Categories
NASIONAL

Kerjasama hospital awam-swasta bantu tangani kekurangan pakar

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Usaha untuk meningkatkan kerjasama antara hospital awam dan swasta bagi menambahbaik sistem kesihatan di negara ini sudah mula dilaksanakan selepas penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan, bulan lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kolaborasi itu diyakini dapat membantu hospital awam khususnya dalam menangani isu kekurangan tenaga pakar dan fasiliti, selain beban kerja yang tinggi serta kos rawatan yang semakin meningkat.

“Terdapat beberapa hospital swasta sudah menyatakan niat murni mereka untuk bekerjasama. Jadi, kita sangat mengalu-alukan kedatangan mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan ke Hospital Ampang hari ini.

Beliau meluangkan masa selama dua jam melawat pesakit kanser di wad hematologi di hospital berkenaan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Majlis Penasihat Kesihatan berperanan menjana idea ke arah memperkasakan sistem kesihatan negara selain membantu kerajaan merangka hala tuju baharu memperkasa Kementerian Kesihatan ke arah kelas dunia.

Dalam pada itu, Dzulkefly menggalakkan orang ramai menjalankan ujian saringan dan pengesanan awal penyakit kanser kerana penyakit itu direkodkan sebagai penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat di negara

Katanya, dianggarkan 60 peratus penyakit kanser di negara ini dikesan pada tahap lewat iaitu Tahap 3 dan 4.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cakna gejala kanser, UICC angkat tema ‘I Am and I Will’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 FEB: Penularan wabak kanser boleh dielakkan dengan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti kerana kanser kini adalah penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bersempena dengan sambutan Hari Kanser Sedunia disambut 4 Februari setiap tahun, The Union for International Cancer Control (UICC) telah memperkenalkan satu tema baharu yang bakal digunakan untuk tempoh tiga tahun (2019 hingga 2021) iaitu ‘I Am and I Will’ atau ‘Saya Akan dan Saya Boleh’.

“Tema ini menyaran dan memperkasakan semua individu untuk menyuarakan komitmen masing-masing dalam mengambil tindakan untuk memerangi wabak kanser.

“Tiga jenis kanser yang tertinggi dalam kalangan lelaki di Malaysia adalah kolorektal (16.4%), paru-paru (15.8%) dan nasopharynx (8.1%), manakala di kalangan wanita adalah payudara (32.1%), kolorektal (10.7%) dan serviks (7.7%).

“Beban penyakit kanser dijangka akan meningkat disebabkan oleh prevalen faktor risiko penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) yang tinggi dan populasi menua (aging population) di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pengesanan kanser di peringkat awal penting kerana dianggarkan 60 peratus kanser di Malaysia dikesan pada tahap yang lewat (Tahap III dan IV) susulan kurangnya kesedaran melakukan ujian saringan pengesanan lebih awal.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan perkhidmatan saringan untuk empat jenis kanser iaitu payudara, serviks, kolorektal dan oral di klinik kesihatan KKM di seluruh negara manakala saringan bagi individu berisiko tinggi untuk kanser tertentu seperti hati, prostat dan nasopharynx boleh didapati di hospital KKM.

“Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang akan mula dilaksanakan pada Mac ini menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

“Manakala Skim Perlindungan Nasional B40 mySalam telah diperkenalkan untuk membantu Kumpulan B40 dengan memberi perlindungan perubatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kecemasan atau masalah kesihatan untuk 36 jenis penyakit kritikal, yang turut merangkumi kanser.

“Marilah kita bersama-sama mengambil tindakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan menjalani ujian saringan, dan mengenali tanda dan gejala awal kanser. Kita juga perlu bersama-sama memerangi mitos, infomasi yang tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat Malaysia enggan menjalani saringan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Skim PeKa B40 masih dalam fasa projek perintis

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Kementerian Kesihatan memaklumkan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) masih dalam fasa projek perintis dan belum lagi dilancarkan sepenuhnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelancaran diadakan pada 28 Januari lalu adalah sesi pelancaran media yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap skim PeKa B40.

“Kementerian Kesihatan buat masa ini mahu mengkaji penerimaan rakyat serta pemegang taruh lain terhadap skim ini.

“Pembabitan dan sokongan setiap pemegang taruh adalah amat penting bagi memastikan kejayaan skim PeKa B40 iaitu satu inisiatif memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam dan swasta melalui pembiayaan daripada dana kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor BERNAMA.

PeKa B40 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan permulaan RM100 juta dijangka mampu memanfaatkan 800,000 penerima.

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) serta pasangannya berumur 50 tahun ke atas, layak menyertai skim itu secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.

Dr Dzulkefly berkata, bagi fasa projek perintis skim PeKa B40, pemegang taruh swasta yang akan terbabit dalam proses pemberian manfaat saringan kesihatan kepada pesakit adalah pemilik klinik perubatan am swasta dan syarikat makmal perubatan swasta.

“Selari dengan matlamat saya untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan primier di negara ini, skim PeKa B40 secara langsung akan mempertingkatkan kerjasama antara pengamal perubatan di klinik perubatan am swasta dengan pengamal perubatan di fasiliti perubatan kerajaan.

