Ketiga PICK.

Untuk menggalakkan kumpulan migran ini tampil bagi mendapatkan vaksin, kerajaan Malaysia dillaporkan berjanji tidak akan mengambil apa-apa tindakan ke atas mereka.

Menurut Menteri Penyelaras untuk Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pihaknya akan mendapatkan bantuan pemimpin komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan hak antarabangsa serta kedutaan.

Ketika pakar kesihatan awam, wakil kumpulan komuniti dan wakil kumpulan migran mengalu-alukan keputusan kerajaan Malaysia untuk memberikan vaksin secara percuma, mereka juga tidak yakin janji berkenaan dapat menyakinkan kumpuLan berkenaan.

Mereka merujuk kepada dasar kerajaan pada tahun lalu yang tidak akan mengenakan tindakan ke atas migran untuk menggalakkan mereka beramai-ramai menjalani ujian saringan COVID-19 yang kemudiannya ditukar.

Kira-kira 2,000 migran, termasuk mereka yang mencari suaka politik, ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam beberapa serbuan di kawasan panas Covid-19 di Lembah Klang. Kerajaan Malaysia mempertahankan langkah berkenaan sebagai penting untuk membendung penularan Covid-19.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia itu amat memberi kesan kepada usaha pihaknya untuk memberi ujian saringan Covid-19 percuma kepada migran.

“Selepas ramai pendatang tanpa dokumen ditangkap, ditahan dan ada yang diusir ke negara asal, tindakan itu membuatkan tiada migran tampil untuk menjalani ujian saringan itu, ” katanya.

Beliau menyuarakan kebimbangannya perkara yang sama mungkin berlaku ke atas usaha vaksinasi.

Kesemua migran yang bercakap dengan Bernama berkata mereka tidak mahu menanggung risiko selepas apa yang berlaku tahun lalu.

Bagaimanapun, seorang pekerja asing yang bekerja disebuah pusat penjagaan berkata dia memang mahu mengambil vaksin supaya tidak bimbang apabila pulang ke India.

“Nanti saya pergi (masa vaksinasi), saya kena tahan sebab mereka tanya banyak soalan dan ada yang saya tak boleh jawab, ” katanya.

Baru-baru ini ada NGO yang meminta kerajaan Malaysia memberikan jaminan yang lebih menyakinkan.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika mengulas perkara berkenaan berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin maklum akan kebimbangan itu.

Meskipun mungkin tiada lagi janji kerajaan Malaysia untuk tidak lagi mengenakan sebarang tindakan ke atas migran, terdapat tanda, ia tidak akan berulang. Mungkin penunjuk terbaik dasar tidak mengenakan sebarang tindakan ke atas migran datang daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada bulan Februari lepas.

Sewaktu ditanya sama ada migran tanpa dokumen perlu ditahan bagi membantu proses vaksinasi, beliau berkata, tidak, sambil menyatakan banyak berlaku kes positif Covid-19 di pusat tahanan yang kemudiannya merebak kepada komuniti pada tahun lalu.

Meskipun, janji berkenaan mungkin menyediakan persekitaran yang selamat untuk migran mendapatkan vaksin, namun ia tidak menangani isu menyakinkan mereka akan manfaat serta kepentingan divaksin.

Bimbang kesan sampingan

Selain daripada ketakutan ditangkap dan ditahan, sebarang usaha untuk mendampingi komuniti migran perlu menyentuh soal keselamatan vaksin serta keengganan mengambil vaksin.

Kesemua migran yang bercakap kepada Bernama mempunyai soalan mengenai vaksin, termasuk bila vaksin itu boleh diperolehi, bagaimana ia diberi dan siapa yang perlu mengambilnya.

Beberapa orang menzahirkan kebimbangan ditahan sementara yang lain takut akan kesan sampingan serta kemungkinan reaksi buruk vaksin, semuanya ini kerana salah maklumat.

Seperti rakan senegaranya Jenny, Thelma dari Filipina takut mengambil vaksin selepas menonton video seorang yang mengambil vaksin didakwa mati selepas berbuat demikian.

“Saya tengok di Facebook, di Filipina, tempat itu sudah ada yang mengambil vaksin. Ada seorang lelaki berumur 55 tahun, dia jadi lemah dan tumbang, ” katanya. Carian penulis di internet tidak menemui berita seperti yang dikongsi Thelma.

Apa pun, komunikasi yang berkesan mengenai maklumat tepat amat penting untuk migran juga penduduk lainnya.

Seorang pegawai dengan sebuah kumpulan migran antarabangsa, yang tidak mahu disebut nama berkata, memperkasakan pemimpin komuniti, NGO dan kumpulan lain serta bercakap dengan komuniti yang mereka beri perkhidmatan dapat merapatkan jurang maklumat.

