Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan benarkan keluar lebih 10km beli makanan, ubat

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pergerakan lebih 10 kilometer radius dibenarkan bagi membeli makanan, keperluan harian dan ubat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat.

Bagaimanapun, kelonggaran bermula hari ini hingga 12 Mei hanya dibenarkan jika barangan atau perkhidmatan diperlukan tiada dalam radius 10km dari kediaman.

“Dahulu tidak boleh keluar lebih 10km kecuali atas budi bicara polis tetapi sekarang kerajaan sudah wartakan lebih jelas,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengulas kelonggaran ketua keluarga dibenar membawa seorang lagi anggota ketika membeli keperluan harian, menteri kanan (kluster keselamatan) berkata perkara itu susulan permintaan awam sebelum ini.

“Jika rumah itu tiada kes Covid-19 dan selamat, kita benarkan. Suami dengan isteri, isteri dengan anak atau suami dengan anak tetapi tidak lebih dari dua,” katanya.

Kebenaran tersebut diputuskan melalui Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang diwartakan semalam.

Peraturan diterbitkan dalam Warta Kerajaan berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kuarantin wajib berjaya bendung penularan wabak – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 25 APRIL: Keputusan kerajaan mewajibkan individu yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin adalah tepat kerana ia terbukti berjaya membendung penularan Covid-19, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu juga dapat mengekang wujudnya kluster baharu membabitkan kes import.

Katanya, seramai 131 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air sejak 3 April lalu dan menjalani kuarantin wajib disahkan positif Covid-19.

“Saya pernah sebutkan bayangkan jika 131 ini dibenarkan pulang dan menjalani kuarantin sendirian di rumah, ia akan mewujudkan kluster baharu di mana bukan sahaja mereka, tetapi boleh merebak kepada keluarga dan masyarakat.

“Sebab itu tindakan kita untuk mewajibkan kuarantin bagi rakyat yang pulang dari luar negara adalah tindakan tepat,” katanya.

Beliau berkata, seramai 1,794 rakyat Malaysia pulang ke tanah air pada Khamis dikuarantin wajib dengan jumlah keseluruhan yang menjalani proses itu sejak 3 April lalu ialah seramai 19,945.

Katanya, sejak 17 April lalu, seramai 6,778 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

“Sehingga semalam sebanyak 209 pusat kuarantin beroperasi berbanding 204 pada hari sebelumnya yang mana 16,633 individu sedang menjalani proses berkenaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tingkat kawalan sempadan, elak diceroboh Pati – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kerajaan akan memperhebat dan memperketat kawalan serta pemantauan sempadan termasuk di ‘lorong tikus’ bagi memastikan kedaulatan negara tidak dicerobohi, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, seramai 84 individu telah ditangkap kerana mencerobohi negara ini melalui ‘lorong tikus’.

“Kerajaan sentiasa tegas dalam memastikan sempadan dan kedaulatan negara tidak dicerobohi. Justeru pemantauan bagi mengawal sempadan termasuk ‘lorong tikus’ terus diperhebatkan dan diperketatkan.

“Setiap agensi keselamatan terlibat dalam memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara terutamanya ‘lorong tikus’ bagi mengelak pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara, sekaligus membendung penularan Covid-19 ke dalam negara,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak berkuasa telah mengenal pasti semua ‘lorong tikus sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.

“Jadi semua agensi diminta menggandakan sekatan dan kawalan di lorong tikus yang dikenalpasti,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata setakat semalam seramai 386 individu ditangkap berbanding 550 kelmarin kerana ingkar PKP.

“Seramai 649 individu juga dituduh di mahkamah semalam. Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP hingga semalam adalah sebanyak 19,434 individu,”

Selain itu katanya sebanyak 11 daripada 13 penjara sementara yang diwartakan sebagai pusat tahanan bagi mereka yang ingkar PKP telah mula beroperasi.

“Setakat ini, 58 individu yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan ingkar PKP telah dihantar ke penjara sementara tersebut,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi mesin ATM terhad 12 jam sepanjang PKP

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan hari ini memutuskan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) hanya beroperasi 12 jam sehari dari 8 pagi hingga 8 malam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu bagi memastikan tiada orang awam keluar pada lewat malam dengan alasan mahu mengeluarkan wang di mesin ATM yang beroperasi 24 jam.

“Polis melaporkan apabila mesin ATM beroperasi 24 jam, ramai beri alasan untuk keluarkan wang, termasuk melebihi waktu ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi, kita buat keputusan operasi mesin ATM hanya beroperasi jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja, maka tidak ada alasan keluar tengah malam untuk mengeluarkan wang,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 11 penjara sementara yang diwujudkan kerajaan bagi menempatkan pesalah ingkar PKP akan mula beroperasi mulai 23 April ini.

