Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Semua pusat kuarantin beroperasi dengan baik

SHAH ALAM, 6 APRIL: Semua pusat kuarantin diwartakan kerajaan di seluruh negara beroperasi dengan baik setakat ini, kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 6,698 orang kini ditempatkan di 118 pusat kuarantin bagi mengawal penularan Covid-19.

“Kerajaan ingin berterima kasih kepada semua individu yang menjalani perintah kuarantin wajib atas kerjasama yang diberikan.

“Kerajaan sentiasa memastikan kemudahan termasuk pengangkutan dan pusat kuarantin yang disedia menitikberatkan kebajikan dan kesihatan mereka,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebanyak 551 pusat kuarantin diwartakan kerajaan yang mampu menempatkan lebih 40,000 individu dalam satu-satu masa.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 56 kawasan di sembilan negeri termasuk 27 kawasan di Johor dan enam di Sarawak sudah menjalani operasi nyahkuman.

Beliau berkata operasi merangkumi 113 kawasan awam termasuk rumah ibadat, pasar awam, pasar raya dan perumahan serta 19 bangunan kerajaan.

“Turut di nyahcemar ialah tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan 4,872 unit rumah dan setakat ini tujuh PPR terlibat membabitkan 8,944 unit rumah,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Tangkapan individu ingkar naik 51 peratus

SHAH ALAM, 6 APRIL: Jumlah tangkapan individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua meningkat 51 peratus apabila 554 orang ditahan menerusi sekatan dan rondaan polis semalam berbanding 368 orang pada hari sebelumnya, kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peningkatan kali pertama sejak empat hari lalu berlaku kerana orang awam mengambil kesempatan keluar sempena cuti hujung minggu dan tindakan itu dianggap melanggar kesalahan di bawah PKP.

“Saya amat berharap tuan-tuan dan puan-puan, cuti setiap hari dan bukan hari minggu sahaja. Jadi tolong jangan mengambil kesempatan di hari minggu untuk keluar beramai-ramai,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata seramai 489 individu direman, 65 orang dijamin manakala 213 dituduh di mahkamah semalam dengan jumlah kemulatif ingkar PKP sejak dilaksanakan adalah 6,048 orang.

Katanya sebanyak 743 sekatan jalan raya dilakukan dengan 293,051 kenderaan diperiksa polis dan tentera sementara 25,818 pemeriksaan mengejut dan 4,822 premis diperiksa pihak berkuasa di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti tani, perikanan operasi seperti biasa – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 5 APRIL: Semua aktiviti pertanian dan perikanan dibenar beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan fasa dua.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran turut diberi kepada pergerakan pengangkutan serta perkilangan berkait rantaian pertanian.

“Sebagai contoh, kedai baja dibenarkan beroperasi termasuk kenderaan yang mengangkut barang pertanian,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada 31 Mac lalu, kerajaan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mewujudkan pusat jualan barangan segar terkawal di 97 lokasi di seluruh negara bagi mengatasi kesesakan di pasar awam.

Antara dicadangkan ialah pasar tani terpilih (10 lokasi), pasar tani kekal (16), pusat operasi Fama (17), My Farm Outlet (3), Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (34) dan selebihnya di kompleks jabatan dan agensi bersesuaian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 107 pusat kuarantin tempatkan rakyat Malaysia kini beroperasi

SHAH ALAM, 5 APRIL: Sebanyak 107 daripada 551 pusat kuarantin yang diwarta kerajaan kini beroperasi sepenuhnya untuk menempatkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara itu susulan terdapat kekeliruan sebelum ini berhubung kapasiti pusat kuarantin di seluruh negara.

“Semalam media melaporkan sebanyak 90 pusat kuarantin dibuka untuk menampung 40,000 rakyat…tidak betul…551 pusat kuarantin diwartakan oleh kerajaan dan mampu mengawal lebih 40,000 individu yang dihantar ke sana.

“Sehingga kini sebanyak 107 pusat kuarantin sudah beroperasi,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan semua individu yang memasuki negara terutama melalui laluan udara perlu dibawa ke pusat kuarantin sebagai langkah mengawal penularan Covid-19.

Sementara itu, mengulas aduan kenaikan mendadak beberapa harga barangan, Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau perkara tersebut.

“Langkah ini bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya tatkala rakyat sedang susah. Jika perkara ini berlaku (kenaikan), maklumkan segera kepada KPDNHEP supaya tindakan tegas boleh diambil,” katanya lagi.

Beliau turut memberi jaminan bekalan makanan di negara ini mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: JMB boleh beroperasi, had dua orang

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kerajaan membenarkan jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) kediaman berstrata beroperasi dengan had dua orang, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas menteri berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengambil kira tiada kesulitan dalam kediaman berstrata.

“Bagi memudahkan pengurusan premis kediaman berstrata, mesyuarat hari ini bersetuju JMB beroperasi sepanjang tempoh PKP dengan hanya dua orang,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah melaksanakan pembersihan awam di 426 kawasan membabitkan 11 negeri semalam.

