SHAH ALAM 4 JUL : Kerajaan Negeri berjaya menjimat RM 200 juta setahun melalui perlaksanaan dasar tender terbuka untuk projek atau pembelian, berbanding dengan pendekatan rundingan terus.
Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dua juta daripada penjimatan itu dapat disalurkan untuk kerja-kerja audit bagi memastikan projek dilakukan dengan sempurna.
Bagi mengurangkan risiko projek terbengkalai, Kerajaan Negeri kini meletakkan syarat ‘Completion Guarantee’ sebagai terma tambahan dalam perjanjian tender terbuka.
Dengan itu, Abdul Khalid berkata ia juga dapat menjamin sesuatu projek dapat disiapkan dalam tempoh masa yang dipersetujui selain mengelakkan sebarang kos tambahan.
“Kita sebelum ini khuatir dengan sistem rundingan terus, kita terpaksa bayar mahal. Tetapi dengan tender terbuka, harga pula rendah dan risiko tidak siap.
“Jadi kita telah belajar dan mula masukkan ‘completion clause’ dalam syarat bagi mengelakkan perkara tersebut,” jelas Abdul Khalid.
Beliau juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan melaksanakan sistem ‘qualitative audit’ selepas sesuatu projek disiapkan sebagai rujukan di masa hadapan.
“Dulu kita tidak ada rekod, jadi sekarang kita mula buat dan menyimpan rekod.
“Dengan cara ini kita dapat tentukan cara pemantauan samada perlu ‘completion guarantee atau tidak, contohnya projek seperti Datum Jelatek perlu ada (completion guarantee).
Tetapi kerja seperti-kerja kecil mungkin tidak perlu,” kata Adun Pelabuhan Klang itu di sidang Dewan Undangan Negeri pagi tadi.