Categories
SELANGOR

Pengusaha kedai gunting rambut hanya terima pelanggan lengkap vaksin

SHAH ALAM, 17 OGOS: Pengusaha premis gunting rambut hanya menerima pelanggan yang lengkap vaksin bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengurus Ruby Hair Dressing Saloon berkata langkah itu sebagai usaha melindung nyawa masyarakat, mengelakkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“Bila PKP semula premis akan ditutup kembali. Saya tak mahu perkara sama berulang kerana beri kesan pada perniagaan.

“Jadi sebagai langkah bantu kerajaan, premis kami hanya terima individu lengkap vaksin. Pekerja akan minta pelanggan tunjukkan dulu aplikasi MySejahtera,” katanya kepada SelangorKini.

Timbalan presiden persatuan gaya rambut India Malaysia itu berkata memahami kesusahan rakyat, harga gunting rambut di tiga premisnya tidak dinaikan meskipun perlu menyediakan beberapa alat pelindung diri.

“Kena ada sarung tangan, apron dan tambah perkakas menggunting tapi harga tetap sama. Saya daham kesusahan rakyat jadi harga kekal sama macam dulu.

“Dari segi SOP (tatacara operasi piawaian) dalam satu-satu masa hanya lima pelanggan sahaja dibenarkan dalam kedai,” katanya.

Bermula semalam kerajaan membenarkan premis gunting rambut, cuci kereta, elektrik dan elektronik, barangan rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, dan aksesori kereta dibuka.

Kebenaran turut diberi kepada pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen serta aksesori, barang kemas dan pusat pengedaran serta jualan kereta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasar malam, kedai gunting rambut, pusat cuci kereta dibenar operasi mulai esok

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta dibenar beroperasi semula dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat mulai esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah dinilai dari segi risiko dan jumlah kluster dihasilkan setiap aktiviti perniagaan tersebut.

“Setelah berbincang dan melihat tiada kluster baharu oleh ketiga-tiga aktiviti perniagaan ini, maka mesyuarat setuju untuk luluskan (beroperasi semula),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pasar malam dibenar beroperasi dari 4 petang hingga 10 malam dengan memastikan jarak satu meter antara setiap gerai, laluan keluar masuk yang berbeza, dan ada pengawasan oleh RELA untuk memantau pergerakan pengunjung.

Bagi kedai gunting rambut dan salon, beliau berkata ia dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam namun hanya perkhidmatan gunting rambut dibenarkan.

Ismail Sabri turut memberi bayangan lebih banyak aktiviti termasuk sukan dan rekreasi seperti gim dan kejohanan sukan berimpak tinggi, selain sektor peruncitan akan diberi kelonggaran namun ia tertakluk kepada penilaian risiko dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini, katanya selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masing-masing mengemukakan cadangan kepada mesyuarat khas hari ini.

“Kami teliti setiap perkara dibentangkan sama ada KPDNHEP dan KBS. Kami akan kaji dan setiap kajian kami pastinya akan dapat pandangan daripada KKM dan mereka akan buat penilaian risiko dan berdasarkan kluster baharu yang wujud daripada setiap aktiviti yang dicadangkan.

“Sekiranya KKM berpandangan risiko tidak tinggi dan daripada data tidak tunjukkan kluster-kluster baharu dihasilkan maka ada kemungkinan kami akan luluskan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan dirayu benar operasi kedai gunting rambut

GEORGE TOWN, 1 FEB: Pengusaha kedai gunting rambut yang kini disifatkan sedang ‘nazak’ selepas tidak dibenarkan beroperasi, hari ini merayu kepada kerajaan agar memberi kelonggaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Bendahari Persatuan Gunting Rambut India (PGRI) Pulau Pinang V Tharmararaj berkata, semua pengusaha kedai gunting rambut hanya sempat beroperasi selama enam bulan sejak 10 Jun tahun lepas, sebelum diarahkan untuk ditutup semula akibat PKP.

Beliau berkata pihaknya tidak kisah sekiranya kerajaan ingin mengetatkan lagi tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada untuk kedai rambut, asalkan mereka dibenarkan untuk beroperasi secepat mungkin.

“Saya rasa SOP di kedai rambut antara yang paling ketat dan setakat ini belum dengar ada kluster dari perniagaan kedai gunting rambut. Kami baru sahaja berpeluang untuk ‘pulih’ setelah terjejas teruk akibat PKP yang pertama, kemudian perlu ditutup semula.

