Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Tinggi benar kes solar Rosmah dan Rizal dibicara bersama

KUALA LUMPUR, 25 JUL: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan dua kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan satu kes rasuah Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, dibicarakan bersama.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farizul Hassan Bakri supaya semua kes itu didengar di mahkamah sama.

“Kes solar Rosmah (pertuduhan menerima rasuah RM5 juta ) dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi,” kata Mohd Farizul semasa pengurusan kes di sini, hari ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang mewakili Rosmah, tidak membantah permohonan pendakwaan.

Mohamed Zaini turut membenarkan kes rasuah Rosmah RM5 juta dibicarakan sekali dengan kes rasuah solar pertamanya bersama kes rasuah Rizal.

Peguam Mohd Hezri Shaharil, yang mewakili Rizal ,45, tidak membantah permohonan pendakwaan itu.

Terdahulu, Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri.

Wang itu sebagai upah kerana telah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Persint 10, Putrajaya pada 20 Dis 2016 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibacakan semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 10 Januari 2020 untuk pengurusan kes bagi ketiga-tiga kes itu.

Pada 30 Mei lalu, Hakim Mohamed Zaini menetapkan kes solar membabitkan Rosmah dan Rizal dibicarakan selama 27 hari kecuali Jumaat pada tahun hadapan dan pendakwa akan mengemukakan 17 saksi.

Tarikh perbicaraan kes solar ditetapkan 3-6 Februari, 10-13 Februari,17-20 Februari, 9-12 Mac, 6-9 April, 13-16 April, 20-23 April dan 27-30 April.

Pada 15 November lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rizal turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Rosmah berhubung projek solar itu.

Beliau turut didakwa meminta rasuah RM25 juta untuk dirinya dan bagi pihak Rosmah RM187.5 juta membabitkan projek sama.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek sistem solar itu bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rosmah patuhi notis pengisytiharan harta, tarik balik rayuan

PUTRAJAYA, 23 JUL: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menarik balik rayuan beliau berhubung notis untuk mewajibkannya mengisytihar pemerolehan harta antara 1 Januari 2009 dan 31 Disember 2017, berkaitan kes pengubahan wang haram.

Peguam beliau, Datuk K Kumaraendran memohon supaya rayuan itu diketepikan kerana pihak pembelaan telahpun memfailkan notis pemberhentian rayuan pada 12 Julai tahun ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar tidak membantah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Zabariah Mohd Yusof kemudiannya mengetepikan rayuan itu.

Kumarendran memberitahu pemberita rayuan itu bersifat akademik kerana Rosmah telahpun mematuhi notis itu pada 8 Julai tahun ini.

Kumaraendran turut memberitahu media pihak pembelaan akan turut menarik balik permohonan kebenaran untuk menangguhkan notis pematuhan itu di Mahkamah Tinggi pada Jumaat.

Notis itu dikeluarkan pada 1 November tahun lepas terhadap Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau kemudian memfailkan permohonan untuk mengetepikan notis itu yang dikeluarkan oleh pendakwa raya, tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Mei tahun ini.

Notis itu mewajibkan beliau untuk mengisytihar semua aset dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2017 mengikut Seksyen 49 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kegagalan untuk mematuhi notis itu merupakan kesalahan yang boleh dihukum penjara maksimum RM3 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Rosmah, 67, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan jumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Disember 2013, dan 8 Jun 2017, dan LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014, dan 1 Mei 2018. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Permohonan pendakwaan kes Rizal, Rosmah dibicara bersama didengar 24 Mei

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan tarikh 24 Mei untuk mendengar permohonan pendakwaan supaya kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan kes rasuah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rizal Mansor dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Mohamed Zaini menetapkan 24 Mei untuk pendengaran berhubung permohonan pendakwaan dan hujahan bagi semua pihak berhubung kes Rosmah, 67, dan Rizal, 45.

Pada 4 Okt 2018, Rosmah yang diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Datuk K. Kumaraendran mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini antara 4 Dis 2013 dan Jun 8 Jun 2017 dan di LHDN, di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Bagi kes rasuah melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta, dua tahun lepas.

Rosmah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rizal yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah, berjumlah RM5.5 juta, melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis ada bukti pembelian berlian merah jambu guna wang 1MDB

KUALA LUMPUR 13 APR: Walaupun berlian merah jambu bernilai US$23 juta (RM95 juta) yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor gagal ditemui sewaktu serbuan polis, namun terdapat bukti menunjukkan wujud transaksi pembeliannya menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, SAC Datuk Khalil Azlan Chik berkata, jejak kewangan (money trail) menunjukkan transaksi pembelian itu juga melibatkan seorang peniaga barang kemas di New York.

