Categories
AGENDA NASIONAL

Juruterbang maut, satu lagi cedera nahas pesawat pejuang TUDM

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut sementara seorang lagi cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang, malam semalam (16 Nov).

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan berkata Kapt Mohamad Affendi Bustamy meninggal dunia dalam nahas itu sementara Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

TUDM berkata nahas di Pangkalan Udara Butterworth, itu berlaku kira-kira 10.07 malam pada Selasa ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.

“Kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan keluarga telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

“Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih. TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan insiden ini,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan tengah malam tadi.

Susulan itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan TUDM menjalankan siasatan terperinci susulan insiden dan menyiasat punca kejadian membabitkan pesawat pejuang Hawk 108 yang berlaku malam tadi.

Beliau berkata insiden intu dimaklumkan kepadanya oleh Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad menerusi panggilan telefon.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan cedera…amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera,” kongsi beliau menerusi ciapan Twitter, tengah malam ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan telah diarahkan untuk menyalurkan keperluan kepada kedua-dua anggota yang terbabit dalam insiden itu.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada pekerja restoran nasi kandar di Butterworth positif Covid-19

KEPALA BATAS, 7 OGOS: Polis hari ini mengesahkan tiada pekerja restoran nasi kandar di Jalan Chain Ferry, Butterworth dijangkiti Covid-19 seperti yang didakwa dalam mesej audio yang tular menerusi aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pihaknya melakukan siasatan berhubung perkara itu setelah menerima laporan polis daripada pengarah restoran nasi kandar terbabit yang turut menerima mesej audio berkenaan.

“Menerusi mesej suara dalam bahasa Tamil itu, lelaki tersebut memaklumkan seorang pekerja di restoran nasi kandar berkenaan dijangkiti Covid-19 dan semua pelanggan meninggalkan premis serta diminta untuk mereka (pelanggan) tidak berkunjung ke situ lagi. Bersama mesej suara itu turut disertakan gambar restoran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya kini giat mengesan individu yang merakam dan menularkan maklumat palsu tersebut yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Awan Megah Gagal Siap Projek, Rafizi Hairan Kementah Tidak Tuntut RM72.5 Juta

rafizi

PETALING JAYA 9 JAN : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan(Kementah) yang tidak mendapatkan RM72.5 juta dari Awan Megah Sdn Bhd akibat kegagalan menyiapkan projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas).

Beliau mendakwa dalam perjanjian, Kementah mensyaratkan penyediaan bon tanah dengan nilai itu sebagai jaminan projek terbabit akan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Lebih membimbangkan, katanya apabila bon tanah itu luput secara automatik pada 3 Februari 2011.

“Jadi, Kementerian Pertahanan perlu menjawab perkara itu sedangkan dengan wang RM72.5 juta itu ia boleh digunakan untuk menampung kos pembinaan Puspahanas,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Projek pembinaan Puspahanas itu lewat dimulakan oleh Awan Megah Sdn Bhd walaupun perjanjian dimeterai tahun 2005 dan sepatutnya siap Januari 2011 mengikut jadual yang didaftarkan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Kementerian Pertahanan perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan ini antaranya mengapa Kementerian tidak menggugurkan Awan Megah Sdn Bhd dari projek ini apabila sudah terbukti ia tidak mempunyai kemampuan dan kepakaran.

“Adakah Awan Megah Sdn Bhd menyediakan bon tanah baru bagi menggantikan bon tanah asal yang luput,” katanya.

Tinjauan Rafizi ke tapak pembinaan Puspahanas di Presint 1, Putrajaya menunjukkan bahawa hanya dua daripada 12 bangunan utama sedang dibina.

Menurut maklumat yang diperolehi dari kakitangan sub kontraktor di tapak pembinaan, kerja pembinaan hanya bermula dalam bulan Ogos lalu.

Sehubungan itu, satu jelajah nasional ke kawasan kem tentera akan diadakan mulai esok bagi menerangkan isu salah guna wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Jelajah itu akan dimulakan di Setiawangsa, Lumut, Bandar Tun Razak, Kuantan dan Butterworth.