Categories
PBT SELANGOR

Peralihan bil cukai kepada elektronik, MBPJ jimat RM800,000

SHAH ALAM, 4 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu menjimatkan kos operasi sebanyak RM800,000 setahun melalui peralihan serahan bil cukai taksiran secara fizikal kepada elektronik.

Datuk Bandar Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata penggunaan aplikasi e-cukai@MBPJ memudahkan lebih 250,000 pemilik harta di kawasan pihak berkuasa tempatan itu.

Menurutnya, sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, MBPJ menerima sekurang-kurangnya 2,000 bil yang dikembalikan kerana tidak dapat diserahkan kepada pemilik harta.

“Pengembalian ini disebabkan alamat tidak lengkap dan menghadapi pelbagai masalah ketika penyerahan bil menggunakan alamat harta tanah kosong.

“(Justeru), kos operasi dapat dijimatkan jika tiada lagi penghantaran bil cukai secara fizikal yang diamalkan seperti sebelum ini,” katanya dalam perutusan Mesyuarat Majlis Bil.11/2020 pada 30 November.

Beliau berkata aplikasi memberikan perkhidmatan semakan bil cukai taksiran, pembayaran dan pertukaran alamat surat-menyurat boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Store bermula penggal pertama tahun hadapan.

“Aplikasi ini menyediakan integrasi dengan epay@mbpj. Pemilik harta boleh membuat pembayaran bil cukai taksiran secara dalam talian dengan hanya menggunakan kad kredit, kad debit atau Pertukaran Proses Kewangan (FPX).

“Pengemaskinian pembayaran melalui aplikasi ecukai@mbpj adalah secara waktu sebenar dan mengurangkan pergerakan masyarakat berurusan di kaunter MBPJ,” katanya.

Tatacara penggunaan aplikasi boleh dirujuk di e-panduan laman yang boleh dimuat turun melalui laman sesawang www.mbpj.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

MPS kutip cukai taksiran lebih RM79 juta setakat Ogos

SHAH ALAM, 2 OKT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengutip cukai taksiran sebanyak RM79.85 juta setakat 31 Ogos iaitu 74.63 peratus daripada jumlah sepatutnya diperoleh iaitu RM107 juta.

Yang Dipertua Shamsul Sharil Badliza Mohd Noor juga berkata sebanyak RM4.13 juta tunggakan cukai itu berjaya dikutip iaitu 59.51 peratus daripada jumlah keseluruhan RM6.9 juta.

“Kita sudah melaksanakan rampasan sebanyak 485 bagi pemilik yang gagal menjelaskan bayaran cukai taksiran setelah tempoh waran tamat.

“Bagi pemilik masih mempunyai tunggakan, MPS mengeluarkan notis pada 1 September yang tamat kelmarin (30 September) dan tindakan waran tahanan RM100 dilaksanakan kepada pemilik sejak semalam,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau juga berkata pihaknya akan menghentikan penghantaran bil kertas kepada pemegang harta mulai tahun depan dalam usaha melestarikan alam sekitar.

Menurutnya, semua pemegang harta akan menerima bil pegangan masing-masing melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.

“Bagi memastikan pemilik harta menerima (bil cukai taksiran), mereka diminta mengemaskini maklumat terkini seperti nombor telefon dan alamat e-mel dengan mengimbas kod QR atau layari laman sesawang MPS.

“Setakat ini, lebih 30,000 pegangan atau pemilik sudah mengemaskini maklumat peribadi akaun masing-masing,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Bayar cukai taksiran, menang motor Yamaha Y15ZR

SHAH ALAM, 4 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran dengan tawaran hadiah keseluruhan RM48,300 termasuk tiga motosikal Yamaha Y15ZR 150cc.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya memaklumkan kempen bermula 1 Julai hingga 31 Ogos itu turut menawarkan telefon bimbit Vivo V17Pro untuk lima pemenang dan peralatan elektrik (50 pemenang).

