Categories
PBT SELANGOR

MDKS tawar hadiah buat pembayar cukai

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 7 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menawarkan hadiah botol air minuman edisi khas kepada orang awam yang menjelaskan bayaran cukai taksiran, bagi tahun 2019.

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata, pemberian hadiah edisi khas itu bagi menghargai komitmen dan tanggungjawab pembayarr cukai yang menjelaskan cukai taksiran.

“Pembayaran cukai taksiran ini penting kerana hasilnya akan dipulangkan semula melalui perkhidmatan seperti kutipan sampah domestik, pembersihan awam dan kerja penyelenggaraan infrastruktur.

“Pada masa sama, ia dapat meningkatkan mutu perkhidmatan MDKS kepada warga daerah Kuala Selangor dalam menyediakan persekitaran perbandaran yang kondusif untuk pembangunan ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, warisan sejarah dan kehidupan berkualiti,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, katanya, jumlah cukai taksiran yang berjaya dikutip MDKS, pada 2018 berjumlah hampir RM86 juta.

Katanya, kutipan tunggakan cukai taksiran pula sebanyak RM5.09 juta atau 73 peratus daripada sasaran RM7 juta.

“Untuk 2019, MDKS menganggarkan kutipan hasil keseluruhan berjumlah RM71 juta dan memperuntukkan belanja pembangunan RM18.05 juta daripada anggaran keseluruhan kutipan hasil,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Bayar cukai taksiran sebelum 31 Ogos elak denda

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 29 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengingatkan orang ramai menjelaskan bayaran cukai taksiran sebelum Jumaat ini, bagi mengelak dikenakan caj lewat RM20.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, tindakan itu dikenakan ekoran tempoh bayaran cukai taksiran bagi penggal 2/2018 akan berakhir, pada 31 Ogos ini.

“Untuk kemudahan orang ramai, kaunter bayaran di Ibu Pejabat MPS dan kaunter cawangan Rawang akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari, pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang Ogos ini.

“Orang ramai juga boleh menjelaskannya melalui pelbagai kemudahan bayaran di kaunter Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor, cawangan bank terpilih serta melalui perbankan internet,” katanya.

Beliau berkata, MPS turut memperkenalkan kiosk bayaran elektronik bermula awal Ogos ini, di Lobi Kaunter Bayaran MPS.

Katanya, sebanyak lima kiosk disediakan bagi memudahkan urusan orang ramai membuat bayaran cukai taksiran dan cukai tanah bagi semua PBT juga Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Selangor.

“Pemilik yang ingin menjelaskan tunggakan cukai taksiran, layak diberi pertimbangan pengurangan waran tahanan bagi bayaran secara penuh atau ansuran.

“Maklumat berkenaan kelayakan pengurangan boleh diperoleh di kaunter bayaran cukai taksiran MPS.

“Jika masih gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran selepas tujuh hari waran diserahkan, MPS akan melaksanakan tindakan sitaan juga harta alih di dalam premis dan operasi dijalankan setiap minggu,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan boleh menghubungi Bahagian Hasil, Jabatan Perbendaharaan di talian 03-6126 5800 atau layari www.mps.gov.my

Categories
PBT SELANGOR

Bayar cukai taksiran, peluang menang RM200,000

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan Kempen Bayar Cukai Taksiran bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad, bertujuan menggalakkan pemegang harta menjelaskan cukai taksiran bagi penggal kedua 2018.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kempen itu mula dijalankan pada 15 Jun hingga 31 Ogos, khusus kepada pemegang harta di kawasan pentadbirannya.

“MBSA turut menerima tajaan RM200,000 daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad dalam bentuk pembukaan Akaun Simpanan atau Akaun Semasa di bank berkenaan.

“Kelayakan penyertaan kempen ini ialah pemilik harta yang tiada tunggakan, iaitu akaun berbaki kosong sehingga 31 Ogos 2018 dan yang membayar cukai taksiran setahun untuk 2018 serta tiada tunggakan,” katanya menerusi kenyataan.

Shahrin berkata, pemilik harta turut berpeluang memenangi cabutan hadiah menarik membabitkan tiga kategori iaitu Terbuka, Pemilik Tiada Tunggakan dan Pemilik yang Membayar Cukai Taksiran setahun bagi 2018 serta tiada tunggakan.

“Bagi Kategori Terbuka, hadiah utama merupakan Akaun Simpanan/Semasa bernilai RM50,000 seorang pemenang, Akaun Simpanan/Semasa RM30,000 seorang pemenang, Akaun Simpanan/Semasa RM4,000 untuk lima pemenang dan Akaun Simpanan/ Semasa RM2,000 untuk lima pemenang.

