Categories
AGENDA NASIONAL

LTAT: Keuntungan bersih rendah dorong dividen rendah berbanding tahun sebelumnya

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Pemberian dividen serendah dua peratus oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun kewangan 2018 disebabkan keuntungan bersih pada 2018 sebanyak RM221 juta walaupun pendapatan kasar mencecah RM423 juta.

Dalam kenyataan, LTAT berkata, keuntungan bersih yang rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan faktor-faktor termasuk pendapatan LTAT pada 2016 dan 2017 mengambil kira penjualan tanah yang masih belum selesai tetapi keuntungan sebanyak RM441 juta telah diambil kira.

“Hasil belum masuk, akan tetapi pengurusan LTAT di bawah pengurusan ketua eksekutif sebelum ini, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin sudah mengisytiharkan keuntungan dan membayar dividen secara berlebihan sebanyak RM556 juta pada 2016 dan 2017.

“Keuntungan terkumpul dari 2015 sebanyak RM384 juta akhirnya merosot dan menjadi kerugian terkumpul RM170 juta pada 2017,” katanya.

Beliau berkata, kerugian pelaburan LTAT dalam syarikat Buroi Mining Sdn Bhd sebanyak RM55 juta sepatutnya diambil kira pada 2015, tetapi pihak yang sepatutnya membuat pembayaran telah bankrap.

Justeru, katanya, dividen yang mampu dibayar LTAT hanyalah sebanyak dua peratus bersamaan dengan RM161.2 juta.

Mengenai bayaran dividen yang belum diterima daripada anak syarikat LTAT, katanya, anak-anak syarikat LTAT iaitu Pernama, PPHM dan Power Cable Sdn Bhd mengisytiharkan dividen yang tinggi pada 2017 tetapi sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar.

“Tindakan ini telah menyebabkan LTAT membayar dividen yang tinggi kepada pencarum. LTAT sepatutnya tidak boleh membuat pembayaran sekiranya tiada pulangan daripada anak-anak syarikat,” katanya.

Katanya, pengurusan baharu LTAT akan menyelesaikan masalah itu dengan melakukan semakan terhadap kedudukan sebenar kewangannya dan segala hutang yang tertunggak, perlu ditolak dan diambil kira dalam laporan kewangan LTAT pada 2018.

“Perkara ini perlu dilakukan agar LTAT dapat memperbetulkan keadaan dan laporan kewangannya akan menggambarkan keuntungan sebenar,” katanya.

Katanya, LTAT juga telah memulakan pelan transformasi yang terdiri daripada enam teras utama – visi dan misi baharu LTAT, memperkukuhkan tadbir urus korporat, memperbaiki pengurusan pemegang berkepentingan strategik LTAT, terutamanya para perajurit, meningkatkan pulangan pelaburan yang mampan, memperbaiki pengurusan infrastruktur dan pembangunan modal insan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LTAT perlu pertingkat strategi jana pulangan lebih baik

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mahu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mempertingkat strategi bagi menjana pulangan yang lebih baik, mampan dan bertanggungjawab demi kebaikan dan kebajikan ahli.

Mengulas tindakan segelintir pihak yang mempertikai kadar dividen yang diumumkan LTAT, Mohamad berkata, LTAT telah menjalankan tanggungjawabnya untuk menjana pulangan yang mampan untuk ahli-ahlinya.

Beliau berkata, pengurusan LTAT mewarisi organisasi yang sarat dengan pelbagai ketidakpatuhan serta kelemahan pengurusan, kesan daripada kepimpinan yang tidak telus sebelum ini.

“Untuk LTAT mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi, ia memerlukan pulangan yang baik, hasil daripada pelaburannya.

“Pelaburan tidak munasabah yang dijalankan oleh kepimpinan terdahulu telah menyebabkan kurangnya pulangan untuk tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, LTAT telah menerima Pendapat Berteguran daripada Jabatan Audit Negara bagi Tahun Kewangan 2017 dan jumlah keuntungan bersih tahun itu telah diselaraskan kerana mengambil kira hasil daripada jualan tanah yang belum dimuktamadkan.

“Untuk rekod, pendapatan bersih LTAT pada 2017 turun sebanyak lebih 30 peratus daripada RM686.8 juta kepada RM459.5 juta.

“Bagi Tahun Kewangan 2016, pendapatan bersih LTAT juga turun sebanyak 48 peratus daripada RM685.5 juta kepada RM356.2 juta setelah mengambil kira penyelarasan daripada penjualan tanah yang tidak dimuktamadkan namun hasil daripada jualan itu telah diambil kira sebagai pendapatan LTAT,” katanya.

