Categories
NASIONAL

AADK, PDRM kekang kemasukan bekalan dadah di kawasan berisiko tinggi

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia akan mempertingkatkan usaha menyekat kemasukan bekalan dadah di kawasan berisiko tinggi seperti penempatan Felda dan Program Perumahan Rakyat.

Tanpa mendedahkan strategi yang akan dilaksanakan, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pihaknya mengenal pasti kemasukan dadah jenis pil kuda dan syabu ke kawasan itu adalah kerana harganya lebih murah.

“Kita (AADK) akan tentukan bekalan dadah dapat disekat atau diminimumkan, kalau boleh banteras sepenuhnya ia lebih baik.

“Ini bagi menghalang penagih mendapat bekalan selain bekas penagih kembali menggunakan dadah sekiranya kembali ke kawasan berisiko tinggi ini,” katanya kepada BERNAMA selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Beliau berkata, untuk tahun ini, penagih yang telah pulih tidak akan dihantar ke kampung halaman masing-masing sebaliknya akan ditempatkan di kawasan lain.

“Ini bagi mengelak stigma negatif masyarakat terhadap bekas penagih, kami akan hantar mereka ke kawasan baharu.

“Di lokasi baharu, orang ramai tidak kenal mereka dan mereka boleh mulakan kehidupan baharu,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya mengesyorkan ibu bapa yang anaknya terlibat dengan penyalahgunaan dadah untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

“Melalui khidmat kaunseling mereka dapat membimbing serta memberi bantuan kepada anak mereka atau masyarakat setempat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tony Pua Sifatkan EAIC Harimau Tidak Bertaring

tony pua Forum Air

SHAH ALAM 10 JUN : Setiausaha Publisiti DAP,  hari ini menyifatkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai harimau tidak bertaring dan penubuhannya hanya kerja kosmetik untuk menenangkan orang ramai disebalik desakan cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta bantahan lantang daripada pasukan polis.

Tony berkata demikian sebagi menyangkal dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang menyamakan EAIC dengan cadangan penubuhan IPCMC.

Perbezaan antara kedua-dua adalah jelas dalam niat mereka. Sebaliknya, Tony menegaskan EAIC yang ditubuhkan pada 2011 hanya diberi kuasa untuk membuat cadangan kepada organ tatatertib polis atau pendakwaraya.

Penubuhannya adalah sekadar bertujuan menenangkan desakan meluas untuk penubuhan IPCMC pada ketika itu.

“Sedangkan IPCMC seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2005 adalah jelas sebagai sebuah agensi untuk memeriksa disiplin dan memupuk semangat profesionalisme dalam pasukan polis.

“Jelas, EAIC direka khusus untuk gagalkan objektif IPCMC,” tegasnya dalam satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, Tony berkata sejak tiga tahun ditubuhkan, EAIC yang  menerima bajet RM7 juta setahun sekadar mempunyai seorang pegawai penyiasat di samping 23 pekerja lain; termasuk kerani dan juga pemandu.

Kenyataan yang dikeluarkan bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad bahawa sehingga akhir 2012, EAIC hanya mencadangkan satu tindakan disiplin dan mengeluarkan dua amaran kepada penjawat awam juga membuktikan badan itu sebenarnya tidak efektif.

“Hakikat bahawa kerajaan tidak serius, dengan hanya satu pegawai penyiasat untuk memantau 19 agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan sebagainya adalah bukti niat keseluruhan aktiviti EAIC adalah untuk gagal,” tambahnya.

Lebih dikesalkan, jelas Tony, Menteri JPM itu begitu cepat menyesuaikan diri dengan budaya penipuan BN dengan memungkiri janjinya untuk menyokong cadangan IPCMC yang menurutnya adalah lebih tinggi martabatnya berbanding EAIC.

Paul Low yang ketika itu merupakan Presiden Transparency Intergrity Malaysia pernah berkata tindakan kerajaan mencairkan cadangan IPCMC adalah indikator jelas bahawa kerajaan tidak mampu mengawal pihak-pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan semalam, Paul Low mengumumkan kerajaan mengambil keputusan ‘lebih kurang’ untuk tidak melaksanakan IPCMC tetapi akan melakukan banyak rombakan memperbaiki EAIC yang sedia ada.