Kenyataan akhbar itu merujuk kepada penafian Rosmah, isteri kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pembelian itu.

Baru-baru ini tular di media sosial tentang pembelian rantai leher dengan pink diamond 22-carat oleh Rosmah sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan oleh netizen.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SPRM tahan Rosmah, didakwa di mahkamah esok

PUTRAJAYA, 9 APR: Datin Seri Rosmah Mansor akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

Ini merupakan kali kedua isteri  bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa berkaitan kes yang sama.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya telah mendapat izin mendakwa daripada Jabatan Peguam Negara bagi membuat pertuduhan terhadap Rosmah.

Rosmah bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 16(A)(a) Akta SPRM 2009, katanya.

Terdahulu, Rosmah yang menaiki kereta Proton Perdana hitam dilihat memasuki bangunan ibu pejabat SPRM di sini pada 1.45 tengah hari sebelum keluar kira-kira dua jam selepas itu.

Menurut kenyataan SPRM, suruhanjaya itu menahan Rosmah pada 1.45 tengah hari selepas hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir kes solar dan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Pada November tahun lepas, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

Beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Rosmah tidak ke mahkamah, kemuka sijil cuti sakit

KUALA LUMPUR, 5 APR: Datin Seri Rosmah Mansor tidak hadir pada prosiding sebutan kesnya yang didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek tenaga solar, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana tidak sihat.

Pada mulanya kes itu bermula pukul 9 pagi di mana pasukan pembelaan dan pendakwaan dilihat memasuki ke kamar hakim.

Selepas prosiding dalam kamar hakim Collin Lawrence Sequerah, media dimaklumkan bahawa mahkamah mahu melihat ‘sijil tidak sihat untuk hadir ke mahkamah’ dan kes ditangguhkan selama tiga jam.

Pada pukul 12 tengahari mahkamah bersidang dan peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu mengemukakan sijil cuti sakit dan sijil tidak sihat untuk hadir ke mahkamah kepada hakim berkenaan.

“Dia tidak sihat untuk hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar kemudiannya membuat permohonan secara lisan memindahkan kes rasuah projek tenaga solar membabitkan Rosmah ke Mahkamah Tinggi 2 di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Ini kerana, kes pengubahan wang haram membabitkan Rosmah dan kes rasuah bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor, akan didengar di mahkamah sama (Mahkamah 2),” katanya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah membantah permohonan berkenaan, dengan alasan pihak pendakwaan perlu membuat permohonan secara bertulis.

Hakim menetapkan 23 April untuk mendengar permohonan berkenaan.

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bantah kes Rosmah pindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Pasukan pembelaan mewakili Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa meminta dan menerima rasuah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, membantah pemohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan kepada Mahkamah Sesyen oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar ketika sebutan semula kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Bagaimanapun, Mohd Dusuki berkata, tarikh pendengaran bagi permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 15 Mac ini.

“Oleh kerana pemohonan masih lagi tertangguh dan belum diselesaikan di Mahkamah Tinggi, jadi saya pohon tarikh sebutan lain ditetapkan,” katanya.

Azman menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah mengesahkan perkara itu dan pihaknya sudah menyerahkan afidavit berhubung permohonan untuk memindahkan kes berkenaan, namun pihak pendakwaan masih belum memberi jawapan.

“Ya, benar… kita juga telah serahkan afidavit tetapi pihak pendakwaan masih belum menjawab,”katanya.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187,500,000 dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lalu.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah turut diwakili peguam Datuk Jagjit Singh.

Suaminya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anak lelaki mereka Mohd Ashman turut hadir pada prosiding hari ini.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rosmah akan mohon gantung prosiding kes saman syarikat barang kemas

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Datin Seri Rosmah Mansor akan menfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman sebuah syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan yang menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya.

Peguam, N Rajivan yang mewakili Rosmah berkata, permohonan itu dibuat memandangkan sehingga hari ini kerajaan masih belum mengesahkan status 44 unit barang kemas terbabit sama ada berada pada pihak polis ataupun Rosmah.

Peguam itu berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Wong Chee Lim telahpun menetapkan untuk mendengar permohonan terbabit pada 25 Februari selepas mahkamah dimaklumkan hasrat Rosmah untuk memfailkan permohonan berkenaan.

“Pihak kami akan failkan permohonan bagi menggantung prosiding sehingga tempoh sitaan tamat. Kami akan failkan sebelum 25 Februari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Wong hari ini.