“Kita akan menyediakan pegawai dari Kementerian Kesihatan untuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi,” katanya.

Pada 15 April lalu, Ismail Sabri berkata Kementerian Dalam Negeri akan mewartakan 13 akademi penjara di seluruh negara sebagai pusat tahanan pesalah PKP kerana kerajaan tidak lagi berkompromi dengan golongan tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu kongsi cara tipu polis dikenal pasti, berdepan tindakan tegas

SHAH ALAM, 17 APRIL: Polis sudah mengenal pasti individu yang tular di media sosial selepas berkongsi cara menipu polis untuk membawa keluarganya pulang ke Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap keluarga tersebut kerana tiada sesiapa akan terlepas jika melakukan kesalahan, lebih-lebih lagi mengaku ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya nak beri ingatan jangan bangga apabila melakukan kesalahan dan jangan cuba menpengaruhi orang lain untuk membuat perkara sama.

“Jangan berbangga dan menganggap diri kita ‘hero’ kerana akhirnya akan susahkan diri sendiri dan keluarga,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu tersebut berkongsi tip melepasi sekatan jalan raya oleh polis, selepas mendakwa berjaya membawa pulang keluarganya ke Kuala Lumpur.

Gambar yang tular di media sosial turut menunjukkan pelekat petugas kesihatan dalam kenderaannya, sekali gus menimbulkan kemarahan netizen.

Menjawab persoalan bidang kuasa polis mengeluarkan waran kepada orang ingkar PKP, Ismail Sabri berkata tindakan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta akta lain di bawah Kanun Keseksaan.

“Seksyen 3.1 di bawah akta tersebut jelas menyatakan menteri kesihatan boleh melantik mana-mana individu menjadi pegawai dan diberi kuasa untuk menahan orang yang ingkar (PKP).

“Malah Seksyen 3.2 menyebut seseorang pegawai diberi kuasa untuk bertindak dalam bidang kuasa dan kewajipannya di bawah akta ini dan segala kesalahan mengingkari perintah pegawai awam boleh dihukum di bawah akta ini dan Kanun Keseksaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas individu sebar berita palsu, 220 kes disiasat

SHAH ALAM, 16 APRIL: Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang menyebar berita palsu bahawa fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak diwartakan seperti didakwa dua hari lalu, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata kerajaan memandang serius penularan itu kerana PKP fasa ketiga sudah diwartakan malah polis bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membuka sebanyak 220 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19.

“Daripada jumlah tersebut, 152 kes masih dalam siasatan, manakala 24 kes telah dituduh di mahkamah dan sebanyak 13 telah mengaku bersalah,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, sebanyak 180 pusat kuarantin beroperasi dengan 15,093 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan 820 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat boleh beroperasi semula selepas diluluskan MITI

SHAH ALAM, 16 APRIL: Syarikat hanya dibenarkan beroperasi semula selepas mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sementara semua pihak masih tertakluk dengan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata polis memaklumkan peningkatan jumlah kenderaan semalam kerana mereka mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan walaupun belum mendapat kelulusan dan pemeriksaan lebih ketat akan dilakukan selepas ini.

“Saya ingin memberikan ingatan bahawa undang-undang tentang PKP ini masih berjalan seperti biasa. PKP belum ditarik balik, PKP berterusan untuk fasa ketiga dan sesiapa yang ingkar tetap akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sebarang aktiviti yang membabitkan rantaian bekalan dan pemasaran makanan serta perubatan sahaja dibenarkan beroperasi seperti sebelum ini bagi memastikan bekalan mencukupi.

Sebanyak 813 sekatan jalan raya dengan 558,548 kenderaan diperiksa di samping 56,052 pemeriksaan mengejut serta 6,364 premis diperiksa pihak berkuasa di seluruh negara semalam.

Seramai 1,315 individu ditangkap kerana ingkar PKP merangkumi 1,226 individu direman, 89 individu dijamin polis sementara 312 orang dituduh di mahkamah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan tarik balik kebenaran operasi kedai gunting rambut

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kerajaan hari ini menarik balik kelulusan membenarkan kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendengar pandangan rakyat serta nasihat kumpulan pakar dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Perdana Menteri membuat keputusan bahawa operasi semua premis tersebut tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP. Ini sekali gus menjawab segala persoalan yang ditimbulkan rakyat, jadi tidak ada lagi isu kerana ia tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Jumaat lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi semasa PKP fasa ketiga bermula 15 April ini, antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Bagaimanapun, ia menimbulkan perbincangan hangat dalam media sosial ekoran kebimbangan wujud kluster baharu jangkitan Covid-19 di kedai gunting rambut.

