#2kerja : Ahmad Maslan patut berdiam diri

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dinasihatkan untuk berdiam diri daripada terus menyakitkan hati rakyat.

Categories
NASIONAL

#2kerja: Lebih baik diam dari sakitkan hati

SHAH ALAM, 29 DIS : Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dinasihatkan untuk berdiam diri daripada terus menyakitkan hati rakyat, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Merujuk kepada idea Ahmad Maslan yang mengesa rakyat menjawat dua perkerjaan sebagai usaha menampung kos sara hidup, Nik Nazmi berkata, ia jelas membuktikan bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengakui isu kenaikan kos sara hidup semakin serius selain ketandusan idea menanganinya.

State assemblyman for Seri Setia and Deputy Speaker of the Selangor state assembly, Nik Nazmi Nik Ahmad arrives at the Court of Appeal in Putrajaya on April 25, 2014. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

“Bukan sahaja cadangan itu tidak konstruktif sebagai satu kaedah penyelasaian daripada pucuk pimpinan negara, malah ia merupakan penghinaan kepada rakyat yang semakin tertekan menghadapi realiti kehidupan masa kini yang sudah cukup membebankan.

“Sekiranya kerajaan BN benar-benar percaya menjawat dua pekerjaan sebagai sebuah jalan penyelesaian, ini juga bukti bahawa kerajaan negara ini sudah gagal di dalam menguruskan ekonomi dengan baik sehinggakan rakyat terpaksa memikul bebanan yang lebih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Maslan berpendapat rakyat Malaysia perlu melakukan dua pekerjaan sebagai cara menangani peningkatan kos sara hidup seperti mana dilakukan kebanyakan rakyat di luar negara.

ahmad maslanSelepas cadangan ‘bernas’ itu dikritik hebat pengguna media sosial, Ahli Parlimen Pontian itu mempertahankan pandangan itu dengan memberi contoh dirinya yang mengamalkan tiga pekerjaan (Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, Ketua Penerangan Umno) dalam satu masa untuk diteladani rakyat.

Nik Nazmi berkata, perkara itu hanya membuktikan bahawa menteri negara ini langsung tidak dapat membezakan jawatan yang dipegang dengan pekerjaan yang dibuat oleh rakyat biasa.

“Kami syorkan mana-mana menteri, seperti Ahmad Maslan, jika tidak dapat menyumbang idea atau mengeluarkan polisi yang benar-benar membantu rakyat, baiklah mendiamkan diri daripada menyakitkan hati,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Skandal Bank Rakyat, Ahmad Maslan gagal bagi jawapan meyakinkan

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berhubung skandal Bank Rakyat yang membabitkan ahli perniagaan bukan sahaja tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan tetapi turut menimbulkan banyak pertanyaan.

Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, berkata jawapan Ahmad tidak dijelaskan secara menyeluruh terutama kenapa bank tidak memerlukan keuntungan dalam urusan pinjaman yang diberikan.

“Kalau urusan pinjaman tetapi bayaran balik tidak memerlukan keuntungan, ia adalah satu yang gagal dilakukan bank. Ini menunjukkan bank memberi pinjaman tanpa memikirkan keuntungan kerana dalam setiap urusan intitusi itu perlu memikirkan pendeposit dan mereka ada hak dalam setiap pelaburan,” katanya yang dipetik daripada Harakah Daily.

bank rakyatAhmad ketika penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2014 berkata, ia menjadi prosedur biasa kepada sesebuah bank untuk mendapat balik pinjaman yang dikategorikan kepada Pinjaman Tidak Berbayar ‘Non Performing Loan’ (NPL)

Katanya, bank mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan balik duit yang dipinjamkan bagi mengelakkan kerugian dan keputusan bayaran balik tanpa faedah adalah keputusan terbaik daripada bank.

Pada masa sama, Hanipa yang turut mempersoalkan perkara itu ditimbulkan sekian lama, namun sehingga kini Bank Rakyat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kita juga hairan kenapa Deepak Jaikishnan begitu kebal dan istimewa apabila beliau diberikan keistimewaan walaupun sebelum ini banyak pendedahan dilakukannya membabitkan pimpinan tertinggi negara.

“Yang pasti jawapan menteri itu tidak menyakinkan, hanya sekadar menjawab bukannya menepati persoalan yang timbul,” katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika perbahasan bagi RUU Perbekalan Tambahan 2014 turut mempersoalkan pendedahan yang dilakukan bekas Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik yang dipecat kerana tidak setuju dengan arahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Sri Hasan Malek berhubung penyelesaian hutang RM32 juta.

hanipa maidinAhmad yang menjawab persoalan itu memberitahu dakwaan berkenaan tidak benar, selain menyatakan Sabbaruddin turut memberitahu kenyataannya sudah diputar belit media pembangkang.

