Categories
NASIONAL SELANGOR

PR Menang Parlimen Pandan DUN Chempaka Dan Teratai

pandan menang 01

PANDAN INDAH, 5 MEI: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dinobatkan selaku Ahli Parlimen Pandan dengan jumlah undi besar, 48,183 undi menewaskan dua lagi pencabarnya.

Rafizi memperoleh 26,729 undi majoriti dengan calon BN, Gary Lim Chin Yee memperoleh 21,454 undi sementara Allan Tan (Bebas) mendapat 2,415 undi.

Keputusan ini sekaligus merampas kemenangan PRU-12 BN melalui Datuk Seri Ong Tee Keat pada 2008. Rafizi yang ditemui selepas itu melahirkan rasa gembira berhubung kemenangan berkenaan.

“Dari dulu saya dah nyatakan kepada parti kita akan menang Pandan kerana pengundi di sini campurannya 48 peratus Cina 45 peratus Melayu dan 7 peratus India,” katanya.

Beliau menafikan bakal dilabelkan sebagai ‘Ajen Cina’ kerana menang hampir semua tempat mempunyai pengundi Melayu. Sebelum ini Rafizi termasuk di dalam radar ‘mesti ditumpaskan’ Umno-BN selain Nurul Izzah Anwar dan Tony Pua.

Katanya taktik berkenaan nyata silap kerana pengundi kini lebih gemar kepada politik segar dan berjiwa muda.

Penyandang DUN Chempaka, Iskandar Abdul Samad pula mengekalkan kemenangan dengan menewaskan Muhammad Faizal Sufar (Umno-BN) Iskandar memperolehi 23,117 undi sementara calon BN 13,509 undi.

Secara keseluruhan Iskandar menang dengan majoriti 9,608 undi sementara 432 undi rosak. Beliau yang ditemui melahirkan rasa gembira dan tidak menyangka menang dengan majoriti besar.

“Saya melihat kali ini adalah kebangkitan rakyat. Kita jangkakan majoriti adalah 5,000 tetapi hari ini hampir 10,000.

“Kebangkitan bukan dari orang Cina seperti yang dijangka tetapi keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Selangor kerana terus memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat menerajui negeri.

Sementara itu, Adun baru DUN Teratai, Tiew Way Keng berharap beliau dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan selepas menang di sini. Way Keng menang dengan 23,578 undi sementara calon BN, Liew Pok Boon mendapat 9,932.

pandan menang 02

“Ini adalah permulaan. Masa hadapan saya kena bekerja kuat untuk memenuhi permintaan penduduk Teratai.

“Sesungguhnya saya percaya Teratai boleh jadi tempat yang mampan, hijau dan sesuai diduduki oleh semua pihak,” katanya.

Secara keseluruhan di Parlimen Pandan, Pakatan Rakyat menang semua kerusi termasuk dua kerusi DUN yang dipertandingkan.

Semua nama calon yang menang diumumkan Pegawai Pengurus SPR, Abdul Halim Hussain.

Dianggarkan hampir 2,500 orang penyokong hadir pada bagi mendengar pengumuman rasmi yang berlangsung di Dewan Perbandaran Ampang Jaya.

Berikut adalah keputusan rasmi PRU-13:

1) Parlimen Pandan

Rafizi Ramli (PKR) – 48,183

Gary Lim (BN) – 21,454

Allan Tan (Bebas) – 2,415

Majoriti – 26,729

Undi Rosak – 1,022

2) DUN Chempaka

Iskandar Abdul Samad (PAS) – 23,117

Muhammad Faizal Sufar (BN) – 13,509

Majoriti – 9608

Undi Rosak – 432

3) Dun Teratai

Tan Way Keng (DAP) – 23,578

Liew Pok Boon (BN) – 9,932

Jenice Lee (BEBAS) – 1,832

Lim Ah Chai (BEBAS) – 61

Chin Kok Keong (BEBAS) – 115

Majoriti – 13,646

Undi Rosak – 501