Categories
NASIONAL

Tamrin : Perbezaan 3 Tun dengan Najib, Rosmah

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 10 FEB: Sikap gemar kemewahan dan cenderung pembaziran yang menjadi amalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor jauh berbeza dengan amalan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abd Razak Hussein dan isterinya, Tun Rahah Mohd Noah serta bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba.

Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar yang juga anak kedua Ghafar berkata, sikap yang ditunjukkan Najib bukan sahaja menyalahi penggunaan aset kerajaan yang dibiayai dana awam, bahkan tidak prihatin tatkala rakyat tertekan dengan isu peningkatan kos sara hidup.

“Ketika rakyat tengah susah, harga barang naik tetapi Najib dan Rosmah tidak prihatin. Mereka pergi bercuti guna jet kerajaan ke Australia dan Amerika, tetapi Tun Razak ketika perjalanan terakhir ke London untuk berubat tidak benarkan Tun Rahah ikut kerana tidak ada jumbo jet, kena beli tiket kapal terbang.

Tamrin Ghaffar Baba“Tun Rahah tidak pergi akhirnya kerana ingin jimat dan tidak mahu guna dana kerajaan.

“Tetapi, hari ini saya ingat kerajaan berhutang tinggi sejak Najib jadi Perdana Menteri. Ini disahkan Tun Dr Mahathir.

Tiga kapal terbang dan dua helikopter dibeli membabitkan kos penyelenggaraan RM14 juta untuk minyak dan RM174 juta untuk penyelenggaraan setahun. Sejak Najib jadi Perdana Menteri tidak pernah beliau menggunakan kapal terbang MAS,” katanya dalam ucapan di hadapan lebih 500 penduduk Kajang di Dataran Prima Saujana, di sini, baru-baru ini.

Tamrin turut menyentuh nukilan memori adik Perdana Menteri, Nazir Razak, apabila Tun Razak juga pernah menolak permintaan anaknya sendiri untuk membina sebuah kolam renang disebabkan tidak mahu dana awam milik rakyat disalah gunakan dengan sewenang-wenangnya.

Najib Tun Razak 2“Tun Razak beritahu kepada anaknya bahawa Seri Taman (kediaman rasmi Perdana Menteri ketika itu) mungkin rumah mereka tetapi rumah itu adalah milik kerajaan, maka ia juga hak rakyat. Nanti apa rakyat kata,” katanya.

Mohd Tamrin turut mengimbas kembali kisah beliau di alam persekolah, apabila beliau dan adik-beradik lelaki lain terpaksa mengayuh basikal setiap hari untuk ke sekolah walaupun bapanya menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka ketika itu.

“Masa ayah saya jadi Ketua Menteri, kami adik-beradik lelaki pergi ke Sekolah Tinggi Melaka dengan berbasikal setiap hari. Adik perempuan naik teksi walaupun ada kereta dan pemandu.

“Mak saya tanya ayah, mengapa tak pakai pemandu? Mengapa susahkan budak pergi sekolah naik teksi, naik basikal.

“Jawab ayah saya, itu kereta kerajaan dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Hanya untuk kegunaan urusan kerajaan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pejabat PM ‘arah’ Astro Awani tarik balik berita Rosmah wajar jadi menteri?

SHAH ALAM 11 DIS : Ekoran panggilan telefon dari Pejabat Perdana Menteri, Astro Awani versi online menarik balik berita berkaitan cadangan Datuk A Kadir Jasin supaya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilantik sebagai menteri.

Berita yang disiarkan sehari sebelum, tiada lagi dalam laman web itu sejak tengah hari semalam tetapi tulisan asal bekas Ketua Pengarang New Straits Times Press (NSTP) itu masih tersiar.

Mengikut The  Malaysian Insider,  seorang kakitangan Astro Awani  ketika dihubungi memaklumkan, ia dibuang atas arahan Pejabat Perdana Menteri.

1464703_559211000828460_974587604_nNamun, pengarang laman web itu ketika dihubungi enggan memberi pengesahan dan meminta pihak atasannya menjawab..

Kadir pula ketika dihubungi tidak tahu-menahu arahan penarikan balik penyiaran berita itu.

Beliau enggan memberi komen berkenaan hal itu dan berkata artikel bertajuk “PAU 2013: Antara Cinta dan Jasa” yang disiarkannya Ahad lalu adalah pandangan sebagai rakyat jelata dan wartawan.

“Saya tidak tahu-menahu berkenaan adanya arahan menarik balik berita Astro Awani atau mana-mana portal media, maka pertanyaan itu saya tidak boleh jawab.

“Bagaimanapun artikel adalah berdasarkan atas hak saya sebagai wartawan dan rakyat yang bebas menyuarakan apa sahaja asalkan ia tidak melanggar undang-undang dan peraturan dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, catatan dalam blognya boleh digunakan mana-mana media untuk diubah menjadi berita asalkan memetik sumber artikel.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 memuji isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor , atas jasanya kepada negara.

Selain membantu mangsa banjir, Najib mendedahkan Rosmah juga dikatakan berjasa kerana membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditangkap pihak berkuasa Mesir akibat disyaki sebagai pengintip dengan hanya menelefon isteri Presiden Mesir, Suzanne Mubarak.

Rosmah juga dikatakan mengguna pengaruhnya dengan keluarga Diraja Arab Saudi untuk membebaskan pelajar Malaysia yang terkandas di Mesir ketika kebangkitan Arab Spring untuk memasuki negara itu tanpa visa.

