Categories
AGENDA NASIONAL

Sesi sekolah secara bersemuka tabika Kemas ditangguh

PUTRAJAYA, 18 JAN: Sesi persekolahan Tabika Kemas secara bersemuka di seluruh negara yang sepatutnya bermula pada 20 Januari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya mengambil maklum trend peningkatan jangkitan Covid-19 dan memutuskan untuk mengikut langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai langkah pencegahan.

“Bagi memastikan tidak berlaku keciciran dalam kalangan kanak-kanak Tabika Kemas, kaedah pembelajaran secara Home-base Learning (pembelajaran di rumah) yang ditetapkan oleh jabatan akan digunakan melalui kaedah Pelaksanaan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc),” katanya.

Sabtu lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari ini di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Sementara itu, Kemas menjelaskan pihaknya memberi kebenaran bersyarat untuk Taska Kemas beroperasi sekiranya terdapat permohonan daripada ibu bapa yang bertugas sebagai barisan hadapan untuk menghantar anak-anak mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sejak 13 Januari sehingga 26 Januari ini.

PKP bermula 16 Januari hingga 29 Januari pula melibatkan Kelantan dan Sibu, Sarawak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sivagangga: 139 tabika, taska Kemas ditutup di Kedah

SEREMBAN, 14 OGOS: Sebanyak 139 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) termasuk empat taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di empat daerah di Kedah ditutup sementara setakat ini berikutan penularan kes Covid-19 melibatkan kluster Sivagangga.

Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohd Yasid Bidin berkata daripada jumlah berkenaan, 121 tabika dan dua taska berada di daerah Kubang Pasu, lapan tabika dan dua taska (Padang Terap), satu tabika (Kulim Bandar Baharu) dan lima tabika di Kuala Kedah.

“Ia membabitkan seramai 2,747 kanak-kanak di tabika dan taska. Jadi tujuan kita tutup sementara ini sebagai langkah awal pencegahan untuk mengelak daripada penularan pandemik Covid-19.

“Proses sanitasi juga turut dilakukan di semua tabika dan taska dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan set peralatan perlindungan diri (PPE) Kemas Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengarah Kemas Negeri Sembilan Muhamad Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Mohd Yasid berkata setakat ini belum ada kes direkodkan membabitkan kanak-kanak di bawah tabika dan taska Kemas.

“Di Kedah kita mempunyai sebanyak 800 tabika dan taska, tapi taska tak banyak. Sebenarnya tabika dan taska kita selamat cuma kita tutup untuk cegah Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 88,210 pasang PPE dihasilkan membabitkan seramai 537 kakitangan Kemas dan 1,006 sukarelawan di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas sehingga hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,452 set PPE dihasilkan di Negeri Sembilan bagi tempoh yang sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi prasekolah dan tadika lancar, semua pihak patuhi SOP ketat

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Persis melentur buluh biar dari rebungnya, begitulah gambaran anak-anak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat ketika memasuki prasekolah, taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) yang dibuka kembali di seluruh negara, mulai hari ini.

Selepas lebih tiga bulan ditutup susulan pandemik Covid-19, pembukaan semula institusi ini menyaksikan setiap murid yang tiba lengkap memakai pelitup separuh muka, diperiksa suhu badan, mencuci tangan menggunakan cecair pensanitasi tangan sebelum masuk ke kelas selain ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak setakat pintu utama.

Ceria bertemu rakan-rakan, mereka mematuhi panduan guru dan mengikuti SOP termasuk jarakan sosial walaupun agak kekok kerana terpaksa duduk berjauhan antara satu sama lain.

Guru besar sebuah tadika di Keramat, Kuala Lumpur, Salmiah Jusoh berkata persediaan bagi memulakan sesi pembelajaran telah dilakukan dua minggu awal sebaik sahaja tarikh pembukaan semula tadika diumumkan memandangkan murid perlu melalui kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) kebiasaan baharu.

