Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.3180/3270 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Ringgit meneruskan momentum meningkat semalam untuk diniagakan tinggi berbanding dolar AS dalam sesi awal hari ini berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu yang lemah susulan pengumuman mengenai kemudahan baharu oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada 9.03 pagi, ringgit berada pada 4.3180/3270 berbanding dolar AS daripada 4.3320/3380 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah Fed mengumumkan lebih banyak rangsangan kewangan berjumlah US$2.3 trilion menunjukkan bank pusat itu akan melakukan apa sahaja untuk memulihkan ekonomi terutamanya mengenai fungsi pasaran kredit.

Katanya AS mencatatkan jumlah tuntutan pengangguran sebanyak 6.6 juta yang merupakan petunjuk kepada situasi sukar untuk pasaran buruh dan ekonomi berikutan Covid-19.

“Ini merupakan tuntutan pengangguran minggu ketiga berturut-turut yang meningkat pada paras tertinggi sepanjang masa dan kadar pengangguran pada masa depan boleh mencecah kadar dua angka dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata ringgit meningkat pagi ini berbanding dolar US dan trend itu dijangka berterusan berikutan kerajaan di seluruh dunia bersedia untuk meningkatkan ekonomi mereka sama ada fiskal atau monetari.

“Ini dapat memberi harapan bahawa ekonomi akan meningkat semula jika Covid-19 dapat dibendung,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan pengeluar minyak bersekutunya (OPEC+) semalam memutuskan untuk mengurangkan sebanyak 10 juta tong sehari (mbpd).

“Walaupun harga minyak rendah hari ini, saya berpendapat pengurangan pengeluaran akan membuktikan harga minyak akan meningkat berdasarkan data Covid-19, yang menunjukkan sekatan pergerakan keluar dan masuk akan berakhir dengan lebih cepat daripada jangkaan,” katanya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.7157/7264 daripada 4.7123/7202 pada Khamis dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0460/0543 daripada 3.0432/0841.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9779/9873 daripada 3.9802/9868 dan naik berbanding pound kepada 5.3742/3893 daripada 5.3834/3926 semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dijangka stabil berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Ringgit dijangka diniagakan stabil berbanding dolar AS pada minggu depan dalam jajaran antara 4.25 peratus dan 4.45 peratus, menurut Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan.

Beliau berkata pemacu utama bagi ringgit termasuklah prestasi dolar AS, reaksi pasaran minyak ke atas mesyuarat kumpulan pengeluar OPEC+ dan sentimen risiko lebih luas.

OPEC+ terdiri daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan 11 negara bukan anggota OPEC.

“Mesyuarat OPEC+ memberi tumpuan kepada pasaran minyak, di tengah-tengah harapan penurunan bekalan yang selaras akan dilaksanakan untuk membantu kestabilan harga pasaran.

“Pengeluar minyak utama perlu mengekang asas yang semakin merosot untuk meningkatkan kemampanan harga. Harga minyak lebih kukuh membawa lebih banyak sokongan kepada prestasi ringgit dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Han Tan berkata Covid-19 masih terus membadai pasaran global.

Walaupun China bersedia menghapuskan langkah kuarantin di Wuhan pada Rabu, ia dijangka memberikan sedikit kelegaan kepada pelabur global memandangkan pandemik itu terus menjejaskan ekonomi utama.

“Dengan kebimbangan di peringkat global mengenai kemelesetan yang kini diperakui oleh data ekonomi yang masuk, pengelakan risiko dijangka kekal dalam mod dominan di pasaran global, yang mengekalkan tekanan menurun bagi mata wang Asia,” kata beliau.

Sementara itu, Han Tan berkata pasaran mata wang dijangka menyaksikan turun naik berkurangan pada minggu depan berikutan Rizab Persekutuan AS membenarkan bank-bank pusat asing menukar US Treasury kepada dolar AS untuk sementara waktu, mulai Isnin.

Bagi minggu baru berakhir, prestasi ringgit berbanding dolar AS  dalam jajaran 4.30-4.38, berikutan pasaran mata wang yang terus memberi tindak balas ke atas kelemahan ekonomi akibat Covid-19.

Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS kepada 4.3520/3620 pada Jumaat daripada 4.3280/3350 pada minggu sebelum ini.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, prestasi mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0319/0399 daripada 3.0175/0234 pada minggu sebelum ini dan turun kepada 4.0118/0221 daripada 3.9754/9829 berbanding yen Jepun.

Unit tempatan bagaimanapun meningkat berbanding euro kepada 4.7049/7175 daripada 4.7608/7702, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.3495/4631 daripada 5.2841/2943 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit terus merosot dibuka 4.3800/3850 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Ringgit dibuka dengan meneruskan aliran penurunan berbanding dolar AS hari ini berikutan kebimbangan mengenai Covid-19 yang mengekang minat pedagang untuk mengambil risiko, kata peniaga.

