Categories
GLOBAL

Trump guna kuasa veto tamatkan sokongan AS di Yaman

WASHINGTON, 17 APRIL: Presiden Donald Trump menggunakan kuasa veto berhubung satu resolusi yang menggesa Amerika Syarikat (AS) menghentikan sokongan terhadap peperangan di Yaman yang dipimpin Arab Saudi, lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Resolusi ini adalah sesuatu yang tidak perlu dan merupakan percubaan berbahaya untuk melemahkan kuasa perlembagaan saya, membahayakan nyawa rakyat Amerika serta anggota perkhidmatan yang berani, hari ini mahupun pada masa depan,” kata Trump dalam satu kenyataan.

Ini adalah kali kedua Trump menggunakan kuasa veto selepas beliau menjadi presiden AS.

Perundangan itu pada asalnya diperkenal di Senat dan ditaja bersama calon presiden Senator Bernie Sanders, dengan mengguna pakai resolusi Kuasa-Kuasa Perang, satu undang-undang persekutuan yang memberikan Kongres kuasa untuk menyiasat presiden apabila menjerumuskan AS ke dalam konflik bersenjata.

Dewan itu meluluskan satu resolusi yang sama berhubung Yaman pada Februari, tetapi ia tidak sampai kepada Senat kerana isu prosedur.

Arab Saudi mengetuai gabungan bagi menentang pemberontak Houthi di Yaman sejak 2015, apabila Riyadh dan sekutu Sunni-Arabnya melancarkan satu kempen serangan udara besar-besaran bagi mengusir pemberontak Houthi dari kawasan yang dikuasainya yang bermula pada 2014.

Kempen itu memusnahkan infrastruktur Yaman, termasuk sistem kesihatan dan sanitasinya, menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkannya sebagai antara bencana kemanusiaan paling teruk pada zaman moden. -BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Trump veto Kongres Amerika Syarikat

WASHINGTON, 16 MAC: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini menggunakan kuasa veto bagi mengenepikan rang undang-undang pengisytiharan darurat berhubung isu pembinaan tembok sempadan, lapor Xinhua.

Trump menandatangani veto itu di Rumah Putih sehari selepas Senat AS mengundi menyekat pengisytiharan daruratnya dan presiden itu ​​​​​​​berikrar menggunakan kuasa vetonya.

“Kita telah membina banyak tembok sekarang,” kata Trump selepas ​​​​​​​menandatangani veto sambil menggambarkan beliau akan tetap ​​​​​​​meneruskan rancangannya menerusi dana diperolehi daripada perisytiharan darurat.

Ujar Trump keputusan Kongres itu “berbahaya” dan “akan meletakkan ramai rakyat Amerika dalam bahaya.”

“Untuk mempertahankan keselamatan dan keamanan semua warga Amerika, ​​​​​​​saya akan menandatangani dan mengeluarkan veto rasmi mengenai ​​​​​​​resolusi yang melulu ini,” kata Trump.

Seorang anggota parlimen Republik, Lindsey Graham menyokong veto itu dan menyifatkan tindakan Trump adalah tepat.

Pengisytiharan veto itu akan dibawa ke Kongres untuk dibahaskan.

“Pada 26 Mac, Kongres akan membahaskannya dan akan diundi sama ada ​​​​​​​ditolak atau sebaliknya,” kata Speaker Dewan Perwakilan, Nancy ​​​​​​​Pelosi dalam satu kenyataan.

Kongres memerlukan lebih 290 undi untuk mengenepikan veto itu.

Semasa pengundian di Kongres pada akhir Februari lalu sejumlah 245 ​​​​​​​undi menolak manakala 182 lagi menyokong pengisytiharan darurat itu. -BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Vietnam giat lakukan persiapan sambut Kim Jong Un

HANOI, 23 FEB: Persiapan bagi menyambut kedatangan ketua Korea Utara, Kim Jong Un, yang dijangka tiba minggu depan dengan menaiki kereta api untuk menghadiri sidang kemuncak bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang giat dilakukan pihak berkuasa.

Kedua-dua pemimpin itu dijadualkan bertemu di Hanoi, pada 27 dan 28 Februari ini sebagai susulan terhadap pertemuan pertama mereka di Singapura, pada Jun tahun lalu yang berakhir tanpa sebarang kepastian berhubung penghapusan program nuklear Pyongyang.

Di Dandong, timur laut China yang bersempadan dengan Korea Utara, terdapat beberapa isyarat membuktikan kereta api dinaiki Jong Un akan merentasi China dalam perjalanan ke Vietnam.