“Ramai termasuk warganegara bimbang dengan kesan sampingan vaksin. Tak banyak maklumat bahawa penduduk migran mungkin menerima vaksin dalam bahasa ibunda mereka, itu juga satu lagi halangan, ” katanya.

Sesetengah pemimpin komuniti dan NGO seperti Rafik Shah Mohd Ismail, pemimpin komuniti untuk pelarian Rohingya di Selayang, mula mengorak langkah memberi penerangan kepada kumpulan masyarakat yang mereka dampingi.

Rafik berkata beliau berbuat demikian untuk memastikan komunitinya faham mengapa vaksin itu penting, meskipun kerajaan belum mengumumkan mekanisme untuk vaksinasi berkenaan.

“Sebelum nak daftar tu, kami kena bagi maklumat yang tepat berkaitan dengan vaksin ini. Kita tahu pelarian dari sudut pengetahuan am mereka agak kurang kerana kebanyakan mereka ini tidak ada pendidikan,” katanya, yang melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana mahu memberi vaksin secara percuma kepada kumpulan pelarian dan migran lain.

Alex Ong, dari Migrant Care, berkata, di samping manfaat saintifik vaksin, mesej lain yang perlu disampaikan kepada migran ialah bagaimana vaksin akan membolehkan mereka kembali kepada kehidupan normal dan mungkin membantu kemampuan mereka untuk bekerja.

Abdullah yang bersetuju dengan kenyataan ini berkata, beliau memilih untuk mempercayai janji kerajaan Malaysia dan mahu mengambil vaksin, jika itu langkah terbaik untuk meneruskan kehidupan dan menjaga keluarganya.

“Saya pasrah. Vaksin kena ambil tapi kalau lepas tu kena tangkap, beserah sajalah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Vaksin untuk migran penting kekang wabak Covid-19

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Di sebalik gesaan supaya kerajaan mengenakan bayaran atau meminggirkan mereka, pakar berkata kelompok golongan migran amat perlu mendapat akses yang sama kepada vaksin untuk mengekang penularan Covid-19.

Menurut Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, langkah kesihatan awam perlu dilaksanakan berdasarkan bukti saintifik dan bukan sentimen umum.

“Langkah kesihatan awam yang bijak perlu memastikan seramai mungkin diberi imunisasi…. mendapat vaksin supaya kita boleh mencapai imuniti kelompok yang diharap boleh memberi kesan dan menyekat penularan wabak ini, ” katanya.

Malaysia mengumumkan pada Februari lepas, bukan warganegara, termasuk pekerja tanpa izin serta pelarian, layak untuk mendapat vaksin secara percuma. Langkah berkenaan untuk memastikan mereka menerima imunisasi, mencapai imuniti kelompok dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan.

Kerajaan juga memberi jaminan kepada rakyat negara ini bahawa mereka akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin dan kumpulan migran tanpa dokumen serta pelarian diberi imunisasi pada penghujung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Secara rasminya, terdapat tiga fasa PICK iaitu fasa pertama, membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

Fasa kedua pula membabitkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. Mereka ialah warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi. Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk dalam fasa kedua. Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan menerima vaksin di bawah fasa kedua.

Fasa ketiga membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula Mei hingga Februari tahun depan, dengan fasa ini bertujuan membentuk perlindungan kelompok, seterusnya mengawal pandemik secara menyeluruh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan pada 26 April, seramai 504,165 individu melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat 25 April 2021.

Beliau menerusi akaun Twitternya berkata bagi tempoh sama, seramai 800,996 individu menerima dos pertama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini berjumlah 1,305,161 dos setakat semalam.

Sentimen umum, kesihatan awam

Pejabat Antarabangsa Migrasi (IOM) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan retorik terhadap pendatang asing di banyak negara sejak berlaku pandemik Covid-19. Malaysia tidak terkecuali.

Pelbagai komen yang bersetuju dan menentang tular di media sosial apabila kerajaan mengumumkan keputusan memberi vaksin percuma kepada migran.

Ramai yang tidak mahu wang bayaran cukai mereka digunakan untuk vaksin bagi bukan warganegara. Ramai juga yang bimbang bekalan vaksin untuk warganegara Malaysia tidak akan mencukupi.

“Warga asing bekerja di semua sektor dan ada gaji. Kenapa perlu bagi free.. Tanggung sendiri atau majikan aje laa,” tulis Sandra Naranasamy di dalam Facebook.

Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata, vaksin adalah percuma untuk menghapuskan kemungkinan timbul kekangan dalam kalangan majikan dan pekerja asing.

“Katalah kita minta mereka bayar, atau majikan mereka bayar. Itu mungkin kekangan bagi mereka. Mereka mungkin memilih untuk tidak mengambil vaksin kerana ia bukan diwajibkan, ” kata beliau dalam satu sidang akhbar pada bulan Januari lepas.

Inisiatif kerajaan itu mendapat pujian sektor perniagaan dan pertubuhan pekerja.

Reaksi sesetengan orang awam mengenai pengumuman kerajaan itu tidak memeranjatkan pegawai kesihatan awam serta pakar yang terpaksa ‘memerangi’ sentimen tersebut sejak awal tahun 2020.

Pegawai kesihatan awam kini memberi amaran bahawa pandangan anti-migran boleh memberi kesan buruk kepada rakyat di negara ini. Dalam hal ini, sekiranya bukan warganegara berasa terancam untuk mengambil suntikan vaksin atau kerajaan berasa tertekan lalu membuat keputusan tidak memberi imuniasi kepada bukan warganegara, ia akan mengancam sasaran imunisasi kelompok.

Kesaksamaan untuk memaksimumkan imuniti

Imuniti kelompok, yang bermakna sejumlah orang dalam populasi mempunyai antibodi melawan penyakit dan menyukarkannya merebak serta menjangkiti orang lain, adalah cara terbaik untuk menamatkan pandemik, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pertubuhan kesihatan lain. Cara paling berperikemanusiaan mendapat tahap perlindungan ini adalah menerusi vaksinasi.

“Jika kita serius tentang imuniti kelompok — kita maksudkan minimum 70 peratus daripada seluruh populasi) — kemudian kita perlu mendapatkan seramai mungkin orang dewasa untuk diberi vaksin, ” kata pakar penyakit berjangkit dan anggota Pasukan Petugas Covid-19 Selangor, Datuk Dr Christopher Lee.

Namun bukan semua orang boleh divaksin untuk Covid-19.

Sebanyak 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Februari 2021. Foto BERNAMA

Di Malaysia, pada masa ini, vaksin hanya diluluskan untuk orang dewasa sahaja. Ini membuatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang merupakan lebih lapan juta daripada 32.7 juta penduduk Malaysia, tidak boleh diberi imunisasi. Sebagai tambahan, mereka yang mempunyai alahan teruk serta keadaan kesihatan lain, mungkin dikecualikan.

Menurut Dr Lee, ambang untuk memberi imunisasi kepada penduduk dewasa Malaysia perlu ditinggikan lagi.

“Masalah di sini adalah pekerja tanpa izin. Pada pandangan saya, mereka mungkin bimbang sekiranya mendaftar dan selepas divaksin, mereka mungkin diganggu atau ditangkap serta dihantar pulang ke negara asal. Kita maklum dengan keadaan mereka, ” katanya.

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, daripada 24.2 juta populasi dewasa Malaysia, sekitar tiga juta adalah bukan warganegara. IOM percaya terdapat tambahan dua hingga empat juta orang pendatang tanpa izin pada tahun 2019.

Setakat 31 Januari, 2021, terdapat kira-kira 178,710 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

Ada yang mencadangkan bahawa Malaysia masih boleh mencapai imuniti kelompok tanpa memberi vaksin kepada bukan warganegara. Namun pakar kesihatan awam berkata keadaan ini tidak mungkin dicapai.

“Tidak ada sains, tidak ada kebijaksanaan untuk berkata kita hanya perlu memberi vaksin kepada sebahagian sahaja populasi dan membiarkan yang lain (yang berhak mendapat vaksin) dan berharap untuk mencapai imuniti kelompok, ” kata Dr Faizal.

Felo Pengajian Pengurusan di St Catherine’s College, University of Oxford, Dr Duncan Robertson membuat model, yang beliau paparkan di Twitter, untuk menunjukkan apa yang akan berlaku sekiranya populasi meminggirkan satu komuniti dalam pelan vaksinasi beramai-ramai mereka,

Dalam satu graf, seorang yang dijangkiti dalam komuniti yang tidak divaksin merebakkan penyakit kepada orang lain sehingga ia hampir menjangkiti beberapa orang tidak divaksin, seperti kanak-kanak, dalam populasi yang diberi imunisasi.

“Ini menunjukkan mengapa perlunya program imunisasi meliputi semua penduduk termasuk yang sukar dijangkau, ” beliau berkata dalam Twitternya.

Sekuriti tambahan

Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), golongan migran berisiko dua kali ganda untuk dijangkiti Covid-19 dan menularkannya. Berdasarkan keadaan hidup mereka, mereka juga sukar dijejak untuk melakukan pengesanan kontak sekiranya berlaku wabak.