“Kawasan yang dinyahcemar termasuk 170 balai polis dan 34,140 unit Projek Perumahan Rakyat dengan menumpukan kawasan berisiko tinggi penularan Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Internet percuma untuk individu dikuarantin

SHAH ALAM, 4 APRIL: Syarikat telekomunikasi Celcom bersetuju menyediakan perkhidmatan internet percuma kepada individu yang dikuarantin di semua pusat kemudahan kuarantin seluruh negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkhidmatan itu akan diberi melalui edaran kad sim prabayar kepada mereka yang terlibat.

“Celcom memberi kemudahan satu gigabit (GB) data internet, panggilan WhatsApp dan Skype serta 10GB data untuk Facebook serta Instagram.

“Ia memudahkan mereka yang dikuarantin berhubung dengan keluarga sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada Astro dan Unifi TV yang memberikan akses percuma untuk saluran berita serta hiburan pengguna sepanjang pelaksanaan PKP.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Polis bukan lagi tegas tetapi ‘keras’ – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 2 APRIL: Penguatkuasaan polis kini pada tahap ‘keras’ bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun jumlah ditahan dalam tempoh sehari semakin menurun iaitu 526 orang semalam berbanding 583 pada Isnin, namun masih ada individu berdegil melanggar PKP yang dilaksanakan untuk mengekang penularan Covid-19

“Tindakan mereka (polis) kini pada tahap ‘keras’, kalau di awal (pelaksanaan PKP) mereka berlembut selepas itu tukar kepada tegas dan sekarang (fasa kedua PKP) tahap keras.

“Kita berharap rakyat mematuhi peraturan ditetapkan, kerajaan berterima kasih kepada mereka yang patuh kepada arahan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata seramai 4,189 individu ditahan dan daripada jumlah itu, 1,449 orang didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar perintah.

“Ada yang dijatuhkan hukuman bukan sahaja denda tetapi penjara sehingga lapan bulan kerana ingkar arahan dan ada juga mengganggu tugas pihak polis,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga di R&R dikecualikan bayar sewa enam bulan

SHAH ALAM, 31 MAC: Peniaga di hentian Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya dikecualikan daripada membayar sewa selama enam bulan, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya, hari ini berkata perkara itu berdasarkan persetujuan pihak pengurusan lebuh raya berkaitan.

“Berita baik untuk peniaga, walaupun tidak banyak kenderaan yang melalui lebuh raya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun nasib mereka tetap dibela.

“Kerajaan berterima kasih atas keprihatinan syarikat ini dan berharap ramai lagi akan tampil kehadapan memberi bantuan,” katanya.

Lapan lebuh raya itu ialah Lebuhraya Utara Selatan (Plus), ANIH Berhad, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Turut terlibat Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd (Prolintas), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Cheras-Kajang (Grand Saga) dan Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (Grand Sepadu).

Pengecualian diberi susulan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April untuk mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fama ambil alih jual barang basah, elak pasar awam sesak

SHAH ALAM, 31 MAC: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mewujudkan pusat jualan barangan segar terkawal di 97 lokasi di seluruh negara bagi mengatasi kesesakan di pasar awam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara dicadangkan ialah pasar tani terpilih (10 lokasi), pasar tani kekal (16), pusat operasi Fama (17), My Farm Outlet (3), Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (34) dan selebihnya di kompleks jabatan dan agensi yang bersesuaian.

“Sukar untuk kawal kesesakan dan pematuhan jarak sosial di pasar basah pada waktu pagi dan kita dapati ia berlaku mungkin kerana kekurangan pilihan tempat membeli produk basah.

“Walaupun kita benarkan rakyat berbelanja dengan pelbagai pilihan di pasar basah tetapi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditentukan kerajaan mesti dipatuhi,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menggalakkan orang ramai membeli barangan secara dalam talian bagi mengelakkan kesesakan di pasar awam.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan kawalan tambahan operasi pasar borong dari jam 6 pagi hingga 4 petang, manakala pasar awam bermula 8 pagi hingga 4 petang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ismail Sabri: Rakyat boleh sambut Aidilfitri jika patuhi PKP

SHAH ALAM, 31 MAC: Rakyat di negara ini boleh meraikan sambutan Aidilfitri sekiranya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hingga 14 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hanya rakyat yang boleh menentukan sama ada PKP dilanjutkan, sekali gus merungkai kegusaran untuk menyambut perayaan itu pada Mei.

“Ramai bertanya, adakah selepas PKP fasa kedua (berakhir 14 April) ini akan disambung kepada PKP ketiga atau keempat, bolehkah kita berhari raya?

“Sememangnya ramai yang ingin kembali kepada kehidupan biasa, justeru yang boleh pastikan tiada PKP seterusnya adalah rakyat sendiri. Jika patuh, maka ketakutan untuk PKP bersambung dapat diselesaikan,” kata pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata jumlah tangkapan individu ingkar PKP semakin menurun iaitu 742 sehingga semalam, berbanding 828 kelmarin.

“Trend ini dilihat menurun, sekali gus memberi gambaran bahawa rakyat semakin patuh dan saya berharap keadaannya berterusan,” katanya.

Pada 25 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan PKP hingga 14 April susulan peningkatan kes positif Covid-19.