Semua tetamu yang menginap di hotel berhadapan jambatan dinaiki kereta api berkenaan untuk memasuki China juga sudah diarahkan petugas untuk mendaftar keluar.

Hotel Zhonglian yang terletak di sepanjang sungai Yalu dan memisahkan kedua negara itu juga akan ditutup, bermula hari ini.

Sumber memberitahu, Jong Un dijangka tiba di Vietnam dengan menaiki kereta api lebih awal sebelum mesyuarat bersama Trump diadakan dan akan melawat dua wilayah bagi meninjau perkembangan ekonomi selepas perang negara terbabit.

“Kami sedang bersiap sedia menyambut ketibaan delegasi Korea Utara sekitar 25 Februari. Kami sedang merangka sambutan mereka di stesen kereta api Dong Dang, sebelum bergerak ke Hanoi dengan menaiki kereta,” kata seorang sumber rapat logistik.

Sumber dan media melaporkan, Jong Un dijangka tiba di Dong Dang dengan merentasi Beijing dari Pyongyang.

Sumber kedua logistik turut mengesahkan ketibaan kereta api berkenaan pada lewat 25 Februari atau 26 Februari.

*Sumber: AFP / Terjemahan: BHOnline

Categories
GLOBAL NASIONAL

Perisytiharan darurat Trump cetus tunjuk perasaan

WASHINGTON, 19 FEB: Demonstrasi secara besar-besaran diadakan di Amerika Syarikat (AS) bagi membantah perisytiharan darurat oleh Presidennya, Donald Trump dalam usaha mendapatkan pembiayaan untuk membina tembok di sempadan AS-Mexico yang penuh kontroversi.

Trump menandatangani perintah darurat kebangsaan itu pada Jumaat untuk membina tembok di sempadan AS-Mexico dan menunaikan janji khasnya semasa kempen pilihan raya presiden pada 2016.

Langkah itu memberikan kuasa kepada presiden untuk melangkau Kongres bagi mendapatkan akses kepada wang namun ia mencetuskan satu pusingan baharu perundangan dan pertikaian kepartian hampir serta-merta.

Ratusan penunjuk perasaan melaungkan protes di luar Rumah Putih pada Isnin, yang merupakan cuti tahunan Hari Presiden AS, sebagai sebahagian daripada demonstrasi di seluruh negara.

“Tamatkan darurat palsu sekarang,” menurut satu sepanduk. “Kami menyokong pendatang dan pencari suaka,” kata sepanduk lain.

 

 

Pertikaian selama dua bulan berkaitan pembiayaan tembok sempadan antara Rumah Putih dan Kongres Demokrat menyebabkan penutupan kerajaan persekutuan bersejarah selama 35 hari yang berakhir, pada hujung bulan Januari.

Penasihat dasar kanan Rumah Putih Stephen Miller mempertahan tindakan Trump dalam satu temu bual dengan “Fox News Sunday,” dan menegaskan bahawa keadaan darurat adalah sesuatu yang nyata.

Terdapat peningkatan dalam jumlah “orang yang menyeberangi sempadan” dan “kematian yang mempunyai kaitan dengan dadah” sejak tahun 2000, dakwa beliau.

Para pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan telah menahan hampir 400,000 orang di sempadan AS-Mexico semasa tahun fiskal 2018, menurut data persekutuan.

Itu merupakan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, namun kurang daripada jumlah pada 2016.

Dan angka tahunan baru-baru ini adalah yang terendah dalam tempoh hampir empat dekad, menurut laporan media tempatan.

Media tempatan melaporkan bahawa sekurang-kurangnya dua tindakan undang-undang telah diambil oleh kumpulan pemantau untuk mencabar kesahihan perisytiharan itu, dan Peguam Negara California Xavier Becerra pada Ahad berkata beliau “sudah pasti” akan memfailkan satu saman berhubung perkara itu.

Lebih 100 orang mengambil bahagian dalam perhimpunan di pusat bandar Chicago di Plaza Federal, bagi membantah apa yang mereka sifatkan sebagai “satu perintah darurat kebangsaan yang palsu dalam usaha untuk melangkau kongres.”

 

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump isytihar darurat peringkat nasional

WASHINGTON, 16 FEB: Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat peringkat nasional, semalam, dalam usaha beliau menampung janji membina tembok sempadan dengan Mexico tanpa kelulusan Kongres.

Pada masa sama, Demokrat berjanji untuk mencabar tindakan itu di mahkamah kerana berpendapat ia melanggar Perlembagaan Amerika Syarikat (AS).