Golongan ini dllaporkan terlibat dalam beberapa majlis yang mencetuskan kluster besar. Sebagai contoh, Kluster Teratai, yang dikaitkan dengan pekerja asing kilang Top Glove. Kluster berkenaan merekod sebanyak 7,205 jangkitan dan mengambil masa lima bulan untuk ditamatkan.

Menurut Dr Lee, memberi imunisasi kepada komuniti migran akan dapat menyelesaikan isu berkenaan dan memberi perlindungan kepada orang awam.

“Sekiranya anda mahu melindungi negara, setiap orang perlu divaksin. Itu yang terbaik, ” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, memasukkan migran dalam pelan vaksinasi tidak bermakna mereka akan datang untuk mengambil suntikan vaksin berkenaan.

“Bagi mereka vaksin percuma pun, mereka tak datang kerana takut ditangkap dan dihantar pulang, ” katanya, sambil menambah, kerajaan perlu menyusun strategi bagaimana mahu mengatasi cabaran ini.

Bagi menggalakkan golongan migran tampil mengambil suntikan, kerajaan dilaporkan menjanjikan mereka tidak akan ditangkap.

Pihak kerajaan juga berkata mereka merancang bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan antarabangsa, kedutaan dan pemimpin komuniti untuk mendampingi komuniti migran, meskipun maklumat terperinci mengenai perkara ini, belum diumumkan.

Menurut Dr Lee, usaha mendampingi golongan berkenaan perlu bermula segera bagi memenangi hati komuniti migran, di samping mendidik serta menyakinkan mereka akan kepentingan mengambil vaksin sepertimana rakyat Malaysia yang lain.

“Kita semua berkongsi ruang. Virus ini bukan tahu anda migran ke, ada pasport ke atau anda tinggal di Taman Tun atau apa sahaja. Kalau virus itu ada peluang, virus itu akan merebak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PGA tahan tujuh tekong seludup 21 migran di perairan Sekinchan

PELABUHAN KLANG, 22 OGOS: Tujuh bot nelayan tempatan membawa 28 migran termasuk tujuh tekong ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dalam satu operasi bersepadu di perairan Sekinchan, dekat sini pada Rabu dan Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Jabatan Siasatan Jenayah D3 Bukit Aman.

Beliau berkata operasi yang bermula jam 1.30 petang Rabu itu adalah hasil risikan pihaknya selepas mendapati sindiket penyeludupan migran kini menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar sebagai taktik terbaharu untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Sindiket didalangi dua tekong warga Myanmar dan lima tekong warga Indonesia berkenaan menyeludup masuk pendatang tanpa izin dari negara asal menggunakan bot-bot nelayan tempatan kelas B dan C dan bertindak sebagai ‘transporter’ di Selat Melaka.

“Pemeriksaan mendapati, kesemua lelaki yang ditahan dalam serbuan ke atas bot berkenaan tidak mempunyai dokumen sah dan kita sedang menyiasat sama ada mereka merupakan kru kapal atau migran yang dibawa masuk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan memindahkan migran daripada kapal rakan sejenayah di sempadan perairan antarabangsa ke bot nelayan tempatan dalam jumlah yang sedikit.

Katanya, taktik tersebut bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa kononnya migran berkenaan merupakan kru kapal malah ada migran yang terpaksa mengikuti aktiviti menangkap ikan sebelum diturunkan di jeti tertentu.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati sindiket mengenakan caj antara RM800 hingga RM1,500 untuk satu perjalanan masuk seorang migran ke negara ini.

“Polis sedang mengesan pemilik bot-bot nelayan berkenaan dan sejauh mana penglibatan mereka dengan sindiket penyeludupan migran tersebut.

“Hasil risikan mendapati, kawasan pendaratan migran yang menjadi tumpuan adalah di sekitar pesisir pantai di Selangor atau diseludup melalui jeti nelayan di Sekinchan,” katanya.

Muhammad berkata kesemua migran yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu direman sehingga 17 September depan dan bot nelayan serta peralatan yang dirampas bernilai RM4.2 juta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura sahkan 202 kes baharu, keseluruhan 47,655

SINGAPURA, 18 JULAI: Singapura sahkan 202 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan tujuh kes dalam komuniti.

Menurut data ringkas dikeluarkan pada tengah hari ini oleh Kementerian Kesihatan (MOH), daripada tujuh kes komuniti itu, lima daripadanya ialah warganegara Singapura atau penduduk tetap manakala dua lagi pemegang pas kerja.