“Sebanyak 60 kedai gunting rambut bernaung di bawah persatuan ini dan semuanya daripada golongan B40. Saban hari kami (persatuan) menerima rayuan daripada mereka yang meminta tolong dari bentuk kewangan, kerana tidak mampu membeli makanan untuk keluarga,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kedai Gunting Rambut Brothers hari ini.

Tambahnya, walaupun dibenarkan untuk beroperasi sejak Jun 2020, pendapatan harian mereka merosot sebanyak 50 peratus, dan larangan pengoperasian pada PKP 2.0 memburukkan lagi keadaan.

Katanya, PGRI juga tidak menggalakkan ahli persatuan mengambil tempahan gunting rambut di rumah pelanggan, bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya penularan wabak Covid-19.

“Akibatnya, ramai ahli yang tukar bidang kerja. Ada yang menjual nasi lemak, menjadi tukang masak, pekerja kilang sementara dan banyak lagi. Jadi kami sangat-sangat memohon pertimbangan kerajaan,” katanya.

Tharmararaj merupakan generasi ketiga dalam perniagaan kedai gunting rambut di Kedai Gunting Rambut Brothers, yang beroperasi selama 60 tahun.

Beliau berkata sekiranya keadaan masih sama, perniagaan itu berkemungkinan akan ditutup seperti kebanyakan kedai gunting rambut yang lain, di seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Masa depan kedai gunting rambut, spa kian kabur

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, perkhidmatan guntingan, dandanan rambut dan pusat kecantikan adalah antara sektor terakhir diberikan kebenaran beroperasi.

Alasannya, ia sukar mematuhi arahan penjarakan sosial ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana melibatkan sentuhan fizikal dan dikhuatiri meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Ironinya, selepas dibenarkan beroperasi bermula 10 Jun tahun lepas sewaktu fasa PKP Pemulihan, sektor berkenaan yang menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah RM13.5 bilion setahun tidak pernah pun ‘melakar’ kluster baharu Covid-19.

Tidak dinafikan sememangnya wujud kes positif, namun itu pun hanya melibatkan tukang gunting rambut warga asing yang didapati memberikan perkhidmatan secara tidak sah dari rumah ke rumah sebelum kebenaran rasmi diberikan.

Tatkala baru bertatih semula selepas terjejas teruk akibat dipaksa ‘berhibenarsi’, sejarah kembali berulang kepada kira-kira 74,500 tenaga kerja dari 16,728 perniagaan berdaftar di bawah sektor berkenaan yang terpaksa sekali lagi menutup pintu perniagaan mereka pada pelaksanaan PKP 2.0 kali ini.

Wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia Bambang Sutrisno Soteto ketika dihubungi Bernama berkata sejak PKP dilaksanakan Mac tahun lepas sehingga kini kira-kira 5,800 salon dan pusat dandanan rambut terpaksa gulung tikar.

Bimbang semakin ramai terpaksa gulung tikar kali ini, beliau berkata pihaknya sudah menghantar surat rayuan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memohon kebenaran beroperasi.

“Sebelum ini kami telah membuktikan kami mampu mematuhi SOP ditetapkan dan tidak pernah lagi wujud kluster gunting rambut, kami yakin kali ini kami juga mampu mematuhi SOP berkenaan,” katanya.

Antara SOP yang ditetapkan kerajaan bagi sektor ini termasuk pemakaian pelindung muka, apron pakai buang dan satu set sarung tangan bagi setiap pelanggan serta menjaga jarak antara pelanggan sekurang-kurangnya dua meter, selain memastikan bilangan pelanggan mengikut keluasan premis.

Sementara itu, Presiden Persatuan Spa Malaysia (Amspa) Datin Jeanette Tembakau cukup khuatir industri spa juga bakal ‘nazak’ sekiranya terus tidak mendapat kebenaran untuk beroperasi.

Sehingga kini beliau anggarkan terdapat kira-kira 60 spa yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu menanggung bebanan kos.

“Kami sangatlah menitikberatkan kebersihan dan pematuhan SOP sewaktu bekerja. Malah dalam satu bilik pun biasanya paling ramai dua pelanggan sahaja dan katil juga memang diletakkan berjauhan. Kami turut mewajibkan latihan berhubung SOP kepada spa terapi kami secara dalam talian,” katanya.

Beliau juga menyatakan industri spa sebenarnya boleh diumpamakan sebahagian daripada perkhidmatan perlu memandangkan fungsinya berkaitan dengan kesihatan terutamanya terapi yang sangat berkesan untuk mengurangkan tekanan.

“Sekarang memang banyak orang menghadapi tekanan terutamanya apabila ‘terperangkap’ disuruh duduk di rumah, bekerja di rumah. Kurang pergerakan menyebabkan tubuh badan letih dan tidak bermaya,” katanya menambah bahawa ketika ini terdapat lebih kurang 400 ahli berdaftar di bawah Amspa.

