Categories
BERITA UTAMA

Pemasangan 10,000 lampu LED di jalan kampung dijangka siap 2020

HULU LANGAT, 20 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memasang 10,000 unit Lampu Jalan Kampung (LJK) jenis Light Emitting Diode (LED) di kampung di Semenanjung Malaysia, bermula tahun ini dan dijangka siap tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pemasangan unit lampu jenis LED itu menggunakan dana Incentive Based Regulation (IBR) kementeriannya bagi tahun 2019/2020 yang akan memanfaatkan penduduk kampung yang memerlukan penggantian lampu jalan sedia ada.

“Inisiatif LJK ini adalah kerjasama antara KPLB dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC), yang pemasangan unit lampu ini akan digerakkan oleh kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kita fokus kepada pemasangan LJK di kampung di seluruh negeri di Semenanjung dahulu mengikut keperluan kampung itu sendiri. Untuk Sabah dan Sarawak, kita akan menggunakan peruntukan bajet KPLB,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pemasangan LJK di Kampung Rinching Hilir di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin.

Rina berkata, daripada segi pengoperasian dan penyelenggaraan, kerajaan dijangka membelanjakan sebanyak RM83 juta setahun bagi memastikan lampu yang dipasang sentiasa menerangi kawasan kampung.

Sementara itu, Bee Yin berkata, kementeriannya tidak menerima sebarang permohonan bertulis daripada kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) mengenai permohonan fasiliti pelupusan kekal (PDF) bagi sisa Water Leached Purification (WLP) di Pahang seperti dilaporkan.

Bernama semalam melaporkan kilang memproses nadir bumi Lynas setakat ini tiada mengemukakan permohonan rasmi secara spesifik lokasi PDF bagi residu WLP yang dikatakan akan dibangunkan di Pahang.

Ketika ditanya pemberita berhubung isu pembaharuan permit operasi Lynas untuk tempoh enam bulan lagi, Bee Yin berkata, kementeriannya MESTECC akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan.

“Untuk isu Lynas, MESTECC akan meneruskan pemantauan secara rapi bagi memastikan mereka terus mematuhi syarat ditetapkan selepas pembaharuan lesen,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sasar 50 peratus usahawan wanita daftar SSM

IPOH, 4 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyasarkan sebanyak 50 peratus usahawan wanita berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, setakat ini hanya 27 peratus usahawan wanita mendaftarkan perniagaan mereka daripada keseluruhan 83,969 usahawan yang direkodkan.

“Kita dapati ramai lagi yang telah membuka perniagaan tetapi tidak berdaftar. SSM merupakan dokumen asas sekiranya usahawan wanita ingin pergi lebih jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Peringkat Negeri Perak 2019, di sini, hari ini.

Rina berkata, seramai 204 wanita yang menjadi peserta kursus KEMAS telah dibantu untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM dan menerima Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan pada program itu hari ini.

“Mungkin mereka tidak tahu bagaimana proses dan di mana boleh melakukannya jadi kita bersama SSM membantu mereka bagi memastikan wanita terutama dari luar bandar untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk memajukan diri,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, golongan wanita dinasihatkan supaya membuang perspektif mengenai kebimbangan bahawa mereka tidak layak menerima bantuan seperti Bantuan Sara Hidup apabila berdaftar dengan SSM kerana ia bertujuan bagi mengembangkan keusahawanan mereka.

Dalam pada itu, Rina berkata, peluang pinjaman dari Amanah Iktihar Malaysia (AIM) diharap dapat membantu wanita khususnya dari luar bandar dari semasa ke semasa dalam usaha membawa golongan wanita keluar daripada kemiskinan melalui keusahawanan.

Program sehari itu diperkenalkan bagi memperkasakan wanita secara holistik merangkumi aspek ekonomi, kesihatan, kekeluargaan dan perundangan sebagai menyahut Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Silibus di Tabika Kemas sudah ditambah baik

ALOR SETAR, 21 JULAI: Beberapa silibus yang diguna pakai di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ditambah baik sebelum ini, termasuk melaksanakan modul pendidikan Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM).