“Manakala, bagi Kategori Pemilik Tiada Tunggakan, lima pemenang berpeluang memenangi Akaun Simpanan/Semasa bernilai RM1,500 dan 10 pemenang akan menerima Akaun Simpanan/Semasa bernilai RM1,000 serta 12 pemenang Akaun Simpanan/Semasa sebanyak RM500.

“Sementara bagi Kategori Pemilik yang Membayar Cukai Taksiran Setahun bagi Tahun 2018 dan Tiada Tunggakan pula ditawarkan hadiah Akaun Simpanan/Semasa sebanyak RM1,500 untuk 12 pemenang.

“Selain itu, pemilik harta juga berpeluang memenangi Akaun Simpanan/Semasa bernilai RM1,000 untuk 15 pemenang dan Akaun Simpanan/ Semasa berjumlah RM500 untuk 16 pemenang,” katanya.

Bayaran boleh dibuat di Kaunter Utama, Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh serta Setia Alam atau layari laman sesawang MBSA di alamat www.mbsa.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Jom bayar cukai taksiran dan menang

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 25 JUN: Pemegang harta di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berpeluang memenangi wang tunai RM200,000 dengan menyertai Kempen Bayar Cukai Taksiran bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kempen itu akan bermula pada 15 Jun hingga 31 Ogos ini.

“Kempen ini mendapat tajaan dari Bank Muamalat dan sebagai langkah MBSA menggalakkan pemegang harta menjelaskan cukai taksiran.

“Kelayakan penyertaan untuk kempen ini ialah pemilik harta yang tiada tunggakan, iaitu akaun berbaki kosong sehingga 31 Ogos ini dan pemilik harta yang membayar cukai taksiran setahun untuk 2018 serta tiada tunggakan,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, MBSA juga menyediakan pelbagai saluran pembayaran untuk memudahkan pemegang harta menjelaskan cukai taksiran.

Katanya, pemegang harta boleh ke Kaunter Utama, Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh serta Setia Alam untuk urusan pembayaran.

“Bil cukai taksiran boleh dijelaskan di semua cawangan Bank Simpanan Nasional, AmBank, Bank Muamalat, Bank Rakyat, Affin Bank, Agro Bank dan Bank Islam.

“Saluran bayaran baharu melalui JomPAY juga diperkenalkan dan pembayar hanya perlu memasukkan biller code: 7567, nombor akaun baharu pada Ref-1 dan nombor telefon pada Ref-2 seterusnya memasukkan jumlah bayaran,” katanya.

Katanya, MBSA turut menyediakan perkhidmatan pembayaran dan pertanyaan baki cukai taksiran secara dalam talian melalui laman sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

50% pengurangan cukai taksiran kepada pemilik hartanah OKU

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 26 FEB: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor meluluskan pengurangan caj bayaran cukai taksiran sebanyak 50 peratus kepada pemilik hartanah bagi seluruh kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan, di negeri itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain berkata, pengurangan caj bayaran cukai taksiran itu diberi kepada pemilik hartanah untuk rumah kediaman dan dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) sahaja.

“Setakat ini, kita menerima, memproses dan mengesahkan 31 permohonan sedia ada tidak termasuk empat permohonan baharu, mulai tahun lalu.

“Pengurangan cukai taksiran yang dipertimbangkan adalah 50 peratus ke atas cukai semasa,” katanya dalam mesyuarat MPAJ, baru-baru ini.

Beliau berkata, ia hanya ditawarkan kepada pemilik hartanah dalam kalangan OKU bagi tahun lalu dan tahun ini, namun pemohon perlu mematuhi syarat yang ditetapkan MPAJ.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ sita 19 premis gagal jelaskan cukai taksiran

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG JAYA, 22 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita 19 premis kediaman dengan nilai tunggakan RM47,124.30, sepanjang November lalu ekoran kegagalan pemilik menjelaskan cukai taksiran.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, operasi itu dilakukan di 10 lokasi membabitkan jenis sitaan barangan elektronik.

“MPAJ menyarankan seluruh warga Ampang Jaya segera menjelaskan cukai taksiran bagi 2017 dan tahun sebelumnya.

“Perlu diambil maklum pengecualian cukai taksiran rumah kos rendah dan kampung hanya untuk bil 2017 dan 2016 sahaja serta bil 2018, maka tunggakan 2015 serta tahun sebelumnya harus dijelas dengan segera.

“Penggunaan perbankan dalam talian dan ICOMM Majlis adalah digalakkan serta pemilik juga harus bertanggungjawab mengemas kini alamat surat menyurat supaya proses penghantaran bil cukai taksiran atau Notis E diterima di lokasi dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ Bil 12/2017, di Bangunan Ibu Pejabat MPAJ, hari ini.

Antara lokasi operasi adalah di Ampang Putra, Palm Villa Condominium, Taman Ampang Hilir, Desa Permai dan Taman Dato Ahmad Razali.

