Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Dzulkefly: Patuhi PKP, jaga kebersihan bagi ‘landaikan keluk’ wabak

SHAH ALAM, 2 APRIL: Rakyat negeri ini diseru mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua dan menjaga kebersihan diri bagi melandaikan keluk pandemik Covid-19 dengan segera.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata langkah itu susulan Selangor mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 tertinggi di seluruh negara setakat ini.

“STFC memandang serius situasi penyakit ini di Selangor yang meningkat sejajar faktor kepadatan penduduk, mewakili lebih 20 peratus daripada populasi kependudukan Malaysia,” kata pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu turut mengingatkan penduduk di empat daerah dalam zon merah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan berdisiplin tinggi mematuhi PKP.

Katanya, langkah pencegahan setempat melalui pihak berkuasa tempatan juga akan dibuat menggunakan sumber dan pasukan sokongan Kerajaan Negeri termasuk sukarelawan seperti dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan 726 kes daripada 2,908 kes  di seluruh negara dengan empat daerah dikategorikan dalam zon merah iaitu Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak.

STFC ditubuhkan bagi memantau dan mencegah penularan Covid-19 di negeri ini, yang turut dianggotai empat pakar kesihatan, wakil Jabatan Kesihatan Negeri dan Unit Bencana Negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM diminta kongsi data klinikal pesakit untuk analisis

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta berkongsi data klinikal pesakit Covid-19 dengan petugas negeri bagi membolehkan analisis dan tindakan bersasar dibuat, kata bekas menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata data tersebut hanya untuk mengesan wabak dan tiada kaitan dengan mencari maklumat peribadi pesakit, lapor Malaysiakini.

“Kami tidak mendapat maklumat klinikal yang sangat penting. Kami tidak mahu identiti pesakit, nombor telefon, atau umur.

“Kami mahukan data mengenai penduduk supaya dapat melakukan analisis berkaitan untuk memperbesarkan zon, bukan hanya daerah,” katanya yang juga ketua pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor.

Setakat semalam, Selangor merekodkan 704 kes jangkitan Covid-19, angka tertinggi di Malaysia dengan tujuh kematian.

Pada 10 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penubuhan pasukan khas diketuai Dr Dzulkefly untuk memantau dan mencegah penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr. Dzulkefly rakam penghargaan kepada petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 31 MAC: Bekas menteri kesihatan melahirkan rasa bangga dengan menzahirkan ucapan tahniah buat petugas kesihatan di barisan hadapan yang berjaya menyembuhkan 91 pesakit Covid-19 semalam.

“Tahniah kepada semua petugas barisan hadapan, doktor di Kementerian Kesihatan (KKM), hospital swasta, pengamal perubatan am (GP) dan semua jururawat.

“Mungkin kita melalui tempoh yang panjang, tetapi kami boleh bergantung dengan anda semua,” tulis Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi Twitter.

Kumpulan pertama pesakit Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak yang dibenarkan pulang ke rumah selepas pulih pada 30 Mac. Sumber: Twitter Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Pada masa sama, Dzulkefly yang juga ketua pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor berkata semoga musibah kali ini membuatkan umat Islam insaf.

“Semoga kita sedar dan betapa kerdilnya keupayaan dan sedikitnya ilmu yang Allah berikan kepada kita, agar kita benar-benar kembali kepadaNya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan jumlah pesakit sembuh dari penyakit Covid-19 terus meningkat kepada 91 menjadikan jumlah keseluruhan sehingga petang ini ialah 479, kata ketua pengarah kesihatan.

Ia adalah jumlah tertinggi setakat ini iaitu 18.2 peratus dari jumlah kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerjasama hospital awam-swasta rawat pesakit bukan Covid-19

SHAH ALAM, 23 MAC: Bekas menteri kesihatan mencadangkan kolaborasi membabitkan fasiliti pusat perubatan swasta dan awam, bagi merawat pesakit bukan dijangkiti Covid-19.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata melalui cara itu, hospital kerajaan dapat meningkatkan garis kapasiti mereka merawat penyakit yang lebih memerlukan perhatian.

