Categories
NASIONAL

Dr Mahathir setuju VOA dilaksana di Langkawi – MoTAC

LANGKAWI, 2 MAC: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara dasarnya bersetuju Visa Ketibaan (VOA) dilaksanakan di Langkawi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, persetujuan terbabit dicapai di dalam pertemuan antara beliau dengan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, baru-baru ini.

“Saya sudah berbincang dengan Dr Mahathir berkenaan VOA ini untuk diadakan di Langkawi, beliau bersetuju dengan cadangan terbabit. Selepas ini saya akan tulis surat pula kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (berkenaan cadangan berkenaan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Khas Pelancongan SFT3 di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC), Datuk Haslina Abdul Hamid.

Sementara itu, Haslina berkata, MoTAC sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri berhubung cadangan mengadakan VOA di Langkawi.

“Dalam perbincangan terbabit kita kemukakan cadangan pelaksanaan VOA ini, perkembangan perbincangan sangat positif dan VOA itu dalam perancangan seperti dikatakan oleh menteri tadi,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pertandingan reka logo VM2020 tawar hadiah RM3,000

PUTRAJAYA, 1 MAC: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengadakan pertandingan mencipta logo kempen Visit Malaysia Year 2020 (VM2020) selama 14 hari bermula 11 Mac ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penyertaan terbuka kepada semua warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan satu penyertaan bagi setiap peserta.

“Pertandingan tamat pada 5 petang, 24 Mac,” katanya pada sidang media bersempena pertandingan itu, di sini hari ini.

Beliau berkata rekaan logo harus melambangkan seni budaya masyarakat Malaysia dan ke arah Malaysia baharu selain perlu digemblengkan dengan logo Malaysia Truly Asia.

“Selain itu, setiap penyertaan hendaklah mempunyai reka bentuk logo dan rasional yang menonjolkan kepelbagaian produk-produk ekopelancongan yang menarik di Malaysia,” katanya.

“Rekaan logo perlu menggunakan perkataan bahasa Inggeris kerana melibatkan pasaran antarabangsa manakala rasional logo pula hendaklah dikemukakan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya, menambah pemenang akan diumumkan pada 12 April.

Selain sijil, hadiah wang tunai RM1,000 hingga RM3,000 disediakan untuk tiga penyertaan terbaik serta RM250 masing-masing bagi lima pemenang sagu hati.

Borang pertandingan akan disediakan dalam masa terdekat menerusi laman web www.tourism.gov.my/, www.malaysia.travel dan www.motac.gov.my atau hubungi talian infoline 1-300-88-5050 untuk maklumat lanjut, katanya.

VM2020 yang menumpukan kepada kelestarian (ekopelancongan dan kebudayaan) menyasarkan ketibaan 30 juta pelawat dengan sumbangan RM100 juta kepada pendapatan negara pada tahun depan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia, Peru jalin kerjasama dalam sektor pelancongan

PUTRAJAYA, 11 FEB: Malaysia hari ini mencapai persetujuan dengan Peru untuk menjalin kerjasama dalam sektor pelancongan terutamanya dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong antara kedua-dua negara.

Persetujuan berkenaan dicapai semasa kunjungan hormat hampir satu jam oleh Duta Peru ke Malaysia, Guido F Loayza ke atas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohamaddin dalam kenyataannya berkata, persamaan dari segi bentuk muka bumi dan cuaca antara Malaysia dan Peru memudahkan kerjasama terjalin.

“Antara produk yang bakal diketengahkan dalam kerjasama Malaysia dan Peru ialah promosi ekopelancongan dan produk kraf, selain kebudayaan.

“Sebagai permulaan Malaysia berbesar hati untuk menawarkan ruang bagi tarian kebudayaan Peru dipersembahkan pada acara kebudayaan yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya, lapor BERNAMA.

Mohamaddin berkata, Peru turut menawarkan peluang untuk Malaysia melakukan persembahan kebudayaan dalam acara yang dianjurkan oleh mereka.

Dalam pertemuan hari ini, katanya, Loayza turut menyatakan bahawa rakyat Peru sangat suka melancong ke Malaysia selain melahirkan hasrat untuk menandatangani perjanjian dengan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagi tujuan promosi bersama.

“Perjanjian yang akan dikendalikan oleh Peruvian Chamber Of Commerce itu nanti boleh membantu mempromosikan Malaysia di Peru,” katanya.

Categories
NASIONAL

Skim pinjaman bantu usahawan kraf dan inap desa

KOTA BHARU, 3 FEB: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyediakan Skim Pinjaman Kraftangan dan Inap Desa yang memperuntukkan pinjaman berjumlah RM500 juta bagi menyokong industri kraftangan dan inap desa tahun ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, peruntukan itu adalah inisiatif kerajaan ke arah memperkasa perusahaan sedia ada sekali gus membantu melonjakkan pendapatan usahawan kraf.