Sitaan turut membabitkan Apartment Ampang Avenue, Pangsapuri Tiara Duta, Athenaeum, Emerald Hill Bukit Indah dan Crystal Tower Bukit Indah.

Beliau turut mengingatkan tindakan sivil boleh dikenakan ke atas individu atau pemaju yang gagal memberikan komitmen selain menasihatkan mereka mengemas kini butiran pemilik dan membuat bayaran.

Categories
PBT SELANGOR

MPS hampiri sasaran kutip cukai taksiran

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 28 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berjaya mengutip cukai taksiran semasa RM73.53 juta, sehingga 31 Ogos lalu.

Yang Dipertuanya, Suliman Abd Rahman berkata, jumlah itu sekali gus mencatatkan 73.22 peratus dari RM100.42 juta yang disasarkan.

Katanya, angka direkod membanggakan kerana Pihak Berkuasa Tempatan itu hampir mencapai sasaran ditetapkan, pada tahun ini.

“Manakala bagi kutipan tunggakan cukai taksiran pula, RM5.27 juta iaitu 58.66 peratus berjaya dikutip daripada jumlah tunggakan keseluruhan RM8.98 juta.

“Kita juga melaksanakan tindakan rampasan bagi pemilik yang gagal menjelaskan bayaran cukai taksiran setelah tempoh waran tamat dengan 2,214 rampasan dilakukan sehingga 31 Ogos lalu,” katanya ketika Majlis Mesyuarat Penuh MPS, di sini, semalam.

MPS Suliman_Abd_RahmanBeliau berkata, MPS turut mengeluarkan notis (Borang E) kepada pemilik yang masih mempunyai tunggakan, pada 1 September dan akan tamat 30 September ini dengan tindakan waran RM100 akan dilakukan kepada pemilik yang gagal menjelaskannya selepas tamat tempoh.

Suliman berkata, PBT itu juga menerima kunjungan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Jabatan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) bagi tujuan pengauditan, pada 19 September lalu.

“Hasil laporan menunjukkan MPS perlu menambah baik dasar sedia ada dan memperbaharui polisi seiring keperluan pekerja,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPSJ kekal cukai taksiran SOVO, SOFO & SOHO 6%

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 19 MEI: Cukai taksiran dengan kadar komersial bagi hartanah berkonsepkan ‘small office home office (SOHO), Small Office Versatile/Virtual Office (SOVO) dan small office flexible/facility office (SOFO) kekal pada kadar enam peratus.

Yang DiPertuanya, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahalan, berkata kadar pengenaan cukai itu dikekalkan bagi memastikan keseragaman penilaian harta tanah di bawah kategori terbabit.

ydp mpsj“Ketiga pegangan ini dikategorikan sebagai hartanah komersial kerana ia hanya boleh dibangunkan di atas tanah berstatus perniagaan bukan tanah dizonkan sebagai kediaman,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata, penilaian cukai taksiran itu berdasarkan kadar perniagaan selaras dengan kelulusan permohonan kebenaran merancang oleh MPSJ dan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan CCC yang dikeluarkan arkitek dilantik pemaju.

“Oleh itu, MPSJ memaklumkan bahawa enam peratus iaitu kadar komersial untuk penilaian cukai taksiran bagi SOHO, SOVO dan SOFO di seluruh pentadbiran MPSJ dikekalkan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pemilik harta terutama jenis SOHO perlu mengambil maklum bahawa walaupun pegangan digunakan sebagai kediaman, namun MPSJ memutuskan ia tetap dinilai sebagai pegangan komersial.

SOHO adalah perkongsian ruang pejabat dan kediaman, manakala SOFO adalah unit yang menawarkan pemilik fleksibiliti untuk tujuan kediaman atau komersial atau kedua-duanya.

SOVO pula adalah unit komersial yang menyediakan ruang kerja atau membabitkan ruang pejabat atau perniagaan bersaiz kecil.

-NFN-

Categories
SELANGOR

7,624 penduduk Sungai Besar terima pengecualian cukai taksiran, fi lesen

OLEH NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 13 MEI: Seramai 7,624 penduduk di Parlimen Sungai Besar menerima pengecualian cukai taksiran dan fi lesen daripada Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata faedah itu memberi impak kewangan sebanyak RM1.11 juta terhadap Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, katanya, ia dilakukan bagi manfaat rakyat Selangor.

AZMIN HIJRAH“Di Parlimen Sungai Besar, Kerajaan Negeri memberi pengecualian cukai taksiran kepada 6,866 rumah kampung dengan melibatkan implikasi kewangan RM770,000 hilang (tetapi) tidak mengapa (kerana) rakyat yang untung.

