Categories
AGENDA NASIONAL

Khidmat tren ERL beroperasi semula mulai Isnin depan

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit kendalian Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan beroperasi semula secara perkhidmatan bergabung dari 6 pagi hingga 10.10 malam setiap hari, mulai 13 Sept.

ERL dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah tersebut adalah susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang membenarkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Menurut kenyataan itu tren berkenaan akan bergerak setiap satu jam sepanjang tempoh operasi dan jadual tren akan disesuaikan kemudian mengikut pertambahan jumlah penumpang.

“Sempena pengoperasian semula ini, ERL sekali lagi menawarkan Kad Perjalanan Mingguan Percuma dengan setiap pembelian Kad Perjalanan Bulanan Transit KLIA menggunakan MyKad yang berdaftar. Promosi tersebut bermula serta-merta sehingga 30 Nov ini, bagi menggalakkan lebih ramai penumpang kembali ke pejabat dengan menaiki perkhidmatan awam setiap hari.

“Kad Perjalanan Bulanan itu menawarkan penjimatan besar kepada pengguna dengan diskaun yang tinggi iaitu sehingga 83 peratus,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan tren ERL dihentikan sementara waktu bermula 4 Jun lepas apabila penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi susulan pelaksanaan sekatan penuh, selepas mendapat persetujuan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan kini 99 peratus kakitangan ERL, termasuk 100 peratus petugas barisan hadapan dan operasi syarikat itu menerima vaksinasi lengkap dengan hanya segelitir belum berbuat demikian berikutan masalah kesihatan dan perubatan.

“Melalui vaksinasi penuh dan pembersihan harian yang teliti pada tren dan stesen, orang awam tidak perlu risau akan keselamatan mereka dan dapat menikmati pengalaman yang selesa ketika menaiki tren,” menurut kenyataan itu.

Jadual penuh tren dan perkembangan terkini mengenai langkah berjaga-jaga, boleh dimuat turun di laman web www.KLIAekspres.com atau Facebook KLIA Ekspres.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ERL gantung sementara khidmat ke lapangan terbang

SHAH ALAM, 3 JUN: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menggantung semua perkhidmatan tren mulai Jumaat (esok) sehingga notis lanjut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Syarikat itu berkata keputusan diambil berikutan hampir tidak ada perjalanan udara serta bilangan pengguna perkhidmatan tren terhad sejak lebih setahun lepas.

“Purata pengguna harian ERL merosot sebanyak 69 peratus pada 2020 berbanding 2019. Dengan pelaksanaan PKP penuh, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89 peratus pada tahun ini.

“Bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Kenyataan itu meminta mereka yang terpaksa melakukan perjalanan kerana perkara mustahak sepanjang tempoh PKP penuh mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan.

“Maklumat berhubung opsyen pengangkutan dari setiap stesen ERL dan kemas kini perkhidmatan boleh didapati menerusi www.KLIAekspres.com, Facebook serta Twitter KLIA Ekspres.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan lanjut sila hubungi pertanyaan pelanggan di talian 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Staf positif Covid-19, ERL giat proses nyahkuman

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Kerja-Kerja pembersihan dan disinfeksi secara menyeluruh telah dilakukan di Stesen Bandar Tasik Selatan dan Platform Transit KLIA di KL Sentral semalam susulan seorang pekerja wanita di kaunter tiket Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) didapati positif Covid-19.

Kenyataan ERL menyebut syif terakhir pekerja itu bertugas ialah pada 16 Januari lepas di Stesen Transit KLIA Bandar Tasik Selatan sebelum mula berasa tidak sihat keesokan harinya dan sejak itu, dia tidak melaporkan diri untuk bertugas.

Menurut kenyataan itu, pekerja tersebut tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana penumpang atau rakan sejak hari terakhir dia bertugas dan kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Oleh itu, kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi secara menyeluruh telah dilakukan selain lokasi terakhir di mana pekerja terbabit menggunakan perkhidmatan tren selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami bahawa adalah selamat bagi mereka melakukan perjalanan dengan menaiki tren ERL. Meskipun perkhidmatan tren tidak terjejas, ERL akan meneruskan amalan pembersihan, pensanitasian dan disinfeksi yang ketat bagi trennya,” katanya.

Selain itu, semua kawasan kontak tinggi termasuk susur tangan atau penggayut serta butang di pintu tren sentiasa disanitasi sepanjang hari dan pembersihan wap dilakukan ke atas tempat pada setiap malam.

Syarikat itu turut mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang Covid-19 di tempat kerja dan semua stesennya dalam usaha memastikan perlindungan maksimum kepada kakitangan dan perniagaannya termasuk pematuhan prosedur kerja yang selamat, latihan standard keselamatan dan langkah-langkah pengawalan risiko.

“Kami menyeru semua penumpang agar terus melindungi diri sendiri dan orang lain dengan mematuhi garis panduan kesihatan bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19) apabila menggunakan pengangkutan awam, contohnya memakai pelitup muka dengan sempurna, daftar masuk dengan aplikasi MySejahtera atau buku log semasa memasuki sesebuah stesen, memeriksa suhu badan, meminimumkan interaksi semasa di dalam tren dan mengamalkan kebersihan serta penjarakan fizikal sebaik mungkin,” katanya.

KLIA Ekspres dan KLIA Transit ketika ini mengendalikan perkhidmatan bersama dari 6 pagi hingga 10.10 malam setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Orang ramai boleh melayari www.KLIAekspres.com atau Facebook @KLIAekspres untuk maklumat berkaitan waktu tren dan kemas kini perkhidmatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Khidmat ERL beroperasi kembali jam 3.00 petang

SHAH ALAM 4 JUN: Perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang terganggu berikutan ribut semalam, dijangka kembali beroperasi seperti biasa pada jam 3 petang, hari ini.

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam kenyataan berkata operasi kedua-dua perkhidmatan kereta api laju itu terpaksa digabungkan ketika ini berikutan kerja baik pulih yang sedang dilaksanakan.

ERL“Tempoh perjalanan antara stesen KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mengambil masa lebih tujuh hingga lapan minit berbanding tempoh perjalanan biasa,” katanya di laman Facebook.

Semalam, Kejadian ribut dan angin kencang di kawasan Lembah Klang petang ini menyebabkan kerosakan kepada bangunan dan kesesakan lalulintas di lebuh raya utama.

Dalam kejadian itu, beberapa batang pokok tumbang menghalang kedua-dua landasan Express Rail Link (ERL) antara Bandar Tasik Selatan dan Putrajaya, menyebabkan kesemua perkhidmatan tren itu tergendala sementara selepas ribut beserta hujan batu melanda ibu kota.

ERL Sdn Bhd berkata satu daripada talian elektrik di satu landasan juga terputus.

EZY