“Kempen ini bertujuan menggalakkan pemilik harta jelaskan cukai taksiran sekali gus merebut hadiah menarik. Syaratnya akaun perlu berbaki kosong sehingga 31 Ogos dan membayar cukai taksiran setahun untuk tahun ini tanpa tunggakan,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Shahrin mengingatkan pemegang harta menunaikan tanggungjawab itu sekali gus membantu MBSA menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan selenggara infrastruktur serta pembinaan taman awam.

Pembayaran cukai boleh dibuat sama ada di Kaunter Utama, Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam atau secara dalam talian di www.mbsa.gov.my.

Sebarang pertanyaan berhubung cukai taksiran boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1203, 1295, 1522, 1531, 1656 dan 1657 atau layari portal eps.mbsa.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

Segera bayar cukai taksiran

SHAH ALAM, 15 JAN: Semua pemegang harta di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diingatkan supaya membayar cukai taksiran, kata ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya.

Shahrin Ahmad berkata langkah itu membantu MBSA untuk menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan menyelenggara infrastruktur awam.

“Kutipan cukai ini juga membantu MBSA untuk menguruskan Shah Alam dengan lebih cekap dan efisien, sekali gus memberi keselesaan, kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyediakan 10 saluran pembayaran antaranya kaunter utama Wisma MBSA, pejabat cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam, semua kaunter pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah dan daerah serta pejabat pos.

Shahrin berkata pemegang harta yang menjelaskan cukai taksiran bagi penggal pertama 2020 sebelum atau pada 29 Februari berpeluang mendapat payung eksklusif MBSA secara percuma.

“Pembayar cukai yang layak mendapatkan cenderahati eksklusif perlu menjelaskan cukai taksiran untuk tempoh setahun 2020 dan tiada tunggakan dengan jumlah cukai taksiran tahunan tidak kurang RM100,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM185.5 juta

KLANG, 30 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mengutip cukai taksiran sebanyak RM185.5 juta sehingga 15 Disember lalu, berbanding RM178.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Elya Marini Darmin berkata jumlah itu meningkat empat peratus dengan perbezaan kutipan sebanyak RM7 juta.

Katanya bagi cukai taksiran penggal 1/2019, MPK berjaya mengutip RM80.5 juta pada Disember 2019 berbanding RM78 juta pada tahun lalu dengan perbezaan sebanyak tiga peratus.

“Bagi cukai taksiran untuk penggal 2/2019, perbezaan sebanyak RM4.3 juta dicatatkan bagi tempoh Disember 2018 dengan kutipan RM79.1 juta berbanding RM74.8 juta tempoh sama tahun lalu.

“Manakala, kutipan tunggakan cukai taksiran pula kita berjaya mencapai 71 peratus sasaran iaitu RM25.9 juta sehingga 15 Disember, meningkat satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM25.7 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil 12/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Sementara itu, Elya berkata MPK turut melaksanakan kempen pembayaran cukai taksiran yang akan diadakan di pasar raya terpilih iaitu Giant Klang Sentral Mall pada 4 hingga 5 Januari dan 11 hingga 12 Januari.

“Selain itu, Aeon Big Jalan Kapar turut mengadakan kempen sama bermula 18 hingga 19 Januari dan 25 hingga 26 Januari bermula dari jam 10.30 pagi hingga 10 malam.

“Kita berharap orang awam yang belum melunaskan cukai taksiran itu untuk segera pergi ke pasar raya yang dinyatakan mengikut ketetapan tarikh berkenaan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM181.1 juta setakat 24 Oktober

KLANG, 31 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mengutip cukai taksiran berjumlah RM181.1 juta sehingga 24 Oktober lalu, berbanding RM171.1 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata jumlah itu meningkat enam peratus dengan perbezaan kutipan RM10 juta.

