Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 90 pelajar Orang Asli cemerlang SPM, dua peroleh 9A

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Seramai 93 pelajar Orang Asli memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan baru-baru ini dengan dua daripadanya, berjaya meraih keputusan 9A.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pelajar yang memperoleh keputusan 9A itu iaitu Juniza Ellyana Teo Sea Huang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin dan Rozainizam Azizian dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah.

Selain itu, katanya lapan pelajar mencatat keputusan cemerlang 8A, 10 pelajar memperoleh (7A), lapan pelajar (6A), 31 pelajar memperoleh (5A), manakala 34 pelajar meraih keputusan 4A.

“Umum mengetahui bahawa peperiksaan SPM tahun 2020 telah diadakan dalam norma baharu apabila negara dilanda dengan penularan pandemik Covid-19.

“Penularan pandemik ini menjejaskan persiapan pelajar untuk menghadapi peperiksaan SPM tahun 2020, namun, kita tetap berbangga dengan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan oleh pelajar Orang Asli tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rahman, kejayaan pelajar tersebut adalah hasil kerja keras semua pihak termasuk ibu bapa, guru serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang berganding bahu dalam menyediakan pelbagai bantuan serta program kecemerlangan pendidikan yang dapat mendorong pelajar Orang Asli bersaing dengan masyarakat lain.

Jelasnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan bagi bantuan pendidikan pelajar Orang Asli melalui bantuan wang saku, pengangkutan, peralatan, pakaian serta bantuan lain dengan harapan mereka lebih bersemangat untuk mengubah nasib melalui pendidikan.

“KPLB mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang telah menjalin kerjasama erat dalam menentukan hala tuju pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PdPR bukan halangan pelajar raih keputusan cemerlang SPM

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Kaedah baharu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ternyata tidak menghalang pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Mengakui PdPR tidak seperti kaedah konvensional yang membolehkan mereka berinteraksi secara terus dan bersua muka dengan guru, rata-rata pelajar menganggapnya sebagai cabaran dan tidak putus asa untuk mempraktikkan teknik pembelajaran baharu itu.

Aina Nurain Mohd Zamanshahril, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Kelantan yang memperoleh keputusan 8A dalam sembilan mata pelajaran berkata kekangan tidak dapat belajar secara bersemuka disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak pernah menghalangnya untuk berusaha dan berjaya.

“Hampir setiap hari saya akan memulakan ulang kaji sekitar 10 malam sehingga 12 tengah malam dan setiap kali membuat ulang kaji saya akan mengumpul soalan yang tidak faham untuk ditanya kepada guru pada keesokkan harinya,” katanya yang merupakan anak kedua daripada enam beradik.

Turut berkongsi pengalaman, Muhammad Azfar Nasution Sakaria dari Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian, Kelantan yang memperoleh 7A dalam sembilan mata pelajaran.

Pelajar SMK Kubang Kerian Muhammad Azfar Nasution Sakaria, 18, (tengah) bersama ayah Sakaria Musa, 57, dan ibunya Raja Bidah Raja Daud, 57, melihat keputusan SPM secara dalam talian ketika ditemui di Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian pada 10 Jun 2021. Foto BERNAMA

Menurutnya, beliau memanfaatkan kemudahan seperti telefon bimbit dengan menggunakan capaian internet untuk mengoptimumkan PdPR selain mengambil inisiatif mengulang kaji pelajaran sekitar lima jam sehari.

“Alhamdulillah dengan keputusan yang cemerlang ini saya bercita-cita untuk menyambung pengajian ke matrikulasi ataupun Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya yang berhasrat menjadi seorang guru.

Di Pulau Pinang, tiga kembar seiras melakar sejarah bagi Sekolah Menengah Agama Al-Maahadul Islami Tasek Junjung, di Simpang Ampat di sini kerana menjadi pelajar cemerlang sekolah itu selepas memperoleh 7A dalam SPM.

Mereka ialah Nadwa Insyirah Baharom, Nadwa Maisarah dan Nadwa Zafirah yang merupakan anak kepada pasangan bekerja sendiri serta pekerja am tidak pernah menyangka akan memperoleh keputusan yang sama.

“Kami bukan orang senang, jadi hanya pelajaran saja mampu mengubah hidup keluarga, jadi saya dan dua lagi adik kembar memang sentiasa belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah kehidupan kami pada masa hadapan.

Sementara itu, fokus semasa PdPR dan rajin bertanya dengan guru adalah antara rahsia kejayaan buat pelajar Nur Syamira Ishak dari Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk, Bukit Mertajam yang memperoleh 8A dan 2B.

“Walaupun kadang-kadang terdapat masalah internet ketika PdPR, saya kuatkan semangat dan terus fokus kerana mahu memperoleh keputusan cemerlang, lagipun emak dan ayah selalu beri dorongan…terima kasih juga kepada cikgu-cikgu yang banyak membantu saya dan rakan-rakan lain,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Di Kedah, Nur Nada Azhar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah yang mendapat 11A+ dan 1B+ dalam peperiksaan itu mengakui kaedah PdPR agak rumit, namun tidak mematahkan semangatnya.

“Waktu PdPR ini memang mencabar antaranya pelajar tidak boleh bertanyakan soalan secara bersemuka kepada guru dan yang paling rumit, pelajar aliran sains ketinggalan dari segi pelaksanaan eksperimen dan saya serta kawan-kawan jadi susah nak faham topik yang diajar dan latihan juga susah nak siapkan,” katanya yang menetap di Sungai Petani.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Warga kerja MPKj agen reformasi kecemerlangan komuniti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 12 APR : Warga kerja Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memainkan peranan terbaik untuk membawa perubahan reformasi kepada pembangunan komuniti di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuti Bakar berkata, ia menjadi manifestasi terbaik untuk menggalakkan komuniti perbandaran meningkatkan jaringan perhubungan bersama MPKj.

“Kecemerlangan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada satu pihak semata-mata, sebaliknya membabitkan semua kepimpinan daripada peringkat tertinggi hingga bawahan.

“Justeru, warga MPKj dan komuniti harus berkerjasama untuk memastikan kesejahteraan ini dapat diseimbangkan bagi memastikan kecemerlangan dapat dizahirkan secara berkesan.

“Apa yang lebih penting, ia sekali gus dapat memastikan hala tuju dan kecemerlangn MPKj dapat dikekalkan,” katanya ketika berucap pada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 MPKJ, di Dewan Seri Cempaka, petang ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 80 warga kerja MPKj dan 14 pesara kakitangan pelbagi agensi PBT itu diraikan atas sumbangan serta khidmat bakti yang diberikan mereka sepanjang berkhidmat bersama MPKj.

Mohd Sayuti berkata, pengiktirafan diberikan atas komitmen kakitangannya menghasilkan kualiti perkhidmatan bermutu dan cemerlang.

“Saya berharap kecemerlangan ini akan terus berkekalan dan selayaknya semua penerima layak dinobatkan sebagai agen reformasi perkhidmatan awam, di MPKj,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah cemerlang itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.