Categories
AGENDA SUKANKINI

MFL harap penonton lengkap dua dos dibenar masuk stadium

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekali lagi akan memohon kebenaran untuk penyokong menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di stadium sebagai usaha merancakkan kembali saingan liga berkenaan.

Presiden MFL yang baharu Datuk Ab Ghani Hassan berkata badan pentadbir Liga-M itu telah menyediakan kertas kerja yang ditambah baik berserta beberapa syarat baharu untuk diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata antara syarat baharu bagi kebenaran itu adalah kemasukan ke stadium hanya dibenarkan kepada individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Susulan kelonggaran (yang telah diberikan) kepada individu (lengkap dua dos), ia juga harus dipertimbangkan oleh MKN untuk benarkan penyokong (lengkap dua dos) pergi ke stadium,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai Presiden MFL secara maya, hari ini.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata MFL turut menaruh harapan supaya peratusan penyokong yang dibenarkan ke stadium dapat ditambah berbanding jumlah tertinggi yang diberikan sebelum ini iaitu 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton.

“MFL tidak minta banyak, kekalkan seperti sebelum ini atau jika boleh ditingkatkan supaya dapat memeriahkan Liga-M dan memberi kelegaan kepada penyokong. Saya harapkan ini dapat dipertimbangkan sewajarnya oleh MKN,” katanya.

Pada pertengahan Mac lepas, MKN akhirnya bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga-M berkuat kuasa 1 April lalu, selepas lebih setahun saingan Liga-M berlangsung tanpa kehadiran penyokong susulan penularan pandemik Covid-19.

Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras yang dipilih sebagai projek perintis menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton menjadi dua venue terawal menerima semula kehadiran penonton masing-masing pada 2 dan 3 April.

MKN selepas itu memberi kebenaran kepada MFL bagi membenarkan kembali kemasukan penonton ke stadium untuk kesemua perlawanan Liga-M bermula 6 April sebelum ‘keistimewaan’ itu ditarik balik susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, Ab Ghani berkata MFL turut memohon kepada MKN supaya hanya pemain atau pegawai pasukan yang didapati positif Covid-19 sahaja perlu menjalani kuarantin, manakala pasukan dibenarkan beraksi dan mengendalikan sesi latihan seperti biasa.

Dalam pada itu, beliau berkata MFL akan berbincang mengenai calon bakal mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang kini dipangkunya pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dijadual berlangsung Isnin depan.

Beliau mengesahkan setakat ini terdapat dua calon yang berada dalam senarai MFL untuk mengisi jawatan tersebut.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebenaran rentas, aktiviti individu lengkap dua dos diumum esok atau lusa

MUAR, 5 OGOS: Kelonggaran dan kemudahan yang akan diberikan kepada penerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 akan diumum sehari dua lagi, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menimbang dan mengkaji kelonggaran dan kemudahan berkenaan beserta prosedur operasi standard (SOP).

“Esok atau lusa saya akan buat pengumuman yang ditunggu-tunggu orang ramai yang sudah mendapat dua dos.

Kelonggaran dan kemudahan seperti contohnya rentas negeri, rentas daerah, nak jumpa ibu bapa atau pasangan suami isteri yang terpisah, itu kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak Felda Lenga, Pagoh di sini, hari ini.

Beliau berkata pengumuman itu juga akan melibatkan sektor sosial seperti “dine in” atau makan di dalam premis makanan serta aktiviti riadah dan sukan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya mematuhi SOP meskipun kerajaan mengumumkan kelonggaran berkenaan.

“Kita belum sampai ke nilai ambang atau herd immunity (imuniti kelompok) dan kalau ada keterbukaan, kita belum lagi berada dalam situasi di mana warga kita divaksinasi 100 peratus.

Apa pun saya akan umumkan dengan SOP yang kita akan tetapkan dan dengan itu saya harap adalah sedikit rasa selesa untuk riadah, bersukan seperti main badminton, golf atau pergi gim dan sebagainya. Ini yang ditimbang MKN cuma belum diumumkan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberi jaminan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus melaksanakan usaha membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19 antaranya menerusi Bantuan Prihatin Nasional.