Selain itu, beliau turut menjelaskan campur tangan menteri dalam urusan Bank Rakyat turut mendapat penafian daripada menteri terbabit.

“Tidak timbul bayaran yang sama seperti yang dipinjam, kita sudah campur semua. Jika ada individu kata begitu, dia sebenarnya keliru.

“Cek tertunda tarikh itu tiada masalah sebaliknya dia bayar. Kononnya menteri campurtangan itu tidak ada, saya sudah tanya menteri dan beliau sedia disiasat,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

GST: Peniaga terpaksa buang perkerja jika mahu kekal harga

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 30 DIS: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan diingatkan supaya tidak mengelirukan rakyat dengan dakwaan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan menjadi lebih rendah.

Sebaliknya, pengeluar dan peniaga terpaksa mengambil langkah mengurangkan tenaga pekerja jika berhasrat mengekang kenaikan harga barangan apabila GST dilaksanakan nanti.

rafizi-TI-01Langkah itu terpaksa diambil bertujuan mengurangkan kos bagi mengimbangi pertambahan pelbagai kos perniagaan seperti petrol, elektrik, bahan mentah lain dan GST yang dikenakan terhadap mereka.

Pengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, berkata peniaga yang tidak menaikan harga barangan atau perkhidmatan tetapi pada masa sama terpaksa menampung peningkatan kos akan menyebabkan mereka kerugian dan menutup perniagaan.

“Apabila GST dilaksanakan, harga barang akan meningkat secara keseluruhannya. Ini bermakna kos yang ditanggung peniaga sama ada kos bahan mentah atau kos perniagaan lain juga akan meningkat dan mengurangkan keuntungan.

“Dalam keadaan ini, peniaga tidak ada pilihan lain kecuali menaikan harga untuk memastikan keuntungan tetap sama apabila GST diperkenalkan atau mengurangkan tenaga kerja,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

ahmad maslanMengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan, walaupun peniaga boleh menuntut kembali cukai GST yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaan tetapi disebabkan kenaikan harga secara menyeluruh itu tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos perniagaan mereka.

“Ini berpunca daripada pemahaman beliau (Ahmad) kononnya apabila peniaga mengenakan GST, mereka boleh mendapatkan kembali cukai GST yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaan melalui cukai input,” katanya.

Rafizi berkata, Ahmad tidak mengambil kira bahawa peniaga akan membayar harga barang mentah dan kos perniagaan lain yang lebih tinggi ekoran GST dan peningkatan kos pengeluaran yang dikenakan semua pembekal mereka.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

BN naikkan harga petrol selepas PRK DUN Sungai Limau?

ron95

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sekalipun tiada pengumuman kenaikan harga minyak yang heboh diperkata dalam media sosial, Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin ia tetap berlaku dalam masa terdekat.

Pengarahnya, Yahya Mat Sahri, kenaikan harga bahan api itu sukar dielak berikutan faktor kelemahan pengurusan kewangan pemimpin dan amalan rasuah dalam kerajaan Umno BN itu.

“Ini disebabkan penyusutan nilai mata wang kita yang terpaksa ditampung, pendapatan dan perbelanjaan tak seimbang, perbelanjaan terlalu tinggi dan hutang negara juga terlalu tinggi dan rasuah tidak dibendung.

“Kerajaan terdesak mencari sumber kewangan dan akhirnya mereka letakkan beban kepada rakyat.

Kalau begini senanglah kerja kerajaan, tak cari penyelesaian lain. Asal ada masalah ekonomi, semua hadapkan kepada rakyat untuk dipikul,” katanya kepada TV Selangor.

Yahya tidak menolak kemungkinan kerajaan mengambil kira faktor pilihan raya kecil DUN Sungai Limau tidak lama lagi sebelum membuat keputusan menaikkan harga petrol.

Beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang memberi alasan kenaikan itu disebabkan kenaikan harga antarabangsa.

“Kata terpaksa naikkan sejajar harga pasaran antarabangsa tetapi sebenarnya pasaran minyak antarabangsa ketika ini turun. Kita sahaja yang menaikkan harga,” katanya.

Selain itu, katanya alasan kenaikan bagi membenteras penyeludupan petrol di sempadan juga tidak masuk akal berikutan masalah itu sudah berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Ini bukan perkara baru, sudah berpuluh tahun dulu lagi. Kenapa sampai sekarang tidak dapat diatasi. Setiap kali timbul isu kenaikan harga minyak, mulalah timbulkan isu penyeludupan untuk jadikan alasan,” katanya.