Seorang pengusaha spa selama lima tahun Shalwiza Rahmat, 36, berkata sepertimana perniagaan lain, mereka juga perlu ‘survive’, perlu ada aliran tunai untuk menanggung gaji pekerja dan sewa premis.

“Tidak bermakna kami perlu dipinggirkan sebegini. Cukuplah tahun lepas diarah tutup selama tiga bulan. Masih belum pulih. Bagaikan jatuh ditimpa tangga,” kata pemilik Derma Medispa yang beroperasi di Johor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai gunting rambut masih tidak boleh beroperasi

SHAH ALAM, 19 MEI: Perkhidmatan gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi walaupun kerajaan menerima permohonan daripada pelbagai pihak, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya sedia maklum kedai gunting rambut  laris menjelang hari raya tetapi setakat ini belum ada perbincangan mengenai pembukaan semula operasinya.

“Setakat ini kita (Kerajaan) belum bincangkan perkara ini kerana gunting rambut masih dalam senarai negatif atau terlarang (beroperasi).

“Kalau dinasihatkan Kementerian Kesihatan kita boleh berbincang mengenai kedai gunting rambut ini, kita akan lakukan,” kata beliau ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada 12 Mei lalu, kerajaan mengumumkan perkhidmatan gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi kerana tersenarai dalam perkara yang dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Larangan itu, termasuk perkhidmatan gunting di rumah pelanggan.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Selangor sokong batal operasi kedai gunting rambut

SHAH ALAM, 13 APRIL: Selangor mengalu-alukan keputusan kerajaan melarang operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata keputusan sama turut diambil Kerajaan Negeri dengan mengambil kira faktor kesihatan serta keselamatan orang ramai.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan melakukan perkara sama di Selangor dengan mengambil kira faktor kesihatan serta keselamatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan hari ini menarik balik kelulusan membenarkan premis tersebut beroperasi selepas mendengar pandangan rakyat serta nasihat kumpulan pakar dan pertubuhan bukan kerajaan.

Larangan tersebut antara tiga arahan terbaharu perdana menteri. Dua lagi adalah melarang penganjuran bazar Ramadan dan membatalkan keizinan pelajar pulang ke kampung masing-masing.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan tarik balik kebenaran operasi kedai gunting rambut

SHAH ALAM, 13 APRIL: Kerajaan hari ini menarik balik kelulusan membenarkan kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendengar pandangan rakyat serta nasihat kumpulan pakar dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Perdana Menteri membuat keputusan bahawa operasi semua premis tersebut tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP. Ini sekali gus menjawab segala persoalan yang ditimbulkan rakyat, jadi tidak ada lagi isu kerana ia tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Jumaat lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi semasa PKP fasa ketiga bermula 15 April ini, antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Bagaimanapun, ia menimbulkan perbincangan hangat dalam media sosial ekoran kebimbangan wujud kluster baharu jangkitan Covid-19 di kedai gunting rambut.

Berikutan itu, kerajaan memberi jaminan akan meneliti semula cadangan tersebut dengan mengambil kira pandangan rakyat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Kebenaran buka kedai gunting rambut hanya di zon hijau

SHAH ALAM, 12 APRIL: Cadangan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga, hanya membabitkan kawasan zon hijau Covid-19, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ketika memaklumkan perkara itu turut menjelaskan setiap pengusaha kedai gunting rambut perlu membuat permohonan terlebih dahulu.

“Daripada apa yang kita dimaklumkan oleh Miti, bukan bermakna bila umum (kedai gunting rambut beroperasi) automatik akan dilaksanakan, saya difahamkan ada proses permohonan, tak semestinya yang memohon akan diterima atau ditolak.

“Keputusan akan dibuat oleh Miti, lebih-lebih lagi cadangan di kawasan zon hijau saja, bagaimanapun perinciannya akan dikeluarkan oleh Miti nanti,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa menerima pandangan rakyat termasuk kebimbangan mengenai kemungkinan wujud kluster baharu jangkitan Covid-19 di kedai gunting rambut.

“Miti akan teliti dan perhalusi, kita serah kepada pihak Miti, biar mereka keluarkan kenyataan untuk beri penjelasan,” katanya.

Kelmarin, Miti mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi semasa PKP fasa ketiga bermula 15 April ini, antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Bagaimanapun ia menimbulkan perbincangan hangat dalam media sosial ekoran kebimbangan wujud kluster baharu jangkitan Covid-19 di kedai gunting rambut.