Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang baucar e-Bazar Tahun Baharu Cina RM2 juta

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Negeri menyediakan baucar pembelian dengan peruntukan RM2 juta untuk dimanfaatkan menerusi Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina.

Dato’ Menteri Besar berkata orang ramai boleh menebus baucar tersebut menerusi kempen jualan dalam talian yang bermula hari ini sehingga 7 Mac.

“Bagi menambahkan kemeriahan Tahun Baharu Cina tahun 2021, kempen ini dilancarkan bagi menggalakkan pembelian menerusi platform Shopee dan Lazada.

“Lebih 20,000 Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dijangka akan menawarkan pelbagai produk pilihan kegemaran ramai sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini,” katanya menerusi Facebook.

Selasa lalu, EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata kempen berkenaan menyasarkan penyertaan 25,000 PKS serta mikro termasuk 12,500 penjual baharu.

Beliau menambah inisiatif itu bagi menerapkan pendigitalan dalam perniagaan terutama mendepani cabaran pasca Covid-19, selain menyediakan platform yang selamat untuk pengguna mendapatkan pelbagai jenis barangan dengan harga berpatutan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

e-Bazar Tahun Baharu Cina mulai 1 Februari, sasar 25,000 peniaga kecil

SHAH ALAM, 26 JAN: Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina menyasarkan penyertaan 25,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro termasuk 12,500 penjual baharu.

EXCO industri dan perdagangan berkata kempen jualan dalam talian itu akan berlangsung dari 1 Februari hingga 7 Mac dengan baucar bernilai RM2 juta disalur kepada laman dagang Shopee dan Lazada.

“Shopee dan Lazada akan terus merancakkan promosi untuk program ini. Justeru, kita berharap pendaftaran usahawan mendapat sambutan menggalakkan,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media hari ini.

Beliau menambah inisiatif tersebut membantu PKS dan usahawan mikro menerapkan pendigitalan dalam perniagaan terutama mendepani cabaran pasca Covid-19.

Menurutnya, kempen itu menyediakan platform yang selamat untuk pengguna mendapatkan pelbagai jenis barangan dengan harga berpatutan.

“Kita berharap kempen ini memberi semangat dalam meraikan Tahun Baharu Cina walaupun dalam situasi tidak mengizinkan,” katanya.

Chang Khim menambah kempen Selangor E-Bazar Raya dan Selangor E-bazar 11.11 Jualan Mega tahun lalu yang mencatat jualan jutaan ringgit membuktikan agenda ekonomi digital membantu ramai peniaga.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif tersebut menghasilkan kesan riak sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta.

Perolehan itu berdasarkan pemberian RM3 juta baucar oleh Kerajaan Negeri kepada Shopee dan Lazada.