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, tiada keperluan untuk merombak silibus yang dilaksanakan Kemas setakat ini.

Malah, katanya, Kemas pernah menerima pengiktirafan daripada majalah terkenal dunia Reader’s Digest Trusted Brands pada 2017 dari segi silibus itu.

“Kalau diikutkan bayaran di tabika Kemas ini jauh sangat rendah daripada yang perlu dibayar sekolah swasta. Program STREAM yang dilancarkan pada Oktober lalu, memberikan kanak-kanak ini belajar di samping mengaplikasikan keadaan sebenarnya.

“Macam di Melaka kita guna ‘aerospace’, di Wilayah ada ‘robotic’. Jadi ini beri peluang kepada kanak-kanak itu dari segi pemikirannya menjadi kritis, ini silibus yang kita sedang laksanakan,” katanya pada sidang media selepas melawat sebuah pusat servis kenderaan dan tayar dekat sini, hari ini.

Rina berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada silibus di tabika Kemas kurang bermutu dan ada keperluan ia dirombak semula kerana terdapat ibu bapa muda memilih untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak di taska dan tadika swasta.

Ia berikutan laporan media tempatan (Berita Harian) hari ini yang melaporkan kos taska dan tadika punca beban kewangan ibu bapa itu hingga sanggup ‘ikat perut’ dalam usaha mendapatkan khidmat terbaik untuk anak masing-masing.

Rina berkata, sebenarnya terpulang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak di mana sahaja mengikut pertimbangan dan keputusan sendiri.

“Tabika Kemas ada juga di bandar dan tabika Kemas di bandar ini memang penuh, maknanya kalau mereka nak hantar anak mereka ke tabika Kemas (kena lalui) proses sama juga,” katanya.

Sementara itu, terdapat 66 tabika Kemas transit yang diwujudkan di kawasan tertentu sahaja termasuk di Selangor setakat Jun lepas dalam usaha membantu ibu bapa bekerja terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi menempatkan anak mereka untuk belajar.

“Ibu bapa boleh hantar anak mereka di tabika transit ini dari pagi hingga ke petang, habis kerja boleh datang ambil anak mereka waktu petang. Banyak permintaaan (untuk tabika transit ini), ia akan diperluaskan, terpulang kepada bajet yang ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) membantu 6,300 usahawan dalam bidang automatif dari aspek pembiayaan perniagaan sehingga Jun lepas sejak 2011.

Antara skim pembiayaan perniagaan Mara yang ditawar untuk bidang automatif secara keseluruhannya bagi tahun ini berjumlah RM10.1 juta dan RM5 juta diagihkan di bawah Skim Mara Integrated Smart Auto (MiSA).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

15 usahawan luar bandar sertai Ekspo Malaysia Fest di Singapura

PUTRAJAYA, 19 JUL: Seramai 15 usahawan luar bandar terpilih menyertai program ‘Rural to Global’, bagi membantu mereka menembusi pasaran antarabangsa, menerusi penglibatan dalam pameran Ekspo Malaysia Fest 2019, yang akan berlangsung di Singapura bermula 25 Julai.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kementeriannya menganjurkan ‘Rural to Global’ yang turut merangkumi program meningkatkan kapasiti produk seperti pembungkusan, penjenamaan dan pensijilan bagi membolehkan produk luar bandar, dapat bersaing di peringkat global.

“Pada tahun ini kementerian bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi mengenal pasti ekspo antarabangsa di dalam dan luar negara, yang bersesuaian untuk disertai para usahawan di bawah bimbingan kementerian,” katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan Usahawan ke Ekspo Malaysia Fest 2019 di sini hari ini.

Rina berkata, melalui kerjasama Matrade, para usahawan dibantu meningkatkan pengetahuan asas persediaan dan keperluan yang perlu dipenuhi, untuk mengeskport barangan mereka ke luar negara.

