Categories
NASIONAL

28 NGO serah memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi New Zealand

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Sebanyak 28 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi New Zealand di untuk menyatakan kebimbangan dan menunjukkan solidariti rakyat Malaysia berikutan serangan pengganas di Christchurch, New Zealand, baru-baru ini.

Memorandum yang tujukan kepada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern itu, diserahkan oleh wakil NGO berkenaan, Mohamad Zaidi Nordi, kepada bakal Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia Hunter Nottage di pejabatnya di Menara IMC, di sini.

Mohamad Zaidi, yang juga jurucakap Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), berkata mereka mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas itu dan menggesa kerajaan New Zealand agar berbuat sesuatu untuk mengekang puak ekstremis daripada menggugat keamanan negara.

“Ia bukan semata-mata satu perbuatan jenayah tetapi satu serangan keganasan terhadap komuniti tertentu,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada Nottage.

Mohamad Zaidi berkata, antara intisari memorandum ialah menggesa kerajaan New Zealand mencegah kempen Islamophobia dan anti-Islam daripada berleluasa dalam kalangan rakyatnya serta melaksanakan dasar kewujudan bersama secara aman.

Sementara itu, Nottage berkata, memorandum itu akan diserahkan kepada perdana menteri negaranya secepat mungkin.

Menurut laporan media, serangan pengganas di Masjid Al Noor Mosque dan Masjid Linwood di Christchurch ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat pada 15 Mac lalu meragut 50 nyawa dan menyebabkan lebih 40 yang lain cedera.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Insiden Christchurch: Angka maut meningkat 50 orang, 11 kritikal

CHRISTCHURCH, 17 MAC: Jumlah mangsa yang terkorban dalam kejadian tembakan dua buah masjid, di New Zealand meningkat kepada 50 orang, kata polis hari ini.

Kematian tambahan itu ekoran jenazah dikeluarkan dari masjid di bandar selatan itu, dengan pegawai forensik dari seluruh New Zealand terbang ke bandar berkenaan bagi membantu proses pengenalan.

Sokongan dan simpati tanpa henti itu dilakukan sehari selepas pengganas sayap kanan didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan serangan kejam di dua masjid New Zealand.

Pengganas warga Australia itu, Brenton Tarrant, yang duduk di kandang pesalah dalam keadaan bergari dan memakai baju putih penjara, berdiri tanpa sebarang emosi ketika hakim membacakan senarai tuduhan ke atasnya.

Diapit pegawai polis bersenjata, bekas jurulatih kecergasan berusia 28 tahun itu menunjukkan ibu jari atas bawah tanda ‘okay – simbol digunakan kumpulan berkuasa kulit putih seluruh dunia.

Tertuduh tidak memohon jaminan dan ditahan sehingga dihadapkan di mahkamah 5 April ini.

Seorang lagi lelaki ditahan, pada Jumaat akan dihadapkan di mahkamah, pada Isnin atas tuduhan ‘berkaitan’ serangan walaupun dipercayai tidak terbabit dalam insiden tembakan, kata Pesuruhjaya Polis Mike Bush kepada media hari ini.

Beliau berkata, dua lagi suspek yang ditahan dalam kepungan polis ketika serangan dan senjata ditemui dalam kenderaan mereka tidak terbabit secara langsung dengan Tarrant.

Seorang daripada dua yang ditahan, iaitu wanita, dibebaskan manakala tertuduh lelaki ditahan atas tuduhan senjata api, kata Bush.

“Buat masa ini, hanya seorang individu didakwa atas tuduhan berkaitan serangan. Saya tidak mengatakan apa-apa yang kukuh sehingga kami pasti berapa ramai yang terbabit. Namun saya berharap kami dapat memberi maklumat beberapa hari lagi,” katanya.

Serangan ke atas Masjid Al Noor dan Linwood menggegarkan negara yang biasanya aman, berbangga kerana mengalu-alukan pendatang lari akibat keganasan atau pendakwaan.

