Categories
NASIONAL

Jualan kehakiman kapal Equanimity selesai – Tommy

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Jualan kehakiman kapal layar mewah Equanimity telah selesai dengan penerimaan penuh harga belian berjumlah AS$126 juta daripada Genting Malaysia Bhd (Genting) pada 23 April lalu.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, selepas bayaran diterima kapal itu telah diserahkan kepada anak syarikat Genting pada 25 April lepas.

“Penyempurnaan jualan dilakukan oleh pemegang taruhan yang dilantik oleh mahkamah, dan bil jualan ditandatangani dengan sewajarnya oleh Syerif Mahkamah Admiralti pada 24 April, 2019.

”Penyempurnaan dan penyelesaian proses jualan kehakiman ini menuruti sepenuhnya syarat jualan syerif yang adalah sebahagian daripada Perintah Mahkamah Admiralti yang dibuat pada 3 April, 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Genting dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada 3 April mengesahkan membeli kapal mewah Equanimity bersama bunker, bahan api, pelincir dan barangan sedia ada di atas kapal itu dengan pertimbangan harga AS$126 juta (RM$514.6 juta).

Thomas berkata, setakat 30 April, kira-kira RM15.5 juta telah dibelanjakan bagi menampung kos penahanan kapal itu sejak 6 Ogos lepas dan bagi penyelenggaraan kapal selama sembilan bulan sehingga diserahkan kepada pembeli.

“Bagi kesemua bayaran yang dibuat dalam penyelenggaraan dan pemeliharaan Equanimity semasa dalam tahanan, terdapat proses saringan dan kelulusan yang berlapis. Pasukan guaman dan pasukan PWC (pasukan membantu kerajaan dalam pengurusan hal pengoperasian 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bertindak selaku lapisan saringan yang pertama.

“Selepas perbelanjaan diluluskan, invois akan dikemukakan ke jabatan (AGC) ini untuk saringan kedua, dan selepas itu oleh Syerif Mahkamah Admiralti. Hanya selepas dilluluskan di ketiga-tiga peringkat barulah invois ini dikemukakan kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk kelulusan pembayaran.

Thomas berkata penjualan kapal ini membuktikan kemampuan sistem perundangan Malaysia untuk memberikan perkhidmatan perundangan bertaraf dunia khususnya dalam undang-undang Admiralti dan dalam pemberian khidmat sokongan.

Beliau juga berkata harga jualan akan dipegang oleh pemegang taruhan sehingga tempoh 90 hari tamat dan dalam tempoh itu pasukan peguam akan menggerakkan mahkamah untuk izin mewartakan penerimaan bayaran harga belian, pentaksiran kos, dan untuk penentuan keutamaan bagi pembayaran keluar hasil jualan.

“Hanya selepas perintah mahkamah ini dibuat, wang itu akan dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB yang diasingkan, yang dibuka semata-mata untuk mendapatkan semula aset-aset 1MDB untuk membayar hutang 1MDB,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Equanimity tiada lagi di Langkawi – Polis

LANGKAWI, 1 MEI: Equanimity, kapal layar mewah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan disimpan sementara di jeti Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut di sini, telah belayar keluar dari pangkalan itu pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata kapal itu telah belayar dari pangkalan itu menuju ke Singapura.

“Pada Ahad lepas, kapal Equanimity telah belayar keluar dari jeti pangkalan tersebut menuju ke Singapura pada 2 petang.

“Pergerakan kapal Equanimity tidak diiringi Pasukan Polis Marin disebabkan kapal tersebut telah dimiliki sepenuhnya oleh Genting Malaysia Berhad dan bukan lagi aset kerajaan Malaysia yang diletakkan dibawah kawalan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan sita Equanimity ikut prosedur undang-undang

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Tindakan Kerajaan Persekutuan menyita kapal Equanimity yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah sah dan mematuhi prosedur undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, Amerika Syarikat menyatakan persetujuan supaya Indonesia menyerahkan kapal itu kepada Malaysia, sebaik sahaja kapal layar terbabit tiba, di negara ini.

“Tindakan penahanan kapal Equanimity dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang Malaysia dan dakwaan (langgar prosedur) tidak berasas sama sekali.

