Categories
AGENDA

Tabika, kolam pancing dibenar operasi di negeri fasa dua PPN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda dibenar beroperasi di negeri fasa satu dan dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana menteri menerusi kenyataan berkata aktiviti kolam mancing juga diberi kelonggaran yang sama dengan syarat operator dan petugas terlibat telah lengkap dua dos vaksin.

Jelas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, negeri yang beralih ke fasa dua pula membenarkan operasi sektor swasta sehingga 100 peratus sekiranya pekerja mereka telah lengkap 80 peratus vaksin.

“Operasi kolam pancing di fasa satu bermula 6 pagi hingga 8 malam di daerah yang sama manakala operasi kolam pancing di fasa dua bermula 6 pagi hingga 10 malam di negeri yang sama.

“Selain itu, semua pejabat swasta dibenar beroperasi dengan kapasiti 60 peratus sekiranya 40 pekerja telah lengkap vaksin serta kapasiti 80 peratus sekiranya 60 peratus pekerja telah lengkap vaksin,” katanya.

Berikut kebenaran operasi mengikut fasa PPN:

1. Negeri fasa satu sahaja

– Pembekalan mineral dan bahan batuan termasuk pasir serta pergerakan dari tenemen mineral kuari atau tapak pengorekan ke premis atau tapak
projek pembinaan infrastruktur awam yang utama dan kerja pembinaan bangunan serta premis industri/perkhidmatan perlu
– Penjagaan dan penyelenggaraan di atas tenemen mineral, kuari dan tapak pengorekan serta di premis Lesen Mineral dan Lesen Memproses
Mineral
– Pengoperasian tenemen, mineral dan tapak pengorekan bagi tujuan penghasilan mineral dan bahan batuan termasuk pasir
– Pengeksportan mineral dan bahan batuan termasuk pasir sungai ke luar negara
– Perladangan berasaskan kayu dan kenaf
– Jenis perniagaan lain:
a. Kedai barang fotografi/ perkhidmatan fotografi;
b. Kedai barangan terpakai;
c. Kedai bunga/ nurseri;
d. Kedai kraftangan dan cenderahati;
e. Kedai antik;
f. Kedai alat permainan;
g. Kedai permaidani;
h. Kedai kandungan kreatif/ peralatan industri kreatif;
i. Kedai outdoor (termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan
lain-lain);
j. Kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi;
k. Kedai tembakau (termasuk vape/rokok elektronik).

2. Negeri fasa dua sahaja

– Kebenaran operasi Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara dan Darat
– Kebenaran operasi kilang perabot

3. Negeri fasa dua dan tiga sahaja

– Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal secara terbuka (outdoor) dan tertutup
(indoor)
– Aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan yang melibatkan sentuhan fizikal
(bola sepak, bola tampar, takraw dan lain-lain)
– Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya secara berkumpulan di kawasan sama dengan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 50 orang
– Aktiviti sektor Pengurusan Perhutanan
merangkumi Pengusahasilan Hutan (Pembalakan); Pengusahasilan Hutan (Hasil hutan bukan kayu); Perladangan hutan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK); dan Pembangunan hutan

4. Negeri fasa dua, tiga dan empat:

– Mesyuarat sahaja secara bersemuka

5. Kelonggaran setiap fasa

– Aktiviti ziarah kubur Islam dengan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
– Aktiviti ziarah kubur selain Islam mengikut ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
– Kapal persiaran dibuka dengan 50 peratus kapasiti

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar SOP: Polis tidak teragak cadang tutup pusat rekreasi

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap orang ramai sekiranya didapati tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), terutamanya penjarakan fizikal ketika beriadah di tempat awam.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Mastor Mohd Ariff berkata tindakan tersebut akan diambil sekiranya keadaan tidak dapat dikawal dan pengunjung terlalu ramai.

“Kita tidak ada cadangan untuk menutup tempat awam yang didapati sesak kerana kita telah menyemak dan mendapati pengunjung datang daripada gelembung yang sama. Kita hanya akan meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan.

“PDRM menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutama melibatkan warga Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Justeru itu kita akan sentiasa membuat pemantauan dan hebahan dari semasa ke semasa dengan memberi nasihat agar mereka mematuhi SOP dan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut bekerjasama dengan pihak RELA dalam Op Patuh untuk membuat pemantauan secara berkala di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan.

Mastor berkata kebanyakan yang berkunjung untuk beriadah dalam kalangan ahli keluarga yang datang bersama atau tinggal bersama dan lokasi berkenaan hanya sesak pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

Terdahulu tular di media sosial beberapa video atau foto yang menunjukkan orang ramai bermandi-manda di sungai selain mengunjungi taman rekreasi tanpa penjarakan fizikal pada hujung minggu lepas.