Fakta utama:

• 50 disahkan maut, dengan mangsa berusia dua tahun hingga lebih 60 tahun

• Daripada 50 orang yang cedera, 36 masih dirawat di hospital Christchurch dan 11 dalam keadaan kritikal, termasuk budak lelaki empat tahun yang dipindahkan ke hospital kanak-kanak Starship di Auckland

• Pembunuh, warga Australia kelahiran Dunedin, Brenton Harrison Tarrant, 28, dihadapkan di mahkamah atas tuduhan membunuh

• Dua lagi individu, seorang lelaki dan wanita, ditahan sebaik tembakan tiada kaitan dengan penyerang

• Wanita dibebaskan tanpa didakwa sementara lelaki didakwa atas kesalahan senjata api

• Penduduk Kiwi sudah menderma sebanyak NZ$4.3 juta (RM12.06 juta) untuk keluarga mangsa

*Sumber: BH Online

 

Categories
NASIONAL

Christchurch berdarah: Anak mangsa masih trauma

GEORGE TOWN, 16 MAC: Anak sulung salah seorang rakyat Malaysia yang cedera dalam serangan masjid di Christchurch, New Zealand, semalam masih dalam keadaan trauma dan memerlukan perhatian khusus ibunya, kata bapa saudaranya, di sini hari ini.

Rosdi Ahmad, 42, berkata anak saudaranya, Ahmad Razif Rahimi, 11, yang tidak mengalami kecederaan luaran dalam insiden itu masih ketakutan kerana menyaksikan sendiri kejadian itu semasa berada di Masjid Al-Noor.

Katanya, adik iparnya, Nor Azila Abdul Wahid, 39, yang juga isteri kepada adiknya, Rahimi yang tercedera dalam insiden itu, memaklumkan Ahmad Rafiz tidak mahu bersama orang lain kecuali ibunya selepas kejadian itu.

“Selain itu, Nor Azila juga memberitahu Rahimi sudah menjalani pembedahan kedua iaitu membuang peluru yang terkena tulang belakangnya pagi ini dan dia masih belum sedar, namun dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum berlepas ke Christchurch, New Zealand, petang ini bersama-sama ibunya, Rokiah Mohammad dan dua wakil kerajaan Pulau Pinang.

Rosdi berkata, Rahimi sudah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru dari bahagian perutnya semalam dan beliau bersama-sama ibunya berharap adiknya itu akan cepat pulih seperti sedia kala.

Seperti mana perasaan ibunya, beliau berkata, mereka tidak sabar untuk melihat sendiri keadaan Rahimi serta keluarganya di Christchurch dan menjangka akan berada di New Zealand selama sebulan.

“Saya dan keluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membantu membawa kami ke sana untuk melihat sendiri keadaan adik yang cedera,” katanya.

Rahimi, jurutera di sebuah kilang di Christchurch, adalah antara tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood. Ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di hospital di sana.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand akan menguruskan Rokiah dan Rosdi untuk melawat Rahimi, di hospital, di sana.

Katanya, usaha mereka untuk membawa kedua-dua anggota keluarga Rahimi itu banyak dibantu pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta. -BERNAMA

 

Kapsyen foto: GEORGE TOWN, 16 Mac — Ibu Rahimi Ahmad, Rokiah Mohammad, 65, membuat pengurusan dokumentasi perjalanan ke Christchurch, New Zealand untuk melawat anaknya yang ditembak dalam satu serangan di masjid.
Turut sama seorang lagi anaknya, Rosdi Ahmad (dua, kiri), Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh (kanan) dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Azrul Aziz Mahathir (kiri).
Keempat-empat mereka berlepas ke New Zealand dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas hari ini untuk meninjau perkembangan kesihatan Rahimi.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Categories
NASIONAL

Kerajaan bantu keluarga mangsa ke New Zealand

KUANTAN, 16 MAC: Kerajaan akan membantu urusan perjalanan keluarga mangsa yang cedera dalam insiden keganasan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, semalam, untuk ke negara itu bagi membolehkan mereka memberi sokongan kepada mangsa yang terbabit.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan amat mengambil berat kebajikan mangsa dan akan memastikan kesemua mereka mendapat rawatan terbaik selain bersedia membantu menanggung kos perubatan.

