Categories
PBT SELANGOR

Baucar RM10 buat pelanggan bawa bekas sendiri ke bazar Ramadan

PUCHONG, 9 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menawarkan baucar bernilai RM10 kepada 1,000 pelanggan yang membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan tahun ini.

Tawaran pada setiap Rabu bagi mengurangkan penggunaan plastik dengan ganjaran boleh ditebus di bazar sekitar Subang Jaya, kata Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar.

“Baucar boleh ditebus di mana-mana gerai di 16 lokasi bazar Ramadan sekitar Subang Jaya dengan syarat menunjukkan bekas makanan yang dibawa.

“Setiap pelanggan boleh menikmati peluang sekali sahaja untuk membeli makanan atau minuman di bazar sepanjang Ramadan,” katanya menambah baucar boleh digunakan sehari selepas menerimanya.

Sementara itu, Johary berkata penggunaan bekas makanan jenis polistirena dan penyedut minuman plastik kekal dilarang bagi mengurangkan pencemaran sekali gus menyokong inisiatif hijau.

Beliau menjelaskan MBSJ turut menyediakan tong kitar semula minyak masak bagi menggalakkan peniaga bazar mengitar semula minyak yang sudah digunakan.

Seramai 764 peniaga mendaftar di bazar Ramadan bawah pentadbiran MSBJ membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara, Serdang dan Seri Kembangan.

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Rawang agih baucar beli-belah nilai RM100, bantu persiapan Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 17 JAN: Sebanyak 450 baucar membeli-belah diagihkan kepada masyarakat Tiong Hua sekitar Rawang sempena Tahun Baharu Cina yang bakal disambut awal bulan depan.

Ahli Dewan Negerinya Chua Wei Kiat berkata baucar Jom Shopping bernilai RM100 yang diagih bermula hari ini membantu penerima terdiri keluarga berpendapatan rendah (B40) membuat persediaan meraikan perayaan itu.

“Pemberian baucar ini dibuat selama seminggu di pusat khidmat masyarakat (PKM). Sebaik menerimanya, mereka boleh menggunakan baucar ini untuk membeli-belah di pasar raya NSK Rawang.

“Bantuan ini semestinya dapat meringankan beban masyarakat, namun diharap dimanfaatkan sebaik mungkin memandangkan harga barangan perayaan seperti limau meningkat mendadak tahun ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menasihati masyarakat berwaspada ketika menyambut perayaan selain mematuhi  tatacara operasi piawai (SOP) berikutan negara masih bergelut dengan ancaman Covid-19.

“Jangan alpa dengan SOP terutama ketika pulang ke kampung halaman atau menziarahi ibu bapa dan sanak-saudara. Mereka kena fikir soal keselamatan dan kesihatan diri sendiri serta orang tersayang,” katanya.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

10,000 baucar pelancongan negeri habis ditebus dalam seminggu

SHAH ALAM, 28 OKT : Sebanyak 10,000 Baucar Pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM100 habis ditebus menerusi aplikasi beli-belah Shopee hari ini, kata ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor.

Azrul Shah Mohamad berkata pihaknya berpuas hati apabila baucar yang ditawarkan kepada umum pada Jumaat lalu habis dalam tempoh seminggu meskipun tarikh penebusan dibuka sehingga 31 Disember.

“Semua baucar habis ditebus dan kita yakin ia habis diguna memandangkan rakyat Malaysia kini teruja untuk bercuti selepas diberi kebenaran merentas negeri dan daerah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika bercuti atau beriadah bersama keluarga.

Sebanyak 170 pakej pelancongan ditawarkan melalui 35 agensi menerusi baucar itu. Pembelian terhad untuk satu transaksi dan tidak boleh diganti produk lain.

Inisiatif bernilai RM2.55 juta itu sebahagian tawaran dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang dilancarkan EXCO Pelancongan Hee Loy Sian pada 5 Oktober.

Inisiatif Kerajaan Negeri itu bagi merancakkan semula aktiviti sektor pelancongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Pengagihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,000 warga Taman Templer terima manfaat baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 11 OKT: Sebanyak 1,040 baucar Jom Shopping diagihkan kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata baucar beli-belah di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sebanyak RM100 diberikan kepada mereka yang lahir pada September dan Oktober.

“Semua penerima boleh menggunakan baucar tersebut untuk berbelanja di Pasaraya NSK Selayang mulai hari ini hingga 17 Oktober,” katanya.

Beliau memaklumkan agihan dibuat sejak 4 Oktober di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Taman Templer dari jam 9.30 pagi sehingga 1 petang.

Menurutnya, inisiatif itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan berkaitan terutama dalam mendepani cabaran pasca Covid-19.

Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri menamatkan pemberian khairat kematian berjumlah RM2,500 kepada warga emas susulan pelaksanaan pelarasan SMUE yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom Shopping.

Belanjawan 2021 memperuntukkan sejumlah RM27.5 juta menerusi SMUE 2.0 dengan pemberian baucar Jom Shopping serta bantuan khairat kematian sebanyak RM500.

 

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang baucar e-Bazar Tahun Baharu Cina RM2 juta

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Negeri menyediakan baucar pembelian dengan peruntukan RM2 juta untuk dimanfaatkan menerusi Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina.

Dato’ Menteri Besar berkata orang ramai boleh menebus baucar tersebut menerusi kempen jualan dalam talian yang bermula hari ini sehingga 7 Mac.

“Bagi menambahkan kemeriahan Tahun Baharu Cina tahun 2021, kempen ini dilancarkan bagi menggalakkan pembelian menerusi platform Shopee dan Lazada.

“Lebih 20,000 Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dijangka akan menawarkan pelbagai produk pilihan kegemaran ramai sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini,” katanya menerusi Facebook.

Selasa lalu, EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata kempen berkenaan menyasarkan penyertaan 25,000 PKS serta mikro termasuk 12,500 penjual baharu.

Beliau menambah inisiatif itu bagi menerapkan pendigitalan dalam perniagaan terutama mendepani cabaran pasca Covid-19, selain menyediakan platform yang selamat untuk pengguna mendapatkan pelbagai jenis barangan dengan harga berpatutan.