Katanya, untuk cukai taksiran penggal 1/2019 MPK mengutip RM79.9 juta pada Oktober 2019 berbanding RM77.7 juta pada 2018 dengan perbezaan tiga peratus.

“Cukai taksiran untuk penggal 2/2019 pula, perbezaan RM6.7 juta dicatatkan bagi tempoh Oktober 2019 dengan kutipan RM77.6 juta berbanding RM70.9 juta, pada tahun lalu.

“Sementara itu, kita mencapai 64 peratus sasaran kutipan tunggakan cukai taksiran berjumlah RM23.6 juta sehingga Oktober, meningkat lima peratus berbanding 2018 sebanyak RM22.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil.10/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Mohamad Yasid berkata, MPK turut mencatatkan lebihan hasil berbanding perbelanjaan sebanyak RM61.4 juta sehingga 30 September lalu.

Katanya, jumlah hasil itu meningkat RM12.76 juta dengan perbezaan lima peratus berbanding hasil bagi tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah perbelanjaan pula meningkat sebanyak RM2.98 juta iaitu dua peratus berbanding perbelanjaan untuk tempoh sama pada tahun lalu.

“Secara keseluruhan, jumlah hasil berbanding belanja meningkat sebanyak RM9.77 juta atau 19 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM115.6 juta

SHAH ALAM, 31 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mengutip cukai taksiran berjumlah RM115.6 juta, sehingga 15 Julai lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kutipan itu membabitkan RM77.3 juta bagi Cukai Taksiran 1/2019 dan RM20.4 juta bagi Cukai Taksiaran 2/2019.

“Sementara jumlah kutipan bagi tunggakan cukai taksiran ialah RM17.9 juta,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MPK, baru-baru ini.

Mohamad Yasid berkata, prestasi hasil dan perbelanjaan bagi MPK sehingga Jun 2019 pula sebanyak RM143.7 juta, sekali gus mencatatkan pencapaian prestasi 61 peratus berbanding bajet tahunan berjumlah RM235.7juta.

“Secara perbandingan, jumlah hasil pada 30 Jun 2019 meningkat sebanyak RM7.5juta berbanding jumlah hasil pada 2018.

“Manakala, jumlah perbelanjaan 30 Jun 2019 menurun sebanyak RM5.3 juta berbanding jumlah perbelanjaan pada 2018,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM89.5 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 29 MEI: Sejumlah RM89.5 juta cukai taksiran berjaya dikutip Majlis Perbandaran Klang (MPK), sehingga 26 Mei lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kutipan terbabit meningkat RM2.5 juta, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan kutipan membabitkan pecahan RM76.1 juta (cukai taksiran 1/2019), RM70.6 juta (cukai taksiran 2018) dan 13.4 juta (tunggakan cukai taksiran).

“Kutipan tahun ini meningkat berbanding tahun lalu dengan peningkatan RM5.5 juta bagi cukai taksiran 1/2019, manakala tunggakan kutipan pula menurun RM3 juta,” katanya.

Sementara itu, katanya, bersempena Aidilfitri, operasi kaunter Majlis, Kompleks Kolam Renang Pandamaran, Kompleks Pasar Besar Jalan Meru dan Pasar Pelabuhan Klang akan ditutup.

“Dimaklumkan bahawa semua kaunter MPK, Kompleks Renang Pandamaran dan Kompleks Pasar Besar Jalan Meru ditutup dua hari sehingga 6 Jun, manakala Pasar Pelabuhan Klang ditutup sehari pada 5 Jun.

“Bagaimanapun, orang ramai boleh mendapatkan bil cukai taksiran di mana-mana kaunter MPK atau melalui www.mpklang.gov.my,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM84.9 juta

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 29 APRIL: Sejumlah RM84.9 juta cukai taksiran berjaya dikutip Majlis Perbandaran Klang (MPK) sehingga 20 April lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kutipan terbabit meningkat RM1.2 juta, berbanding tahun lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan kutipan membabitkan pecahan RM72.6 juta (cukai taksiran 1/2019), RM68.6 juta (cukai taksiran 2018) dan 12.3 juta (tunggakan cukai taksiran).