“Tiba masa gerakkan kolaborasi (hospital) awam dan swasta serta seluruh masyarakat dengan melibatkan fasiliti swasta (contoh KPJ) membantu fasiliti awam (contoh Hospital Sungai Buloh).

“Mereka (hospital swasta) boleh ambil pesakit bukan Covid-19 atau pesakit dari unit rawatan rapi (ICU) dan bukan ICU (untuk dirawat),” katanya melalui hantaran di Twitter.

Beliau yang juga ketua pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor berkata setiap negeri perlu menentukan langkah bagi menangani pandemik yang semakin meningkat.

“Setakat ini tiada strategi menggunakan kaedah standard yang sama (one size fits all) untuk daerah atau negeri. Ia mesti dinilai menggunakan data klinikal dan kapasiti bagi menurunkan keluk epidemik,” tulisnya lagi.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan 309 kes Covid-19, sekali gus tertinggi di Malaysia.

Sementara itu, Kuala Lumpur mempunyai 183 kes, Sabah (158), Johor (145), Negeri Sembilan (78), Sarawak (76), Perak (66), Kelantan (63) dan Pulau Pinang (58).

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Dr Dzulkefly ketuai pasukan petugas kawal Covid-19 di Selangor

SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor menubuhkan pasukan petugas diketuai bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk memantau dan mencegah penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Pelantikan sebulat suara dibuat dalam mesyuarat yang bersidang buat pertama kali hari ini selepas Jabatan Kesihatan Negeri mengadakan taklimat berkaitan perkembangan terbaru virus berkenaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Dr Dzulkefly bersetuju mengetuai pasukan itu yang dianggotai empat pakar kesihatan, wakil Jabatan Kesihatan Negeri dan Unit Bencana Negeri bagi mengelak virus merebak dan mengancam kesihatan rakyat.

“Langkah ini diambil kerana Kerajaan Negeri dapati sebanyak 60 peratus daripada 117 kes Covid-19 adalah mereka yang tinggal di Selangor,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Watikah Pelantikan Kumpulan Tumpuan Gender (GFT) dan Kumpulan Titik Tumpuan gender (GFP) di sini hari ini.

Amirudin berkata penubuhan pasukan tersebut berkuat kuasa serta-merta dan mereka akan bekerjasama dengan Pusat Arahan Smart Selangor untuk mendapatkan maklumat lokasi berisiko tinggi.

“Selain itu kita akan ke sekolah dan kawasan awam untuk berkongsi bagaimana masyarakat boleh membantu mencegah Covid-19,” katanya.

Beliau berkata penganjur program berskala besar diminta menyediakan penutup hidung dan mulut serta pembersih tangan kepada peserta sebagai langkah pencegahan.

“Kerajaan Negeri mengambil berat kemaslahatan umum dan akan melaksanakan segala langkah yang perlu bagi membendung merebaknya virus ini.” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyakit tidak berjangkit: Jalani tapisan kesihatan, elak kematian pramatang

SEMPORNA, 22 FEB: Kementerian Kesihatan menggesa rakyat supaya memanfaatkan klinik kesihatan di seluruh negara untuk menjalani tapisan kesihatan bagi mengelak kematian pramatang, khususnya yang membabitkan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata NCD antara penyebab utama kematian pramatang kerana kebanyakan masyarakat tidak peka mengenai kepentingan tapisan awal kesihatan.

“NCD paling utama penyebab kematian pramatang ialah darah tinggi atau hipertensi, dan jika bersekali dengan kencing manis, memang resepi untuk kematian pramatang secara serangan jantung atau angin ahmar (strok).

“Justeru, saya minta rakyat terutama golongan B40 supaya membuat tapisan kesihatan (di klinik kesihatan). Ia adalah percuma,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Jelajah Kampungku Sihat peringkat Semporna di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dzulkefly berkata kerajaan mahu rakyat mengambil langkah pencegahan bagi mengelak berdepan kos perubatan yang tinggi.

“Kesihatan adalah asas kepada kehidupan yang berkualiti, dan penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab semua.