Memetik laporan BH Online, Trump sebelum ini gagal mendapatkan dana tembok sempadan sebanyak AS$5.7 bilion (RM23.27 bilion) dalam rang undang-undang untuk menampung kos operasi agensi kerajaan.

Beliau menggunakan strategi undang-undang tidak jelas menerusi darurat nasional dan mungkin beliau terpaksa berdepan pertikaian panjang dengan Demokrat yang boleh membawa kepada perpecahan dalam Repulikan.

Speaker Demokrat yang menguasai Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi dan pembuat dasar utama Demokrat di Senat, Chuck Schumer pantas memberikan maklum balas terhadap pengisytiharan Trump.

“Tindakan Presiden jelas melanggar kuasa ekslusif Kongres dalam menentukan dana kerajaan, ia ditetapkan pengasas negara ini dalam Perlembagaan.

“Kongres akan mempertahankan kuasanya seperti dalam perlembagaan di mahkamah dengan menggunakan segala cara yang ada,” menurut kenyataan mereka.

Peguam negeri New York, Letitia James berkata, jabatan beliau akan mencabar Trump di mahkamah.

“Kami tidak akan membiarkan salah guna kuasa ini dan akan melawan dengan sehala alat undang-undang yand ada,” kata James di Twitter.

Presiden mengakui perintah beliau akan berdepan pertikaian panjang di mahkamah. “Kita akan menang di Mahkamah Agung,” kata Trump.

Ada pakar undang-undang berpendapat pentadbiran Trump mungkin akan menang.

Akta Darurat Nasional 1976 memberikan kuasa kepada Presiden AS untuk mengisytiharkan darurat. Undang-undang itu juga memberikan ruang kepada Kongres untuk mencabar pengisytiharan sedemikian.

Beberapa pakar undang-undang dari Jonathan Turley of Georgetown University dan William Banks of Syracuse University berkata, jika Kongres gagal mengundi menolak pengisytiharan darurat Trump, mahkamah mungkin tidak akan mengambil tindakan terhadap tindakan presiden dalam mentafsir isu keselamatan nasional.

– Reuters

Categories
GLOBAL

Trump tandatangan perintah eksekutif pastikan AS dalam AI

WASHINGTON, 12 FEB: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam menandatangani perintah eksekutif yang melancarkan satu inisiatif bagi memastikan kepimpinan negara itu dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI).

Agensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan Rumah Putih berkata, inisiatif bagi mempromosi teknologi itu di peringkat kebangsaan memerlukan perlindungan faedah yang diperoleh AS dalam bidang AI “daripada pesaing strategik dan musuh asing.”

Kennyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus pesaing atau musuh yang dimaksudkan.

“Kepimpinan Amerika yang berterusan dalam bidang Kecerdasan Buatan adalah kepentingan utama bagi mengekalkan keselamatan ekonomi dan negara AS,” kata Trump.

Inisiatif itu mencadangkan satu pendekatan pelbagai serampang untuk mempercepat kepimpinan AS dalam bidang AI termasuk dari segi pelaburan, perkongsian data, penetapan piawaian dan latihan kakitangan.

Bagaimanapun, ia menekankan satu “penglibatan antarabangsa” berbanding kerjasama antarabangsa yang dicadangkan oleh kebanyakan penyelidik dan usahawan AI.

Ia turut menggesa negara lain membuka pasaran kepada industri AI Amerika sambil memastikan teknologi itu dibangunkan secara konsisten dengan nilai-nilai dan kepentingan Amerika.

Inisiatif itu juga membolehkan agensi persekutuan menawarkan lebih banyak data, model dan sumber pengkomputeran kepada para penyelidik dan usahawan AI di negara tersebut.

“Kita tidak boleh duduk diam dan menganggap kepimpinan kita dalam bidang ini terjamin,” menurut kenyataan itu.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Timbalan Setiausaha Perbendaharaan AS calon Presiden Bank Dunia

WASHINGTON, 7 FEB: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan David Malpass, sebagai calon negara itu bagi mengisi jawatan presiden Bank Dunia.

Agensi berita China Xinhua melaporkan, Malpass yang juga Timbalan Setiausaha bagi Hal Ehwal Antarabangsa di Jabatan Perbendaharaan AS disifatkan sebagai “seorang yang amat luar biasa.”

Laporan itu dikeluarkan melalui kenyataan dari Rumah Putih menyebut bahawa Trump melancarkan “pencarian meluas bagi mencari pengganti” Jim Yong Kim, bekas pemimpin Bank Dunia yang secara tiba-tiba meletak jawatan, pada awal Januari lalu.

“Saya tahu David adalah orang yang tepat bagi mengisi jawatan yang amat penting ini,” kata Trump.