“Pihak kami cuba mematuhi sebaik mungkin SOP yang telah digariskan dan saya tengok kebanyakan ibu bapa dan murid teruja memulakan hari pertama sekolah dan walaupun dengan SOP baharu ini mereka dapat ikut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kanak-Kanak taska memulakan sesi pembelajaran ketika tinjauan di Tabika dan Taska Kemas Bunga Raya Kompleks Kejiranan Presint 11 pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA

Seorang bapa, Ahmad Syahir Izani Tajodin, 34, mengakui pada awalnya sedikit bimbang untuk menghantar anak ke tadika memandangkan penularan wabak Covid-19 masih belum berakhir, namun percaya SOP yang ketat oleh pihak sekolah mampu menanganinya.

“Seminggu sebelum masuk tadika dah beritahu pada anak untuk bersedia dan sudah cerita apa yang boleh buat dan apa yang tak boleh buat, nampak dia dah faham dan lebih bersemangat untuk ke sekolah mungkin sebab bosan lama sangat duduk di rumah sebelum ini,” katanya.

Di Johor, tinjauan Bernama di beberapa tadika di Batu Pahat mendapati kesemua pengusaha mengikut peraturan dan SOP ditetapkan dengan murid yang hadir masing-masing memakai pelitup separuh muka dan melakukan jarakan sosial termasuk ketika sesi pembelajaran.

Dalam perkembangan di Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata 631 prasekolah, tabika dan tadika dibenar beroperasi dengan 166 prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai bilangan 337 kelas dan 7,845 murid manakala 465 buah tabika dan tadika swasta yang mempunyai bilangan pelajar seramai 17,738.

“Jabatan Pendidikan Pulau Pinang telah laksanakan semua persediaan untuk memastikan pelajar-pelajar kita hadir ke sekolah dalam satu suasana yang kondusif dan selamat untuk memulakan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) masing-masing,” katanya selepas melawat Prasekolah Sekolah Kebangsaan Jelutong di sini hari ini.

Guru Norazliza Che Soh memerhatikan murid prasekolah membasuh tangan sebelum memasuki kelas pada hari pertama persekolahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sekolah Kebangsaan Jelutong, Pulau Pinang pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA

Bagi tabika Kemas di Bukit Mertajam, Penolong Pengarah Kanan Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas Pulau Pinang Shafinaz Ahmad berkata pembukaan semula itu membabitkan 6,665 murid namun pihaknya menjalankan sistem pengiliran hadir ke tabika kerana jumlah maksimum setiap kelas hanya 15 murid bagi mematuhi jarakan sosial.

Di Kelantan, tinjauan Bernama ke Tabika Perpaduan PPR Kota Bharu mendapati pihak pengurusan mematuhi semua SOP ditetapkan dengan setiap tabika dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan dikehendaki hadir tiga hari seminggu.

Di Kedah, tinjauan Bernama di Alor Setar mendapati rata-rata ibu bapa berpuas hati dan yakin dengan SOP dilaksanakan dan pihak pengurusan tadika, taska atau prasekolah telah menghantar senarai SOP kepada ibu bapa menerusi aplikasi WhatsApp bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Aida Mustafa, 38, yang menghantar dua anaknya Muhammad Aisyar Razzan Razuwan, 6, dan Muhammad Aisy Razzan, 7, ke taska di Taman Rusa, Anak Bukit dekat sini berkata: “Semalam, saya tengok cikgu-cikgu bersihkan tadika dan serius dengan pematuhan SOP.

“Risau memang risau tetapi bila langkah pematuhan semua sudah diambil, kita doakan yang baik-baik sahaja. Buat masa ini jadual hantar mereka sama sahaja iaitu lima hari seminggu dari 8 pagi hingga 5 petang dan paling lewat pun perlu ambil mereka sebelum 5.30 petang,” katanya.

Di Perak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saarani Mohamed berkata sebanyak 422 daripada 844 tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dibuka hari ini manakala selebihnya pada 15 Julai.