“Pada tahun hadapan kami merancang untuk meneruskan program ‘Rural to Global’ ini dengan menyertai ekspo antarabangsa di Dubai dan Jepun dan akan memilih usahawan lain yang berpotensi,” katanya.

Ekspo Malaysia Fest 2019 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bersama-sama syarikat MegaXpress International Pte.Ltd akan diadakan selama empat hari bermula 25 Julai di Singapore Expo, Changi, Singapura.

Sementara itu, ditanya berkenaan harapan pada pembentangan Pelan Perancangan dan Pembangunan Kampung Baru oleh Perbadanan Kemajuan Kampong Bharu (PKB) kepada Kementerian minggu hadapan, Rina berkata beliau berharap pelan tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Katanya beliau berharap pelan itu dapat dilaksanakan segera dan mendapat kerjasama semua pihak, khususnya para penduduk, memandangkan pelbagai isu yang membabitkan kampung tersebut telah berlarutan sejak sekian lama.

“Walau macam mana baik pun perancangan jika ada yang menolak, akhirnya tidak akan capai ke mana, maka ia perlu mendapat komitmen seluruh pihak yang terlibat dan paling penting ia harus memberi manfaat kepada semua,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

DPLB 2030: Masyarakat sendiri pacu pertumbuhan ekonomi luar bandar

PUTRAJAYA, 3 JULAI: Pelaksanaan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 yang dilancarkan Khamis lalu perlu dipacu sendiri masyarakat di kawasan luar bandar terutama dalam hal membabitkan pertumbuhan ekonomi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kementerian itu hanya bertindak sebagai pembantu dan pembimbing awal tetapi masyarakat luar bandar perlu menggerakkan pelaksanaannya supaya ia menjadi mampan.

Katanya dalam tempoh 10 tahun ini, beliau mahu persepsi bahawa mereka yang tinggal di luar bandar berada dalam kepompong kemiskinan dapat dihapuskan, tetapi cabaran utama buat kementerian pada masa ini ialah dari sudut minda masyarakat luar bandar untuk menerima sebarang perubahan lebih baik bagi kelangsungan kehidupan mereka.

“Mungkin ada perubahan dibuat bila kami bangunkan dari segi pertanian dan penternakan misalnya, jadi mereka ini perlu bersedia dengan perubahan-perubahan yang akan dihadapi dalam melaksanakan pembangunan luar bandar,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau berkata DPLB akan menjadi teras kepada hala tuju pembangunan kawasan luar bandar dalam tempoh 10 tahun akan datang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira aspirasi rakyat.

DPLB 2030, dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lepas, menyediakan kerangka hala tuju secara umum dan strategi pembangunan secara menyeluruh selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 seperti yang dicadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menerusi 10 pernyataan dasar umum, 33 pernyataan dasar dan 88 strategi yang akan dilaksanakan sehingga 2030, DPLB merupakan tindakan kerajaan untuk menghadapi cabaran yang akan berlaku di kawasan luar bandar bagi mencapai visi ‘Luar Bandar Sejahtera’.

Wawasan berkenaan diperhalusi dalam 10 teras pembangunan luar bandar iaitu ekonomi berdaya saing dan mampan, keusahawanan, modal insan berkualiti, prasarana lengkap dan canggih serta keunggulan generasi luar bandar,

Teras lain ialah wanita luar bandar yang progresif, kehidupan luar bandar yang sejahtera, sistem penyampaian dan tadbir urus yang berkesan, biodiversiti dan alam sekitar mampan serta perumahan dan pembangunan wilayah.

Rina berkata DPLB dibangunkan berdasarkan tiga prinsip utama iaitu kemampanan, inklusif dan holistik, menyasarkan pembangunan mampan yang akan memastikan pembangunan berimbang mencakupi aspek sosial, ekonomi dan semula jadi.

