Categories
AGENDA NASIONAL

Polis marin rampas rokok tanpa cukai, bedak bernilai lebih RM9 juta

SHAH ALAM, 25 JULAI: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 263,900 karton rokok tanpa cukai dan 249,624 botol bedak bernilai lebih RM9.03 juta hasil serbuan di sebuah gudang sekitar Kawasan Perindustrian Taman Klang Jaya, Klang dekat Khamis lepas.

Komander PPM Bukit Aman DCP Mohd Yusoff Mamat berkata Op Kontraban yang dilaksanakan oleh Unit Risikan Marin PPM Pelabuhan Klang itu mengenal pasti sebuah gudang yang mencurigakan dan didapati pintu gudang bertutup tetapi tidak berkunci.

Mohd Yusoff berkata pasukan serbuan menjalankan operasi pada 10.45 pagi di gudang itu dan mendapati sebuah kontena mengandungi 263,900 karton rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM913,720 dengan nilai cukai berjumlah RM5.62 juta.

“Turut ditemukan sejumlah kotak berisi bedak di dalam gudang tersebut dipercayai tidak mempunyai kelulusan di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang dianggarkan bernilai RM2.49 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas gudang tersebut telah menjumpai kesan umpil pada tingkap bilik air dipercayai digunakan oleh ahli sindiket untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan serbuan.

“Siasatan awal menunjukkan gudang tersebut dipercayai dijadikan transit sebelum rokok dan barang lain diedarkan serta menyewa gudang dalam jangka masa pendek untuk menjalankan aktiviti pemindahan rokok dari kontena ke lori,” katanya.

Mohd Yusoff berkata pihaknya turut merampas sebuah treler dan kontena bernilai RM60,000 menjadikan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM9.09 juta.

“Rokok dan kontena telah dirampas di bawah Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysa manakala bedak dirampas dan diserahkan kepada Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PGA tahan tujuh tekong seludup 21 migran di perairan Sekinchan

PELABUHAN KLANG, 22 OGOS: Tujuh bot nelayan tempatan membawa 28 migran termasuk tujuh tekong ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dalam satu operasi bersepadu di perairan Sekinchan, dekat sini pada Rabu dan Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Jabatan Siasatan Jenayah D3 Bukit Aman.

Beliau berkata operasi yang bermula jam 1.30 petang Rabu itu adalah hasil risikan pihaknya selepas mendapati sindiket penyeludupan migran kini menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar sebagai taktik terbaharu untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Sindiket didalangi dua tekong warga Myanmar dan lima tekong warga Indonesia berkenaan menyeludup masuk pendatang tanpa izin dari negara asal menggunakan bot-bot nelayan tempatan kelas B dan C dan bertindak sebagai ‘transporter’ di Selat Melaka.

“Pemeriksaan mendapati, kesemua lelaki yang ditahan dalam serbuan ke atas bot berkenaan tidak mempunyai dokumen sah dan kita sedang menyiasat sama ada mereka merupakan kru kapal atau migran yang dibawa masuk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan memindahkan migran daripada kapal rakan sejenayah di sempadan perairan antarabangsa ke bot nelayan tempatan dalam jumlah yang sedikit.

Katanya, taktik tersebut bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa kononnya migran berkenaan merupakan kru kapal malah ada migran yang terpaksa mengikuti aktiviti menangkap ikan sebelum diturunkan di jeti tertentu.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati sindiket mengenakan caj antara RM800 hingga RM1,500 untuk satu perjalanan masuk seorang migran ke negara ini.

“Polis sedang mengesan pemilik bot-bot nelayan berkenaan dan sejauh mana penglibatan mereka dengan sindiket penyeludupan migran tersebut.

“Hasil risikan mendapati, kawasan pendaratan migran yang menjadi tumpuan adalah di sekitar pesisir pantai di Selangor atau diseludup melalui jeti nelayan di Sekinchan,” katanya.

