Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kecam serangan Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri merakamkan rasa dukacita dan mengutuk sekerasnya kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan insiden tembakan yang mencederakan 49 orang setakat 6 petang.

Sekurang-kurangnya 48 lagi cedera termasuk dua warga Malaysia. Daripada jumlah ini, 20 dilaporkan parah.

“Serangan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini harus dikutuk kerana ia adalah serangan ke atas manusia bertujuan untuk mewujudkan perpecahan dalam kalangan orang yang mempunyai perbezaan agama.

“Suara kesederhanaan perlu bersatu untuk mengecam keganasan yang dipacu oleh militan. Extrimis tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita.

“Saya bersama dengan semua warga New Zealand, terutamanya mangsa dan keluarga serangan ganas ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut meminta semua rakyat Malaysia di Christchurch untuk bertenang dan mendapatkan bantuan dari kedutaan tempatan jika diperlukan sehingga keadaan kembali pulih.

Categories
NASIONAL

SKMM: Henti sebar video serangan Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang awam supaya tidak berkongsi atau menyebarkan rakaman video berhubung kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

SKMM berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang situasi panik dan marah dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta untuk menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa terlibat.

“SKMM juga akan bekerjasama denga penyedia-penyedia perkhidmatan untuk menurunkan rakaman berkenaan.

“Kita memandang serius perkara ini dan sebarang pihak terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas SKMM, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Terdahulu, seramai 49 orang maut dan lebih 20 lagi cedera dalam serangan di dua buah masjid di sini ketika umat Islam bersiap untuk solat Jumaat, lapor CNN.

Dalam kejadian jam 1.40 petang (8.40 pagi waktu Malaysia), dua warga Malaysia tercedera dalam insiden mengejutkan itu, kata Wisma Putra dalam kenyataan petang ini.

Namun, setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam serangan di masjid Al-Noor dan Linwood.

Categories
NASIONAL

Malaysia kutuk keras serangan Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Malaysia mengutuk sekerasnya serangan tembakan rambang yang dilaporkan berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, sehingga jam 3.00 petang (waktu Malaysia), tiada rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia tetapi dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden itu dan dirawat di hospital.

“Malaysia mengutuk sekerasnya tindakan keganasan yang tidak masuk akal ini terhadap orang awam tidak bersalah dan berharap mereka yang bertanggungjawab atas jenayah kejam ini dibawa ke muka pengadilan.

“Ingatan dan doa kita bersama mangsa dan keluarga kejadian tembakan hari ini,” katanya.

Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang berhubung dengan rakyat Malaysia di Christchurch dan sedang mengawasi keadaan dengan teliti.

Hotline telah ditubuhkan di Suruhanjaya Tinggi untuk memudahkan sebarang pertanyaan mengenai situasi semasa.

Nombor Telefon: 00-64-210440188 / 00-64-4385 2439 / 00-64-4801 5659

E-mel: [email protected] [email protected]

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Serang masjid: 49 maut, dua warga Malaysia cedera

CHRISTCHURCH, 15 MAC: Seramai 49 orang maut dan sekurang-kurangnya 48 lagi cedera dalam serangan di dua buah masjid di sini ketika umat Islam bersiap untuk solat Jumaat, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.40 petang (8.40 pagi waktu Malaysia), dua warga Malaysia tercedera dalam insiden mengejutkan itu, kata Wisma Putra dalam kenyataan petang ini.

Namun, setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam serangan di masjid Al-Noor dan Linwood.

Setakat jam 6 petang ini, Daily Mail melaporkan 41 terbunuh di masjid Al Noor, tujuh lagi di masjid Linwood. Mangsa ke-49 mati di hospital.

Daripada jumlah yang cedera, 20 dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Empat suspek termasuk seorang wanita ditahan. Portal 1 News melaporkan penyerang itu dinamakan Brenton Tarrant dari New South Wales, Australia.

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang tidak berhati perut itu terhadap nyawa yang tidak berdosa.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington meminta mereka yang terjejas dan memerlukan bantuan agar menghubungi talian 00-64-210 440 188 / 00-64-4385 2439 / 00-64-4801 5659 dan juga e-mel [email protected] atau [email protected]