Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor ekonomi rekod 177,900 jawatan kosong pada suku pertama 2021

PUTRAJAYA, 10 MEI: Sektor ekonomi merekodkan 177,900 kekosongan jawatan pada suku pertama 2021, meningkat 7.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kekosongan jawatan pada suku tersebut adalah selari dengan prestasi ekonomi yang lebih baik.

Beliau berkata nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun buat pertama kalinya dengan 9.3 peratus manakala Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi Mac 2021 turut melonjak 9.3 peratus.

“Jika dibandingkan dengan tempoh sebelum krisis (kesihatan), jumlah kekosongan jawatan masih belum mencapai paras normal yang merekodkan secara puratanya 200,000 kekosongan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Laporan Statistik Guna Tenaga Suku Pertama 2021, yang dikeluarkan hari ini.

Laporan berkenaan berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan ke atas perniagaan berdaftar sektor swasta dan statistik permintaan buruh merangkumi jawatan, jawatan yang diisi, kekosongan dan pewujudan jawatan mengikut kategori kemahiran dan aktiviti ekonomi.

Mohd Uzir berkata lebih separuh daripada kekosongan jawatan pada suku pertama tahun ini adalah dalam kategori separuh mahir merangkumi 55.5 peratus atau bersamaan dengan 98,700 kekosongan, diikuti kategori mahir 23.5 peratus (41,800 kekosongan) dan berkemahiran rendah 21.0 peratus (37,400).

Mengikut sektor ekonomi pula, kebanyakan kekosongan jawatan adalah di sektor pembuatan yang mencatatkan 100,900 kekosongan jawatan (56.7 peratus) terutama di subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (30,600 kekosongan) diikuti subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18,700 kekosongan).

Sementara itu kekosongan jawatan di sektor pertanian merangkumi 28,500 kekosongan (16.0 peratus) dengan sebahagian besarnya di subsektor tanaman dan ternakan selain terdapat 26,800 kekosongan jawatan (15.1 peratus) di sektor perkhidmatan terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, katanya.

Mengulas mengenai kedudukan keseluruhan jawatan pada suku pertama 2021, Mohd Uzir berkata bilangan jawatan di sektor ekonomi berkurangan secara berterusan sejak empat suku tahun lepas kepada 8.437 juta jawatan, susut 1.5 peratus tahun ke tahun (ST1 2020: -2.4 peratus).

“Statistik ini menunjukkan bahawa bilangan jawatan masih rendah berbanding sebelum krisis walaupun bilangan kekosongan jawatan meningkat. Kadar pengisian jawatan suku tahun ini kekal pada 97.9 peratus, bersamaan dengan 8.260 juta jawatan diisi,” katanya.

Berdasarkan analisis prestasi tahun ke tahun, bilangan pewujudan jawatan pada suku pertama 2021 menurun sebanyak 4,500 jawatan (ST1 2020: 21,900) dengan kategori mahir masih dalam trend menurun manakala kedua-dua kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah mencatatkan pertumbuhan positif, katanya.

Mengenai perincian mengikut sektor ekonomi, beliau berkata sektor pembuatan merekodkan komposisi jawatan terbesar iaitu 42.4 peratus atau 7,400 pekerjaan, diikuti sektor perkhidmatan pada 36.6 peratus (6,400 jawatan).

“Mengambil kira keadaan krisis kesihatan yang sedang berlaku, permintaan buruh di Malaysia menunjukkan momentum pemulihan sederhana pada suku tahun pertama 2021, antaranya berikutan kelonggaran beberapa sekatan yang dikenakan pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Januari tahun ini,” katanya.

Mohd Uzir bagaimanapun berkata pelbagai insentif dan pakej rangsangan yang dilaksanakan oleh kerajaan dijangka akan mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan seterusnya menyokong serta memacu pemulihan pasaran buruh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya 1.8 juta rakyat isi banci e-Census, bawah sasaran 30 peratus

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Hanya 1.8 juta rakyat Malaysia mengisi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Census sejak dilaksanakan pada 7 Julai lepas, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir berkata jumlah itu adalah rendah iaitu masih di bawah sasaran 30 peratus atau kira-kira 9 juta daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk Malaysia.

Bagaimanapun beliau berharap jumlah itu akan terus meningkat walaupun mengakui sukar untuk mencapai sasaran awal.

