Categories
AGENDA NASIONAL

PM bincang PKP penuh seluruh negara esok, kata Takiyuddin

KOTA BHARU, 20 MEI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan satu mesyuarat esok bagi membincangkan soal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata perkara itu akan dibincang dan diputuskan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 yang akan diadakan di Putrajaya.

“PKP penuh antara langkah yang perlu difikirkan oleh MKN, dan ia akan dibincangkan esok sebelum diputuskan. Mesyuarat pukul 3 petang itu juga akan dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Katanya kerajaan melihat penularan Covid-19 sebagai perkara yang amat serius dan berdasarkan statistik semalam, jumlah kumulatif kes positif sudah hampir setengah juta apabila 485,496 kes telah direkodkan setakat ini.

Menurutnya kerajaan sedar selain memerlukan langkah tegas merawat kes positif, langkah pencegahan adalah juga penting, kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

“Disebabkan itulah hari ini kita menekankan soal pematuhan SOP yang sudah diputuskan oleh kerajaan pusat. Kita ada langkah pencegahan sehingga diwujudkan Team SOP yang diketuai PDRM, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada isu berhubung sumbangan kepada rakyat Palestin, Takiyuddin berkata kerajaan sentiasa memantau kegiatan mengutip dana bagi tujuan itu, malah menggalakan kegiatan murni berkenaan kerana ia melambangkan nurani rakyat negara ini walapun berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata pada masa sama kerajaan juga bersetuju menjadi pemudah cara kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menjalankan misi kemanusiaan bagi memulihkan semula negara Palestin..

“Ini adalah selaras dengan polisi kerajaan, kita mengecam tentera Zionis yang melakukan pelbagai kekejaman di Palestin. Kerajaan persekutuan akan sentiasa bersama dengan NGO dan akan membantu dalam apa jua cara termasuk berkaitan saluran undang-undang.

“Justeru, kerajaan bersetuju untuk menjadi pemudah cara terutamanya dalam menjalankan misi kemanusiaan di Palestin dengan membina jalan raya, sekolah, masjid dan sebagaimana yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Siapa yang boleh memaafkan kesalahan UMNO?

SHAH ALAM, 24 DIS : Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad hari ini menyenaraikan sebahagian besar daripada kesalahan yang dilakar Umno selama parti tertua itu berkuasa.

Menerusi akaun facebook miliknya, Iskandar berkata, hanya mangsa-mangsa kezaliman dan penindasan Umno sahaja yang berhak memaafkan dan bukannya terletak kepada keputusan mana-mana pemimpin.

Iskandar Samad“Sudah tentu bukan keputusan mana-mana pimpinan tetapi mangsa kezaliman dan penindasan UMNO itu sendiri. Mungkin juga keluarga mereka jika mereka tiada lagi di dunia ini.

“Siapakah mereka? Ramai sekali,” katanya.

Antara mangsa kekejaman dan penindasan Umno yang digariskan Iskandar adalah bekas tahanan ISA, mangsa peristiwa Memali, seluruh rakyat Kelantan dan negeri Terengganu yang tidak mendapat royalti petroleum serta pelajar yang dinafikan biasiswa kerana datang dari keluarga yang menyokong pembangkang.

Iskandar turut tidak terlepas menyenaraikan penjaja dan peniaga yang dirobohkan gerai dan warung, penduduk kampung yang tidak mendapat jalan berturap dan lampu jalan dan petani dan peladang yang ditahan subsidi dan bantuan hanya kerana menyokong pembangkang.

“Senarainya terlalu panjang untuk dinyatakan di sini.

“Tanya mereka (golongan tertindas ini) terlebih dahulu sebelum mahu memaafkan kesalahan-kesalahan UMNO,” katanya.

Tulisannya itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung kesediaan parti Islam itu memaafkan kesalahan lampau Umno.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menafikan perkara itu dengan mendakwa ia sudah disalah laporkan oleh media kerana beliau tidak pernah menyebut ‘sedia memaafkan UMNO’ dalam temubual bersama pemberita pada Persidangan Agung PERKASA baru-baru ini.

TAKIYUDDIN“Saya kekesalan dengan laporan itu kerana enimbulkan kekeliruan dan kegelisahan umum khasnya dalam kalangan ahli PAS.

“Ia juga memberi kesan buruk terhadap diri saya sebagai Setiausaha Agung Pas kerana sifatnya yang jelas berunsur fitnah dan mala fide, sama ada secara maksud terangan, tersirat atau ‘innuendo’,” kata Takiyuddin.

-nR-

Categories
SELANGOR

Malaysia wajar bina institusi pengajian tinggi sukan

Yunus HairiSHAH ALAM 8 NOV : Kerajaan pusat perlu mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) khusus untuk pembangunan sukan dalam usaha meningkatkan taraf profesionalisme ahli sukan atau atlet di Malaysia.

Exco Belia dan Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pembangunan institusi sukan secara terancang memberi peluang kepada atlet negara meneruskan pelajaran di peringkat tertinggi, sekali gus menjadikan sukan sebagai industri penting yang memberi keuntungan kepada negara.

Katanya, atlet juga dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam acara dan permainan diceburi secara lebih konsisten dengan kelengkapan fizikal dan saintifik yang lengkap melalui penubuhan IPT sukan itu.

“Kita juga dapat mendidik rakyat bahawa sukan bukan sahaja sekadar aktiviti sampingan tetapi membabitkan masa depan kerjaya yang baik dengan kelulusan sijil ditahap tinggi,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas usul yang dibentangkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang mencadangkan supaya kerajaan pusat mewujudkan kolej universiti sukan bagi melahirkan atlet yang bukan sahaja maju tetapi berintelektual tinggi di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Yunus berkata, beliau turut mencadangkan kawasan Bukit Jalil dijadikan lokasi pembangunan IPT itu bagi mengurangkan kos pembinaan jika kerajaan pusat bersetuju.

“Mungkin pembangunan IPT pertama sukan negara juga boleh dibuat di Selangor selaku negeri yang menjadi tumpuan pembangunan di Malaysia. Kita juga mempunyai Stadium Shah Alam yang diiktiraf sebagai antara stadium terbaik di negara ini.

“Justeru, saya berharap kerajaan pusat dapat mempertimbangkan cadangan ini dan merealisasikannya, sekurang-kurangnya sebelum tahun 2020,” katanya.

-NFN