Rajivan berkata, pihaknya percaya bahawa tempoh sitaan akan tamat pada Mei ini. Selain Rajivan, Rosmah turut diwakili peguam, Reza Rahim.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi mengetahui status 44 unit barang kemas itu sama ada berada pada pihak polis ataupun Rosmah.

Peguam, Datuk G David yang bertindak bagi syarikat dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berkata, mahkamah juga memerintahkan pihak kerajaan selaku defendan kedua dalam saman terbabit untuk memfailkan penyataan pembelaan.

Pada 20 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk menjadi pencelah dalam kes saman itu dan dinamakan sebagai defendan kedua.

Peguam itu berkata, tarikh perbicaraan untuk kes terbabit juga telah ditetapkan pada 4 dan 5 Mac ini.

Pada 26 Jun tahun lalu, Global Royalty menyaman Rosmah menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa, mendakwa bahawa Rosmah telah lama menjadi pelanggan tetapnya dan bahawa firma itu akan menghantar konsaimen barang kemas kepadanya atas permintaan beliau. Rosmah kemudian akan menilai atau membeli barang kemas pilihannya yang akan dibayar sendiri olehnya atau melalui pihak ketiga.

Syarikat itu yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan dan ternama dari seluruh dunia, mendakwa bahawa barang kemas yang tidak dipilih biasanya akan dipulangkan, dan dalam keadaan tertentu Rosmah akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Global Royalty mendakwa pada 10 Februari tahun lalu, ia telah menghantar 44 set barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 dan US$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu berkata, semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas terbabit.

Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas terbabit tetapi menyatakan semua barang kemas berkenaan tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa Malaysia.

Firma itu mendakwa bahawa sepanjang masa material, plaintif adalah pemilik barang kemas terbabit dan pemilikan terbabit tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas terbabit selain perintah pesanan yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, US$14.79 juta (RM59.83 juta ).

Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai tahun lalu menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata, barang kemas terbabit dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri Perdana Menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas berkenaan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes pengubahan wang haram Rosmah dipindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Pertuduhan membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kes pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan gagal mengemukakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk kes berkenaan didengar di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun tarikh sebutan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Turut kelihatan di galeri awam ketika sebutan semula kes berkenaan ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Mohd Ashman.

Pada 29 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Rosmah yang diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent untuk memindahkan kes itu daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan Jun 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Atas pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Atas pertuduhan bersabit LHDN, Rosmah gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Caj ‘cat’ rambut mahal, Rosmah setuju GST bebankan rakyat?

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 FEB: Kenyataan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkenaan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadi viral di laman sosial sejak dua hari lalu dengan kebanyakannya memberi reaksi negatif.

Kenyataan yang dibuat Rosmah pada 23 Februari lalu, tersiar di portal Malaysia Kini yang mempersoalkan kadar perkhidmatan rumah ke rumah semakin meningkat dengan memberi contoh dandanan serta warnaan rambutnya mencecah RM1,200.

Ia mendapat respon 1,328 suka (like), 223 komen dan 159 kongsi dalam kalangan pemain media sosial, facebook apabila kebanyakannya berpandangan kenyataan itu tidak menggambarkan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang terbeban akibat kenaikan kos sara hidup.

rosmah1“Amboi. Dandan rambut pun dah gaji aku sebulan. Itu pun dia kata suri rumah macam kita yang tak berduit ni. Haha,” tulis Ah Chong yang mendapat 61 suka.

Pengguna dengan nama samaran Nasir Lgkwi berpandangan negara mampu berjimat jika Datuk Seri Najib Razak tidak menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Kalau kak Mah dan Pak Jib tak jadi PM negara boleh menyelamat banyak wang Malaysia,” katanya.

“So basically, Rosmah setujulah pelaksanaan GST akan bebankan rakyat?,” soal Syahmi Khadari pula.

Marissa Christine pula dengan nada menyindir membandingkan kos dandanan rambut Rosmah dengan pendapatan bulanannya yang kurang daripada itu.

rosmah2“Amboi2 makcik..gaji saya baru RM900 sebulan..saya pekerja awam dan makcik yang suri rumah pula mampu nak belanja dandan rambut RM1200..belum lagi yang lain-lain..buat kuku..sauna..celak mata..baju kurung..sekarang ni makcik suri ke saya yang suri,” tulisnya.

Dalam kenyataan itu, Rosmah menyarankan Putrajaya membuat garis panduan untuk perkhidmatan rumah ke rumah bagi mengelakkan peniaga meletakkan harga sesuka hati, terutama selepas GST diperkenal.