“… Jadi (e-Census) kemungkinan rendah daripada yang disasarkan dan benda ini juga dijangkakan. Sebab banci ini adalah proses yang sinonim bahawa orang akan melawat ke rumah, jadi kalau menyatakan ia perlu diisi secara dalam talian, perkara itu agak tidak biasa.

“(Tetapi) semalam kami dapat peningkatan lebih 100,000 (bancian). Di peringkat akhir ini memang orang Malaysia akan buat dan kami jangka ia akan meningkat walaupun mungkin sasaran 30 peratus itu sukar dicapai,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Temu Bual Radio anjuran Bernama Radio yang bertajuk ‘Banci dan Kesihatan’.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata daripada jumlah banci yang diterima setakat ini, di beberapa negeri menunjukkan peningkatan iaitu Putrajaya lebih 40 peratus manakala Perak melebihi 10 peratus dan Johor kira-kira 8 peratus.

Bagaimanapun, negeri di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu masih lagi rendah kira-kira dua peratus.

Fasa pertama Banci 2020 atau e-Census kini dijalankan secara dalam talian dari 7 hingga 30 September, diikuti fasa kedua yang akan dijalankan secara bersemuka oleh pembanci dari 7 hingga 24 Oktober.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata setiap pembanci akan melawat 100 rumah sepanjang tempoh bancian fasa kedua dengan purata kira-kira lapan rumah sehari.

“Dalam sistem kami boleh lihat rumah mana yang telah menghantar e-Census tidak akan dilawati, sebab sudah ada dalam sistem. Jadi kami akan pergi ke rumah yang belum dibanci.

“Jadi kami menyeru kepada rakyat Malaysia yang masih berpeluang untuk melaksanakan e-Census ini untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing supaya tidak perlu menunggu pembanci untuk datang ke rumah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bayi 2020 dijangka hidup lebih lama sehingga 74.9 tahun

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Bayi yang lahir pada tahun ini dijangka boleh hidup sehingga berumur 74.9 tahun, hampir lima bulan lebih lama berbanding 74.5 tahun pada tahun 2014.

Perkara ini didedahkan dalam Jadual Hayat Ringkas, Malaysia 2018-2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan hari ini. Penerbitan itu mengandungi jadual hayat mengikut umur, kumpulan etnik dan jantina serta perbezaan mengikut negeri untuk tahun 2018-2020.

Mengulas mengenai penerbitan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata secara purata, jangkaan hayat bagi bayi perempuan yang lahir pada 2020 ialah 77.6 tahun, lima tahun lebih lama berbanding bayi lelaki iaitu 72.6 tahun.

“Pada 2020, lelaki dan wanita yang mencecah umur 15 tahun masing-masing dijangka hidup selama 58.4 dan 63.2 tahun,” katanya.

Beliau berkata jangkaan hayat pada umur 60 tahun meningkat iaitu lelaki dijangka hidup selama 18.4 tahun lagi manakala wanita 21.2 tahun.

Berdasarkan anggaran penduduk pada 2020, beliau berkata penduduk berusia 60 tahun dan ke atas meningkat kepada 3.5 juta orang berbanding 3.4 juta pada 2019.

Mohd Uzir berkata tiga negeri mencatatkan jangkaan hayat tertinggi untuk lelaki ialah Sarawak (74.6 tahun), Kuala Lumpur (74.5 tahun) dan Selangor (73.8 tahun) manakala bagi wanita ialah Kuala Lumpur (79.4 tahun), Pulau Pinang (78.9 tahun) dan Sarawak (78.4 tahun).

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

PKP: Produktiviti buruh turun 0.8 peratus suku pertama 2020

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Produktiviti buruh Malaysia bagi bagi suku pertama 2020, mencatatkan penurunan 0.8 peratus daripada 1.4 peratus pada pada suku keempat 2019 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Nilai ditambah per pekerja adalah sebanyak RM22,578 pada suku pertama 2020 berbanding RM24,263 pada suku keempat 2019.

Produktiviti buruh, atau nilai ditambah per pekerja dianggar dengan membahagikan nilai ditambah dan pekerja yang merangkumi majikan, pekerja, bekerja sendiri dan pekerja keluarga tanpa gaji.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata produktiviti buruh Malaysia yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja meningkat 2.1 peratus (S4 2019: 1.4 peratus) dengan nilai ditambah per jam bekerja adalah RM40 per jam (S4 2019: RM42 per jam).