“Peruntukan ini telah dibuka bermula awal tahun ini dan terbuka kepada semua ushawan kraf termasuk pengusaha batik dan songket selain pengusaha inap desa seluruh negara.

“Kerajaan juga akan membantu meringankan beban usahawan dengan memberi subsidi sebanyak dua peratus bagi mengurangkan faedah pinjaman tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Kraf Tekstil Pantai Timur di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Saraya Arbi serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Festival yang berlangsung di Dataran Rehal bermula 31 Januari hingga 9 Februari itu diadakan bagi memperkasa dan mempromosikan produk kraf tekstil termasuk batik, songket, tenun Pahang Diraja keluaran komuniti kraf daripada Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Seramai 56 usahawan kraf menyertai fertival terbabit yang mengetengahkan pelbagai aktiviti termasuk jualan kraf, demonstrasi dan interaktif kraf selain pameran evolusi batik.

Mohamaddin berkata, selain mewujudkan kesedaran dan memberi maklumat terkini kepada masyarakat, festival berkenaan juga menjadi platform terbaik bagi mengukuhkan kerjasama dan rantaian pemasaran dalam kalangan usahawan kraf tekstil Pantai Timur di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kementerian akan terus menyokong usaha dan kesungguhan usahawan kraf dalam menghasilkan produk kraf tekstil yang bermutu dan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 97 usahawan menerima Sijil Pematuhan Standard yang dikeluarkan Kraftangan Malaysia membolehkan mereka diberi keutamaan menyertai program promosi anjuran jabatan itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pekerja swasta digalak pakai batik bantu industri

KOTA BHARU, 2 FEB: Bagi membantu industri batik negara terus berkembang, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menggalakkan pekerja sektor swasta memakai baju batik sama seperti penjawat awam yang digalakkan berbaju batik pada setiap Khamis.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, walaupun kementeriannya belum mengadakan pertemuan dengan wakil sektor swasta, beliau yakin hasrat kerajaan akan diterima baik.

“Kementerian berhasrat agar pekerja sektor swasta turut memakai batik sekurang-kurangnya seminggu sekali seperti diamalkan kakitangan kerajaan.

“Namun begitu, kita belum tentukan bila mereka akan mula memakai batik kerana belum mengadakan perbincangan lanjut untuk dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Sesi Libat Urus Bersama Usahawan Kraf Kelantan di Lembaga Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan di sini, hari ini.

Mohamaddin berkata, pihaknya telah mendapat maklum balas positif terutama daripada sektor perhotelan yang sebahagiannya telah mengamalkan pemakaian batik.

“Ini semua bertujuan untuk membantu industri batik agar terus berkembang maju bukan sahaja di dalam negara malah sehingga ke luar negara,” katanya.

Mengenai lambakan batik tiruan dari luar negara, Mohamaddin berkata, perkara itu berlaku kerana harga batik tempatan dijual pada harga yang mahal.

“Jika harga dapat diturunkan, batik tempatan akan terus mendapat kepercayaan,” katanya.

Sebelum itu dalam ucapannya, Mohamaddin berkata, beliau telah berbincang dengan Kementerian Luar dan juga pejabat Tourism Malaysia di luar negara untuk mereka pamerkan kraftangan negara termasuk batik di pejabat kedutaan dan juga pejabat Tourism Malaysia.

“Mereka bukan sahaja mempamerkan malah kraf berkenaan boleh dibeli dan ini secara tidak langsung dapat mempromosikan hasil kraf rakyat kita sendiri,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Draf Dasar Kebudayaan Negara siap September

PUTRAJAYA, 28 JAN: Draf akhir penggubalan Dasar Kebudayaan Negara (DKN) baharu dengan visi menjadikan ‘Negara Maju Rakyat Berbudaya’ melalui misi memartabatkan seni, budaya dan warisan dijangka siap September ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penggubalan DKN baharu itu mengambil kira saranan hasil kajian Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 dan kementeriannya juga sedang membabitkan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh dan penggiat industri untuk memberikan pandangan.

“Ia masih di peringkat pengumpulan maklumat dan kami yakin DKN yang baharu ini akan membawa lebih banyak kebaikan dengan tumpuan inklusif kepada membina jati diri bangsa Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata, kementerian juga akan memberi tumpuan khusus untuk membangunkan industri ekopelancongan dan budaya yang Malaysia mempunyai kelebihan berbanding negara lain.

