Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Kerugian perbelanjaan pelancong meningkat kepada RM165 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Anggaran kerugian daripada hasil perbelanjaan pelancong di Malaysia dijangka meningkat kepada RM165 bilion tahun ini daripada sekitar RM135 bilion pada tahun 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata sektor pelancongan telah berhadapan lebih 12 bulan sama ada hanya sedikit perniagaan beroperasi atau ketiadaan operasi selain kehilangan pekerjaan.

“Pelancongan lebih daripada sekadar beriadah kerana industri ini juga penyedia pekerjaan dan pendapatan yang stabil, menyokong satu daripada empat pekerjaan, terutama untuk destinasi yang amat bergantung kepada pelancongan, kawasan terpencil, dan tenaga kerja berkemahiran sederhana atau rendah.

“Walaupun masih terdapat lokasi dengan situasi yang mencabar dari segi kesihatan dan sempadan umumnya ditutup, rantau ini telah mulai dibuka kembali dengan tahap kegiatan operasi pelancongan yang rendah,” katanya di Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN 2021 hari ini.

Nancy berkata sebelum sempadan dibuka semula, penting untuk bersiap sedia dengan pelan pemulihan dan menyusun strategi agar dapat memperoleh daya saing bagi industri pelancongan, terutama di rantau ASEAN.

“Ini kerana pandangan pasaran mengunjurkan sebaik sempadan dibuka, tumpuan pelancong adalah pada destinasi yang hampir dengan rumah.

“Justeru, penting bagi kita untuk memperkuatkan kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam memudahkan ekosistem ketibaan antarabangsa,” jelasnya.

Menteri itu menambah Malaysia kini sedang bersiap untuk membuka Langkawi kepada pelancong antarabangsa tidak lama lagi selepas kejayaan gelembung pelancongan domestik Langkawi.

“Gelembung pelancongan domestik di Langkawi mencatatkan kejayaan sejak dimulakan pada 16 Sept 2021, dengan sejumlah 38,748 kedatangan pelancong domestik dan menjana pendapatan RM15.97 juta.

“Malaysia menyasarkan 400,000 ketibaan pelancong domestik ke Langkawi hingga Disember 2021,” katanya.

Forum yang bertema “Membangunkan Semula ASEAN Ke Arah Pemulihan Lestari”, dianjurkan oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Silat terima pengiktirafan UNESCO

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Seni mempertahankan diri silat berjaya disenaraikan di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan itu diberikan pada persidangan mesyuarat sesi ke-14 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Bogota, Colombia dari 9 hingga 14 Disember.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, perkara itu diputuskan oleh badan dunia itu yang dianggotai oleh 24 Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat, terdiri daripada negara-negara anggota yang dipilih untuk mengisi kerusi jawatankuasa itu untuk tempoh enam tahun.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi- Foto BERNAMA

“Penyenaraian di peringkat UNESCO merupakan pengiktirafan bertaraf dunia ke atas satu daripada khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara.

“Penyenaraian ini juga akan memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dunia dan secara tidak langsung akan mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pencalonan silat di bawah senarai itu dan dokumen berkaitan telah dihantar kepada UNESCO di Paris pada 30 Mac tahun lalu dan ia mendapat kerjasama dan bantuan yang baik daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Mohamaddin berkata, pengiktirafan kali ini amat bermakna selepas Malaysia telah mendapat pencalonan dunia kali pertama iaitu ‘Mak Yong’ dalam kategori Masterpieces of the Oral and Intangible Cultural Heritage of Humanity (Originally Proclaimed 2005) semasa persidangan sesi ke-3 jawatankuasa itu di Istanbul, Turki pada 2008.

Ia diikuti kejayaan kali kedua apabila Malaysia mendapat pengiktirafan ‘Dondang Sayang’ dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity semasa persidangan sesi ke-13 di Port Louis, Mauritius pada 2018.

Jelasnya, pengiktirafan itu sekali gus akan mengukuhkan hubungan jaringan dengan kebanyakan negara anggota yang secara langsung akan membantu memudahkan Malaysia mengangkat lebih banyak pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara pada masa akan datang.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mesran Mohd Yusop dan turut disertai antaranya Timbalan Perwakilan Tetap Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO Zuraini Abidin selain turut dihadiri Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kuala Kubu Bharu dalam penilaian sebagai tapak warisan

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor kini sedang dalam penilaian untuk diangkat sebagai warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebelum dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, penilaian itu sedang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Warisan Negara, Kerajaan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi berkaitan.