Peningkatan produktiviti buruh per jam bekerja pada suku ini adalah berikutan penurunan besar dalam jam bekerja berbanding pengeluaran output yang sederhana, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Pelaksanaan fasa pertama PKP menyebabkan kejatuhan jumlah jam bekerja pada suku ini.

“Purata jam bekerja pada suku ini hanya 44.3 jam seminggu (S4 2019: 45.0 jam seminggu). Nilai ditambah yang menunjukkan output barangan dan perkhidmatan domestik yang dihasilkan tumbuh marginal 0.7 peratus pada S1 2020 berbanding 3.6 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata meskipun prestasi ekonomi yang perlahan pada 0.7 peratus pada suku pertama, pekerjaan meningkat 1.6 peratus dengan merekodkan sebanyak 15.2 juta orang.

Mohd Uzir berkata dari sudut sektor ekonomi, produktiviti buruh mengikut pekerja bagi sektor Pertanian turun 8.9 peratus (S4 2019: -6.1 peratus) manakala bagi sektor perlombongan dan pengkuarian susut 0.4 peratus (S4 2019: -4.0 peratus).

Sektor Pembuatan mencatatkan penurunan pertumbuhan produktiviti buruh mengikut pekerja pada 0.2 peratus (S4 2019: 0.8 peratus) manakala sektor pembinaan jatuh 5.3 peratus (S4 2019: 3.2 peratus).

Sektor Perkhidmatan merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan peningkatan positif produktiviti buruh per pekerja pada kadar 0.5 peratus (S4 2019: 2.9 peratus), katanya.

Mohd Uzir berkata selain permintaan global yang lebih perlahan, peristiwa luar jangka ini telah turut mempengaruhi ekonomi Malaysias.

Kejatuhan produktiviti buruh mengikut pekerja pada masa yang mencabar ini adalah berikutan kebanyakan industri mengekalkan pekerja di sebalik pertumbuhan perlahan pengeluaran.

Bagaimanapun, beliau berkata prestasi produktiviti buruh mengikut jam bekerja meningkat berikutan berlakunya pengurangan ketara jumlah jam bekerja terutamanya dalam tempoh PKP dan tidak dipengaruhi penggunaan automasi dalam industri.

Di sebalik kejutan ekonomi yang dialami, Mohd Uzir berkata industri dengan penggunaan teknologi tinggi berupaya mengekalkan produktiviti dan perniagaan mereka.

“Industri yang berintensifkan modal serta mengadaptasi automasi dilihat lebih berdaya tahan dan mempunyai produktiviti buruh yang lebih tinggi berbanding industri yang berintensifkan buruh.

“Sebagai contoh, aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman di Malaysia yang sinonim dengan penggunaan guna tenaga yang ramai dalam operasi sesebuah restoran atau kedai makan, akan berhadapan dengan isu kejatuhan produktiviti buruh semasa berlakunya krisis seperti pandemik Covid-19.

“Ini kerana, walaupun berlaku kekurangan permintaan perkhidmatan tersebut, pengusaha masih mengekalkan pekerja dan meneruskan pembayaran gaji,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa penggunaan automasi, penyesuaian operasi perniagaan dapat dilaksanakan dengan segera semasa menghadapi krisis dan seterusnya produktiviti buruh dapat dikekalkan.

Dalam hal ini, industri perlu memanfaatkan krisis ini untuk menilai kembali struktur perniagaan sedia ada dengan melaksanakan inovasi ke arah norma perniagaan baharu.

Seterusnya, dalam jangka masa panjang, negara akan dapat menangani isu ketidakpadanan pekerja dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir.

Beliau berkata krisis ini juga sewajarnya dijadikan titik perubahan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.

Ia sekaligus akan meningkatkan pulangan kepada faktor pulangan bersesuaian dengan tahap pendidikan tertiari penduduk di negara ini yang semakin meningkat.

Memandangkan kebanyakan industri di negara ini masih berintensifkan buruh, pada masa ini setiap pengeluaran bernilai RM1, pengagihan kepada pekerja adalah sebanyak RM0.36 sahaja, katanya.

Mohd Uzir berkata, jalinan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan dan industri adalah penting ke arah transformasi industri berintensifkan modal dan peralihan kepada teknologi tinggi.

– BERNAMA