Katanya, tanpa kawalan harga pengguna khususnya suri rumah akan terbeban.

“Sekarang ini, bila saya nak cat rambut dekat rumah, dia (pendandan) sudah caj RM1,200. Amboi mahalnya!

“Kalau di kedai, dia kata harganya berbeza. Dia (pendandan) kata mahal sebab home service,” kata Rosmah berkongsi pengalamannya dalam majlis penerangan GST anjuran BAKTI di pejabat badan itu di Kuala Lumpur.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Rambut Rosmah lebih penting daripada rakyat?

SHAH ALAM, 25 FEB: Ahli Parlimen Lembah Pantai mempersoalkan tindakan pantas Kerajaan Pusat dalam menangani rungutan harga dandanan rambut di rumah yang dibuat isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Nurul Izzah Anwar berkata, Kerajaan Pusat pada masa sama masih belum bertindak terhadap gesaan untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas buku dan ubat-ubatan.

Nurul-IzzahNaib Presiden PKR itu merujuk kenyataan timbalan menteri kewangan yang berikrar untuk meneliti rungutan Rosmah berkenaan kemungkinan harga khidmat mendandan rambutnya yang berharga RM1,200 akan melonjak dengan pelaksanaan GST.

“Sikap Datuk Ahmad Maslan yang lebih mementingkan aduan daripada isteri menteri melihatkan betapa kerajaan BN tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai paling utama,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari Malaysia Kini.

Sementara itu,  Wanita PKR turut menasihati Rosmah untuk lebih peka dengan beban kos sara hidup masyarakat dan tidak membandingkannya dengan gaya hidup mewah beliau selaku isteri perdana menteri.

Ketuanya, Zuraida Kamarudin berkata, Rosmah tidak seharusnya membangkitkan kos dandanan rambut bernilai RM1,200 ketika paras gaji minimum pada masa ini hanyaRM900.

Zuraida 4“Apakah gaji minima RM900 rakyat Malaysia itu boleh dibandingkan dengan RM1,200 simbolik model rambut Rosmah yang besar itu?

“Islam mengajar kita menjadi sederhana dalam segala aspek kehidupan dan mengelakkan diri daripada bongkak dengan menunjukan kekayaan. Islam juga mengajar kita berpakaian secara tawaduk.

“Marilah kita seluruh rakyat Malaysia berdoa supaya Rosmah boleh mengubah gaya hidupnya yang boros. Semoga Allah memberi petunjuk pada beliau,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Malaysia Kini.

Zuraida berkata, gaya hidup Rosmah yang disifatkannya “terlampau mewah” itu tidak menggambarkan nilai positif kepada rakyat Malaysia yang kini perlu menanggung kenaikan harga barang.

 

Categories
NASIONAL

RM711 juta untuk Permata tak munasabah, jadi bahan sindiran di internet

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 OKT: Peruntukan RM711 juta untuk badan yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor iaitu Yayasan Permata (Permata) menjadi bahan sindiran pengguna internet termasuk laman sosial facebook sejak Belanjawan 2015 dibentangkan Jumaat lalu.

Jumlah peruntukan terbabit dianggap sebagai tidak munasabah dan meragukan berikutan yayasan itu dinaungi individu yang dikatakan ‘sangat berpengaruh’ terhadap Perdana Menteri tetapi tidak dipertanggungjawabkan dalam Dewan Rakyat atau sebagai penjawat awam.

rosmah-permata-2Antara yang tersebar di laman sosial dan blog adalah ‘print screen’ komen individu yang mengaku sebagai kakitangan Permata sendiri, Hayati Aziz.

“Terkejut tengok bajet untuk Permata. Pelik, ke mana wang tersebut diguna pakai?

“Sedangkan kami di Permata tidak langsung mendapat peruntukan berbentuk kewangan daripada pihak atasan..Nak buat majlis itu ini kena dapatkan sumbangan orang ramai,” tulis Hayati.

‘Print screen’ komen Hayati itu dipercayai diambil dari komen beliau di salah satu portal berita tempatan.

Beberapa pemilik akaun laman sosial lain pula mempersoalkan bagaimana peruntukan yang begitu besar disalurkan kepada isteri Perdana Menteri itu sedangkan beliau bukan seorang wakil rakyat, senator, pemimpin parti atau pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

FacebookPada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat mengumumkan sejumlah RM711 juta diperuntukan untuk Permata, Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan bagi mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan perincian jumlah bahagian yang diterima setiap badan terbabit.

-NFN-