Pengetua Tadika Big Apple Cawangan Kinta Riverfront, Rohani Hasshim (tengah) melakukan aktiviti pembelajaran bersama kanak-kanak di Tadika Big Apple pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA

Tinjauan Bernama di Tadika Big Apple Cawangan Kinta Riverfront, Ipoh mendapati kesemua 60 kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun yang kelihatan bersemangat dan teruja menghadiri kelas dikehendaki menghantar borang pengisytiharan kesihatan kepada pihak tadika itu sebelum memasuki premis bermula 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Pengetuanya Rohani Hasshim berkata borang itu mengandungi maklumat status kesihatan anak-anak serta ibu bapa mereka yang membolehkan kanak-kanak berkenaan mengikuti sesi pembelajaran di kesemua empat kelas di tadika tersebut bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Kita juga memastikan SOP dipatuhi dengan mengambil suhu kanak-kanak sebelum dan selepas kelas serta memastikan pemakaian cecair pembasmi kuman malah tempat duduk mereka juga dijarakkan manakala makanan pula kita sendiri menyediakannya selain ibu bapa boleh membekalkan makanan yang dimasak di rumah,” katanya.

Di Sabah, Pengarah Pendidikan negeri Dr Mistirine Radin berkata 1,291 prasekolah melibatkan 54,070 pelajar dan 3,256 guru mula dibuka dan daripada jumlah itu, 886 melibatkan prasekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina serta 405 prasekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Mengakui hakikat kanak-kanak berusia lima dan enam tahun mudah terkena jangkitan penyakit, beliau berkata keselamatan dan kebersihan serta usaha menjauhkan mereka daripada jangkitan sebarang penyakit khususnya Covid-19 adalah keutamaan.

Beliau berkata 20 prasekolah masih ditutup di daerah Papar, Kota Belud, Beaufort dan Tenom akibat terjejas banjir dua hari lepas .

Pada 15 Jun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan membenarkan prasekolah dibuka sepenuhnya bagaimanapun operasi mereka tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Silibus di Tabika Kemas sudah ditambah baik

ALOR SETAR, 21 JULAI: Beberapa silibus yang diguna pakai di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ditambah baik sebelum ini, termasuk melaksanakan modul pendidikan Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM).

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, tiada keperluan untuk merombak silibus yang dilaksanakan Kemas setakat ini.

Malah, katanya, Kemas pernah menerima pengiktirafan daripada majalah terkenal dunia Reader’s Digest Trusted Brands pada 2017 dari segi silibus itu.

“Kalau diikutkan bayaran di tabika Kemas ini jauh sangat rendah daripada yang perlu dibayar sekolah swasta. Program STREAM yang dilancarkan pada Oktober lalu, memberikan kanak-kanak ini belajar di samping mengaplikasikan keadaan sebenarnya.

“Macam di Melaka kita guna ‘aerospace’, di Wilayah ada ‘robotic’. Jadi ini beri peluang kepada kanak-kanak itu dari segi pemikirannya menjadi kritis, ini silibus yang kita sedang laksanakan,” katanya pada sidang media selepas melawat sebuah pusat servis kenderaan dan tayar dekat sini, hari ini.

Rina berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada silibus di tabika Kemas kurang bermutu dan ada keperluan ia dirombak semula kerana terdapat ibu bapa muda memilih untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak di taska dan tadika swasta.

Ia berikutan laporan media tempatan (Berita Harian) hari ini yang melaporkan kos taska dan tadika punca beban kewangan ibu bapa itu hingga sanggup ‘ikat perut’ dalam usaha mendapatkan khidmat terbaik untuk anak masing-masing.

Rina berkata, sebenarnya terpulang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak di mana sahaja mengikut pertimbangan dan keputusan sendiri.

“Tabika Kemas ada juga di bandar dan tabika Kemas di bandar ini memang penuh, maknanya kalau mereka nak hantar anak mereka ke tabika Kemas (kena lalui) proses sama juga,” katanya.

Sementara itu, terdapat 66 tabika Kemas transit yang diwujudkan di kawasan tertentu sahaja termasuk di Selangor setakat Jun lepas dalam usaha membantu ibu bapa bekerja terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi menempatkan anak mereka untuk belajar.