Pada 9.00 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3800/3850 berbanding dolar AS daripada 4.3737/3844 semasa ditutup pada Rabu.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan jika langkah itu gagal menghalang penyebaran Covid-19 di negara ini.

Perintah selama dua minggu itu bermula semalam dan berakhir pada 31 Mac 2020.

Muhyiddin dalam ucapan yang disiarkan secara langsung malam semalam berkata: “Kerajaan berharap selepas tempoh dua minggu ini, mereka yang mempunyai simptom dapat diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas COVID-19.”

Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 790 kes berkaitan virus tersebut.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0276/0327 daripada 3.0446/0664 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0246/0303 daripada 4.0759/0898 semasa ditutup semalam.

Unit tempatan naik berbanding pound kepada 5.0633/0708 daripada 5.2514/2570 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7751/7823 daripada 4.7938/8081.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit terus merosot kepada 4.3090/3130 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Ringgit meneruskan aliran penurunan semalam untuk dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, berikutan kebimbangan mengenai pandemik Covid-19 yang mengekang minat pedagang mengambil risiko, kata peniaga.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3090/3130 berbanding dolar AS daripada 4.3030/3080 semasa ditutup pada Isnin.

Beliau berkata pakej rangsangan ekonomi 2020 Malaysia yang diumumkan bulan lepas untuk mengurangkan impak daripada Covid-19 gagal menyokong ringgit, berikutan seramai 125 disahkan dijangkiti virus tersebut semalam, meningkatkan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan mendorong pihak berkuasa untuk mengambil tindakan drastik.

Semalam, kerajaan mengumumkan ia akan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara hingga akhir Mac 2020 untuk mengawal penyakit itu.

“Selain itu, prospek ekonomi negara turut dijejaskan oleh kejatuhan harga minyak mentah dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0356/0405 daripada 3.0260/0312 dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0403/0452 daripada 4.0613/0672 semasa ditutup semalam.

Unit tempatan jatuh berbanding pound kepada 5.2772/2834 daripada 5.2711/2876 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8127/8189 daripada 4.8155/8228.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.1525/1565 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, berikutan permintaan terhadap mata wang Amerika Syarikat itu kekal tinggi berbanding sekumpulan mata wang Asean dengan kebimbangan mengenai koronavirus 2019 (Covid-19).

Pada jam 9.04 pagi, unit tempatan merosot kepada 4.1525/1565 berbanding dolar AS daripada 4.1520/1560 semasa ditutup semalam.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp Stephen Innes berkata pasaran tempatan dilihat stabil, walaupun Covid-19 boleh menjejaskan pertumbuhan dalam masa terdekat dengan ketidaktentuan ekonomi kekal tinggi walaupun terdapat saranan kepada tindakan daripada Bank Negara Malaysia.

Innes berkata data eksport Korea untuk tempoh 20 hari yang dijangka diumumkan pada Jumaat akan menjadi barometer pertama bagaimana bulan tersebut mencatatkan prestasinya.

“Ia akan menjadi ujian penting kepada penyelesaian pelabur,” katanya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 2.9827/9858 daripada 2.9810/9850 semalam dan berbanding pound kepada 5.3983/4039 daripada 5.3951/4020.

Unit tempatan, bagaimanapun, naik berbanding yen kepada 3.7788/7828 daripada 3.7838/7878 pada Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.4839/4886 daripada 4.4950/5009 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.1290/1320 berbanding dolar US

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Ringgit meneruskan aliran meningkat semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini berikutan minat untuk mengambil risiko lebih baik terhadap mata wang tempatan.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1290/1320 berbanding dolar US daripada 4.1320/1350 pada Selasa.

Peniaga berkata walaupun dolar US mengukuh berikutan kebimbangan mengenai penularan Covid-19 menjadikan pelabur memilih mata wang Amerika Syarikat itu sebagai mata wang selamat, ringgit mencatatkan prestasi lebih baik menjejaki yuan China yang kukuh.

Katanya kebanyakan mata wang Asia mengukuh selepas China menyuntik 1.7 trilion yuan (US$242.74 bilion) melalui repo berbalik untuk mengurangkan impak kepada ekonomi akibat penularan virus itu.

Di peringkat tempatan, katanya pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 yang dijadualkan hari ini oleh Bank Negara Malaysia akan menyediakan pemangkin pasaran yang baharu.

Ringgit kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9767/9800 daripada 2.9780/9806 pada Selasa, naik berbanding yen Jepun kepada 3.7581/7612 daripada 3.7608/7639, dan menambah berbanding euro kepada 4.5064/5113 daripada 4.5088/5138 semalam.

Mata wang tempatan, bagaimanapun, rendah berbanding pound Britain kepada 5.3491/3547 daripada 5.3456/3511 sebelum ini.

-BERNAMA