Bermula Jumaat lepas, kerajaan telah memberi kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 PPN, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi termasuk berkelah dan bersukan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khidmat tren ERL beroperasi semula mulai Isnin depan

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit kendalian Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan beroperasi semula secara perkhidmatan bergabung dari 6 pagi hingga 10.10 malam setiap hari, mulai 13 Sept.

ERL dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah tersebut adalah susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang membenarkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Menurut kenyataan itu tren berkenaan akan bergerak setiap satu jam sepanjang tempoh operasi dan jadual tren akan disesuaikan kemudian mengikut pertambahan jumlah penumpang.

“Sempena pengoperasian semula ini, ERL sekali lagi menawarkan Kad Perjalanan Mingguan Percuma dengan setiap pembelian Kad Perjalanan Bulanan Transit KLIA menggunakan MyKad yang berdaftar. Promosi tersebut bermula serta-merta sehingga 30 Nov ini, bagi menggalakkan lebih ramai penumpang kembali ke pejabat dengan menaiki perkhidmatan awam setiap hari.

“Kad Perjalanan Bulanan itu menawarkan penjimatan besar kepada pengguna dengan diskaun yang tinggi iaitu sehingga 83 peratus,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan tren ERL dihentikan sementara waktu bermula 4 Jun lepas apabila penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi susulan pelaksanaan sekatan penuh, selepas mendapat persetujuan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan kini 99 peratus kakitangan ERL, termasuk 100 peratus petugas barisan hadapan dan operasi syarikat itu menerima vaksinasi lengkap dengan hanya segelitir belum berbuat demikian berikutan masalah kesihatan dan perubatan.

“Melalui vaksinasi penuh dan pembersihan harian yang teliti pada tren dan stesen, orang awam tidak perlu risau akan keselamatan mereka dan dapat menikmati pengalaman yang selesa ketika menaiki tren,” menurut kenyataan itu.

Jadual penuh tren dan perkembangan terkini mengenai langkah berjaga-jaga, boleh dimuat turun di laman web www.KLIAekspres.com atau Facebook KLIA Ekspres.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor masuk fasa dua PPN, boleh rentas daerah dan melancong dalam negeri

SHAH ALAM, 8 SEPT: Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Jumaat ini dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang mendapat suntikan dua dos vaksin.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan.

Kelonggaran yang diberikan itu sama dengan negeri-negeri yang telah berada dalam fasa dua sebelum ini seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) antaranya:

  • Pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin dibenarkan untuk merentas negeri
  • Ibu bapa yang telah mendapat dua dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun
  • Makan dibenarkan di premis makanan untuk pelanggan yang lengkap menerima dua dos vaksin
  • Aktiviti pelancongan hanya dibenarkan di dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan homestay bagi individu yang telah lengkap dua dos

Sementara itu, negeri yang berada dalam fasa dua dan tiga turut menikmati kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, kedai dandanan rambut dan salon kecantikan.

Keterangan tatacara operasi piawai (SOP) terkini akan dikemas kini oleh MKN dan kementerian berkaitan. Laman web MKN seperti berikut http://www.mkn.gov.my

Categories
AGENDA NASIONAL

Belum muktamad tapi PM percaya Lembah Klang boleh nikmati fasa dua

SHAH ALAM, 30 OGOS: Perdana menteri percaya penduduk Lembah Klang termasuk Selangor boleh menikmati kelonggaran fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila negeri ini sudah melepasi 80 peratus kadar suntikan vaksin.

“Syabas Lembah Klang kerana kadar vaksinasi cemerlang yang sudah mencapai lebih 80 peratus! Dengan ini saya berpendapat bahawa Lembah Klang sudah boleh beralih ke fasa seterusnya,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menulis ringkas di Facebook hari ini, beliau bagaimanapun berkata keputusan muktamad tentang kelonggaran itu akan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

“Semua ini bakal diputuskan selepas saya berbincang melalui mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bersama barisan kabinet yang akan dipengerusikan saya nanti, Insya-Allah,” katanya lagi.

Angka Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) menunjukkan lebih 5.5 juta orang atau 66.1 peratus penduduk sudah lengkap dua suntikan, sementara lebih 6.8 juta orang atau 81.2 peratus menerima satu dos.

Bagi kategori penduduk dewasa pula, setakat tengah malam tadi, 90.3 peratus sudah lengkap menerima dua dos, manakala 110.9 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu suntikan.

 

Infografik laporan kumulatif vaksinasi mengikut negeri setakat 29 Ogos 2021 yang disediakan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) setakat 29 Ogos 2021.