Categories
SELANGOR

Dr Mariah luang masa lawat Taman Sinar Harapan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA KUBU BHARU, 2 OKT: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud mengadakan lawatan kerja meninjau operasi pentadbiran Taman Sinar Harapan, di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Beliau meluangkan masa hampir tiga jam dengan melawat lapan asrama yang menempatkan hampir 216 penghuni terdiri daripada peringkat umur dan penyakit.

Pengetua Taman Sinar Harapan, Nor Azian Shafador Khan dalam taklimatnya berkata, Taman Sinar Harapan memerlukan tambahan peruntukkan RM1.6 juta bagi membaiki infrastruktur, di sini.

“Kami di sini kekurangan Pembantu Perawat Kesihatan (PPK) dan memerlukan tambahan 31 kakitangan.

“Setakat ini, nisbah 1:25 dan sepatutnya nisbah 1:4. Dalam perkiraan kami, pertambahan PPK memerlukan belanja lebih RM600,000 setahun,” katanya.

Taman Sinar Harapan mula beroperasi sepenuhnya sejak 1984 dan mampu menempatkan 240 penghuni, pada satu masa.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Mohamad Hanafi Maulud dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Negeri tidak setuju pusat swasta jadi One Stop Centre

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kerajaan Negeri menafikan dakwaan pemilik sebuah pusat pendidikan khas kononnya peruntukan Program Intervensi Awal (EIP) yang diterimanya dipotong.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri menetapkan garis panduan bahawa pemberian kali pertama adalah RM100,000, kedua RM50,000 dan RM30,000 bagi kali ketiga.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan golongan istimewa berkenaan lebih lagi soal pendidikan.

“Tidak timbul isu pemotongan. Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan terbabit bukan sahaja kepada pemilik pusat berkenaan tetapi beberapa pusat lain.

“Ia merupakan peruntukan ‘one off’ yang diberikan selama tiga tahun. Ia merupakan sumbangan bukan janji dalam bentuk selama-lamanya,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Mariah berkata, pemilik pusat berkenaan pernah mengutarakan permintaan untuk menjadikan pusatnya sebagai ‘one stop centre’ pendidikan khas namun, Kerajaan Negeri tidak bersetuju.

“Kerajaan Negeri tidak setuju untuk mengambil pusat swasta untuk dijadikan ‘one stop centre’.

“Kita melihat beberapa kekangan kerana ia bukan milik kerajaan antaranya dari segi pemantauan peruntukan dan lain-lain.

“Jika kita bagi RM1.5 juta, bagaimana dengan pusat swasta yang lain?,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri komited meneruskan program berkenaan pada tahun ini dan mengalukan permohonan baru dari institusi layak.

RM3 juta diperuntukkan tahun ini berbanding RM1.8 juta pada tahun lalu.

Program EIP itu bertujuan menyediakan pendidikan dan perkhidmatan terapi yang diperlukan oleh kanak-kanak keperluan khas seperti fisioterapi, occupational therapy, speech therapy dan hydritherapy.

Sebelum ini, Pengarah dan Pelakon yang merupakan pemilik pusat berkenaan menghentam Kerajaan Negeri menerusi laman sosial Instgram dan Twitter.

Beliau mendakwa Kerajaan Negeri bertindak memotong peruntukkan EIP dan tidak mempedulikan nasib kanak-kanak istimewa berkenaan.

Categories
SELANGOR

Perhebat program kesedaran anak istimewa

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor disaran melaksanakan program kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat berhubung permasalahan kanak-kanak istimewa.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu bagi menerapkan kepentingan mendidik golongan berkenaan, selain menerima dan menganggap mereka seperti kanak-kanak normal.

Katanya, tahap kesedaran rendah dalam kalangan ibu bapa khususnya di luar bandar menyebabkan kanak-kanak itu sukar menikmati keperluan pendidikan.

“Kita tidak boleh meminggirkan mereka, sebaliknya bantu supaya mereka boleh mengharungi kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.

“Kita juga tidak mahu kanak-kanak ini tertinggal oleh arus peredaran masa pada zaman ini,” katanya kepada Selangorkini.

Pada masa sama, Dr Mariah turut menasihatkan ibu bapa supaya mendaftarkan anak yang menghidap penyakit seperti autisme dan disleksia ke Jabatan Kebajikan Malaysia sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

Katanya, ibu bapa juga perlu membuang sifat malu terhadap anak OKU bagi memastikan mereka menerima pendidikan dan latihan sewajarnya.

