Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tubuh pasukan petugas pantau SOP – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 5 MEI: Polis menubuhkan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana tumpuan polis tidak lagi terhadap sekatan jalan raya memandangkan pergerakan rakyat telah dilonggarkan.

Katanya semua ketua polis daerah juga menubuhkan Pasukan Pematuhan PKPB di peringkat daerah yang dianggotai secara tetap oleh tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta akan membabitkan pihak berkuasa tempatan.

“Pendekatan yang akan diambil Pasukan Pematuhan ini adalah memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri. Pasukan ini juga akan memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan.

“Sekiranya ada individu atau sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan setelah diberi nasihat dan amaran, maka pasukan ini akan mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Ismail Sabri berkata selain polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memberi kuasa kepada 13 lagi agensi kerajaan untuk pelaksanaan pematuhan PKPB iaitu:

– Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
– Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
– Rela
– Jabatan Imigresen
– Jabatan Kerja Raya
– Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
– Majlis Keselamatan Negara (MKN)
– Jabatan Tenaga Kerja (JTK)
– Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH)
– Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
– Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD di Hulu Langat dan kawasan sekitar KL tamat

SHAH ALAM, 4 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hulu Langat dan beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur ditamatkan semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan Maahad Tahfiz An Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23 Kampung Sungai Lui, Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawasan sekitar Jalan Masjid India.

“PKPD di Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur, Parcel A dan B yang meliputi Jalan 6/3A dan 9/3A serta Pasar Borong Kuala Lumpur akan tamat hari ini.

“Bagi Parcel C, D, E1, E2, E3 dan F Pusat Bandar Utara, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melanjutkan PKPD sehingga 12 Mei,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada 29 Mac lalu, kerajaan mengenakan PKPD di Sungai Lui selepas lebih satu perempat daripada penghuni di sebuah sekolah agama dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, PKPD di sebahagian besar kawasan Sungai Lui ditamatkan pada 14 April lalu kecuali Maahad Tahfiz An Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23 Kampung Paya Lebar.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menafikan kepulangan besar-besaran rakyat Malaysia dari Singapura seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kepulangan warga Malaysia dari Singapura masih sekitar 300 hingga 350 orang sehari. Tiada kepulangan besar-besaran seperti yang dibimbangi ramai,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi syarat pergerakan radius 10km

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan memansuhkan larangan perjalanan melebihi radius 10 kilometer dari kediaman masing-masing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata orang ramai masih tidak dibenarkan merentas negeri.

“Tiada lagi syarat radius 10 kilometer dalam peraturan PKPB. Bagaimanapun, rentas negeri masih tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, katanya, kerajaan turut membenarkan orang ramai mengambil gambar dan video pelakuan individu yang ingkar tatacara operasi piawai (SOP) PKPB dan salurkan kepada pihak berkuasa.

“Yang nampak jelas kelakuan ingkar PKPB boleh lapor ke balai polis berdekatan atau pejabat pihak berkuasa tempatan atau hubungi Majlis Keselamatan Negara di talian 8882010,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Akta cegah, kawal penyakit berjangkit masih berkuat kuasa – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 4 MEI: Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih berkuat kuasa, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana ramai yang terkeliru seolah Akta 342 tidak lagi berkuat kuasa susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“PKPB ini sama juga dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lain. Akta ini terus berkuat kuasa dan hukuman tetap sama iaitu kompaun tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pemilik premis yang gagal patuhi tatacara operasi piawai (SOP) PKPB, boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta 342, malah perniagaan mereka boleh ditutup,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Selain itu beliau berkata, peraturan yang diwartakan dalam PKP sebelum ini akan terbatal apabila ada peraturan baharu diwartakan.