Berikutan itu, kerajaan memberi jaminan akan meneliti semula cadangan tersebut dengan mengambil kira pandangan rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Simpang Renggam terus dikenakan kawalan ketat empat hari lagi

SHAH ALAM, 9 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Johor yang sepatutnya tamat hari ini dilanjutkan sehingga 14 April, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tambahan empat hari dibuat bagi menyelesaikan beberapa perkara.

“Kita setuju untuk sambung empat hari lagi untuk menyelesaikan beberapa perkara yang masih dalam tindakan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Simpang Renggam di bawah daerah Kluang mencatatkan sebanyak 175 kes positif jangkitan Covid-19.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengulas secara terperinci mengenai tatacara operasi piawai (SOP) baharu berkenaan zon merah, kuning dan hijau esok.

“Majlis Keselamatan Negara telah mengedarkan cadangan SOP tersebut dan kita bincang secara terperinci.

“Malah Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan memperincikan dari segi kawasan-kawasan yang berkaitan ketiga-tiga zon,” katanya.

Pada 27 Mac kerajaan melaksanakan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor hingga 9 April.

Tindakan itu dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan setelah pihak kementerian mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan Covid-19 di daerah Kluang, dengan 61 kes adalah dari dua kawasan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

24.62 juta topeng mulut, hidung diedar kepada rakyat

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan akan mengagihkan empat keping topeng mulut dan hidung percuma kepada setiap isi rumah di seluruh negara bagi membantu rakyat mencegah jangkitan Covid-19, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 24.62 juta topeng mulut dan hidung kini dalam proses pengedaran yang diselia Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

“APM akan serah kepada Majlis Keselamatan Negeri, seterusnya ke daerah melalui Pusat Jawankuasa Bencana Daerah.

“Dari pusat jawatankuasa ini, topeng mulut dan hidung itu akan diagihkan ke setiap rumah melalui petugas barisan hadapan,” katanya dalam sidang media harian berkaitan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, topeng mulut dan hidung akan dihantar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Jumaat ini.

Semalam, Ismail Sabri memaklumkan, topeng tersebut akan diberikan kepada 8.3 juta isi rumah.

Pengagihan itu dilakukan berpandukan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai siapa yang sewajarnya menggunakan topeng berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua kawasan zon merah jalani proses nyah cemar

SHAH ALAM, 7 APRIL: Semua kawasan zon merah sudah menjalani proses nyah cemar bagi membendung penularan Covid-19 setakat hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan 666 operasi di 79 zon termasuk 18 zon merah dan 21 zon jingga sejak 30 Mac lalu.

“Semalam, sebanyak 102 operasi nyah cemar merangkumi 48 zon di 13 negeri termasuk 32 di Johor dan 14 di Kuala Lumpur sudah dilaksanakan,” katanya pada sidang media Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas mengenai pusat kuarantin, beliau berkata, sebanyak 122 pusat kuarantin beroperasi setakat semalam yang mana seramai 7,500 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Individu tersebut termasuk 233 rakyat Malaysia yang baharu pulang ke tanah air dari luar negara,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM akan keluar SOP baharu kawalan diperketat

PUTRAJAYA, 6 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan tatacara operasi piawai (SOP) baharu mengenai kawasan yang akan dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata SOP baharu itu akan lebih fokus kepada kawasan jangkitan Covid-19.

“Kerajaan tidak mahu melibatkan radius yang terlalu luas (apabila PKPD dilaksanakan),” katanya pada sidang media berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata sebelum ini jika terdapat kes positif di sesebuah kampung, kawasan yang ditutup atau dikenakan PKPD mungkin menjangkau radius 5-6 km.

Jelas beliau, KKM sedang meneliti dan membuat penilaian terperinci mengenai beberapa kawasan yang akan dikenakan PKPD selepas ini.

“Ini kerana PKPD bermakna pergerakan dikawal sepenuhnya. Tidak boleh keluar rumah dan membeli barangan”, katanya.

Ditanya sama ada PKPD akan dilaksana di Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang mencatat hampir 400 kes positif Covid-19 setakat ini, Ismail Sabri berkata pelbagai aspek perlu dikaji terlebih dahulu.

Tiga kawasan yang dikenakan PKPD setakat ini ialah dua kampung di Simpang Renggam, Kluang, Johor; Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

Mengenai gambar yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai menyerbu bank bagi mengeluarkan wang masing-masing ekoran Bantuan Prihatin Nasional mula dibayar hari ini, Ismail Sabri mengingatkan masyarakat supaya jangan bersesak di bank.

“Tidak perlu berebut. Ketika berada di bank sekalipun, arahan jarak sosial satu meter masih perlu dipatuhi,” katanya.

-BERNAMA