“Masih ramai orang yang tidak bekerja, tidak mempunyai pendapatan. Jadi ini komitmen kita kerana saya nak menentukan setiap penduduk Malaysia mendapat makanan di atas meja,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan makanan basah kepada masyarakat Felda Moakil yang diwakili Pengarah Felda Wilayah Segamat Mohd Nizam Abdul Ghani.

— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Sasar penduduk lengkap dua dos vaksin akhir tahun

SHAH ALAM, 2 OGOS: Selangor menyasarkan semua penduduk lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 menjelang hujung tahun.

EXCO pembangunan luar bandar Borhan Aman Shah berkata sasaran itu berdasarkan peratusan terkini suntikan pelalian yang giat diberi setiap hari.

Menurutnya setakat hari ini sejumlah 4.58 juta dos vaksin telah disuntik di negeri ini dengan 1.28 juta individu lengkap dua dos.

“Kerjasama terjalin antara Kerajaan Selangor dengan PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) membantu meningkatkan peratusan suntikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Borhan berkata jumlah pemberian vaksin harian sepanjang bulan ini dijangka menurun memandangkan semakin ramai penduduk telah menerima pelalian masing-masing.

“Untuk Selvax, ada yang sudah mendapat suntikan dos kedua, kita akan pastikan tidak ada yang tertinggal untuk divaksin,” katanya.

Selangor berjaya mencatat kadar pemberian vaksin Covid-19 harian melebihi 150,000 dos pada Julai, melepasi sasaran harian sebanyak 135,000 dos.

Jumlah itu tidak termasuk kadar vaksinasi harian menerusi program Selvax membabitkan 15,000 dos sehari.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

1.28 juta individu lengkap dua dos vaksin di Selangor

SHAH ALAM, 2 OGOS: Sebanyak 27 peratus atau 1.28 juta penduduk Selangor lengkap menerima dua dos vaksin setakat hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi perkongsian infografik di Facebook memaklumkan sebanyak 69.5 peratus atau 3.3 juta rakyat sudah menerima dos pertama pelalian.

Menurutnya setakat hari ini sejumlah 4.58 juta dos vaksin diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) manakala 207,368 dos telah disuntik melalui program Vaksin Selangor (Selvax).

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Negeri kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

26 peratus penduduk Selangor lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 1 OGOS: Sebanyak 26 peratus atau 1.23 juta penduduk Selangor lengkap menerima dua dos vaksin setakat hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sejumlah 4.43 juta dos vaksin diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau menerusi perkongsian infografik di Facebook berkata 67.5 peratus atau 3.2 juta rakyat sudah menerima dos pertama pelalian.

Manakala sejumlah 193,649 dos disuntik menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).

Pada 29 Julai lalu, Amirudin memaklumkan jumlah rakyat Selangor menerima vaksin mencecah lebih sejuta apabila seramai 1.04 juta atau 22 peratus penduduk Selangor lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Negeri kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lengkap dos vaksin: Kelonggaran rentas daerah diputus minggu depan

PUCHONG, 17 JULAI: Kelonggaran bagi individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara minggu depan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kelonggaran itu bagi memberi faedah atau keistimewaan kepada mereka yang telah lengkap dos vaksin mereka.

“… dan lepas itu kita akan umumkan apakah kelonggaran-kelonggaran kepada mereka yang dapat dua dos ini supaya mereka tidak terus ‘terikat’; perlu ada beberapa kelebihan (advantage) untuk mereka,” katanya setelah melakukan lawatan ke syarikat farmaseutikal Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kelonggaran itu mungkin termasuk pergerakan untuk membeli-belah, atau sekurang-kurangnya rentas daerah.

Menurutnya langkah berkenaan juga seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi terutama di Lembah Klang pada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) nanti.

Sementara itu Muhyiddin berkata kerajaan kini menumpukan proses vaksinasi di kawasan Lembah Klang untuk terus menurunkan kes Covid-19 di kawasan ini.

“Kita telah tubuh ‘task force’ antaranya bagi meningkatkan jumlah vaksinasi di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

“Buat masa sekarang ada tiga juta bekalan vaksin untuk warga kawasan ini bagi memastikan penurunan dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang, supaya kawasan ini boleh masuk ke Fasa Dua PPN dalam masa terdekat,” katanya.

Bagaimanapun katanya orang ramai terus diingat untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan awam yang ditetapkan bagi memastikan wabak Covid-19 terus terkawal.

-BERNAMA