“Konsep Luar Bandar Sejahtera ini maksudnya ia kondusif didiami, mempunyai peluang pekerjaan, ada pertumbuhan ekonomi dan ia jadi satu tempat yang akan menjadi kebanggaan masyarakat,” katanya.

Rina berkata dengan jurang pendapatan yang melebar antara luar bandar dan bandar, iaitu 1:1.8 ketika ini, kerajaan tidak dapat menghalang migrasi penduduk khususnya belia dari luar bandar ke bandar kerana sudah tentunya mereka mahukan pekerjaan, pendapatan dan infrastruktur yang lebih baik.

“Jadi kami perlu sediakan kemudahan ini supaya walaupun mereka ini tinggal di luar bandar namun mereka boleh dapat peluang pekerjaan melalui keusahawanan, program kemahiran, bengkel kepada belia serta penyediaan perumahan mampu milik.

“Kami mahu merapatkan jurang antara penduduk luar bandar dan bandar, negeri dan wilayah sebab itu kita perlukan ‘Kemakmuran Bersama’. Segala dasar kami telah gubal ini mengambil kira semua pihak tanpa mengira jantina, kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Mendepani Revolusi Industri 4.0, Rina berkata DPLB turut tidak ketinggalan menyediakan kerangka dan strategi kepada penduduk luar bandar untuk bersiap sedia menghadapi perubahan teknologi, antara lain melalui program-program di institusi pendidikan bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, industry boot camp, dan penyediaan silibus bersesuaian.

“Kami sasarkan bahawa 85 peratus daripada graduan-graduan kita dalam tempoh enam bulan itu boleh dapat pekerjaan sama ada jadi usahawan atau sambung belajar,” katanya.

Menyentuh mengenai pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak, Rina berkata dengan keluasan tanah yang sangat luas di kedua-dua negeri berkenaan, ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai model pertanian estet, selari dengan saranan perdana menteri yang bermatlamat untuk tingkatkan hasil pertanian.

Rina turut berpendapat bahawa dua negeri tersebut berpotensi besar dibangunkan dengan pelancongan luar bandar disebabkan oleh faktor kekayaan khazanah alam semula jadi yang terdapat di situ yang tidak terdapat di negeri lain.

Sementara itu beliau berkata kementerian tahun ini menyasar untuk mengadakan lebih banyak program di empat daripada 28 daerah termiskin di negara ini iaitu Yan dan Baling di Kedah, Tumpat di Kelantan serta Kota Marudu di Sabah bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan berkenaan.

“Setiap daerah ini mempunyai potensi berbeza sebab itu profil kampung itu amat penting, penggunaan dron untuk profil kampung, pemetaan kampung dan sebagainya. Ini digunakan supaya ia lebih cepat dan pantas dan bila kami dapat data ia mudahkan kami kenal pasti potensi sesebuah kawasan tersebut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lambakan warga asing di Kampung Baru perlu ditangani

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Isu lambakan warga asing di Kampung Baru perlu segera ditangani berikutan terlalu banyak kes monopoli perniagaan dan masalah sosial ditimbulkan oleh golongan itu sehingga menjejaskan warga tempatan di sini.

Perkara itu dibangkitkan Anggota Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang berkata, isu yang telah sekian lama berlarutan itu perlu diselesaikan segera bagi menjamin peluang pekerjaan lebih adil kepada rakyat tempatan di kawasan ini.

“Sepatutnya warga asing ini hanya boleh dibenarkan kerja di dalam sektor atau industri tertentu sahaja dan bukan semuanya, ini supaya kita boleh beri peluang pekerjaan yang lebih adil kepada rakyat kita sendiri terutama kepada penduduk tetap Kampung Baru,” katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan Kasih Ramadan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, pihaknya akan berbincang lebih lanjut dengan Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai pelan membangunkan Kampung Baru supaya isu itu dapat di atasi dengan kadar segera.

