Categories
AGENSI SELANGOR

PGA tahan tujuh tekong seludup 21 migran di perairan Sekinchan

PELABUHAN KLANG, 22 OGOS: Tujuh bot nelayan tempatan membawa 28 migran termasuk tujuh tekong ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dalam satu operasi bersepadu di perairan Sekinchan, dekat sini pada Rabu dan Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Jabatan Siasatan Jenayah D3 Bukit Aman.

Beliau berkata operasi yang bermula jam 1.30 petang Rabu itu adalah hasil risikan pihaknya selepas mendapati sindiket penyeludupan migran kini menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar sebagai taktik terbaharu untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Sindiket didalangi dua tekong warga Myanmar dan lima tekong warga Indonesia berkenaan menyeludup masuk pendatang tanpa izin dari negara asal menggunakan bot-bot nelayan tempatan kelas B dan C dan bertindak sebagai ‘transporter’ di Selat Melaka.

“Pemeriksaan mendapati, kesemua lelaki yang ditahan dalam serbuan ke atas bot berkenaan tidak mempunyai dokumen sah dan kita sedang menyiasat sama ada mereka merupakan kru kapal atau migran yang dibawa masuk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan memindahkan migran daripada kapal rakan sejenayah di sempadan perairan antarabangsa ke bot nelayan tempatan dalam jumlah yang sedikit.

Katanya, taktik tersebut bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa kononnya migran berkenaan merupakan kru kapal malah ada migran yang terpaksa mengikuti aktiviti menangkap ikan sebelum diturunkan di jeti tertentu.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati sindiket mengenakan caj antara RM800 hingga RM1,500 untuk satu perjalanan masuk seorang migran ke negara ini.

“Polis sedang mengesan pemilik bot-bot nelayan berkenaan dan sejauh mana penglibatan mereka dengan sindiket penyeludupan migran tersebut.

“Hasil risikan mendapati, kawasan pendaratan migran yang menjadi tumpuan adalah di sekitar pesisir pantai di Selangor atau diseludup melalui jeti nelayan di Sekinchan,” katanya.

Muhammad berkata kesemua migran yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu direman sehingga 17 September depan dan bot nelayan serta peralatan yang dirampas bernilai RM4.2 juta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 2,000 pendatang, tekong ceroboh perairan ditahan

SHAH ALAM, 15 JULAI: Seramai 1,598 pendatang asing tanpa izin dan 526 tekong yang cuba menceroboh perairan negara ditahan dalam Operasi Benteng.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata operasi dari 1 Mei hingga semalam turut menahan 110 penyeludup selain merampas 54 bot serta 156 kenderaan pelbagai jenis.

“Melalui 68 sekatan jalan raya dilakukan seluruh negara sepanjang tempoh sama, 37,001 kenderaan diperiksa dan hasilnya lima warga asing atas kesalahan imigresen ditemui,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram akan dikenakan tindakan tegas.

Katanya, operasi melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia terus mengetatkan kawalan sempadan terutama di lorong tikus.

Categories
AGENDA JENAYAH

KPN: 372 tekong ditahan dalam Op Benteng

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Polis menahan 372 tekong yang terbabit dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin ke negara ini sejak Op Benteng dilaksanakan pada Mei lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata daripada jumlah itu, 80 kertas siasatan yang lengkap dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Sebanyak 80 tekong didakwa dalam masa terdekat,” katanya selepas menghadiri majlis serah terima tugas antara Timbalan Pengarah JSJK Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang dilantik sebagai Pemangku Pengarah JSJK dengan Pengarah JSJK Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad yang bersara wajib Ahad ini (28 Jun).

Op Benteng diaktifkan sejak Mei di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Mengenai penahanan tiga pegawai Imigresen yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing di Johor, beliau berkata polis akan menjalankan siasatan dengan meneliti daripada setiap sudut.

“Terdapat beberapa dakwaan mengatakan pegawai itu tidak bersalah kerana pas lawatan atau pasport individu berkenaan sukar untuk diperbaharui berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, risikan yang diterima mendapati mereka ini memberi laluan mudah dengan licik kepada pendatang asing masuk ke negara ini,” kata Abdul Hamid.

Selasa lepas, seorang pegawai kanan dan dua pegawai Jabatan Imigresen berusia 30 hingga 48 tahun ditahan di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor Bahru.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas jika terlibat seludup warga asing

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Jabatan Imigresen tidak berkompromi dan melindungi pegawai dan anggotanya yang didapati bersekongkol dengan tekong atau orang tengah dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pegawai dan anggota yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas kerana terbabit dengan aktiviti menyalahi undang-undang itu.

“Imigresen sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan pegawai dan anggota tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan tiga pegawai Imigresen di Johor semalam yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis serta yakin siasatan yang adil dan profesional akan dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sentiasa mengadakan kursus, kempen serta program-program berkaitan antirasuah bagi memastikan integriti setiap pegawai dan anggota berada di tahap tertinggi.

“Sebagai jabatan yang bertanggungjawab mengawal pintu masuk negara dan menguruskan hal ehwal warga asing, setiap pegawai sentiasa dinasihatkan agar tidak sama sekali menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Semalam, polis menahan seorang pegawai kanan dan dua pegawai Imigresen berusia 30 hingga 48 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilapor berkata , sindiket berkenaan disyaki menyediakan perkhidmatan cap keluar masuk Jabatan Imigresen palsu untuk kegunaan warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

-BERNAMA