Categories
PBT SELANGOR

MBPJ serbu ‘port’ warga asing berniaga

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 APR: Seramai 35 warga asing ditahan membabitkan peniaga tanpa lesen di beberapa kawasan ‘hotspot’ di sekitar Bandar Sri Damansara dan Damansara Damai.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, operasi itu bertujuan mengekang kewujudan peniaga asing yang memonopili aktiviti perniagaan di lokasi terbabit.

Katanya, sejumlah 10 premis dan gerai diserbu membabitkan 61 pemeriksaan ke atas warga asing.

“MBPJ melaksanakan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia baru-baru ini.

“Hasil operasi itu, seramai 35 warga asing ditahan Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut.

“Kebanyakan warga asing ditahan terdiri dari Bangladesh, Indonesia, India dan Myanmar,” katanya di Mesyuarat Bulanan, di sini.

Mohd Azizi berkata, operasi seperti itu diteruskan secara berkala bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi syarat serta garis panduan ditetapkan MBPJ.

Categories
SELANGOR

PJ Rangers optimis ulangi kejayaan MPPJ FC

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 14 DIS: Kelab Bola Sepak Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) berpotensi mengulangi kecermelangan Kelab Bola Sepak MPPJ Selangor (MPPJ FC) yang pernah menjulang Piala Malaysia, pada 2003.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, kejayaan itu mampu diraih menerusi komitmen jangka panjang yang giat dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Katanya, ia termasuklah kerjasama dengan syarikat swasta, Air Asia Berhad dan pelan pembangunan sukan bola sepak komuniti MBPJ.

“Kita doakan pasukan ini berjaya dalam liga bola sepak Malaysia seperti yang pernah diraih MPPJ FC dulu.

“Bagi memastikan misi berkenaan dicapai, MBPJ dan Air Asia akan menganjurkan pelbagai program dan pertandingan liga bola sepak Piala Datuk Bandar bawah 16 tahun bagi mencungkil bakat muda untuk diserap bersama Kelab PJ Rangers FC.

“Kita mengharap komitmen ini akan membuahkan hasil sekali gus dapat merealisasikan hasrat kita menjadikan PJ Rangers sebagai pasukan terbaik dalam sukan bola sepak tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Air Asia di Ibu Pejabat MBPJ, pagi ini.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Dr Tony Fernandes dan MBPJ, diwakili Mohd Azizi.

Kerjasama itu bakal menyaksikan peruntukan RM5 juta disalurkan Air Asia bagi proses pembaikan fasiliti stadium, penjenamaan PJ Rangers dan program pembangunan setempat membabitkan kedua-dua pihak.

Terdahulu, MBPJ pernah melahirkan pasukan bola sepak terbaik, MPPJ FC yang pernah berjaya menjulang Piala Malaysia, pada 2003.

‘Gergasi Biru Selangor’ itu juga pernah beraksi di Liga Super selepas melepasi aksi perlawanan akhir apabila menang jaringan 1-0 dengan Sabah.

Prestasi kelab itu menurun selepas perpindahan tonggak utama pasukan, Juan Manuel Arostegui dan jurulatih, Dollah Salleh ke Selangor.

Pasukan itu juga terpaksa menarik diri selepas gagal menghantar penyertaan pasukan mereka untuk bertanding dalam Liga Malaysia musim 2007.

Categories
SELANGOR

Karung Kitar MBPJ atasi masalah bahan terbuang

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 2 NOV: Projek Karung Kitar dijayakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencapai sasaran bagi mengurangkan bahan buangan seterusnya membantu golongan sasar meningkatkan ekonomi.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, projek di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) bermula 2014 mendatangkan manfaat dengan penghasilan pelbagai produk khususnya dari bahan buangan untuk kegunaan semua.

“Melalui projek ini, golongan sasar dilatih bagi menghasilkan produk berkualiti seperti beg, tikar, apron termasuk bahan makanan.

“Produk beg dengan pelbagai reka bentuk sebagai produk utama adalah berkaitan bahan kitar semula, bukan setakat kita membantu komuniti menjana pendapatan tetapi juga menjayakan program kitar semula dijalankan,” katanya.