“ADN perlu buat program kesedaran ini menggunakan peruntukkan sedia ada dengan memanggil pakar untuk memberi taklimat berhubung isu terbabit.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dan jangan pandang negatif kepada golongan istimewa ini,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Selangor bakal wujud pusat intervensi awal anak istimewa

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kerajaan Negeri sedang dalam usaha mewujudkan Pusat Intervensi Awal Kanak-kanak Istimewa bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan meliputi aspek kemahiran urus diri, bermain dan pendidikan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan di dua taska setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih.

Katanya, taska berkenaan mesti memiliki keupayaan infrastruktur dan prasarana mencukupi.

“Ini adalah projek perintis kita. Dua orang guru juga akan dilatih kakitangan Pusat Permata Kurnia negara supaya mereka diberi pendedahan dan kemahiran terlebih dahulu.

“Buat masa ini, kita akan terima semua jenis penyakit seperti autisme, disleksia, down syndrom dan sebagainya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Permata Kurnia bagi mengetahui proses pembelajaran dan pengurusan pusat berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Taska Selangor, Mahanom Basri dan Pengarah Pusat Permata Kurnia, Prof Dr Hasnah Toran.

Mengulas lanjut, katanya, pusat itu membolehkan ibu bapa yang memiliki anak istimewa tidak perlu menghantar anak mereka ke pusat swasta atau jauh dari rumah.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap anak istimewa itu dan mahu mereka mampu berdikari mendepani cabaran hidup tanpa bergantung kepada ibu bapa atau orang sekeliling.

“Di negara maju, anak ini mampu berdikari dan diajar berkenaan urus diri selain diberi pendidikan awal bagaimana bergaul dengan orang sekeliling.

“Jadi, kita mahu mereka ini tidak menjadi bebanan ibu bapa lebih lagi ibu bapa atau keluarga yang malu menerima kanak-kanak istimewa ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan berbincang dengan badan bukan kerajaan, persatuan dan pemegang taruh untuk mendapatkan pandangan serta bantuan.

Beliau berkata, Pusat Permata Kurnia itu juga akan dijadikan contoh kepada Kerajaan Negeri dari segi pengurusan dan pembelajaran bagi pusat intervensi yang bakal diwujudkan kelak.

“Saya difahamkan, pusat permata ini menerima pelajar kanak-kanak istimewa majoriti dari Selangor,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Penduduk Selangor masih boleh kawal tekanan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 SEPT: Penduduk di Selangor dilihat masih boleh mengawal tekanan yang membawa kepada penyakit mental, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, ia dilihat melalui kedudukan kelima Selangor menerusi carta masalah kesihatan mental yang dilaporkan ‘Public Health Malaysia’, baru-baru ini.

“Pada awalnya saya ingatkan Selangor akan berada pada kedudukan pertama, namun kajian itu mendapati Selangor berada di bawah Sabah, Sarawak dan Kelantan.

“Ini menunjukkan penduduk di negeri ini masih mampu mengawal tekanan mereka walaupun hidup dalam kota yang penuh cabaran dengan ada yang setiap hari melalui jalan raya sesak dan kos kehidupan seharian tinggi, berbanding di luar bandar.

“Melalui kajian ini, jelas menunjukkan masalah tekanan yang membawa kepada penyakit mental ini masih boleh dikawal diri sendiri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kajian carta masalah kesihatan mental yang dikeluarkan menerusi laman sosial ‘Public Health Malaysia’.

Menerusi carta itu, Sabah dan Wilayah Labuan menduduki tempat pertama dengan kadar 42.9 peratus, Kuala Lumpur (kedua) dengan 39.8%, Kelantan (ketiga) dengan 39.1%.

Manakala Sarawak 35.8% diikuti Selangor pada kadar 29.3%, manakala Perak berada pada kedudukan terendah iaitu 17%.

Pada masa sama, Siti Mariah berkata, masalah kesihatan mental bukan lagi perkara yang boleh dipandang ringan.

“Harus diingat, masalah kesihatan mental tidak semata-mata bermaksud seseorang yang merayau mengutip sampah, bercakap seorang diri dan lain-lain.

“Terdapat banyak lagi masalah mental yang dihidapi seseorang tetapi mereka kelihatan normal tetapi tiada istilah sihat jika kesihatan mentalnya terabai, sihat bermaksud sihat dari segi fizikal dan mental.

“Saya juga ingin nasihatkan mereka yang tidak dapat mengawal masalah tekanan mental ini segera berjumpa pihak sepatutnya,” katanya.

Categories
SELANGOR

i-asuh kesan pengasuh berdaftar

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 29 OGOS: Kerajaan Negeri bakal menubuhkan pangkalan data i-asuh, bermula tahun depan bagi membolehkan ibu bapa mengesan pengasuh berdaftar untuk menjamin keselamatan anak mereka.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu penting bagi memudahkan ibu bapa menyemak dan menghantar anak mereka di bawah pengasuh berdaftar, di Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menganjurkan pelbagai aktiviti dan kursus bersesuaian kepada pengasuh berdaftar dengan i-asuh, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat selaku agensi pemantau.