“Perbincangan itu nanti supaya kita dapat bangunkan Kampung Baru ini dengan lebih tersusun dan teratur serta tidak mengasingkan hak warga tempatan kita terutama dalam usaha kita menghapuskan monopoli perniagaan oleh warga asing di sini serta menangani masalah sosial,” katanya.

Pada majlis itu Rina turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada 50 orang asnaf di sekitar Kampung Baru bagi meraikan mereka sempena Ramadan.

Menurut Rina program itu dijangka dapat memanfaatkan sekurang-kurangnya 1,000 asnaf di enam sub zon di bawah Parlimen Titiwangsa. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rina: Kekalkan nama Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun berharap nama Kampung Baru tetap dikekalkan walaupun kerajaan berhasrat membangunkan semula kawasan berkenaan sebagai penempatan moden dan lebih sistematik.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, ini kerana nama Kampung Baru memiliki nilai sejarah dan warisan tersendiri yang perlu dikekalkan.

“Saya berharap agar kampung ini walaupun dibangunkan tapi akan dibangunkan dengan keunikan Kampung Baru itu, jangan hilang nama Kampung Baru itu, jangan jenamakan, contoh macam sebelum ini Kampung Kerinchi jadi Bangsar South,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Pakatan Harapan Parlimen Titiwangsa di Kampung Baru di sini hari ini.

Pada 22 April lepas, Menteri Wilayah Khalid Samad dipetik sebagai berkata kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Rina berkata, pembangunan dirancang kerajaan di Kampung Baru dilakukan secara menyeluruh dan holistik bukan sahaja merangkumi pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi sosial dan ekonomi.

“Kes Kampung Baru baru sudah terlampau lama, saya harap kali ini dapat dibuat satu keputusan lebih jelas, kita tidak boleh puaskan hati semua orang…so far Alhamduluillah ramai nak pembangunan, tapi jangan dipinggirkan hak mereka,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga kini sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenalpasti jumlah dan status kewarganegaraan penduduk yang menetap di Kampung Baru.

“Saya percaya Perbadanan Kampung Baru juga telah jalankan siasatan dan mengenal pasti setiap penduduk di kampung ini…sama ada mereka ini warganegara atau tidak…kita nak pastikan rakyat kita mendapat manfaat daripada pembangunan ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rina: Beri perhatian projek lewat jadual

PUTRAJAYA, 13 MEI: Warga kerja Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diminta memberi perhatian serius terhadap projek-projek di bawah kementerian itu yang masih ada dikategorikan sebagai projek lewat jadual.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam membuat gesaan itu menegaskan apabila sesuatu projek atau program itu dilengahkan, ia akan menyebabkan rakyat khususnya masyarakat luar bandar lewat menerima manfaatnya.

“Ini memberikan imej yang tidak baik kepada kerajaan,” katanya pada majlis perjumpaan bersama warga KPLB di kementerian itu di sini hari ini.

Beliau seterusnya turut menggesa warga kementerian untuk terus meningkatkan prestasi kerja pada bulan Ramadan dan tidak menjadikan berpuasa sebagai alasan untuk tidak bersungguh-sungguh dalam tugas.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Desa Harapan kedua akan dilancar di Baling Jun ini – KPLB

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Program Desa Harapan iaitu satu daripada inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mengeluarkan masyarakat luar bandar dari kepompong kemiskinan akan dilancarkan di Baling, Kedah, bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pelancaran itu adalah yang kedua selepas Kampung Kinjang di Chenderiang, Perak, kedua-duanya adalah antara 28 daerah miskin di negara ini.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu berkata, Program Desa Harapan adalah sebahagian daripada inisiatif Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 yang dilancarkan kementerian itu tahun lalu bagi pembangunan jangka pendek ke arah luar bandar lebih sejahtera.

“Melalui Program Desa Harapan ini, fokus kita adalah untuk merapatkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin, begitu juga penduduk di bandar dan luar bandar, ” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Kampung Baru, di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Lembaga Pentadbiran Malay Agriculture Settlement Kampung Baru, Shamsuri Suradi dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin.