Bagi konsep ekopelancongan dan budaya itu, selain memperbanyakkan infrastruktur turut dikekalkan ialah khazanah alam dan budaya sedia ada, satu aspek yang dimahukan pelancong asing, katanya.

Untuk itu, katanya, kementerian akan meneruskan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 dengan misi mempromosikan Malaysia sebagai satu daripada destinasi ekopelancongan dan budaya terkemuka dunia dengan lebih agresif, strategik dan konsisten.

Mohamaddin berkata, kementerian menyasarkan jumlah kedatangan pelancong antarabangsa seramai 28.1 juta dengan nilai ekonomi sebanyak RM92.2 bilion pada tahun ini bagi sektor itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Badan promosi pelancongan disaran sertai program di Jerman

LANGKAWI, 13 JAN: Kerajaan menyarankan badan promosi pelancongan negeri, termasuk pihak swasta supaya menyertai promosi pelancongan di Jerman, pada Mac ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penyertaan pada program promosi itu penting kerana Malaysia menjadi rakan rasmi negara bagi penganjuran International Tourismus-Boerse (ITB) 2019 yang akan diadakan di Berlin.

“Peluang sebegini tidak harus dilepaskan para pemain dalam industri pelancongan kerana ini adalah landasan promosi terbesar pelancongan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama penggiat industri perhotelan di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai ITB, perlu merujuk kepada pihak kementerian untuk tindakan lanjut dan pengesahan penyertaan.

“Saya yakin dengan penyertaan dari setiap negeri, ia akan memberikan impak lebih besar kepada industri pelancongan negara,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pengusaha hotel, rumah tumpangan tidak sah berdepan tindakan

PUTRAJAYA, 6 JAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha dan penyedia perkhidmatan hotel serta rumah tumpangan tidak berlesan dan berdaftar.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, jika siasatan mendapati premis haram terbabit benar-benar wujud, pihak berkaitan perlu menyenaraikan nama dan bilangan premis untuk diambil tindakan tegas dengan segera kerana ia membabitkan soal keselamatan orang awam yang mendiami premis terbabit.

“Kementerian tidak mahu orang ramai khususnya pelancong tertipu dengan perkhidmatan mereka sediakan dan jika sesuatu yang buruk berlaku, ia tidak hanya membabitkan korban nyawa malah memberi imej buruk kepada pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan yang mengulas laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini mengenai hotel tidak sah di bawah tajuk ‘Illegal Hotel Menace’.

Mohamaddin berkata, kementeriannya akan menggerakkan agensi sedia ada untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengesan kewujudan premis haram berkenaan secara lebih kerap.

“Jika boleh kementerian mahu ia dilakukan sebulan sekali agar usaha penipuan ini dapat dipatahkan secara tuntas.

“Perbincangan antara kementerian dengan PBT akan turut menggariskan tindakan tegas bagaimana yang boleh diambil selain tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 dan Akta 482 ke atas pengusaha rumah tumpangan tidak berlesen,” katanya.

Mohamaddin berkata, orang ramai juga jangan mudah tertipu dengan promosi premis tidak berdaftar yang membuat promosi bersama premis berdaftar dan berlesen.

“Premis tidak berdaftar juga boleh menipu pelanggan mereka di atas talian dengan harga murah dan reka bentuk menarik. Perbincangan akan turut diadakan bersama kementerian berkaitan bagi menyaring dan menyekat laman web yang dibangunkan pengusaha haram terbabit,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak selepas ini perlu peka dengan situasi dan melihat ke papan lesen dipampang di setiap premis dikunjungi sebelum menginap di mana-mana hotel atau rumah tumpangan.

“Saya juga menyarankan orang ramai melaporkan segera kepada PBT sekiranya wujud premis haram terbabit di kawasan mereka,” katanya lagi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

RM100 juta tingkat peluang kerjaya kaum India

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 26 NOV : Kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada komuniti India bagi meningkatkan peluang kerjaya kaum terbabit.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, hal itu dinytakan melalui pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu.

“Tahap sosial kaum India juga kini sudah berkembang maju seiring pembangunan negara.

“Justeru, peruntukan itu bertujuan mengukuhkan latihan dan kemahiran dalam bidang teknikal, sekali gus dapat meningkatkan peluang kerjaya belia India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) 2018 Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Perkarangan Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM50 juta bagi pembangunan dan peningkatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, di seluruh negara.

“Peruntukan ini bertujuan meningkatkan pendidikan bagi masa depan yang lebih baik.

“Saya optimis kesemua peruntukkan dapat digunakan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan asas, merealisasikan potensi kanak-kanak, meningkatkan pendapatan dan menambahkan penyertaan sosial ekonomi kaum India,” katanya.