“Perlunya i-asuh ini memandangkan pada masa kini terlalu banyak kes tidak diingini berlaku terhadap anak asuhan sehingga menyebabkan kematian.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri komited melaksanakan i-asuh kerana ia dapat mengelakkan ibu bapa daripada terus bimbang menghantar anak ke pusat asuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian PAWE Pelangi Impian Sepang, di Dewan Orang Ramai, Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Dr Siti Mariah berkata, masyarakat tidak perlu berterusan menuding jari menyalahkan pihak JKM menjadi punca kepada insiden kanak-kanak didera.

Katanya, Kerajaan Negeri optimis setiap pengasuh di negeri ini akan mendaftarkan diri menerusi i-asuh bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada terus berlaku.

Sementara itu, mengulas berkenaan masalah mental pengasuh yang menyebabkan punca kematian kanak-kanak, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan membuat saringan kepada setiap pengasuh bagi mengenal pasti tahap tekanan seseorang individu itu.

“Kita sedang dalam proses perbincangan bagi memastikan setiap pengasuh mempunyai latar belakang baik dan bebas daripada gejala negatif,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Satu lagi PAWE ditubuh berdaya warga emas

OLEH SHEEDA FAHIL

SEPANG, 29 OGOS: Satu lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ditubuh, di daerah Sepang bertujuan memberi ruang dan peluang kepada warga emas untuk terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti tanpa mengira faktor usia.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, penubuhan pusat itu sudah diluluskan dan akan mula beroperasi, pada Oktober ini.

“PAWE juga bertujuan menjadikan warga emas sentiasa aktif membabitkan diri mereka dengan pelbagai aktiviti kerana jika hanya duduk sahaja, kemungkinan tahap kesihatan akan merosot.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua warga emas di daerah Sepang untuk aktif dan berdaftar sebagai ahli PAWE supaya dapat menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian PAWE Pelangi Impian Sepang, di Dewan Orang Ramai, Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek, di sini, semalam.

Katanya, program yang dilaksanakan di PAWE bertepatan dengan matlamat Dasar Warga Emas, iaitu mendaya upayakan individu, keluarga dan masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap serta berkesan untuk membantu mereka hidup sejahtera.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri turut berhasrat memperluaskan PAWE pada setiap komuniti dalam Selangor supaya semua warga emas sentiasa aktif.

“Sudah lapan PAWE diwujudkan di setiap daerah, di negeri ini dan kita sememangnya berhasrat meluaskan lagi pusat aktiviti ini, terutama di kawasan bandar.

“Bagaimanapun, kita kini sedang dalam proses bertemu dengan warga emas untuk mendengar sendiri apa yang mereka mahu kerajaan bantu supaya golongan itu tidak terasing,” katanya.

Categories
SELANGOR

3 generasi dirai, erat silaturahim

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 29 OGOS: Seramai 280 peserta daripada tiga generasi dirai, pada Program Intergenerasi Warga Emas, Kanak-kanak dan Remaja peringkat Selangor 2018, di Dewan Orang Ramai, Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek, di sini, semalam.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program itu adalah landasan menggabungkan ketiga generasi, di bawah satu bumbung.

“Aktiviti dalam program ini membabitkan tiga kumpulan usia berbeza bertujuan mewujudkan interaksi, komunikasi, perkongsian kemahiran dan ilmu pengetahuan sesama sendiri.

“Program sebegini amat digalakkan di Selangor khususnya supaya generasi ini dapat memanfaatkan pengalaman sedia ada untuk dikongsikan bersama,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Difahamkan, daripada 280 peserta terbabit, 150 adalah warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Yayasan Al-Jenderami, penerima bantuan warga emas daerah Sepang dan Komuniti Warga Emas Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek.

Manakala, penyertaan kanak-kanak dan remaja pula membabitkan 130 orang terdiri daripada pelajar di 25 sekolah rendah dan menengah di daerah Sepang serta pelajar Kolej Vokasional Sepang.

Antara pengisian program adalah senaman warga emas yang bermula seawal jam 7.30 pagi, diikuti ceramah berkaitan Dasar Warga Emas dan isu antara generasi serta terapi kesunyian.

Turut diadakan pembahagian kumpulan membabitkan tiga generasi untuk membuat aktiviti menganyam ketupat, membuat layang-layang, permainan congkak dan acara membuat karipap serta pameran juga pemeriksaan kesihatan percuma.

Categories
SELANGOR

EXCO: Cuaca panas, banyakkan minum air

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 29 OGOS: Orang ramai dinasihatkan meminum lebih banyak air kosong ekoran cuaca panas yang sedang berlaku, kini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, minuman manis seperti kafein perlu dikurangkan kerana ia menyebabkan badan lemah dan kurang hidrasi.