“Perbezaan kutipan tahun ini meningkat berbanding tahun lalu iaitu peningkatan RM4 juta bagi cukai taksiran 1/2019, manakal, tunggakan kutipan pula menurun tahun ini sebanyak RM2.8 juta.

“Bagi membantu dan memudahkan penduduk setempat menjelaskan bayaran dan pertanyaan, MPK akan mengadakan kempen kaunter van bergerak di Pangsapuri Prima Bayu 4 dan 5 Mei serta Giant Jalan Kebun pada 11 dan 12 Mei,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan bil cukai taksiran di mana-mana kaunter MPK atau melalui laman sesawang www.mpklang.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

Rampas dan sita harta jika gagal lunas cukai taksiran

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 6 FEB: Penduduk di sekitar Klang diminta menjelaskan cukai taksiran bagi penggal 1/2019 sebelum 28 Februari ini bagi mengelakkan fi notis sebanyak RM20.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, pemilik harta yang gagal berbuat demikian akan berdepaan sitaan dan rampasan harta, pada Mac ini.

“MPK mengambil tindakan serius terhadap mana-mana pemilik premis yang gagal menjelaskan bayaran cukai taksiran ini, justeru untuk memudahkan mereka, MPK turut mengadakan kempen pembayaran cukai taksiran di dua lokasi sepanjang Februari ini.

“Antaranya di AEON Bukit Tibggu pada 9 dan 10 Februari serta AEON Bukit Raja pada 16,17, 23 dan 24 Februari,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, sebanyak RM181.7 juta cukai taksiran berjaya dikutip, sehingga Disember tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat RM4.4 juta berbanding RM174.6 juta bagi tempoh sama, pada 2017.

“Bagi penggal 1/2018, MPK berjaya mengutip RM78.5 juta pada Disember, berbanding RM77.5 juta pada 2017 manakala bagi penggal 2/2018 pula, sebanyak RM75.7 juta berjaya dikutip pada Disember tahun lalu berbanding RM70 juta pada 2017,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPK capai sasaran kutipan cukai

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 31 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mencapai sasaran kutipan cukai ditetapkan Kerajaan Negeri sebanyak RM181.7 juta, dengan lebihan RM4.4 juta sehingga 31 Disember 2018.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama, pada 2017 apabila MPK sekadar mengutip RM174.6 juta.

Katanya, untuk cukai taksiran penggal 1/2018, MPK berjaya mengutip RM78.5 juta pada Disember 2018, berbanding RM77.5 juta pada 2017, dengan perbezaan lapan peratus.

“Cukai taksiran untuk penggal 2/2018 pula, perbezaan RM5.7 juta dicatatkan bagi tempoh Disember 2018 dengan kutipan RM75.7 juta berbanding RM70 juta, pada 2017.

“Bagi kutipan tunggakan cukai taksiran pula, kita mencapai 70 peratus sasaran dengan jumlah RM27.5 juta daripada jumlah patut kutip, iaitu RM39.2 juta.

“Ia meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding 2017 dengan kutipan RM27.1 juta daripada jumlah patut kutip, iaitu RM43.1 juta,” katanya dalam Mesyuarat Penuh MPK Bilangan 1/2019.

Beliau berkata, orang awam turut diingatkan menjelaskan cukai taksiran penggal 1/2019 sebelum atau pada 28 Februari ini.

“Sebarang pembayaran dibuat selepas tarikh itu akan dikenakan fi notis sebanyak RM20.

“Program sitaan dan rampasan harta akan terus dijalankan bagi akaun harta yang mempunyai tunggakan,” katanya.

Selain itu, bagi meningkatkan jumlah kutipan pada tahun ini, MPK turut meneruskan kempen pembayaran cukai taksiran di dua lokasi sepanjang Februari ini.