Muhammad berkata kesemua migran yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu direman sehingga 17 September depan dan bot nelayan serta peralatan yang dirampas bernilai RM4.2 juta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis Marin tahan bot pukat tunda tempatan di Perairan Semerah

JOHOR BAHRU, 27 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan sebuah bot pukat tunda tempatan di perairan Semerah dekat Batu Pahat, semalam, kerana menangkap ikan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata bot pukat tunda kelas B yang sedang melakukan kegiatan ‘tarik tepi’ itu ditahan bot ronda PPM Wilayah Dua dalam operasi Op Gelora pada 8.30 pagi.

“Bot tersebut dikemudi oleh seorang juragan tempatan lelaki berusia 42 tahun dan dua awak-awak lelaki tempatan berusia 48 dan 52 tahun.

“Kita turut merampas kira-kira 200 kilogram ikan pelbagai jenis semasa penahan tersebut,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Khiu berkata kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Perikanan Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 8 (b) dan Sesyen 14(4) (b) Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata Op Gelora dilancarkan sebagai tindakan berterusan bagi memastikan semua pengusaha perikanan mematuhi peraturan ditetapkan selain pemantauan terhadap isu pencerobohan nelayan pukat tunda ke kawasan nelayan tradisional.

“Kita amat menitikberatkan tindakan penguatkuasaan berterusan di dalam kawasan tanggungjawab secara berterusan dan sentiasa komited memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam adalah terjamin,” katanya.

Orang ramai disarankan untuk memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan pelanggaran undang-undang kepada Pasukan Polis Marin ditalian 07-2372221 / 2372222, katanya. -BERNAMA

Foto Ihsan Facebook Pasukan Polis Marin Wilayah Dua

Categories
NASIONAL

Polis marin gagalkan cubaan seludup keluar petrol

SEMPORNA, 31 MAC: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 600 liter petrol bernilai RM1,320 dalam operasi bersepadu di Pulau Kalapuan dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, berdasarkan maklumat Unit Risikan Marin (URM), pihaknya membuat pemeriksaan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di pulau berkenaan dalam operasi yang turut disertai pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 20 tong masing-masing mengandungi 30 liter petrol yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.

Seorang lelaki tempatan berusia 16 tahun yang mendiami rumah berkenaan turut ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang lesen pemilikan atau menjual barang kawalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, remaja terbabit dan barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata, operasi yang bermula 8 pagi hingga pukul 4 petang itu turut disertai pegawai imigresen dan 184 orang diperiksa, namun kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri sah. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis Marin tahan empat nelayan warga asing di Labuan

LABUAN, 9 MAC: Polis marin menahan empat nelayan warga asing yang menjalankan aktiviti menangkap hasil laut, di perairan Labuan dalam dua operasi berasingan, di sini, pada pagi Jumaat.

Dua nelayan berumur 25 dan 29 tahun, seorang dipercayai pendatang asing tanpa izin dan seorang lagi pemegang pas Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), ditahan semasa ‘Op Gelora’, di perairan Pulau Enoe.

Sekurang-kurangnya 70 kilogram pelbagai hasil laut, bot dan peralatan mereka bernilai antara RM19 hingga RM510 dirampas.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, semasa pemeriksaan, kapten bot yang tidak mempunyai dokumen perjalanan, menunjukkan lesen perikanan tamat tempoh, yang menjadi kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, berumur 22 tahun, ditahan berhampiran perairan Petronas Methanol semasa sedang menangkap ikan.

“Lelaki berkenaan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, mengaku baru bekerja sebagai kru bot nelayan selama sebulan,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, tangkapan keempat adalah seorang lelaki yang ditahan di jeti pendaratan ikan, di Ujung Pasir semasa ‘Op Landai Khas’.

“Kami menahannya selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan kesemua mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11 (2) (b) Akta Perikanan 1985. -BERNAMA