“Skim PeKa B40 diuruskan sendiri oleh Kementerian Kesihatan melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp), sebuah syarikat 100 peratus milik kerajaan dan telah ditubuhkan sebagai syarikat yang tidak berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan.

“PHCorp bukan sebuah Managed Care Organisation (MCO) atau Third Party Administrator (TPA). Tujuan penubuhannya bagi meluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan mengoptimakan penggunaan ekosistem pembekal kesihatan awam dan swasta sedia ada,” katanya.

Katanya, mulai Februari ini kementerian akan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama pihak pemegang taruh yang berkenaan untuk membincangkan pembabitan mereka dalam skim itu.

Beliau berkata, skim PeKa B40 akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kejayaan setiap fasa pelaksanaan serta membina asas skim PeKa B40 yang kukuh sebelum ia diperkembangkan kelak.

“Pelaksanaan skim PeKa B40 adalah komitmen kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL

200 pesakit talasemia major dikesan setiap tahun

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Dianggarkan seramai 200 pesakit talasemia major dikesan setiap tahun tanpa langkah pencegahan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, ekoran itu kerajaan perlu membelanjakan RM3 juta bagi kos rawatan setiap pesakit sepanjang hayat mereka.

Justeru, katanya, penting bagi rakyat Malaysia mengetahui status talasemia mereka bagi mengawal penyakit tidak berjangkit itu.

“Berbanding sesetengah negara, kos penjagaan dan rawatan talasemia di negara ini ditanggung kerajaan.

“Pembawa baka penyakit ini boleh membantu Kementerian Kesihatan mencegah kelahiran kes baharu pesakit talasemia dengan memilih bukan pembawa sebagai teman hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Hari Kesedaran Talasemia Peringkat Kebangsaan 2018, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, sehingga Ogos lalu, seramai 7,848 pesakit berdaftar dalam daftar pesakit talasemia dengan 55 peratus daripadanya berusia bawah 20 tahun.

Menjelaskan berkenaan penyakit itu, Dr Dzulkefly berkata, pesakit tidak dapat menghasilkan sel darah merah kerana kecacatan baka dan memerlukan pemindahan darah secara tetap bagi menjalankan kehidupan seharian.

Beliau berkata, tanpa pemindahan darah, pesakit hanya dapat hidup sehingga usia tiga atau empat tahun sahaja, manakala ketika ini dengan rawatan optima mereka boleh hidup sehingga berumur lebih 40 tahun.

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap ketika merasmikan Sambutan Hari Kesedaran Thalassaemia Peringkat Kebangsaan 2018 di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur hari ini.
fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA?

“Dalam usaha mengurangkan kelahiran bayi dengan talasemia, Kementerian Kesihatan menyaring 542,284 pelajar tingkatan empat bermula 2016 sehingga 2018 dan mendapati 13,712 adalah pembawa penyakit itu.

“Kementerian Kesihatan menawarkan khidmat kaunseling kepada mereka dan anggota keluarga bagi menjelaskan status pembawa dan peranan mereka dalam pencegahan

“Mereka yang bercadang berkahwin dan mempunyai sejarah talasemia daripada keluarga terdekat boleh mengetahui status menerusi saringan di klinik kesihatan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Minuman Alkohol: Larangan jual naik kepada 21 tahun

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewartakan pindaan peraturan berkaitan minuman beralkohol di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 pada 27 Mei 2016 dan berkuatkuasa pada hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pindaan peraturan tersebut terdiri daripada pindaan ke atas peraturan 361 mengenai standard am bagi minuman beralkohol sedia ada dan mewujudkan peraturan baru 386A mengenai Sebatian Minuman Keras (Compounded Hard Liquor atau CHL).

“Pindaan ini melarang penjualan minuman beralkohol kepada mereka berumur 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.

“Setiap penjual diwajibkan mempamerkan notis ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ di hadapan premis jualan dan label semua produk beralkohol.

“Selain itu, tanda larangan jualan kepada bawah umur 21 tahun di kaunter jualan serta mewajibkan semua minuman beralkohol untuk jualan dipamerkan di kabinet atau rak berasingan dari makanan lain,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Menurutnya, pindaan ini selaras dengan ‘Global Strategy to Reduce the Harmful Use of Alcohol’ yang telah dimertai semua Menteri Kesihatan semasa World Health Assembly ke-63 pada 2010 untuk mengurangkan kebolehdapatan minuman beralkohol di pasaran

“Standard baru CHL diwujudkan bagi mengawal keselamatan dan kualiti produk serta memberi maklumat yang tepat kepada pengguna.

“CHL merupakan minuman beralkohol dihasilkan daripada minuman beralkohol seperti wiski, rum, vodka dan brandi dengan etil alkohol yang ditambah atau sulingan yang berasal daripada pertanian.

“Standard yang baru ini juga menetapkan bahawa produk CHL hanya dibenarkan dijual dalam botol kaca dengan isipadu minima 700ml,” katanya.

Dzulkefly berkata, kegagalan mematuhi peraturan 361 dan 386A mengenai CHL merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.