“Wisma Putra sedang berurusan dengan keluarga mereka kerana ada di antara mangsa yang cedera, anggota keluarga mereka seperti anak atau ibu bapa berada di Malaysia.

“Kita akan cuba bantu uruskan perjalanan mereka ke sana dan mendoakan ketiga-tiga rakyat Malaysia yang cedera sembuh serta tiada perkara lebih mudarat berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama, di sini hari ini.

Saifuddin turut mengesahkan setakat ini tiga rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian itu, manakala seorang lagi masih dilaporkan hilang dan belum dapat dikesan.

Mereka yang cedera ialah Mohd Tarmizi Shuib, 46, dari Kedah; Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46 dari Kelantan, manakala seorang lagi yang masih hilang ialah Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, iaitu anak kepada mangsa tembakan, Mohd Tarmizi.

“Saya difahamkan ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru berkenaan serta luka yang dialami.

“Seorang lagi anak Mohd Tarmizi iaitu Mohd Haris kini sedang dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di sana kerana mengalami trauma ekoran kejadian itu.

“Sementara Mohd Haziq masih lagi tidak dapat dikesan. Saya difahamkan ketika kejadian ada saksi nampak dia lari bersama ayahnya, namun ayahnya cedera terkena tembakan… kita tidak tahu dia ada mana, harap dia selamat dan mungkin dia sedang berlindung di mana-mana,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya kerajaan menghantar dua orang petugas dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington iaitu seorang pegawai diplomatik dan seorang atase tentera ke Christchurch selain seorang pegawai kanan dari Wisma Putra bagi membantu.

Untuk rekod, terdapat lebih 1,000 rakyat Malaysia berada di Christchurch dan 208 mahasiswa di beberapa buah universiti di situ. Kesemuanya dilaporkan selamat.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata, setakat ini kerajaan dimaklumkan oleh Duta Malaysia di New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo bahawa keadaan di Christchurch kembali stabil.

–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa di negara berkenaan menasihatkan penduduk supaya tidak keluar rumah buat sementara waktu kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

Beliau juga akan menghubungi Timbalan Perdana Menteri New Zealand yang juga Menteri Luar, Winston Peters bagi menyampaikan simpati kerajaan Malaysia kepada negara itu dan rakyatnya yang terkorban dalam insiden yang disifatkan sebagai tindakan keganasan dahsyat.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, tiada keperluan untuk kerajaan menghalang rakyat Malaysia ke negara itu buat sementara waktu.

“Setakat ini kita belum ada keperluan untuk ]berbuat demikian… sebab itu kita hantar atase tentera kerana dia lebih faham,” katanya.

Setakat ini pihak berkuasa New Zealand mengesahkan seramai 49 orang terkorban dalam insiden keganasan yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch ketika umat Islam hendak menunaikan solat Jumaat dan lebih 20 lagi dilaporkan cedera. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Mangsa tembakan di New Zealand stabil

SHAH ALAM, 16 MAC: “Sakit” hanya itu jawapan yang mampu diberikan oleh Nazril Hisham Omar, 46 ketika dihubungi oleh isterinya, Prof Madya Dr Zurinawati Mohyi pada kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Nazril Hisham merupakan antara rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand semalam.

Zurinawati berkata, ketika dihubungi suaminya itu dalam keadaan separa sedar tetapi telah stabil kerana baharu sahaja selesai menjalani pembedahan pertama di Hospital Christchurch.

“Kawan saya di sana hubungi saya beritahu jururawat yang merawat suami menyuruh saya hubungi suami untuk beri kata semangat, dan ketika saya hubungi dia, saya tanya, How are you? (awak bagaimana?) are you ok? (awak ok?), dia jawab sakit, do you remember me? (awak ingat saya ?), dia jawab ye, saya juga sempat bercakap dengan jururawat yang merawat suami saya, dia hanya berkata he’s good he’s with us (dia dalam keadaan baik, dia bersama kami).