“Contoh dalam PKP empat kita wartakan kebenaran dua orang ahli keluarga dalam satu kenderaan, jadi peraturan itu terbatal kerana kerajaan sudah wartakan peratuan baharu dalam PKPB iaitu kebenaran kepada 4 ahli keluarga dalam satu kenderaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak lonjakan kes, pekerja asing wajib jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 4 MEI: Semua pekerja asing di negara ini wajib menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh majikan, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu susulan kewujudan kluster baharu di tapak pembinaan Kuala Lumpur yang merekodkan 28 kes semalam.

“Sebagai langkah pencegahan, kerajaan mewajibkan pekerja asing di semua sektor untuk membuat saringan kesihatan atau ujian calitan dengan kos ditanggung oleh majikan. Kementerian Kesihatan cadang mulakan di Wilayah Persekutuan dan Selangor,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Jabatan Kerja Raya sudah menutup operasi tapak pembinaan di Ampang yang menjadi kluster baharu wabak.

“Di mana sahaja berlaku penyebaran kes Covid-19 sama ada kilang, tapak pembinaan mahupun kedai makan, kita akan tutup sektor ini serta-merta,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

MyTrace kesan kontak individu positif Covid-19

SHAH ALAM, 3 MEI: Aplikasi MyTrace yang dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama pakar tempatan membolehkan kerajaan mengesan kontak kepada individu positif Covid-19.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata aplikasi menggunakan gelombang ‘Bluetooth’ boleh mengesan individu berhampiran pesakit wabak dengan data tersebut disimpan selama 21 hari dalam telefon bimbit pengguna.

“Pengesanan kontak sangat penting supaya dapat diketahui siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang dikenal pasti positif Covid-19,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata untuk memastikan keberkesanannya, kerajaan menyasarkan sekitar 60 peratus pengguna telefon di seluruh negara memanfaatkannya.

“Sekiranya ada kluster Covid-19 yang baru dikesan, aplikasi MyTrace dapat membantu Kementerian Kesihatan untuk mengesan dan memutuskan jangkitannya secepat mungkin,” katanya yang memaklumkan aplikasi tersebut pelengkap kepada MySejahtera yang dilancarkan sebelum ini.

MyTrace kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store bagi peranti jenis Android, manakala versi iOS boleh didapati tidak lama lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan hadkan jumlah penumpang pengangkutan awam

SHAH ALAM, 3 MEI: Jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam perlu dikurangkan separuh daripada kapasiti sebenar bagi mengelak sentuhan dan kesesakan.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata arahan tersebut bagi memastikan semua pengangkutan awam mematuhi garis panduan penjarakan sosial di dalam kenderaan yang ditetapkan kerajaan.

“Sebagai contoh, hanya 20 penumpang boleh menaiki satu bas yang mempunyai 40 kapasiti penumpang.

“Begitu juga Transit Aliran Massa (MRT) boleh ambil separuh penumpang berbanding biasa, malah tempat berdiri mesti ditanda (untuk penjarakan sosial),” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata anggota keselamatan seperti polis dan tentera akan ditugaskan membuat pemantauan terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di kawasan menunggu serta kemungkinan di dalam kenderaan pengangkutan awam.

“Mungkin akan ada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia berada di dalam MRT, ini antara perincian yang akan kita tentukan,” katanya.

Bagi kenderaan persendirian, Ismail Sabri berkata kerajaan membenarkan ia dinaiki sehingga empat orang, namun mesti daripada rumah yang sama.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pergerakan pulang mulai 7 Mei, tidak perlu tergesa-gesa

SHAH ALAM, 2 MEI: Polis akan menyediakan jadual pergerakan merentas negeri membabitkan permohonan orang ramai untuk pulang bekerja bermula 7 hingga 10 Mei ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lebih 500,000 permohonan diterima setakat ini yang perlu diselaras bagi memastikan perjalanan lancar sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita membenarkan mereka yang terkandas untuk pulang dan polis akan membuat kenyataan media bagi memberikan penjelasan lanjut berkenaan jadual pergerakan ini,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, katanya, kakitangan awam tidak perlu tergesa-gesa pulang untuk bekerja sebaliknya perlu mematuhi jadual perjalanan yang ditetapkan polis.