Mohd Azizi berkata demikian selepas lawatan ke Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti di PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, idea penghasilan produk itu daripda Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ adalah daripada lambakan kain rentang dan gegantung yang dianggarkan 600 tan sampah dan barangan terbuang diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu setiap hari.

Katanya, MBPJ berjaya mengumpul 32,605 unit kain rentang dan gegantung pada tahun lalu, manakala 44,647 unit sehingga Jun tahun ini.

“Projek ini menjuarai kategori Inovasi Sosial (Penciptaan) dan Projek Hibrid Tebaik di Majlis Persada Inovasi Perhkdimatan Awam peringkat Selangor 2017.

“Ia juga telah mendapat pengiktirafan paten inovasi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO),” katanya.

Berikutan kejayaan itu, Mohd Azizi berkata, MBPJ merancang meluaskannya dengan menambah pusat baru seperti di Flat PKNS PJS 2C/14 dan Dewan Jalan Medan 12, Jalan PJS 3/14, di sini selain mengadakan kerjasama strategik dengan PBT lain.

Pada tahun lalu, 1,040 beg kitar semula dihasilkan dengan pendapatan terkumpul RM5,166 dan jumlah itu meningkat kepada 1,820 unit pada tahun ini.

Categories
PBT SELANGOR

Cungkil bakat baru renang

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 9 SEPT: Pesta Renang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mampu mencungkil bakat baru menceburkan diri dalam acara itu sekaligus diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pesta renang yang memasuki kali ke 12 penganjurannya itu sentiasa mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun.

Katanya, penganjurannya merupakan platform mengasah keterampilan bakat baru atau sedia ada ke peringkat lebih tinggi.

“Kejohanan ini merupakan acara pesta yang disertai oleh kanak-kanak dan dewasa.

IMG_20170909_104246“Ia juga merupakan aktiviti yang merapatkan hubungan antara ahli keluarga disamping mengeratkan hubungan antara persaudaraan antara penduduk sekitar,” katanya di Majlis Perasmian Pesta Renang MBPJ, di Kompleks Kolam Renang SS7, di sini.

Mohd Azizi berkata, MBPJ sedia terus menganjurkan pesta itu pada masa akan datang ekoran sukan terbabit semakin popular dalam masyarakat.

Pesta Renang dengan kerjasama Kelab Renang Stingray Petaling Jaya itu mendapat penyertaan dari lebih 500 peserta dengan jumlah peserta meningkat berbanding tahun lalu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Gagal jelas cukai taksiran, pemilik berdepan waran tahan dan sita

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 8 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan Operasi Tindakan Waran Tahanan dan Mensita Harta Alih keatas semua pemilik harta yang gagal menjelaskan cukai taksiran.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, 11,219 unit rumah dikenakan tindakan waran tahanan dengan nilai keseluruhan tunggakkan berjumlah RM20.05 juta.

Katanya, operasi dijalankan Unit Tunggakan Cukai, Bahagian Hasil, Jabatan Perbendaharaan itu menumpukan kawasan perumahan kos sederhana dan tinggi.

“Jabatan melaksanakan tindakan mensita di Kondiminium Mentari Court, PJS 8 ke atas penunggak yang mempunyai tunggakan melebihi dua tahun.

azizi-mbpj“Terdapat 90 unit rumah di kawasan kondominium telah dikenakan tindakan dengan jumlah tunggakan sebanyak RM151,513.

“Hasil dari operasi itu, sebanyak RM22,695 berjaya dikutip. Manakala harta disita akan dilelong sekiranya pemilik gagal membayar,” katanya dalam kenyataan.

Azizi berkata, MBPJ menyediakan pelbagai kaedah memudahkan orang ramai membayaran antaranya melalui kaunter di ibu pejabat MBPJ, kaunter di cawangan, kaunter bergerak Mr Ez Pay, perbankan dalam talian, JOMPay dan melalui laman web [email protected].