“Sekarang menurut anak kedua saya Muhammad Haqiem Daniel, 18, suami saya perlu menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) sebelum menjalani pembedahan kali kedua.

“Melalui panggilan video yang dibuat oleh Muhammad Haqiem Daniel, saya dapat lihat suami saya cedera di kedua-dua kaki dan belakang badan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 8 di sini hari ini.

Tambah Zurinawati yang merupakan pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, beliau dan anak sulungnya Muhammad Haiqal Daniel, 20 akan bertolak ke New Zealand pada kira-kira pukul 1 tengah hari nanti dan dijangka tiba esok pagi.

“Terima kasih juga kepada UiTM kerana sudi menaja tiket penerbangan kami berdua,” katanya.

Ditanya sama ada akan membawa pulang suaminya dan tiga anaknya pulang ke tanah air, Zurinawati berkata perkara itu akan diputuskan selepas beliau tiba di sana dan melihat keadaan suaminya.

Nazril Hisham dan tiga anak mereka yang masih bersekolah — Muhammad Haqiem Daniel, 18, Muhammad Hazieq Daniel, 14, dan Muhammad Hazriq Daniel, 10, — tinggal di bandar raya di Christchurch sejak penghujung Januari lalu.

Media semalam melaporkan kejadian serangan di dua masjid di Christchurch yang menyebabkan sekurang-kurangnya 49 maut setakat ini dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern sebagai serangan pengganas. -BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agong kutuk serangan kejam di New Zealand

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah, mengutuk insiden kekejaman terhadap umat Islam yang mengorbankan 49 nyawa ketika solat Jumaat di dua masjid, di Christchurch, New Zealand, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menzahirkan kesedihan atas berita menyedihkan yang turut membabitkan tiga rakyat Malaysia.

“Baginda mengutuk tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan kepada masyarakat yang tidak berdosa dan berharap penembak terbabit dibawa ke muka pengadilan.

“Doa kami bersama mereka yang tercedera dan mereka yang kehilangan orang tersayang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baginda turut mendoakan supaya rakyat Malaysia yang tercedera termasuk seorang yang dalam keadaan kritikal, kembali sembuh.

Insiden tembakan rambang ke atas umat Islam di Masjid Al-Noor, Hagley Park dan Masjid Linwood, New Zealand, semalam, mengakibatkan 49 kematian dan 20 cedera.

Dilaporkan, penembak dan tiga individu lain, yang dipercayai terbabit dalam serangan itu didakwa di mahkamah, pagi ini, waktu tempatan.

 

Categories
GLOBAL NASIONAL

Media sosial padam, sekat video serangan di Christchurch

SAN FRANCISCO, 16 MAC: Media sosial utama dunia termasuk Facebook, Google dan Twitter sedang menggiatkan usaha memadam dan menyekat rakaman video serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, lapor agensi berita Xinhua.

Serangan di dua masjid yang dipenuhi jemaah pada Jumaat itu meragut 49 nyawa dan mencederakan 48 yang lain.

Seorang daripada penyerang dipercayai membuat siaran langsung ​​​​​​​di Facebook, menunjukkan seorang lelaki bersenjata ​​​​​​​melepaskan tembakan bertubi-tubi terhadap para jemaah yang berada di dalam masjid itu.

Wakil pejabat Facebook New Zealand, Mia Garlick ​​​​​​​berkata dalam satu kenyataan kepada media BuzzFeed, pihaknya sedang berusaha menyekat serta memadam semua rakaman ​​​​​​​kejadian.

Akaun milik penyerang di Facebook juga telah dipadamkan.

Twitter turut menarik balik video asal dan menggantung akaun yang ​​​​​​​berkongsi rakaman itu di platformnya, kerana pengguna telah ​​​​​​​melanggar dasar yang melarang kandungan mempunyai unsur kebencian ​​​​​​​atau keganasan.

Jurucakap Twitter dalam satu kenyataan berkata “pihaknya telah ​​​​​​​menugaskan kakitangan untuk menguruskan keadaan yang mendesak dan ​​​​​​​cemas seperti itu.”

