Categories
ADN SELANGOR

Pemilik kebun disaran amal kaedah tanam sampah, elak hutan terbakar

SHAH ALAM, 24 FEB: Pemilik kebun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong disaran mengamalkan kaedah menanam sampah tanpa melakukan pembakaran terbuka.

Wakil rakyatnya Wong Siew Ki berkata kebiasaan membakar sampah perlu dihentikan bagi mengelak risiko kebakaran hutan termasuk perumahan penduduk berhampiran.

“Pengurusan sampah yang paling teruk adalah membuangnya secara haram dan bakar secara terbuka. Isu ini kerap berlaku merata-rata tempat di Balakong.

“Jika berlaku kebakaran, ia boleh beri kesan negatif terhadap alam sekitar selain penduduk perlu menanggung kerugian harta benda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menasihati penduduk mengasingkan sisa berkaitan ke dalam lubang khas bagi membolehkan proses penguraian selain menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk mengutip sampah pukal yang dikumpul di rumah.

Terdahulu, Siew Ki mengulas insiden kebakaran hutan berlaku antara The Peak dan Cheras Perdana pada jam 7 petang kelmarin yang disyaki berpunca daripada pembakaran sampah atau kebun secara terbuka.

Seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kira-kira satu hektar hutan terbakar di Bukit Bendera

GEORGE TOWN, 24 FEB: Kira-kira satu hektar kawasan hutan berhampiran landasan kereta api funikular Bukit Bendera antara stesen bawah dan tengah, dekat sini, mengalami kebakaran, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd Norzaidi Ahmad berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 7 malam sebelum sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, memang terdapat kebakaran kawasan hutan berhampiran landasan keretapi tersebut dan api sedang marak kerana angin kuat, kami menghadapi kesukaran untuk memadam (kebakaran) pada awalnya kerana keadaan bukit yang curam serta tinggi.

“Bagaimanapun, Perbadanan Bukit Bendera (PHC) telah memberi bantuan dan kebenaran untuk menggunakan keretapi ke stesen tengah bagi memudahkan operasi pemadaman kawasan yang terbakar tersebut,” katanya di sini.

Beliau berkata pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu daripada terus merebak dalam tempoh 30 minit dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.30 malam dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera.

Mohd Norzaidi berkata punca kebakaran masih dalam siasatan dan pasukan forensik bomba sedang menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengurus Besar PHC, Datuk Cheok Lay Leng berkata pujian harus diberikan kepada pasukan bomba kerana bertindak pantas mengawal kebakaran daripada terus merebak di kawasan berhampiran.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk berwaspada dan tidak menghisap rokok atau melakukan pembakaran berdekatan kawasan hutan berkenaan bagi mengelak berlakunya kebakaran pada skala besar.

“Keadaan cuaca kering dan angin kuat sekarang ini akan mempercepatkan api untuk merebak dan menjadikan keadaan bertambah buruk jika berlaku kebakaran” katanya.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

MITI bersimpati dengan kebakaran hutan di Australia

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking hari ini menyatakan simpatinya kepada Australia atas kejadian kebakaran hutan yang dahsyat melanda bahagian tenggara negara itu.

Darell berkata, Malaysia mengakui perubahan iklim global telah membawa kesan yang menyebabkan peningkatan frekuensi, magnitud dan skop bencana alam seperti kebakaran hutan, gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi.

“Setiap negara kini terdedah kepada ancaman ini dan kita perlu bersedia untuk menguruskan keadaan tersebut secara individu sebagai sebuah negara dan secara keseluruhannya, sebagai sebuah rantau.

“Bencana alam ini memberi cabaran yang besar kepada rantaian bekalan global kita, menjejaskan kesihatan dan pergerakan rakyat serta mengancam nyawa haiwan dan spesies yang terancam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai tuan rumah kepada APEC 2020, Darell berkata, Malaysia menyokong Australia dalam usahanya untuk memerangi kebakaran hutan dan rakyat Malaysia berdoa supaya keadaan akan kembali seperti biasa.

“Kami turut menggesa semua negara-negara anggota APEC untuk sama-sama menyokong usaha mengurangkan, memberi respons dan pulih daripada bencana alam di seluruh rantau ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hutan terbakar: JAS cadang dua sekolah di Gelang Patah tutup

KULAI, 26 OGOS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencadangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor supaya menutup sementara dua sekolah yang berada berdekatan dengan lokasi kebakaran hutan di Gelang Patah, dekat Iskandar Puteri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, dua sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang.

Beliau berkata, penutupan itu perlu dilakukan kerana asap kebakaran itu boleh menjejaskan kesihatan murid dan pelajar.

Malah katanya, pagi tadi, beliau bersama Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut turun padang ke dua sekolah itu untuk melihat sendiri kesan pencemaran akibat kebakaran tersebut.

“Memang tadi sudah ada cadangan untuk menutup sementara sekolah tetapi itu kena berhubung dengan pegawai pendidikan untuk maklumat seterusnya,” kata beliau selepas menyertai operasi pembersihan khas sampah haram di Taman Lagenda Putra, di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Pembelajaran), Sallina Hussain memberitahu, sesi pembelajaran di kedua-dua sekolah itu masih berlangsung seperti biasa kerana pihaknya belum lagi menerima apa-apa keputusan atau arahan daripada JAS untuk menutup sementara atau memberikan cuti kepada sekolah berkenaan.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Pendidikan Negeri Johor sudah memberi topeng mulut kepada pelajar bagi mengelakkan mereka daripada menghidu asap kebakaran.

Kebakaran hutan sejak 21 Ogos lepas itu telah merebak sehingga seluas 98 hektar dipercayai akibat cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini.

— BERNAMA

Categories
SELANGOR

Ambil masa empat jam atasi hutan terbakar di Kajang

KAJANG, 15 MAC: Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa empat jam bagi mengawal kebakaran hutan seluas 2.02 hektar di sekitar Taman Bukit Mewah, semalam.

Kebakaran yang berlaku sekitar 6.30 petang itu hanya dapat dikawal kira-kira 10.30 malam tadi selepas bomba menggunakan kaedah ‘waterbreak’ bagi memadamkan api.

Pusat Gerakan Operasi Selangor dalam kenyataan berkata, seramai 19 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Bangi, Pandan dan Cyberjaya terlibat dalam operasi pemadaman hutan berkenaan.

Menurutnya, empat jentera penyelamat (FRT), dua jentera air serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi.

“Ketika jentera pertama sampai, api di kawasan berkenaan sedang marak dan bomba menggunakan kaedah waterbreak untuk memadamkan api.

“Keadaan api sedikit sukar dikawal berikutan keadaan yang gelap…bagaimanapun kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya.

– BERNAMA