Mengulas lanjut, Rina berkata, menerusi inisiatif itu, penduduk luar bandar akan diberikan bimbingan, kemahiran dan tunjuk ajar melalui program yang bersesuaian supaya mereka dapat menjana pendapatan menerusi kemahiran yang dimiliki kelak.

Terdahulu, Rina turut melawat beberapa gerai daripada 400 gerai jualan di bazar berkenaan yang menggunakan kaedah pembelian tanpa tunai dikenali sebagai sistem e-wallet oleh Touch & Go Digital Sdn Bhd.

Katanya, kaedah belian tanpa tunai dijangka akan diperluaskan ke seluruh negara termasuk kawasan luar bandar mulai tahun depan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

ECRL akan beri impak pembangunan kawasan luar bandar Pantai Timur

KUALA LUMPUR, 13 APR: Penerusan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memberi impak kepada pembangunan luar bandar di pantai timur Semenanjung, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Rina berkata, kerajaan terdahulu telah membuat keputusan mengenai ECRL dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan terpaksa merunding semula kosnya yang tinggi menyebabkan pembinaannya tergendala.

“Tetapi Alhamdulillah kini ada pengurangan kos dan dalam keadaan kekekangan kewangan negara sekarang ini saya pasti setiap ringgit yang dijimatkan itu amat bermakna,” kata Rina yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Gabriel, di sini.

ECRL yang disambung semula pembinaannya akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan jumlah kos daripada RM66 bilion kepada RM44 bilion, kata Tun Daim Zainuddin semalam.

Jarak landasan baharu yang bakal dibina itu meliputi sejauh 648 kilometer berbanding rancangan awal sejauh 688 kilometer dan beberapa stesen dan laluan akan turut digugurkan pembinaannya termasuk laluan Gombak yang memerlukan kos yang tinggi.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rina: Nilai kualiti menteri, timbalan dari aspek mutu kerja

SERDANG, 9 FEB: Kualiti seseorang menteri atau timbalan menteri perlu dinilai berdasarkan hasil kerja di kementerian, bukannya tertumpu kepada isu lain yang sengaja disensasikan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, dalam era dunia tanpa sempadan, setiap orang bebas menyuarakan pendapat walaupun ada ketikanya ia tidak seperti digambarkan terutamanya di media sosial.

“Pada saya, kualiti dan nilai integriti seseorang menteri atau timbalan menteri lebih perlu dilihat kepada hasil kerjanya dalam memacu sesebuah kementerian.

“Sebab itu, saya tidak kisah kalau latar belakang pendidikan saya dicari, digeledah atau didedahkan kerana sumbangan dalam memacu kementerian adalah paling utama,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) ke-19 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan warganet mula memeriksa latar belakang pendidikan pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) susulan isu pertikaian status akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, yang dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England.

Marzuki kemudiannya menjelaskan ijazah terbabit adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat selepas aktivis politik membuat laporan polis mendakwanya menipu.

Bagaimanapun, penjelasan itu terus mengundang kecaman kerana Universiti Antarabangsa Cambridge, Amerika Syarikat itu didakwa adalah ‘kilang’ mengeluarkan sijil pendidikan tidak sah termasuk boleh dibeli.

Mengulas lanjut, Rina berkata, beliau tidak gusar dengan tindakan warganet kerana institusi pendidikan dan ijazah dipegangnya adalah tulen dan diperakui umum.

“Saya tidak ada masalah dengan perkara itu, malah gambar saya juga keluar di majalah universiti tempat saya belajar,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Perbankan dan Pengurusan Kewangan dari Northwood University, Michigan, Amerika Syarikat.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu juga adalah pemegang Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berhubung Ansara, Rina berharap dengan keahlian seramai 12,000 orang, alumni MRSM itu dapat terus memainkan peranan membantu kementerian, khususnya dalam memberi motivasi kepada pelajar di bawah kelolaan MARA dan melatih usahawan dalam kalangan penduduk luar bandar.

SUMBER: BERNAMA