Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 32 kes baharu di Singapura, semuanya 345, 124 pesakit pulih

SINGAPURA, 20 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) melaporkan sebanyak 24 kes import dan lapan kes tempatan baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di republik ini, menjadikan jumlahnya 345 kes.

Dalam kenyataan di sini, MOH berkata satu daripada kes import itu melibatkan lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura.

Lelaki itu disahkan dijangkiti virus itu pada Rabu dan kini ditempatkan di wad isolasi di Hospital Besar Changi.

Baki kes import merupakan residen yang kembali ke republik ini dan pemegang pas jangka panjang mempunyai sejarah perjalanan ke Eropah, Amerika Utara dan Asean, katanya.

Pada hari ini, MOH berkata tujuh lagi kes jangkiti Covid-19  discaj daripada hospital, dan sehubungan itu, secara keseluruhannya sebanyak 124 telah pulih sepenuhnya.

Daripada 221 kes disahkan dan masih berada di hospital, kementerian itu berkata kebanyakan mereka berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih manakala 15 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat tengah semalam, MOH telah mengenal pasti 6,574 kontak rapat yang dikuarantin.

Diumumkan pada Rabu, mulai 20 Mac, jam 2359, semua pelawat yang memasuki Singapura daripada semua negara diberikan Notis Duduk Rumah selama 14 hari.

-BERNAMA