YouTube juga mengambil langkah sama.

“Kandungan berunsur ganas tidak mempunyai tempat di platform kami, dan akan dikeluarkan sebaik kami menyedarinya,” kata YouTube dalam ​​​​​​​Twitternya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tragedi masjid: Ibu, abang mangsa berlepas ke New Zealand petang ini

GEORGE TOWN, 16 MAC: Ibu dan abang kepada mangsa serangan masjid di Christchurch, New Zealand, Rahimi Ahmad, akan berlepas ke negara itu pada 3.30 petang ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Aziz Mahathir, akan mengiringi Rokiah Mohammad, 65, dan anak lelakinya, Roshidi, 42 dalam penerbangan itu.

“Urusan penerbangan saya, YB (Yang Berhormat) Phee dan ibu serta abang Rahimi dah selesai. Pada 3.30 pm (petang akan berangkat dari) PIA,” kata Azrul melalui WhatsApp hari ini.

Urusan itu dibuat susulan pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, malam tadi, bahawa wakil kerajaan Pulau Pinang akan bersama-sama dengan anggota keluarga Rahimi berlepas ke negara itu hari ini, bagi melihat sendiri keadaan mangsa.

Rahimi, 39, adalah antara dua rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood.

Kedua-dua mereka kini menerima rawatan di hospital di sana. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL NASIONAL

Tragedi Christchurch: New Zealand ubah undang-undang senjata api

WELLINGTON, 16 MAC: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, mengulangi keputusan bahawa undang-undang senjata ​​​​​​​negara itu akan diubah, lapor agensi berita Xinhua.

Langkah itu susulan insiden serangan bersenjata di dua buah masjid di bandar kedua terbesar, Christchurch.

Lima senjata ditemui, dua ​​​​​​​daripadanya separa automatik dan difahamkan penyerang mempunyai lesen senjata yang sah.

“Kita akan ubah Undang-undang senjata,” katanya.

Setakat ini, tiga suspek ditahan dan kesemuanya warga Australia. ​​​​​​​Ketiga-tiga suspek itu tiada dalam senarai dikehendaki ​​​​​​​kerajaan New Zealand atau Australia.

Seorang suspek lelaki dikenali Brenton Tarrant, 28, dihadapkan ke Mahkamah Daerah Christchurch, pada Sabtu pagi atas dakwaan membunuh.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Christchurch, Lianne ​​​​​​​Dalziel mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Serangan terhadap komuniti Muslim bermakna ia juga serangan terhadap kami di Christchurch dan New Zealand,” katanya.

Semua acara rasmi di seluruh negara dibatalkan.

Sekurang-kurangnya 49 mangsa tidak berdosa maut dalam kejadian, pada ​​​​​​​Jumaat itu manakala 48 lagi cedera. -BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Suspek utama pembunuhan dua masjid dihadap ke mahkamah

CHRISTCHURCH, 16 MAC: Suspek utama tragedi pembunuhan beramai-ramai membabitkan dua masjid di Christchurch, semalam dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Brenton Tarrant, 28, dari Australia dituduh membunuh puluhan jemaah dan mencederakan 50 yang lain ketika mereka sedang menunaikan solat Jumaat, di tiga buah masjid berlainan.

Dia turut menyiarkan serangan itu secara langsung di internet dan menjadikan sentimen anti pendatang sebagai objektif utama dalam manifesto pembunuhan berkenaan.

Sebaik tiba di mahkamah, dia dilihat menunjukkan isyarat ‘OK’ yang antara lain membawa maksud simbolik perkauman kuasa putih.

Tarrant dikenakan satu pertuduhan membunuh, namun menurut polis lebih banyak pertuduhan lain dijangka menyusul.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, tiga orang termasuk Tarrant sudah ditahan susulan serangan.

Individu keempat ditahan semalam kerana memiliki senjata api, namun dibebaskan tidak lama kemudian apabila didapati beliau hanya berniat membantu pihak polis.