“Ibu bapa boleh hantar anak mereka di tabika transit ini dari pagi hingga ke petang, habis kerja boleh datang ambil anak mereka waktu petang. Banyak permintaaan (untuk tabika transit ini), ia akan diperluaskan, terpulang kepada bajet yang ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) membantu 6,300 usahawan dalam bidang automatif dari aspek pembiayaan perniagaan sehingga Jun lepas sejak 2011.

Antara skim pembiayaan perniagaan Mara yang ditawar untuk bidang automatif secara keseluruhannya bagi tahun ini berjumlah RM10.1 juta dan RM5 juta diagihkan di bawah Skim Mara Integrated Smart Auto (MiSA).

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pihak Atasan Arah Tabika Kemas Pelabuhan Klang Tarik Balik PermohonanTunas

Tadika Rakyat Kg Lindungan 01

SHAH ALAM, 13 FEB : Pejabat Kemas Daerah Klang didakwa mengeluarkan arahan kepada Tabika Kemas Pelabuhan Klang menarik semula permohonan bagi mendapatkan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) RM50 yang ditawarkan Kerajaan Negeri.

Menurut Pegawai Operasi Tunas Negeri, Abdul Mutalib Islan, Tabika Kemas Pelabuhan Klang merupakan antara tadika yang pernah mengemukakan permohonan sebelum ini, namun memutuskan untuk menarik semula permohonan itu atas arahan Pejabat Kemas Daerah Klang.

“Buat masa ini memang tiada yang memohon kecuali Tabika Kemas Pelabuhan Klang, namun permohonan itu diarahkan untuk ditarik semula atas arahan pihak atasan yang minta supaya menolak Skim Tunas.

“Tadika di bawah Kerajaan Pusat yang kini berdaftar ialah Tadika Perpaduan dan pra sekolah. Tabika Kemas ini saya tidak tahu apa masalah mereka,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Beliau berkata, pihak Tunas juga menerima banyak permohonan daripada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika Kemas, namun ia tidak boleh diluluskan kerana tadika itu tidak berdaftar di bawah skim tersebut.

Sehubungan itu, katanya, pihak Tunas akan mengadakan satu taklimat khas dalam masa terdekat bersama pihak pengurusan tadika yang berdaftar di bawah Kerajaan Pusat bagi menggalakkan mereka mendaftar di bawah skim itu.

“Ramai ibu bapa yang bertanya untuk mendapatkan borang, tetapi polisi kami ialah apabila tadika itu tidak berdaftar, kami tidak boleh meluluskan permohonan. Kajian juga menunjukkan rata-rata ibu bapa yang menghantar anak mereka ke tadika di bawah Kementerian Kerajaan Pusat memiliki pendapatan rendah.

“Kita akan terus usaha untuk pujuk mereka dan tidak akan mengalah kerana ini adalah permintaan ibu bapa sendiri. Kita tidak mahulah nanti ada lagi demonstrasi yang menyalahkan Kerajaan Negeri kerana tidak menunaikan janji,” katanya lagi.

TV Selangor cuba menghubungi beberapa cawangan Pejabat Daerah Tabika Kemas bagi mendapatkan respon berhubung perkara tersebut, namun mereka memberi alasan bahawa Tunas tidak pernah menawarkan skim itu kepada pihak Tabika.

Skim Tunas di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah bantuan yuran sebanyak RM 50 setiap bulan untuk keluarga berpendapatan rendah bagi menghantar anak mereka ke tadika.

Bantuan RM 50 dibayar terus kepada tadika yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS).

Sejak diperkenalkan pada 1 Julai 2012, sebanyak 217 permohonan daripada tadika telah diterima sehingga akhir tahun 2012. Manakala 339 permohonan diterima untuk tahun 2013 sehingga 31 Januari.

Manakala seramai 1,903 ibu bapa juga mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan Tunas bagi tahun 2012 sementara 1,800 permohonan dicatatkan sehingga 31 Januari untuk tahun 2013.

Untuk tahun 2013, MPTS mensasarkan 5,000 permohonan ibu bapa untuk Skim Tunas sehingga penghujung Disember.

Setakat ini, Daerah Klang mencatatkan permohonan paling tinggi dengan 528 permohonan untuk tahun 2012 dan 409 permohonan sehingga 31 Januari 2013.