“Tanggapan bahawa kesihatan adalah tanggungjawab pihak (petugas) kesihatan, khususnya Kementerian Kesihatan, adalah silap sama sekali,” katanya.

Beliau berkata pembangunan hospital yang canggih, penyediaan kepakaran dan ubat-ubatan akan terus menjadi isu serta tidak mencukupi jika aspek pencegahan tidak diberikan perhatian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada penumpang, krew MV Genting Dream bergejala Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Ujian saringan kesihatan ke atas 350 penumpang dan 230 krew kapal MV Genting Dream yang berlabuh di Boustead Cruise Centre (BCC), Pelabuhan Klang mendapati kesemua mereka tidak menunjukkan gejala Covid-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata jumlah itu adalah setakat 3 petang ini dan pasukan kesihatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) masih menjalankan ujian saringan kesihatan terhadap kesemua penumpang dan anak kapal sebaik ia tiba kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

“Mana-mana penumpang yang bergejala akan diletakkan di bawah pemantauan di atas kapal atau di pusat kuarantin BCC untuk pemeriksaan lanjut,” katanya selepas melancarkan Inisiatif Kesihatan Mental Universiti Malaya di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kapal itu tidak pernah singgah atau melewati China.

Jelasnya kapal itu yang membawa keseluruhan 957 penumpang dan 1,701 krew dijadual pulang semula ke Singapura pukul 11 malam ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata dua rakyat Malaysia iaitu pasangan suami isteri yang berada di atas kapal Diamond Princess di Jepun yang disahkan positif Covid-19 berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Fujita di Nagoya.

Pasangan suami isteri masing-masing berusia 71 tahun dan 67 tahun itu disahkan positif pada 16 Februari.

Beliau berkata seorang lagi penumpang warganegara Malaysia iaitu wanita berusia 61 tahun, telah disahkan negatif jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang ke Malaysia oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun setelah menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Manakala seorang lagi warganegara Malaysia yang juga salah seorang krew kapal persiaran itu masih dalam pemantauan di dalam kapal oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun,” katanya

Kapal persiaran itu telah menjalani kuarantin bermula 4 Februari di salah satu pelabuhan di Jepun selepas ujian pengesanan Covid-19 mengesahkan terdapat penumpang dijangkiti virus tersebut.

Menurut laporan media antarabangsa, sehingga Khamis, daripada 3,700 orang penumpang yang dikuarantin dalam kapal itu, lebih 620 orang telah diuji positif bagi Covid-19 dengan dua kematian dalam kalangan mereka yang dijangkiti turut dilaporkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

WHO puji kesiapsiagaan, keupayaan Malaysia tangani Covid-19

PUTRAJAYA, 18 FEB: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi memuji kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia dalam menangani jangkitan Covid-19.

WHO juga memandang tinggi kesihatan awam di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad selepas mengadakan telesidang dengan Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus hari ini.

Beliau berkata dalam telesidang selama kira-kira 20 minit itu, WHO turut mencadangkan agar Malaysia memperkukuhkan aktiviti pemantauan dengan menjalankan ujian Covid-19 (novel koronavirus) kepada pesakit ‘severe acute respiratory infection’ (SARI).

“Kita juga memaklumkan kepada WHO bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) telah perluaskan survelan jangkitan salur pernafasan dengan menjalankan ujian Covid-19,” katanya pada sidang media mengenai telesidang itu dan perkembangan terkini Covid-19, di sini.

Dzulkefly berkata KKM juga mengulang komitmen akan terus bekerjasama dengan WHO serta pelbagai pihak terlibat dalam pengurusan kes serta menangani Covid-19.

Sebelum ini, wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru turut menyatakan Malaysia cemerlang dalam melakukan siasatan kes Covid-19 selain telus berkongsi perkembangan terkini bukan hanya kepada WHO tetapi juga kepada orang ramai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dua lagi sembuh, jumlah dirawat kini tujuh

PUTRAJAYA, 19 FEB: Jumlah pesakit Covid-19 yang berjaya dipulihkan terus bertambah kepada 15 selepas dua lagi daripada 22 individu yang disahkan positif kluster itu sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kedua-dua kes itu merupakan kes ke-17 dan ke-18 yang disahkan positif dijangkiti Covid-19 pada 9 Februari lepas dengan kedua-duanya dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga ingin memaklumkan bahawa tiada kes baharu dilaporkan pada hari ini.