Susulan itu, Kadir dalam blognya, mencadangkan Rosmah perlu diberi jawatan menteri, bahkan mungkin jawatan perdana menteri.

Beliau berkata, pendedahan Najib menyebabkan kedudukan menteri luar dan menteri lain harus dikaji kerana tidak setanding dengan Rosmah dalam menyelesaikan krisis antarabangsa.

– NFL FZL

Categories
NASIONAL

Mahfuz : Rosmah tidak layak guna jet peribadi kerajaan

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 19 NOV : Pakatan Rakyat (PR) menegaskan tidak timbul soal sama ada menggunakan jet peribadi atau penerbangan komersial dalam isu lawatan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Qatar.

Pertikaian terbabit berdasarkan kelayakan Rosmah untuk menggunakan kemudahan kerajaan kerana beliau hanya isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

mahfuz omarAhli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, menyifatkan keputusan yang dibuat kabinet adalah lemah dan dilihat tidak wajar kerana seharusnya memberikan lebih tumpuan kepada usaha memacu ekonomi negara.

“Berapa tambang isu jet bukan persoalannya tetapi kelayakan penggunaan terbabit. Apakah Rosmah layak menggunakan jet itu dan atas dasar apa kabinet meluluskannya kerana Rosmah tidak layak menggunakan jet atau kemudahan besar kerajaan.

“Rosmah hanya boleh menggunakan kemudahan kerajaan untuk mengiringi suaminya sebagai Perdana Menteri,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kassim dalam kenyataan beliau menyatakan kos penggunaan jet peribadi lebih murah berbanding penerbangan komersial.

Katanya, kerajaan memiliki tujuh pesawat yang diistilah sebagai pesawat eksekutif (VVIP) iaitu Falcon, Global Ekspress, Boeing Business Jet, Blackhawk, Fokker F28 dan dua unit pesawat Agusta.

nurul izzahSementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata perbandingan harga harus dibuat dengan membabitkan tiket komersial bagi kelas ekonomi bukannya kelas pertama.

“Saya fikir perbandingan tiket kelas pertama dengan kelas ekonomi itu tidak sepatutnya dibuat. Kerajaan juga harus menjelaskan rasional pembabitan isteri Perdana Menteri sama ada berpatutan dengan perbelanjaan yang dilakukan.

“Sebelum ini, timbul isu berlakunya pertukaran destinasi seperti yang didedahkan Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok yang adakalanya ke destinasi pelancongan. Sebenarnya isu pemborosan ini bukan baru,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah : PM Puji Rosmah Berdasarkan KPI Atau Sebagai Suami Isteri

rosmah-permata-2

SHAH ALAM 28 MEI : Tidak pasti apakah pujian pujian Perdana Menteri terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung Projek Permata Negara berlandaskan hubungan suami isteri atau berdasarkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) projek tersebut.

Demikian respon Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Rodziah Ismail ketika diminta mengulas pujian Datuk Seri Najib Razak dalam Persidangan Women Deliver 2013, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini

Najib dalam ucapannya menyanjung tinggi kerja-kerja kebajikan yang dijalankan isterinya selain mendakwa usaha Rosmah itu memberi dividen besar kepada negara.

Bagaimanapun, Rodziah merasakan Projek Permata yang dicetuskan Rosmah itu tidak mencapai sasaran yang sewajarnya kerana ia hanya tertumpu pada segelintir kumpulan kanak-kanak.

“Saya lebih menggesa Perdana Menteri untuk melihat kebajikan kanak-kanak kepada hak yang lebih menyeluruh tanpa mengira latar belakang mereka samada daripada kawasan kampung atau bandar, untuk mendapat pendidikan awal.

“Isu pendidikan awal kanak-kanak ini sepatutnya dilihat secara lebih menyeluruh sedangkan Projek Permata seolah-olah hanya mensasarkan golongan tertentu dan elit untuk beroleh manfaaat,” ujar Rodziah yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Seharusnya, tegas Adun Batu Tiga ini, Kerajaan Persekutuan perlu mewujudkan insentif tertentu untuk disalurkan secara terus kepada ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jika dilihat, kebanyakan projek-projek persekutuan ini lebih pentingkan bilangan atau kuantiti sementara kualiti langsung tidak dipantau.

“Malah, kita juga tidak tahu siapa yang benar-benar menerima manfaat daripada projek yang dijalankan,” jelasnya lagi.

Projek Permata Negara mula dilaksanakan pada tahun 2007 dengan tujuan memberi peluang kanak-kanak di bawah umur 4 tahun didedahkan dengan proses pembelajaran awal.

Projek ini juga menerima peruntukan setiap tahun dalam bajet Kerajaan Pusat dan terbaru dalam Bajet 2013 yang dibentangkan September tahun lalu, sejumlah RM111 juta daripada bajet pendidikan diberikan kepada Projek Permata yang diketuai Rosmah ini.

Ia bagaimanapun tidak dimasukkan laporannya dalam Laporan Audit Negara menyebabkan tiada siapa arif dan tahu tentang bagaimana peruntukan yang diterima dibelanjakan.

Berbeza dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga April lalu, lebih RM600,000 diperuntukkan untuk memberi bantuan Tadika (Skim Tunas) dan Taska (Skim Si Kembar) kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Untuk Skim Tunas, keluarga berpendapatan RM 2,500 sebulan layak untuk mendapat bantuan RM 50 sebulan untuk menghantar anak mereka yang berusia antara empat hingga enam tahun ke tadika.

Sementara itu, bagi Skim Si Kembar, kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah layak menerima bantuan RM 100 setiap bulan yang dibayar terus kepada taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).