“Selain itu, orang ramai perlu mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas dan dapatkan rehat secukupnya di dalam rumah.

“Namun, sekiranya perlu melakukan aktiviti di luar adalah dinasihatkan supaya memakai pakaian yang tidak terlalu tebal, gunakan topi atau payung sebagai pelindung,” katanya ketika ditemui SelangorKini, semalam.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata, penjagaan kebersihan juga perlu diutamakan bagi mengelak penyakit daripada berjangkit.

Terdahulu, beberapa negeri di Semenanjung, kawasan barat Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan di bawah paras purata sepanjang Ogos hingga September, berikutan cuaca panas.

Negeri terbabit adalah Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, keadaan itu disebabkan negara sedang mengalami fasa musim Monsun Barat Daya yang antara lain turut menyebabkan suhu menjadi lebih panas daripada kebiasaan.

Categories
SELANGOR

Belia dan warga emas perlu saling interaksi

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 29 OGOS: Kanak-kanak, remaja dan warga emas digalakkan untuk saling berinteraksi bagi mengeratkan hubungan sesama mereka.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, beliau amat menyokong program membabitkan generasi muda dan warga emas diwujudkan di Selangor dan dijadikan sebagai program tahunan.

“Program sebegini amat berkesan, bertujuan memberi kesedaran kepada dua generasi berkenaan keperluan menjalankan aktiviti bersama bagi mengurangkan jurang pemisah, sekali gus mengeratkan hubungan sesama mereka.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua, terutama generasi muda betapa pentingnya kita mengambil berat berkenaan keperluan dan kehendak warga emas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Intergenerasi Warga Emas, Kanak-kanak dan Remaja Peringkat Selangor 2018, di Dewan Orang Ramai, Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek, di sini, semalam.

Katanya, setiap generasi muda akan turut menempuhi usia emas dan pastinya seseorang itu mengharapkan perhatian serta layanan terbaik daripada anak juga masyarakat.

Pada masa sama, katanya, peranan warga emas tetap diperlukan dalam usaha mewujudkan negara bersatu-padu dan bertoleransi dengan masyarakatnya berkeyakinan, mempunyai nilai moral, beretika serta mampu menjamin kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

“Jika dilihat, warga emas berusia 60 tahun ke atas kebanyakannya masih produktif, mempunyai pengalaman luas dan berpendidikan tinggi, jadi perlunya kita memanfaatkan mereka untuk mendidik generasi muda kini.

“Malah, kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati rakyat Malaysia, pada masa ini adalah hasil titik peluh serta usaha gigih generasi terdahulu yang kini antaranya daripada warga emas juga,”katanya.

Categories
SELANGOR

EXCO mahu masyarakat ambil berat soal kesihatan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 OGOS: Masyarakat disarankan mengambil berat tahap kesihatan masing-masing, termasuk membuat ujian saringan awal sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit merbahaya.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, setiap penyakit mampu diubati jika pesakit membuat pemeriksaan awal mengenal pasti kesakitan dihadapi.

“Kerajaan Negeri komited bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam memberi kesedaran, pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat berkenaan cara menangani penyakit merbahaya,” katanya kepada SelangorKini.

Kenyataan itu susulan penyakit berjangkit yang sedang kronik melanda negara ini antaranya penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), tibi dan denggi.

Mengulas berkenaan kehadiran pendatang asing yang menjadi punca penyakit berjangkit, beliau berkata, ia merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah itu.

“Masyarakat perlu mendapatkan saringan kesihatan kerana jika seseorang disahkan menghidap penyakit, kita boleh memberi rawatan dan mengawal penyakit itu daripada komplikasi lain yang lebih buruk daripada terus menular,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap takziah pemergian bapa Dr Siti Mariah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 JULAI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada Exco Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, atas pemergian bapa Ahli Dewan Negeri Seri Serdang itu, pagi tadi.

“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor atas pemergian ayahanda tercinta, Allahyarham Hj Mahmud bin Hj Ahmad.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan dikurniakan syurga yang penuh dengan nikmat,” tulisnya di Twitter, pagi ini.

Sinar Harian melaporkan, Allahyarham, Mahmud Ahmad, 86, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Bukit Larik, Jalan Kuala Nerang di sini, akibat sakit tua kira kira jam 7.40 pagi.

Portal itu melaporkan, Allahyarham Mahmud pernah menjadi calon PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum bagi Parlimen Pokok Sena dan Padang Terap ketika tahun 80-an.

Jenazah Mahmud disembahyangkan di Madrasah Darul Ilum, di sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Durian, di sini, selepas Asar.