“Jumlah kumulatif kes Covid-19 kekal sebanyak 22 kes dengan hanya tujuh kes masih dirawat di hospital,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kementerian tidak akan mengambil mudah dan merasa selesa dengan kejayaan mengurangkan jumlah pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata petugas perubatan perlu peka dan mengambil kira situasi gawat dihadapi Singapura dalam berdepan wabak itu yang mungkin boleh memberi kesan kepada negara.

“Saya nasihatkan supaya jangan mudah selesa dengan kejayaan menurunkan jumlah pesakit sebab negara di seberang Tambak Johor, iaitu Singapura sedang alami satu kedudukan sedikit gawat sehingga menaikkan tahap respons wabak penyakit kepada jingga.

“Bagi rakyat pula, mereka perlu kekal dengan amalan hidup sihat dan mereka yang mempunyai simptom harus kekal memakai topeng muka bagi mengelak menjangkiti orang lain,” katanya.

Dzulkefly berkata Malaysia juga akan terus berbincang dengan Singapura mengenai langkah bersama yang boleh diambil bagi menangani penularan Covid-19 termasuk aspek saringan keluar masuk antara kedua-dua negara.

Daripada 22 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di negara ini, sembilan daripadanya masuk melalui Singapura.

Ditanya sama ada Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dalam merawat kes Covid-19, Dzulkefly berkata perkara itu telahpun dilakukan melalui platform Rangkaian Pusat Operasi Kecemasan ASEAN.

“Kita juga komited meneruskan kerjasama dan berkongsi kepakaran dengan mana-mana pihak dalam bertukar maklumat tentang kesihatan awam serta pengurusan dan pengubatan berkaitan pesakit Covid-19,” katanya.

Terdahulu, Dzulkefly melancarkan Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Virtual Health Advisory ATAU iaitu platform menyampaikan maklumat dan mengurangkan kekeliruan orang awam berkaitan jangkitan Covid-19.

Virtual Health Advisory merupakan saluran digital yang dihasilkan secara kolaborasi antara Kementerian Kesihatan dengan DoctorOnCall yang boleh diakses secara percuma bagi tempoh tiga bulan.

Dzulkefly berkata melalui platform itu, orang awam boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Pakar Perubatan Keluarga atau pegawai perubatan KKM menerusi perbualan secara dalam talian.

Waktu khidmat nasihat bermula 8.30 pagi sehingga 5 petang setiap hari dan perkhidmatan itu boleh dicapai menerusi laman sesawang www.moh.gov.my menggunakan peranti yang mempunyai kamera, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat rakyat Malaysia dijangkiti koronavirus stabil

PUTRAJAYA, 7 FEB: Empat rakyat Malaysia yang dijangkiti wabak koronavirus 2019 dalam keadaan stabil selepas beberapa langkah diambil untuk memulihkan mereka, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata mereka bersama pesakit lain kes positif wabak itu termasuk warga China, pada masa ini ditempatkan di wad isolasi.

Semua pesakit dari China juga umumnya dalam keadaan stabil.

“Kami beri segala diet, ruang untuk pemulihan dan tingkatkan sistem imun mereka,” katanya pada sidang media harian situasi terkini koronavirus di sini hari ini yang turut memaklumkan kes positif koronavirus ke-15 di Malaysia melibatkan pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China.

Sebelas kes positif itu membabitkan 11 rakyat China.

Dalam pada itu, orang ramai terutama golongan berisiko tinggi dinasihat agar mengehadkan lawatan ke hospital terutama atas urusan tidak penting bagi mengekang penularan jangkitan koronavirus.

Dr Dzulkefly berkata mereka termasuk kanak-kanak, warga emas berusia 65 tahun ke atas, mereka yang menghidap penyakit kronik, pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah dan wanita hamil.