“Pada masa sama, sebanyak 758 peniaga kecil di Sungai Besar juga sudah menikmati pengecualian fi lesen perniagaan dengan implikasi kewangan sebanyak RM340,000 dan menjadikan lebih RM1 juta nikmat diperolehi rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Baucar Pembiayaan Kepada Usahawan Hijrah Selangor di Dewan Sri Sabak Bernam di sini, semalam.

Katanya, selain memberi pengecualian fi lesen perniagaan kecil dan cukai taksiran rumah kampung, Kerajaan Negeri turut menanggung kos sebanyak RM633,000 bagi membiayai operasi perkhidmatan bas percuma Smart Selangor yang bakal menghubungkan beberapa kawasan strategik di daerah itu.

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan 2016, Mohamed Azmin mengumumkan pengecualian cukai taksiran kepada rumah kampung dan fi lesen kepada golongan penjaja kecil seluruh Selangor.

-AA-

Categories
SELANGOR

MPK berjaya kutip RM83.9 juta cukai taksiran

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 APR: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mengutip cukai taksiran RM83.9 juta sehingga 24 April lalu.

Yang DiPertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata sebanyak RM 71.8 juta (89 peratus) daripada Cukai Taksiran 1/2016 dan tunggakan Cukai Taksiran sebanyak RM12.1 juta (32 peratus).

Katanya, RM34.77 juta belum dibayar dan MPK akan terus menjalankan tindakan kutipan dan penguatkuasaan.

Yasid Bidin SMUE ijok 01“MPK akan mengenakan Fi Notis sebanyak RM20 bagi setiap akaun cukai taksiran per penggal dan tindakan menahan harta alih melalui operasi Sita di bawah Peruntukan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Selain itu, tindakan menahan dan menjual hartanah di bawah peruntukan Seksyen 151 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan menjalankan operasi Kutipan Pintu ke Pintu bagi mengutip tunggakan jenis perniagaan,” katanya.

Yasid berkata, MPK akan melaksanakan kempen pembayaran Cukai Taksiran yang akan diadakan di kawasan penduduk terpilih dalam Mei ini.

“Ia bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang di Pangsapuri Palma (7 dan 8 Mei) dan Pangsapuri Amazing Height (28 dan 29 Mei),” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM71.67 juta

Oleh: AFIX REDZUAN

KLANG, 2 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mencatatkan kutipan cukai taksiran RM71.67 juta bagi penggal pertama 2016 yang berakhir pada 29 Februari lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, berkata kutipan itu meliputi cukai taksiran yang sepatutnya dikutip sebanyak RM80.7 juta sementara tunggakan berjumlah RM37.85 juta.

image_gallery“Bagi cukai taksiran, kita berjaya mengutip RM62 juta atau 72 peratus secara keseluruhan, manakala tunggakan yang dikutip adalah RM7.97 juta dengan prestasi 21 peratus,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil. 2/2016 di sini, hari ini.

Katanya, mulai Mac 2016, pemilik harta yang enggan menjelaskan cukai taksiran akan diambil tindakan undang-undang termasuk dikenakan fi notis RM20.00 bagi setiap akaun cukai taksiran per penggal.

“Tindakan lain adalah menahan harta alih di bawah Peruntukan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Selain itu, pihak Majlis juga akan menahan dan menjual hartanah di bawah peruntukan Seksyen 151 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Pengecualian cukai taksiran tak jejas hasil MPSJ

Oleh: SYASYA SUFIAN

SUBANG JAYA, 1 MAC: Keputusan dasar pengecualian cukai taksiran berkenaan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-37/2015 pada 16 Disember lalu tidak menjejaskan hasil Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pegawai Komunikasi Korporat MPSJ, Muhammad Azli Miswan, berkata selain cukai taksiran ada beberapa kaedah lain yang boleh dilaksanakan MPSJ bagi menampung kos pendapatan majlis.

MPSJ“Ia mungkin menjejaskan sedikit pendapatan majlis tetapi itu tidak menjadi masalah apabila difikir daripada sudut positif dan tujuan murni Kerajaan Negeri sendiri untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Perancangan Kerajaan Negeri juga sedikit sebanyak membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin dari segi peruntukan tambahan,” katanya.

Selain itu, katanya tunggakan seperti kompaun dan cukai taksiran tahun lalu masih banyak tidak dibayar penduduk antara salah satu hasil pendapatan yang boleh menampung kos pengecualian cukai itu.

“Ada penduduk memiliki rumah sewa yang banyak dan mempunyai tunggakan sehingga mencecah RM6,000.

“Orang ramai dinasihatkan menjelaskan tunggakan sebelum tindakan tegas diambil. Jika terdapat masalah membuat bayaran penduduk boleh datang untuk pertimbangan supaya isu ini tidak dibawa ke mahkawah,” katanya.

EZY