Presiden itu berkata, Malpass adalah penyokong kuat bagi akauntabiliti di Bank Dunia dan beliau berjuang bagi memastikan pembiayaan difokuskan pada tempat serta projek yang sememangnya memerlukan bantuan, termasuk penduduk yang hidup dalam keadaan miskin tegar.

Malpass perlu mendapat kelulusan lembaga pengarah eksekutif Bank Dunia bagi mengetuai badan pemberi pinjaman pembangunan antarabangsa itu.

Ekoran kenyataan Trump, Malpass yang pernah mengkritik Bank Dunia sebelum ini mengucapkan terima kasih kepada presiden terbabit kerana memilih beliau untuk mengetuai institusi pembangunan utama dunia itu.

Beliau berkata, matlamat utama ialah bagi memastikan golongan wanita mencapai pembabitan penuh dalam usaha membangunkan ekonomi.

Calon yang dipilih Washington, pemegang saham terbesar Bank Dunia dengan 16 peratus kuasa mengundi, biasanya akan mengambil alih jawatan sebagai pemimpin institusi itu sejak penubuhannya, pada 1944.

Tradisi yang diamalkan sejak sekian lama itu menyebabkan kredibiliti organisasi terbabit dipersoal, memandangkan jumlah sumbangan pasaran negara membangun dan pertumbuhan ekonomi global jauh lebih besar berbanding negara maju, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bermula Khamis, lembaga pengarah eksekutif Bank Dunia akan menerima pencalonan sehingga 14 Mac dan memilih pemenang bagi mengisi jawatan presiden menjelang mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia dan IMF, yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 14 April, di Washington.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Cory Booker umum bertanding, cabar Trump

WASHINGTON, 2 FEB: Calon Demokrat, Cory Booker menyatakan minat untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) semalam, seterusnya berkempen dalam usaha menyingkirkan Donald Trump pada 2020.

Selain Booker, calon Demokrat lain turut bertanding ialah musuh ketat Trump, Elizabeth Warren dan Senator California, Kamala Harris yang berhasrat menjadi wanita berketurunan Afrika-Amerika pertama memenangi jawatan berkenaan.

Laporan agensi berita AFP memaklumkan, Booker, 49, mula mendapat perhatian ketika menjadi penyiasat kepada penasihat Mahkamah Agung Trump, Brett Kavanaugh ketika perbicaraan berprofil tinggi, September tahun lalu.

Beliau pernah mendedahkan e-mel sulit yang merujuk kepada kedudukan Kavanaugh berhubung isu diskriminasi kaum dan bersedia kehilangan kerusi Senat kerana mendedahkannya.

Memilih pendekatan politik lebih positif, Booker mengelak berdepan konflik terbuka dengan Trump.

Booker iaitu Senator dari New Jersey membuat pengumuman mengenai hasratnya itu melalui rakaman video serta mendedahkan latar belakang kehidupannya bersama keluarga dalam komuniti bandar terpinggir akibat perkauman.

Berstatus bujang, sekiranya terpilih beliau akan menjadi Presiden AS yang pertama belum berkahwin sejak 1884.

Categories
GLOBAL

Penutupan pentadbiran AS berterusan

WASHINGTON, 3 JAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi gambaran penutupan separa pentadbiran kerajaan negara itu mungkin berterusan sehingga hujung minggu ini.

Ia diputuskan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin kongres, semalam.

Memasuki hari ke-12 penutupan pentadbirannya, Trump dilihat masih berkeras dengan tuntutan dana AS$5 bilion (RM20.9 bilion) bagi membiayai pembinaan tembok, di sempadan Mexico.

Pemimpin kongres juga dijangka kembali ke Rumah Putih esok untuk menyambung rundingan.

Sebelum bertemu dengan pemimpin kongres, Trump berkata, penutupan itu akan berlarutan ‘selagi perlu’ ketika menuntut dana pembinaan tembok yang ditentang Demokrat.

“Ia mungkin berlarutan untuk jangka masa lama atau mungkin juga cepat,” kata Trump kepada pemberita semasa mesyuarat Kabinet semalam.

Permintaan Trump untuk membiayai pembinaan tembok di sepanjang sempadan AS-Mexico mencetus penutupan pentadbiran AS yang menjejaskan kira-kira satu perempat daripada kerajaan persekutuan dan 800,000 kakitangan persekutuan.

*Reuters

Categories
GLOBAL

Trump tangguh bawa pulang tentera dari Syria

WASHINGTON, 1 JAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dipercayai menangguhkan rancangannya untuk membawa pulang semua anggota tentera negaranya dari Syria.