“Jika golongan ini masih perlu hadir ke hospital, mereka dinasihat mengamalkan penjagaan kesihatan diri,” katanya sambil memeberitahu antara amalan itu ialah mengelak daripada menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa membasuh tangan terlebih dahulu, basuh tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun sekurang-kurangnya 20 saat atau gunakan hand sanitiser.

Beliau turut bercakap tentang keperluan mengelak mendekati mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan selesema, menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, serta membasuh tangan dengan serta-merta.

Dr Dzulkefly berkata sesiapa yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan harus memakai penutup hidung dan mulut serta kekalkan jarak yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Satu lagi kes positif, jumlah terkini 15

PUTRAJAYA, 7 FEB: Satu lagi kes positif koronavirus 2019 dikenal pasti, menjadikan jumlah kes positif di negara ini meningkat kepada 15, setakat petang ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes terbaharu itu membabitkan seorang pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China, yang masuk ke Malaysia pada 21 Januari lepas.

Beliau berkata wanita itu bersama-sama suami, anak lelaki dan menantunya telah tiba di Singapura pada 17 Jan dan kemudiannya pergi ke Johor Bahru pada 21 Januari.

“Wanita itu mula mengalami gejala demam pada 26 Januari. Beliau tidak mendapatkan rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan dan hanya mengambil ubat demam yang dibeli anaknya dari farmasi berhampiran tempat penginapannya.

“Pada Rabu (5 Februari) beliau masih tidak sihat setelah ubatan yang diambilnya habis. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bharu menerima makluman daripada pihak pengurusan tempat penginapannya pada hari yang sama dan beliau telah dirujuk ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

Bercakap pada sidang media di sini, Dr Dzulkefly berkata wanita itu kini berada di wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru dan dalam keadaan stabil.

Katanya, suami wanita itu yang berusia 66 tahun juga diletakkan di wad isolasi hospital yang sama dan didapati tidak bergejala. Namun, sampel calitan tekak telah diambil dan menunggu keputusan makmal.

“Wanita itu dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari dengan menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou, tetapi telah menangguhkannya kerana kurang sihat. Namun, anak lelaki dan menantunya telah pulang ke China pada tarikh tersebut.

“Buat masa ini, kita sedang melakukan proses pengesanan kontak pesakit ketika beliau menginap di pusat penginapan itu,” tambahnya.

Menteri itu berkata 15 kes positif itu membabitkan 11 rakyat China dan empat rakyat Malaysia.

Sebanyak 16 kes lagi masih menunggu keputusan makmal.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Ambil langkah pencegahan awal semasa Thaipusam

PUTRAJAYA, 6 FEB: Penganut Hindu dan pengunjung yang mahu menyertai sambutan Thaipusam Sabtu ini dinasihat mengambil langkah pencegahan awal bagi mengelak kemungkinan jangkitan koronavirus.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata mereka diminta mengutamakan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau pembersih tangan (hand sanitizer) serta memakai penutup mulut dan hidung.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ingin menasihatkan elakkan hadir bagi mereka yang tidak sihat tetapi jika mahu hadir juga mereka perlu mengambil langkah pencegahan, pakai topeng mulut dan hidung,” katanya pada sidang media harian situasi terkini koronavirus di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata Pusat Operasi Perubatan yang diselaraskan Hospital Selayang juga akan melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan bagi mencegah, membendung dan bertindak balas bagi sebarang insiden yang mungkin berlaku.

Thaipusam akan disambut Sabtu ini dan Batu Caves, Selangor antara lokasi yang dijangka menerima kunjungan 15,000 penganut selain sambutan di Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata KKM kini masih dalam fasa pembendungan dan berharap situasi tersebut kekal dalam menangani penularan koronavirus di negara ini.

“KKM kini berada dalam fasa pembendungan dan kita sedang menguji lebih ramai orang bermakna kita belum masuk ke tahap mitigasi antaranya tidak cukup katil di hospital, tidak cukup makmal untuk ujian atau fasiliti hospital tidak mampu menampung (pesakit). Kita harap tidak jumpa situasi sebegini,” katanya.

-BERNAMA