Categories
NASIONAL

Bocor embargo: KKMM tiada kuasa ambil tindakan

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan membocorkan embargo Kertas Putih FELDA kerana individu yang melakukannya bukan kakitangan kerajaan.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, perkara itu akan diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab, bersesuaian niat atau perbuatan individu terbabit.

“Kalau berkaitan kakitangan kerajaan, itu perkara yang kita sentiasa titik beratkan dan menjadi keutamaan (jangan bocor embargo).

“Tetapi jika ia dilakukan bukan kakitangan kerajaan dan secara terang memanipulasi keadaan, ia tidak berada dalam kawalan kami.

“Saya percaya pihak bertanggungjawab akan ambil tindakan bersesuaian,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dalam sesi soal jawab berhubung status isu embargo Kertas Putih FELDA.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengemukakan usul supaya bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dikenakan tindakan keras kerana melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)’.

Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) berkenaan langkah kementerian menangani ketirisan data peribadi membabitkan sektor perkhidmatan, Eddin berkata, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dikuatkuasakan pada 15 November 2013 untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.

“Setiap pengguna data (syarikat yang memproses data peribadi untuk transaksi komersial itu) wajib mematuhi Prinsip Perlindungan Data Peribadi dalam mengendalikan data peribadi subjek data (pemilik data peribadi) bagi memastikan data peribadi berkenaan tidak disalahgunakan,” katanya.

Katanya, Akta 709 juga mewajibkan pendaftaran bagi setiap pengguna data dan sehingga Februari 2019, sebanyak 13,739 pengguna data sudah berdaftar.

Eddin berkata, kegagalan untuk mendaftar di bawah Akta 709 adalah satu kesalahan yang mana jika sabit kesalahan, pengguna data boleh didenda didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Najib kena tindakan langgar embargo isu FELDA

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul merujuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana melanggar embargo Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA.

Ia diputuskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, selepas undian belah bahagian dengan 86 ahli parlimen menyokong sementara 33 lagi menolak.

Sebelum itu, usul terbabit dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, yang antara lain menyatakan ​​​​​Kertas Putih itu adalah Kertas Perintah 6 Tahun 2019 yang masih dalam Embargo sehingga 11.30 pagi pada Rabu (10 April).

“Bahawa Dewan yang mulia ini memandang serius perbuatan Yang Berhormat Pekan di mana Yang Berhormat Pekan telah melanggar Embargo dokumen Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Perbuatan Yang Berhormat Pekan jelas melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan disifatkan telah melakukan suatu perbuatan menghina Majlis.

“Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat Pekan hendaklah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya.

Najib didakwa memuat naik kertas putih itu di laman sosial pada 5.39 petang Selasa.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, dalam sidang media di lobi Parlimen, menafikan dakwaan mengatakan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA itu dimuat naik dalam laman sesawang rasmi Parlimen sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, kandungan dokumen berkenaan hanya dimuat naik selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkannya di Dewan Rakyat tengah hari semalam.

“Maka ia tidak melanggar mana-mana peraturan. Oleh itu mana-mana dakwaan (termasuk) pihak pembangkang, bahawa kakitangan Parlimen memuatkan dan langgar peraturan embargo adalah tidak benar sama sekali dan tak berasas,” katanya. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan embargo laporan SPR khianat demokrasi berparlimen

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 MAC: Keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk embargo Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula di Semenanjung Malaysia adalah pengkhianat kepada sistem demokrasi berparlimen, sekali gus terhadap 25 juta rakyat Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan terbabit juga wajar mendapat kutukan daripada setiap pelusuh tanah air.

Katanya, Speaker Dewan Rakyat tiada alasan munasabah menahan laporan akhir itu untuk tatapan awam ekoran ia mempunyai kesan terhadap hak demokrasi rakyat untuk memilih wakil mereka ke Parlimen.

“Cadangan SPR sudah dipaparkan secara umum dalam beberapa versi, sejak 18 bulan lalu. Tindakan Speaker itu jelas menunjukkan beliau bersikap tidak adil.

“Selaku Ahli Parlimen, pengundi saya dan semua pengundi di Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui jika daerah mengundi sudah bertukar kerana ia akan mendatangkan kesan kepada identiti dan hala tuju politik,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin menyifatkan perkara berkenaan adalah pencabulan hak mereka yang dijamin perlembagaan.

Katanya, cadangan yang dikemukakan SPR secara agresif mencorakkan karakter kaum dan etnik terhadap daerah mengundi.

“Perkara ini secara langsung menjejaskan keharmonian antara kaum yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.

“SPR tidak seharusnya menjadi alat politik, apalagi politik berasaskan kaum kerana mereka sudah berikrar untuk menjunjung Malaysia yang demokratik dan harmoni,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, perkara terbabit adalah kegagalan SPR yang dicuba dicabar Kerajaan Negeri Selangor di mahkamah.

“Malah, kita masih mencabar SPR di mahkamah sehingga hari ini. Insya Allah, kebenaran bersama kita,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Embargo Speaker terhadap laporan SPR adalah pengkhianatan demokrasi

OLEH DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk embargo Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula di Semenanjung Malaysia adalah pengkhianatan yang cukup teruk ke atas 25 juta rakyat Malaysia dan demokrasi berparlimen. Ianya wajar mendapat kutukan dari setiap pelusuh tanah air.

Cadangan SPR sudah dipaparkan secara umum dalam beberapa versi sejak 18 bulan lalu. Speaker Dewan Rakyat tiada alasan munasabah menahan laporan akhir itu untuk tatapan awam berikutan ianya mempunyai kesan terhadap hak demokrasi rakyat untuk memilih wakil mereka ke Parlimen. Tindakan Speaker jelas menunjukkan beliau bersikap tidak adil.

Selaku ahli Parlimen, pengundi saya dan semua pengundi di Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui jika daerah mengundi sudah bertukar kerana ia akan mendatangkan kesan kepada identiti dan hala tuju politik. Maka, perkara berkenaan adalah pencabulan hak mereka yang dijamin perlembagaan.

Cadangan yang dikemukakan SPR secara agresif mencorakkan karakter kaum dan etnik terhadap daerah mengundi. Perkara ini secara langsung menjejaskan keharmonian antara kaum yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia. SPR tidak seharusnya menjadi alat politik, apalagi politik berasaskan kaum, mereka sudah berikrar untuk menjunjung Malaysia yang demokratik dan harmoni.

Ini adalah antara kegagalan SPR yang dicuba dicabar Kerajaan Negeri Selangor di mahkamah. Malah, kita masih mencabar SPR di mahkamah sehingga hari ini.

InsyaAllah, kebenaran bersama kita.