Selain itu, menurut kementerian, lapan kes merupakan kes import melibatkan mereka yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Bagi kes hari ini, majoritinya masih membabitkan pekerja migran yang tinggal di asrama, katanya.

Dengan perkembangan terbaru itu, jumlah yang dijangkiti Covid-19 di republik ini kini sebanyak 47,655.

Dalam data penuh dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasi 630 daripada kes itu sebagai kes import, 2,104 kes komuniti dan 44,719 kes penghuni asrama.

Secara keseluruhannya, 43,577 atau kira-kira 92 peratus kes telah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan discaj dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Setakat tengah hari semalam, terdapat 165 kes disahkan yang masih dirawat di hospital, dengan kebanyakannya stabil atau semakin pulih, dan tiada pesakit dirawat di unit rawatan rapi.

Sebanyak 3,684 pesakit yang bergejala atau sihat dari segi klinikal tetapi diuji positif Covid-19 diasingkan dan ditempatkan di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan Covid-19 di republik ini.

Satu kluster baharu dikenal pasti semalam iaitu sebuah tapak pembinaan di Paya Lebar Quarter Tower 2, Paya Lebar Link.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Gaji lumayan taktik sindiket penyeludupan orang

Oleh Noraizura Ahmad

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Janji manis untuk mendapat kerja dengan gaji lumayan tapi realitinya dikurung dan dijadikan buruh paksa atau pelacur.

Taktik itu bukan baharu bagi sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran untuk mencari mangsa, terutama dalam kalangan warga asing yang hidup susah di negara mereka.

Golongan yang terdesak untuk mengubah kehidupan adalah paling senang untuk dimanipulasi dan menjadi mangsa.

Apa yang dilakukan ialah menjanjikan pelbagai peluang pekerjaan dengan gaji lumayan bagi mengubah hidup mereka dan keluarga di negara asal.

Berdasarkan statistik Jabatan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, rakyat Vietnam paling ramai diselamatkan tahun ini iaitu 384 orang, diikuti Indonesia (234 orang), Thailand (227), Bangladesh (71), China (60), dan negara-negara lain (123).

Apa yang mengejutkan ialah rakyat Malaysia sendiri turut menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang itu apabila seramai 54 orang diselamatkan tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah D3, ATIPSOM Bukit Aman, SAC Fadil Marsus berkata bagi migran, ada yang diseludup masuk ke negara ini dan ada juga yang direkrut di negara asal dan dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial.

Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran itu berumur dalam lingkungan 16 tahun hingga 30-an.

“Golongan ini dianggap ‘mudah termakan janji’, mereka selalu menjadi sasaran sindiket kerana desakan hidup ingin mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

“Ada yang datang secara sah dan sukarela, namun sebelum mereka memasuki negara ini, sindiket akan mendekati mereka dan menjanjikan peluang pekerjaan dengan gaji lumayan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Fadil berkata modus operandi yang sering digunakan sindiket penyeludupan migran ialah dengan cara merekrut warga asing dari negara asal kemudian sindiket tempatan akan menyeludup masuk warga asing itu dengan mengenakan sejumlah bayaran.

“Ada mangsa yang dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial, kemudiannya ditawarkan pekerjaan tetapi berakhir dengan eksploitasi iaitu mangsa menjadi buruh paksa, gaji mereka diambil untuk membayar kos perjalanan ke Malaysia,” katanya.

Lebih malang lagi, katanya, ada kes yang melibatkan mangsa sindiket dikurung beramai-ramai sebelum dipaksa melakukan pekerjaan tanpa rela.

“Warga asing lelaki selalunya dikerah menjadi buruh paksa, manakala wanita dipaksa menjadi hamba seks. Gaji yang mereka perolehi pula akan disimpan selain tidak dibenar menghubungi keluarga di negara asal,” katanya sambil menambah itu antara jenis eksploitasi terhadap migran.

Sejak Januari hingga 30 Nov lepas, unit ATIPSOM menyiasat 264 kes melibatkan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran berbanding 281 kes pada tahun lepas.

“Sejumlah 194 kes pada tahun ini melibatkan eksploitasi seksual, 67 kes buruh paksa dan tiga kes melibatkan penjualan bayi.

Kami juga menahan 353 orang terdiri daripada majikan dan anggota sindiket serta menyelamatkan 1,153 mangsa terdiri daripada 1,123 wanita dan 30 lelaki,” jelasnya.

Fadil berkata penyeludupan migran dan eksploitasi tidak kira warga tempatan atau asing adalah satu kesalahan di negara ini dan sindiket atau majikan yang didapati bersalah akan berhadapan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda.

-BERNAMA