Seramai 41 jemaah terbunuh di Masjid Al Noor di Deans Avenue, tengah Christchurch, tujuh lagi terkorban di Masjid Linwood di pinggir bandar dan seorang mangsa meninggal dunia dalam rawatan di Hospital Christchurch.

Ardern dalam sidang media berkata, undang-undang senjata api negara itu akan dipinda selepas serangan terbabit.

Suspek memiliki lesen senjata api Kategori A yang membolehkan dia memiliki secara sah senjata separuh automatik, katanya. –BH Online

Categories
NASIONAL

BiPPA KEADILAN kutuk kejadian di New Zealand

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya kejadian pembunuhan kejam yang mengorbankan 49 nyawa, manakala 20 lagi parah dalam serangan bersenjata di dua masjid di Christchurch, New Zealand, semalam.

Setiausahanya, Mohd Zawawi Mughni berkata, serangan ketika umat Islam di negara itu sedang bersiap sedia menunaikan Solat Jumaat adalah perbuatan ganas dan kejam.

“Kami mengajak seluruh umat manusia yang cintakan kedamaian dan keamanan menggesa kerajaan New Zealand lebih serius menangani sentimen islamophobia.

“Semua pihak perlu meningkatkan program memupuk semangat perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Tidak cukupkah penderitaan dialami rakyat Palestin, Rohingya dan etnik Uighur yang mengalami penindasan serta dinafikan hak mereka kerana mereka seorang muslim?,” soalnya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas dan pantas kepada pihak yang secara terbuka membuat kenyataan yang menimbulkan kebencian antara agama serta kaum.

Katanya, ia akan membentuk perasaan prejudis dan prasangka yang menebal antara kaum serta agama di negara ini yang akhirnya akan menyebabkan kejadian buruk tidak diingini, jika tidak dibendung.

“Pengalaman dari peristiwa 13 Mei dan keganasan di Kuil Seafield pada 018 mengorbankan seorang kakitangan awam ketika menjalankan tugasnya perlu diambil iktibar serta pengajaran oleh seluruh masyarakat Malaysia.

“Mengapa kita perlu mengorbankan keamanan dan kedamaian yang sudah dinikmati ini dengan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum serta agama di negara yang kita cintai ini?

“Justeru, saya bagi pihak rakyat Malaysia amnya dan anggota KEADILAN mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya terus menjaga keharmonian dan kedamaian ini serta menolak fahaman ekstrem serta melampau yang boleh menggugat perpaduan di negara ini,” katanya.

Mohd Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis turut mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mendoakan semoga mangsa ditempatkan di syurga Allah SWT.

Katanya, sebagai tanda solidariti, beliau mengajak semua pihak menunaikan solat ghaib.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Insiden Christchurch: Kenyataan Senator Anning jelik

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Kenyataan Senator Fraser Anning dari Australia yang menyalahkan program imigresen dan Islam sebagai punca insiden penembakan di Christchurch disifatkan amat jelik dan tidak logik, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ramai yang berdukacita dan melahirkan simpati kepada keluarga mangsa terhadap jenayah keji itu, justeru kenyataan Senator Anning adalah tidak sensitif dan kurang disenangi serta bersifat perkauman.

“Beliau yang sepatutnya menunjukkan perasaan simpati dan belas kasihan, sebaliknya mempamerkan sikap rasis dan kebencian terhadap Islam serta umat Islam dengan menyalahkan mangsa dan tidak sebaliknya menyalahkan pelaku jenayah,” katanya dalam kenyataan.

Oleh itu, Mohamed Azmin menyeru semua rakyat Malaysia dan mereka yang berfikiran waras untuk mengutuk Senator Anning serta kenyataannya.

Dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden penembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood dan kedua-dua mereka kini menerima rawatan di hospital.

Menurut laporan media, insiden penembakan secara rambang itu, yang berlaku pada 1.40 tengah hari (8.40 pagi waktu Malaysia), semalam meragut sekurang-kurangnya 49 nyawa manakala puluhan yang lain cedera. -BERNAMA