Kempen itu akan diadakan di Pusat Membeli Belah Aeon Bukit Tinggi pada 2 hingga 3 dan 9 hingga 10 Februari, manakala aktiviti sama akan berlangsung di Aeon Bukit Raja, pada 16 hingga 17 dan 23 hingga 24 Februari 2019.

Categories
PBT SELANGOR

Peluang miliki payung & beg jut eksklusif MBSA

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 JAN: Pemegang harta yang menjelaskan cukai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi penggal pertama sebelum atau pada 28 Februari ini, berpeluang memiliki payung eksklusif atau beg jut secara percuma.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pembayar cukai perlu menjelaskan cukai taksiran untuk tempoh setahun dengan jumlah tahunan tidak kurang RM100 dan tidak mempunyai tunggakan.

Katanya, pemberian payung atau beg jut eksklusif itu juga adalah terhad kepada pembayar cukai terawal sahaja dan selagi stok masih ada.

“Pemegang harta diingatkan menjelaskan cukai taksiran bagi melancarkan pengurusan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan penyelenggaraan jalan, lampu jalan serta longkang.

“Ia juga dapat membantu MBSA mengurus dengan lebih cekap dan efisien, sekali gus memberi keselesaan, kesejahteraan serta keharmonian hidup masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, sebanyak 10 saluran pembayaran disediakan, antaranyadi Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam.

“Pemegang harta juga boleh menjelaskan bil cukai taksiran di semua kaunter Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta kaunter Pejabat Tanah dan Daerah secara tunai sahaja,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, bil cukai taksiran boleh dijelaskan di pusat agensi setempat iaitu Pejabat Pos di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan dibuat (secara tunai/cek-Pos Malaysia Berhad)

Katanya, ia juga boleh dijelaskan di semua cawangan Bank Simpanan Nasional (secara tunai sahaja), Ambank (secara ATM sahaja), Bank Muamalat dan Bank Rakyat (secara tunai atau ATM), Affin Bank dan Agro Bank (secara tunai atau cek) dan Bank Islam (secara tunai atau cek atau ATM).

Kaedah lain adalah pembayaran menggunakan cek, kad kredit iaitu Master Kad atau Visa dan menggunakan kad caj American Express serta secara arahan tetap iaitu auto billing American Express, direct access Cimb Bank, auto debit Citibank, direct debit OCBC, Maybank autopay dan Hong Leong Bank American Express Autopay.

Pembayaran secara dalam talian boleh dibuat di www.mbsa.gov.my, www.maybank2u.com, www.payonline.com.my, www.mbfcards.com, www.citibank.com, www.ambg.com.my, www.rhbbank.com.my, www.bizchannel.com.my, www.hsbc.com.my, www.cimbclicks.com.my, eonbank.com.my, www.phebank.com.my dan www.i-muamalat.com.my

MBSA turut menyediakan perkhidmatan pembayaran dan pertanyaan baki cukai taksiran secara dalam talian menerusi laman sesawang eps.mbsa.gov.my.

Melalui JomPAY pula, pembayar hanya perlu memasukkan biller code: 7567, nombor akaun baru pada Ref-1 dan nombor telefon pada Ref-2 seterusnya memasukkan jumlah bayaran.

Saluran bayaran baharu melalui SnapNPay turut diperkenalkan dan pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi bayaran ‘SnapNPay’ di Google Play Store (Android) atau App Store (IOS) secara percuma.

Pengguna hanya perlu mengimbas kod bar atau kod QR untuk nombor akaun dan jumlah bayaran yang tertera pada bil cukai taksiran, selain pengguna dikehendaki memilih saluran bayaran yang disediakan dalam aplikasi berkenaan serta proses bayaran akan disambungkan kepada portal perbankan internet.

Untuk sebarang pertanyaan berhubung cukai taksiran, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil di talian terus 03-5522 2881 atau 2882.