OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 3 OGOS: Projek perintis pengurusan sisa pepejal di Klang diyakini mampu membawa Selangor selangkah keluar daripada belenggu masalah sampah.
Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah, berkata penggunaan ‘alat pengesan’ di kompaktor dan penyelia di lapangan membolehkan proses pemantauan dilakukan dengan lebih rapi.
Katanya, penduduk juga boleh menggunakan Aplikasi iClean Selangor untuk membuat aduan atau hubungi terus ‘Command Centre’ KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).
“Kita tidak memerlukan RM2.2 bilion untuk menguruskan masalah sampah di Selangor.
“Apa yang kita lakukan adalah memberdaya pihak berkaitan dan kita yakin keadaan akan bertambah baik dengan model baru ini.
“Kita ada solusi tersendiri,” katanya membidas Tan Sri Noh Omar.
Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mendakwa kedegilan Selangor menggunapakai Akta 672 membuatnya terlepas peruntukan tahunan berjumlah RM2.2 bilion.
Beliau berkata, masalah sampah Selangor juga berpunca daripada keengganan meneruskan perkhidmatan syarikat konsesi Alam Flora.
“Kita sudah bersabar dengan Alam Flora sejak 2008 sehingga 2011 dan ia ternyata tidak berbaloi untuk negeri,” bidas Fahmi.
Akta 672 merujuk kepada Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang bertujuan mengawal selia pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam.
Ia bermaksud menyelenggarakan kebersihan sepatutnya dan bagi perkara bersampingan dengannya.
EZY