“Jabatan Warisan Negara telah mengambil usaha untuk mengangkat tapak warisan yang memenuhi kriteria bagi pengiktirafan antarabangsa terutama sekali di peringkat UNESCO.

“Setakat ini, empat tapak telah mendapat pengiktirafan UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Taman Kinabalu, Sabah; Bandar Warisan Dunia Melaka dan George Town, selain Tapak Arkeologi Lembah Lenggong, Perak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan June Leow Hsiad Hui (PAKATAN-Hulu Selangor) yang ingin tahu perkembangan terkini dalam rancangan menjadikan Kuala Kubu Bharu sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata, bagi mempromosikan tapak-tapak Warisan Dunia UNESCO di Malaysia, kementerian telah melaksanakan beberapa usaha untuk menggalakkan kedatangan pelancong antaranya program ‘Mega Familiarization’ dengan mempelawa wakil-wakil media dan para pengusaha pelancongan antarabangsa menyertai acara-acara pelancongan di tapak warisan UNESCO untuk dipromosi di luar negara.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: TOURISM SELANGOR

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir setuju VOA dilaksana di Langkawi – MoTAC

LANGKAWI, 2 MAC: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara dasarnya bersetuju Visa Ketibaan (VOA) dilaksanakan di Langkawi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, persetujuan terbabit dicapai di dalam pertemuan antara beliau dengan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, baru-baru ini.

“Saya sudah berbincang dengan Dr Mahathir berkenaan VOA ini untuk diadakan di Langkawi, beliau bersetuju dengan cadangan terbabit. Selepas ini saya akan tulis surat pula kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (berkenaan cadangan berkenaan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Khas Pelancongan SFT3 di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC), Datuk Haslina Abdul Hamid.

Sementara itu, Haslina berkata, MoTAC sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri berhubung cadangan mengadakan VOA di Langkawi.

“Dalam perbincangan terbabit kita kemukakan cadangan pelaksanaan VOA ini, perkembangan perbincangan sangat positif dan VOA itu dalam perancangan seperti dikatakan oleh menteri tadi,” katanya.

Categories
NASIONAL

Malaysia, Peru jalin kerjasama dalam sektor pelancongan

PUTRAJAYA, 11 FEB: Malaysia hari ini mencapai persetujuan dengan Peru untuk menjalin kerjasama dalam sektor pelancongan terutamanya dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong antara kedua-dua negara.

Persetujuan berkenaan dicapai semasa kunjungan hormat hampir satu jam oleh Duta Peru ke Malaysia, Guido F Loayza ke atas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohamaddin dalam kenyataannya berkata, persamaan dari segi bentuk muka bumi dan cuaca antara Malaysia dan Peru memudahkan kerjasama terjalin.

“Antara produk yang bakal diketengahkan dalam kerjasama Malaysia dan Peru ialah promosi ekopelancongan dan produk kraf, selain kebudayaan.

“Sebagai permulaan Malaysia berbesar hati untuk menawarkan ruang bagi tarian kebudayaan Peru dipersembahkan pada acara kebudayaan yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya, lapor BERNAMA.

Mohamaddin berkata, Peru turut menawarkan peluang untuk Malaysia melakukan persembahan kebudayaan dalam acara yang dianjurkan oleh mereka.

Dalam pertemuan hari ini, katanya, Loayza turut menyatakan bahawa rakyat Peru sangat suka melancong ke Malaysia selain melahirkan hasrat untuk menandatangani perjanjian dengan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagi tujuan promosi bersama.

“Perjanjian yang akan dikendalikan oleh Peruvian Chamber Of Commerce itu nanti boleh membantu mempromosikan Malaysia di Peru,” katanya.

Kerjasama Kementerian Pelancongan tingkat pelancongan Selangor dialu-alukan

Selangor mengalu-alukan kunjungan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz meninjau beberapa lokasi sekitar Hulu Selangor yang berpotensi untuk dibangunkan