“Ketua Setiausaha Negara bersetuju bahawa mereka (kakitangan kerajaan) tidak perlu bekerja pada Isnin, sebaliknya boleh balik ke tempat kerja berdasarkan hari yang ditetapkan oleh polis.

“Saya juga berharap majikan swasta mengambil pendekatan sama kerana ini bukan pilihan pekerja tetapi mereka perlu patuh jadual perjalanan,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hantar bantuan ke pusat operasi, elak pertindihan penerima

SHAH ALAM, 30 APRIL: Badan bukan kerajaan (NGO) atau individu persendirian yang ingin menghulurkan bantuan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) disaran berbuat demikian di pusat operasi yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata langkah itu bagi memudahkan petugas hadapan mengagihkan bantuan secara sama rata kepada semua penduduk tanpa pertindihan penerima bantuan.

“Kadang-kadang pusat operasi tidak tahu mereka (penduduk) sudah menerima barangan. Mungkin NGO datang menghantar bantuan ke rumah yang sama. Jadi akhirnya mungkin ada yang tidak dapat, ada yang dapat secara berlebihan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Setakat ini sebanyak tujuh kawasan di seluruh negara menjalani PKPD dan terbaru di Selayang Baru bermula 25 April sehingga 3 Mei.

Semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan selain pelawat juga tidak dibenarkan masuk.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan bincang SOP solat tarawih dan Jumaat esok

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan akan bermesyuarat esok berhubung tatacara operasi piawai (SOP) solat tarawih dan Jumaat di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat khas menteri-menteri akan membincangkan beberapa perkara termasuk hukum penjarakan sosial daripada sudut agama ketika solat jemaah, lapor Berita Harian.

“Menteri agama akan terbabit dalam mesyuarat ini. Banyak SOP akan dibincang kerana ramai orang bertanya sama ada boleh atau tidak solat tarawih contohnya duduk satu meter di masjid dan pelbagai soalan lagi.

“Jadi kita minta menteri agama tampil dengan SOP dalam menentukan apakah solat Jumaat dan tarawih dibenarkan dengan penjarakan satu meter,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan memberi kelonggaran dalam fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia dilaksanakan secara berperingkat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan keperluan dijamin cukup sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Bekalan barang keperluan sepanjang Ramadan ini dijamin mencukupi, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Berikutan itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minta orang ramai tidak gusar.

“Semalam pemeriksaan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di 1,044 premis dan mendapati bekalan cukup cuma jika ada kenaikan harga maklumkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata isu penutupan taska akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara esok.

“Kita faham ibu bapa yang kerja dan anak tiada siapa jaga. Esok kerajaan akan bincang untuk keluarkan tatacara operasi piawaian (SOP) lebih lanjut,” katanya.

Pada 23 April lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP fasa ketiga yang tamat semalam akan dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hukuman ikut pertuduhan, tiada siapa kebal undang-undang

SHAH ALAM, 29 APRIL: Hukuman individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada pertuduhan dikenakan, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pesalah yang disabitkan dengan hukuman penjara tidak hanya melanggar PKP, sebaliknya melakukan kesalahan lain mengikut Kanun Keseksaan.

“Contoh ditangkap ketika ganggu tugas penjawat awam, bergaduh melawan polis atau langgar polis hingga patah kaki,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengulas isu denda RM1,000 yang dikenakan terhadap timbalan menteri kesihatan dan EXCO Perak, beliau berkata mereka hanya melanggar tatacara operasi piawai (SOP) peraturan, bukan perintah PKP yang mensabitkan hukuman penjara.

“Wakil rakyat bebas bergerak sepanjang PKP untuk memberi bantuan, namun mereka langgar penjarakan sosial. Tiada siapa dapat atasi undang-undang dan kerajaan bersikap adil. Siapa langgar akan kena tindakan tanpa mengira kedudukan,” katanya lagi.