Categories
SELANGOR

Populasi tinggi: MBPJ optimis urus bandar sistematik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 JUL: Pertambahan populasi penduduk di bandar mendorong Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) giat melaksanakan pembaharuan dasar demi kelangsungan komuniti setempat.

Dato’ Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, cabaran itu menjadikan pihaknya konsisten mengurus tadbir perbandaran secara bersistematik demi manfaat penduduk.

“Pertambahan jumlah penduduk ini menjadi satu cabaran besar kepada pihak majlis untuk mengurus dan melestarikan perbandaran ini.

azizi-mbpj“Atas dasar itu menjadikan kita lebih kuat untuk merealisasikan pelan strategik 2016 hingga 2025 untuk tempoh dasar 10 tahun itu.

“Kita perlu bersedia hadapi cabaran ini dengan menggunakan peluang sebaiknya ke arah menjadikan MBPJ sebagai bandaraya terbaik,” katanya.

Mohd Azizi turut memetik bancian dilakukan Jabatan berkaitan MBPJ berhubung populasi masyarakat negara ini.

Beliau menjangkakan rakyat kini lebih memilih untuk menetap di bandar atas pelbagai peluang dan faktor yang mendorong kepada kepesatan populasi menjelang 2025.

“Kalau data di peringkat Malaysia, purata negara kini melebihi purata dunia dengan menunjukkan 74 peratus penduduk Malaysia tinggal di bandar.

“Ini bermaksud sebanyak 22.3 juta masyarakat kini tinggal di bandar dan kita jangka data ini akan naik dana hampir kepada 80 peratus untuk tempoh akan datang,” katanya.

PJPada masa sama katanya, Mohd Azizi turut mengulas dasar Pembangunan Negara fasa kedua yang dilancarkan di peringkat Persekutuan, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihak majlis juga perlu lebih bijak menyusun perancangan secara efektif bagi membolehkan pelaksanaan dasar itu direalisasikan.

Terdahulu, Mohd Azizi berucap pada Perhimpunan Bulanan MBPJ di Dewan Auditorium, 11 Julai lalu.

Categories
SELANGOR

Kempen #bebasbegplastik Bazar Ramadan MBPJ berjaya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 JUN: Kadar peratusan penggunaan polistirena di bazar Ramadan di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mencapai kadar sifar.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, indikator itu dinilai dari bancian pembeli yang mengamalkan penjimatan bekas pembungkusan makanan dengan membawa beg sendiri.

Malah, katanya, beg atau bakul yang digunakan sewaktu membeli di bazar selari dengan kempen #bebasbegplastik yang giat dijalankan Kerajaan Negeri.

azizi-mbpj“Melalui bancian secara rawak bazar Ramadan pada tahun 2016, dengan semakan 11 lokasi bazar Ramadan, peratusan peniaga yang menggunakan polistirena pada 2016 adalah sebanyak 2.31 peratus.

“Perbandingan bancian antara 2016 dan 2017 juga di lakukan di 11 lokasi yang sama dengan seramai 281 peniaga terlibat seperti tahun sebelumnya,” katanya di mesyuarat bulanan baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, hasil bancian dilakukan itu menunjukkan keberkesanan kempen larangan polistirena ini di terima baik setiap warga Petaling Jaya.

Terdahulu, MBPJ melaksanakan Bazar Ramadan Mampan dengan menintikberatkan kempen penggunaan bekas makanan dan bekas pembungkusan jenis biodegradable.

Manakala, bagi kempen bebas plastik, MBPJ mewujudkan program kesedaran terhadap pengurangan penggunaan beg plastik.

Pada tahun ini juga, MBPJ melaksanakan kempen penggunaan sarung tangan dimana antara ciri-ciri kebersihan pengendali makanan adalah amalan penjagaan kesihatan.

Pemakaian sarung tangan bersih semasa menyentuh makanan dapat membantu mengurangkan pencemaran makanan.

Oleh itu, MBPJ mengesyorkan penggunaan satu sarung tangan untuk satu tujuan sahaja.

Selain itu, peniaga digalakkan menggunakan sarung tangan yang diperbuat daripada plastik mesra alam dan mudah diurai.