Menurut AFP, keputusan mengekalkan tentera AS, di Syria bagi menamatkan tugas menentang Daesh walaupun sebelum ini mengumumkan sudah berjaya menewaskan kumpulan militan terbabit.

Bagaimanapun, melalui mesej di Twitter, Trump seolah memberi isyarat bahawa beliau mengambil langkah berhati-hati berhubung rancangannya menarik balik tentera negara itu.

“Langkah membawa pulang anggota tentera akan dilakukan secara berperingkat untuk membolehkan mereka kembali bersama keluarga masing-masing.

“Pada masa sama, usaha menghapuskan saki baki militan Daesh akan diteruskan,” katanya.

Kenyataan Trump itu dianggap bercanggah dengan pengumumannya sebelum ini, bahawa militan Daesh sudah berjaya dihapuskan.

Dalam pada itu, Presiden AS itu turut meluahkan rasa kecewa berhubung kritikan diterima berkenaan strateginya, di Syria.

*Sumber: BHOnline

 

Categories
GLOBAL

AS lanjut tutup operasi kerajaan

WASHINGTON, 28 DIS: Penutupan operasi kerajaan Amerika Syarikat (AS) terus berlarutan selepas penggubal undang-undang gagal mencapai kata sepakat berhubung tuntutan Presiden Donald Trump untuk mendapatkan dana AS$5 bilion (RM20.9 bilion) bagi membiayai pembinaan tembok, di sempadan Mexico.

Memetik AFP, selepas beberapa minit bersidang, ahli Senat yang secara rasminya masih bercuti sempena Krismas meninggalkan dewan dan bersetuju untuk bertemu kembali, pada Rabu minggu depan.

Hal itu sekali gus menjadikan penutupan operasi pentadbiran Kerajaan AS yang kini sudah memasuki hari keenam akan berlarutan selama 12 hari.

Trump berhasrat membina tembok di sempadan AS dan Mexico, iaitu antara janji yang dibuat ketika pilihan raya presiden, namun permohonannya ditolak anggota Demokrat dan Republikan.

Justeru, sebagai tindak balas, Trump enggan menandatangani peruntukan belanjawan, sekali gus menjejaskan peruntukan dana kepada pentadbiran kerajaan.

Jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders mendakw Demokrat secara terbuka memilih untuk memastikan kerajaan ditutup bagi melindungi pendatang tanpa izin berbanding mengutamakan rakyat Amerika sendiri.

Beliau berkata, Trump tidak akan menandatangani cadangan yang tidak lebih dulu mengutamakan keselamatan dan kedaulatan negara.

Selagi perdebatan berkenaan tembok itu tidak diselesaikan, kira-kira 800,000 kakitangan persekutuan tidak akan mendapat gaji dan beberapa bahagian kurang utama dalam kerajaan tidak akan berfungsi.

Categories
GLOBAL

Trump akur, arah bendera separuh tiang

WASHINGTON, 28 OGOS: Akur dengan tekanan untuk berkabung susulan kematian John McCain, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang.

Arahan itu dibuat selepas Trump mendapati dirinya turut terbabit dalam kontroversi berhubung kegagalan memberi penghormatan kepada McCain yang meninggal dunia Sabtu lalu selepas setahun menghidap barah otak.

Apabila kumpulan veteran melancarkan rayuan memberikan lebih penghormatan kepada McCain, yang pernah dipenjarakan lebih lima tahun di Vietnam, Trump, yang memang tidak menyenangi senator Arizona itu, bertindak sebaliknya.

“Walaupun berbeza pandangan mengenai dasar dan politik, saya hormat khidmat Senator John McCain kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Trump mengarahkan bendera di Rumah Putih dan di tempat lain dikibarkan separuh tinggal sehingga majlis persemadian McCain, pada Ahad ini.

Sebelum ini, bendera di Rumah Putih dikibarkan separuh tiang selepas kematian McCain Sabtu lalu, tetapi dinaikkan semula pagi semalam.

Sikap berdiam diri Trump mengenai McCain menggariskan beliau dipinggirkan dan menyemarakkan kritikan kegagalannya menyatukan negara itu walaupun ketika ia menangisi kematian tokoh yang dilihat sebagai wira AS dan ikon politik.

Di Phoenix, bekas pengurus kempen calon presiden dua kali itu, Rick Davis, mengesahkan Trump tidak akan menghadiri majlis persemadian.

Bagaimanapun, Naib Presiden Mike Pence, dijangka berucap pada majlis menghormati McCain di Capital Jumaat ini. — AFP