“Atas permohonan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan waran penahanan atau waran tangkap terhadap kapal Equanimity yang dilaksanakan apabila ia sampai di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), pada sesi Pertanyaan Menteri, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina sebelum itu meminta kerajaan menyatakan sejauh mana kebenaran dakwaan peguam kepada ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low bahawa tindakan sita terhadap kapal Equanimity oleh kerajaan Malaysia adalah tidak sah dan merampas prosiding negara lain.

Liew berkata, pada masa ini, kerajaan masih menunggu kepulangan Jho Low untuk menuntut kapal yang dikatakan dibeli menggunakan dana penyelewengan 1MDB.

 

Categories
NASIONAL

Peguam Negara: Kapal mewah Equanimity disita secara teratur

SHAH ALAM 7 OGOS: Peguam Negara Tommy Thomas berkata kapal layar mewah Equanimity disita mengikut undang-undang Malaysia.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara telah memohon bidang kuasa Admiralti Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap kapal layar tersebut dan pada Isnin mahkamah mengeluarkan Waran Penahanan terhadapnya.

“Oleh itu, “Equanimity” kini telah disita secara teratur di bawah undang-undang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan sejurus selepas kapal layar bernilai bilion ringgit itu berlabuh di Pusat Pelayaran Boustead, Pulau Indah pada jam 1 petang Selasa.

Thomas berkata, lanjutan daripada Triti-Triti Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara Indonesia, Amerika Syarikat dan Malaysia yang diaktifkan baru-baru ini, rundingan sensitif dan rumit telah diadakan di peringkat tertinggi pelbagai agensi di ketiga-tiga negara untuk mencapai kejayaan tersebut.

“Kapal layar tersebut telah disita oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari 2018 atas permohonan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

“Penyitaan tersebut dibuat atas inisiatif DOJ yang menuntut hak milik ke atas kapal layar tersebut bagi pihak Malaysia dan 1MDB kerana wang milik kita telah digunakan untuk membelinya,” kata beliau.

Thomas juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat, terutamanya Polis Republik Indonesia (Polri) dalam menghulurkan kerjasama dengan Malaysia untuk membolehkan Equanimity kembali ke negara ini.

Beliau berkata antara agensi tempatan terlibat dalam operasi tersebut adalah Polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia hanya berani lindungi Jho Low – Mohamed Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC : Pihak berkuasa negara ini gagal mengambil tindakan terhadap penyelewengan isu pembelian kapal layar, Equanimity bernilai RM1 bilion menggunakan dana syarikat kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kes terbabit perlu diselesaikan segera dengan membawa pulang hartawan Jhow Low untuk diheret ke muka pengadilan.

Beliau berkata, pihak berkuasa Indonesia dilihat lebih berani tampil mengambil tindakan menerusi kerjasama dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) untuk merungkai isu pembelian kapal mewah berkenaan.

“Inilah sebabnya saya memfailkan semakan kehakiman tahun lalu terhadap pihak berkuasa Malaysia, iaitu Ketua Polis Negara, bertujuan menahan dan menangkap Jho Low supaya dibawa ke Malaysia dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Usaha ini digagalkan di bawah Kerajaan Persekutuan sekarang. Atas sebab itu, kita perlu mengundi untuk perubahan pada pilihan raya umum akan datang, kerana undi untuk perubahan itu adalah undi untuk keadilan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Reuters melaporkan pihak berkuasa Indonesia merampas sebuah kapal mewah yang dijual pada kadar RM1 bilion, meggunakan dana 1MDB.

Kapal mewah yang diberi nama Equanimity (Ketenangan) berharga USD260 juta itu didakwa dibeli oleh Jho Taek Low atau nama popularnya “Jho Low” yang sinonim sebagai ‘rakan niaga’ dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, media Indonesia, MetroTV turut mengesahkan rampasan kapal mewah berkenaan.

“Sejak semalam kami sedang menyiasat anak-anak kapal dan kini kami mengambil tindakan selepas menerima arahan dari mahkamah untuk merampas kapal mewah itu,” kata Agung Setya, Pengarah Biro Penyiasatan Jenayah Khas dan Ekonomi Indonesia, dipetik oleh Metro TV.

Dilaporkan, kapal mewah yang berlabuh di sebuah perairan berdekatan dengan Pulau Bali, boleh memuatkan seramai 26 penumpang dan 33 krew anak kapal, malah turut mempunyai landasan helikopter.