Beliau berkata, LTAT juga diingatkan supaya terus menjaga kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk jangka masa panjang.

“Tumpuan kerajaan Pakatan Harapan dan pentadbiran baharu LTAT adalah bagi menjaga kebajikan anggota ATM dan kerajaan tidak gusar untuk mengisytiharkan pulangan yang rendah kerana ia seiring dengan kemampuan LTAT pada ketika ini,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan LTAT mengumumkan dividen sebanyak 2.0 peratus bagi ahlinya untuk tahun kewangan 2018 berakhir 31 Disember 2018.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rafizi Minta Selangor Keluar Notis Pengambilan Tanah Kepada Raja Ropiaah

rafizi debat

PETALING JAYA, 26 FEB: Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli hari ini menggesa Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan notis Pengambilan Tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 yang kini dimiliki Kerajaan Persekutuan.

Tindakan tersebut harus diambil bagi mengelakkan tanah seluas 223 ekar itu diserahkan kepada Ketua Wanita Umno Selangor, Raja Ropiaah Raja Abdullah melalui sebuah syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jendela Hikmat Sdn Bhd.

Menurut Rafizi, Perkara 3.2 perjanjian di antara syarikat milik Raja Ropiaah, Awan Megah dengan Bakti Wira Sdn Bhd, Awan Megah akan menandatangani satu perjanjian perkongsian tanah dengan Jendela Hikmat.

“Saya sudah tulis surat secara rasmi kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Jika notis ini dikeluarkan, secara automatik Perkara 8.2 di dalam perjanjian berkuatkuasa dan wajarlah keseluruhan urusniaga ini dibatalkan seperti diperuntukkan di dalam perjanjian,” kata Rafizi di sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR, Merchant Square di Tropicana hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menyerahkan tanah kepada Kerajaan Persekutuan sebelum Kerajaan Persekutuan memberikan tanah tersebut kepada LTAT untuk membina kem tentera dan juga untuk membiayai pelbagai aktivitinya.

Bagaimanapun LTAT melalui beberapa anak syarikatnya, selain didapati tidak menepati syarat pembangunan tanah, LTAT juga didapati cuba menyerahkan tanah tersebut kepada syarikat milik Ketua Wanita Umno Selangor, sekaligus dianggap merugikan anggota tentera dan rakyat.

Dalam Akta Pengambilan Tanah 1960, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk mengambil semula tanah tersebut sekiranya didapati pihak terlibat melanggar syarat pengambilalihan tanah atau bertindak merugikan kepentingan awam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Awan Megah Gagal Siap Projek, Rafizi Hairan Kementah Tidak Tuntut RM72.5 Juta

rafizi

PETALING JAYA 9 JAN : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan(Kementah) yang tidak mendapatkan RM72.5 juta dari Awan Megah Sdn Bhd akibat kegagalan menyiapkan projek Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas).

Beliau mendakwa dalam perjanjian, Kementah mensyaratkan penyediaan bon tanah dengan nilai itu sebagai jaminan projek terbabit akan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Lebih membimbangkan, katanya apabila bon tanah itu luput secara automatik pada 3 Februari 2011.

“Jadi, Kementerian Pertahanan perlu menjawab perkara itu sedangkan dengan wang RM72.5 juta itu ia boleh digunakan untuk menampung kos pembinaan Puspahanas,” katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Projek pembinaan Puspahanas itu lewat dimulakan oleh Awan Megah Sdn Bhd walaupun perjanjian dimeterai tahun 2005 dan sepatutnya siap Januari 2011 mengikut jadual yang didaftarkan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Kementerian Pertahanan perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan ini antaranya mengapa Kementerian tidak menggugurkan Awan Megah Sdn Bhd dari projek ini apabila sudah terbukti ia tidak mempunyai kemampuan dan kepakaran.

“Adakah Awan Megah Sdn Bhd menyediakan bon tanah baru bagi menggantikan bon tanah asal yang luput,” katanya.

Tinjauan Rafizi ke tapak pembinaan Puspahanas di Presint 1, Putrajaya menunjukkan bahawa hanya dua daripada 12 bangunan utama sedang dibina.

Menurut maklumat yang diperolehi dari kakitangan sub kontraktor di tapak pembinaan, kerja pembinaan hanya bermula dalam bulan Ogos lalu.

Sehubungan itu, satu jelajah nasional ke kawasan kem tentera akan diadakan mulai esok bagi menerangkan isu salah guna wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Jelajah itu akan dimulakan di Setiawangsa, Lumut, Bandar Tun Razak, Kuantan dan Butterworth.