Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 80,000 individu ditahan terlibat pelbagai kes judi

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Polis menahan 81,442 individu di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan pelbagai kes perjudian bagi tempoh 2019 hingga 31 Oktober lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata dalam tempoh yang sama juga, polis turut merampas wang tunai lebih RM24 juta dalam serbuan bagi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen.

Beliau berkata polis juga turut menyerbu premis loteri awam tanpa lesen yang serbuan tertinggi melibatkan sebanyak 11,491 serbuan pada 2019, bagi 2020 sebanyak 8,324 serbuan dan 9,561 serbuan pada tahun ini.

“Dalam hal ini, polis turut memeriksa premis-premis perjudian yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan dan hasil pemantauan pihak kami mendapati operator judi berlesen mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan.

“Berdasarkan rekod terdapat 161 operator perjudian berlesen melibatkan sebuah kasino, 72 kelab syarikat dan 88 kelab persatuan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan usahawan kosmetik yang melarikan diri ke Australia, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman bahawa beliau dicabul oleh anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Abd Jalil berkata pihaknya sedang menyiasat perkara berkenaan.

“Kami sedang meneliti dakwaan yang dibuat Sajat dan juga laporan polis yang dibuat oleh penguat kuasa JAIS mengenai dakwaan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Sajat didakwa dikasari dan dicabul penguat kuasa JAIS semasa beliau dipanggil untuk memberi keterangan pada Januari lepas.

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata polis sedang menunggu pengesahan daripada kerajaan Thailand dan Australia berhubung keberadaan sebenar lokasi Sajat.

“Kedutaan Malaysia di Australia dan Thailand telah mengemukakan permohonan rasmi dan kita sedang menunggu jawapan daripada mereka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kertas siasatan dibuka berkaitan individu sebar berita palsu vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Polis telah membuka dua kertas siasatan terhadap individu yang dipercayai antara golongan antivaksin susulan perkongsian berita palsu berhubung pengambilan suntikan vaksin Covid-19 di laman sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kertas siasatan pertama melibatkan satu klip video yang memaparkan seorang wanita mengaitkan kematian dua orang murid sekolah di Ipoh, Perak dengan pengambilan suntikan vaksin Covid-19.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri dalam tempoh terdekat untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata kertas siasatan kedua pula membabitkan pemilik akaun Twitter Khalid@khalids yang memuat naik ciapan berhubung kematian 41 orang guru disebabkan suntikan vaksin Covid-19.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“PDRM masih menunggu laporan profiling daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk tindakan selanjutnya,” kata Abd Jalil.

Beliau seterusnya menasihatkan prang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan sumber kesahihannya sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kementeriannya telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan maklumat palsu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Bukit Aman: 829 mangsa pemerdagangan manusia diselamat

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Sebanyak 829 orang dipercayai mangsa pemerdagangan orang diselamatkan dalam 190 serbuan polis di seluruh negara dalam tempoh Januari tahun lepas hingga Mei tahun ini dan memperoleh Perintah Perlindungan Sementara (IPO).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata daripada jumlah itu, 74 orang telah mendapat Perintah Perlindungan (PO) tahun lepas manakala 65 orang memperolehnya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Sebanyak 599 orang diselamatkan hasil 146 serbuan tahun lepas manakala 230 orang diselamatkan dalam 44 serbuan dari Januari hingga Mei tahun ini.

“Sebanyak 243 orang ditahan kerana disyaki terlibat dalam jenayah pemerdangan orang sepanjang tahun lepas manakala 110 orang ditahan tahun ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata jenayah pemerdagangan orang adalah jenayah rentas sempadan yang menjadi isu global dan polis serius dalam membanteras jenayah itu.

“Antaranya bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan yang banyak membantu dalam penyaluran maklumat dan mewujudkan kesedaran awam berhubung jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

“(Selain itu), pelbagai program tahunan termasuk kursus, latihan dalam perkhidmatan, seminar dan bengkel dijalankan sama ada anjuran dalaman atau kerjasama dengan agensi atau pertubuhan luar,” katanya.

Beliau berkata program-program berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran pegawai terutama dalam kalangan agensi penguatkuasaan dan pendakwaan bagi memerangi jenayah tersebut.

Abd Jalil berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang terutamanya buruh paksa dengan tindakan yang berterusan.

“Merujuk kepada statistik sepanjang tahun lepas, PDRM menjalankan 62 serbuan terhadap jenayah eksploitasi buruh paksa dan bagi tahun ini sehingga bulan Mei, sebanyak 25 serbuan dijalankan. Kebanyakan mangsa adalah rakyat Indonesia, Filipina dan India,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 1,000 kes bunuh diri, umur 15 hingga 18 tertinggi

SHAH ALAM, 1 JULAI: Sebanyak 1,708 kes bunuh diri dicatatkan sejak 2019 sehingga Mei tahun ini dengan 1,427 daripadanya merupakan wanita, menurut kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Umur kebanyakan mangsa terlibat pula antara 15 hingga 18 tahun iaitu berjumlah 872 orang manakala mangsa berumur 19 hingga 40 tahun seramai 668 orang.

Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata Johor mencatatkan kes tertinggi pada tahun 2019 dan 2020 dengan 101 kes manakala Selangor mencatatkan kes tertinggi dari Januari sehingga Mei tahun ini iaitu sebanyak 117 kes, lapor Malaysiakini hari ini.

Jumlah keseluruhan sepanjang 2019 hingga Mei tahun ini menjadikan secara purata dua kes bunuh diri berlaku pada setiap hari.

“Tiga punca utama menyebabkan insiden bunuh diri adalah masalah keluarga, tekanan perasaan dan masalah kewangan,” katanya.

Maklum kenyataan tersebut, sekiranya diri berasa tertekan, mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi talian di bawah untuk mendapatkan bantuan.

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

– Talian khas 03-77855955 atau 7781 0800

The Befrienders (https://www.befrienders.org.my/)

– Talian khas 03-79568144 atau 03-79568145

Life Line Association Malaysia

– Talian khas 03-42657995