Categories
NASIONAL

Nasrudin : Selebriti Dan Artis Dalam Pas Bukti Parti Itu Bukan Fanatik

SHAH ALAM, 20 JUL : Sambutan hangat dari kalangan selebriti tanah air terhadap perjuangan PAS sejak kebelakangan ini membuktikan parti itu bukanlah fanatik agama semata-mata dan menolak hiburan.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi, PAS berjaya memberi pemahaman kepada golongan selebriti dan masyarakat umumnya bahawa parti itu adalah fleksibel dan menerima hiburan berasaskan syarak.

Beliau berkata, masyarakat kini lebih bijak menilai dan tidak lagi dimomokkan dengan dakwaan Umno-BN yang kononnya PAS berfikiran sempit dan akan menyebabkan negara kucar-kacir sekiranya diberi peluang memerintah Malaysia kelak.

“Kita dimomokkan dengan dakwaan bahawa ramai golongan selebriti akan diasingkan daripada PAS, kononnya kalau PAS memerintah negara, mereka akan kehilangan punca rezeki dan periuk nasi mereka akan ditutup.

“Tetapi, kita menjelaskan apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan oleh syarak. Ternyata mereka berjaya memahaminya dan menyertai perjuangan PAS untuk menegakkan Islam di tanah air ini,” katanya ketika menjawab soalan moderator semasa Debat Sinar di Auditorium Karangkraf, di sini petang tadi.

Debat itu  menggandingkan Nasrudin bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya untuk membincangkan Topik PRU13: Orang Muda Pilih Siapa.

Debat berkenaan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Sementara itu ketika menjawab soalan moderator berhubung pemilihan calon PAS dari kalangan artis, Nasrudin berkata, ia tertakluk di bawah keputusan jawatan kuasa Pas untuk menilai karaktor dan kewibawaan seseorang individu untuk menjadi pemimpin.

Katanya lagi, populariti bukan menjadi pengukur yang menentukan seseorang itu layak diangkat sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Bukan makna apabila dia menjadi tokoh atau selebriti, maka dia akan diangkat menjadi calon dalam pilihan raya.
?Itu adalah soal teknikal, dalaman parti kita akan putuskan. Yang pasti kita akan berikan yang terbaik kerana kita tidak mahu calonnya nanti tidak telus dan tidak adil,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan golongan muda kini semakin berani membuat pilihan dan mahukan perubahan dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, golongan muda semakin jelak dengan fahaman politik yang berasaskan emosi dan auta, sebaliknya mereka mahukan politik ilmu dan fakta.

Selain itu katanya, pemimpin yang dipilih juga haruslah mempunyai asas agama yang baik serta bermoral untuk memastikan pentadbiran negara adalah bersih dan bebas daripada amalan korupsi.

Categories
NASIONAL

Pas Tetap Dengan Pendirian “Perjuangkan Islam Dapat Pahala”

SHAH ALAM 28 MEI : Pemimpin Pas hari ini berkata bahawa parti itu tidak ada sebab untuk menarik balik pendiriannya bahawa sesiapa yang menyokong parti itu akan mendapat pahala.

Mereka berkata ini kerana PAS memperjuangkan Islam berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Ahli Majlis Syura Ulama Pas Ahmad Awang berkata badan itu telah memutuskan pendirian itu berdasarkan kaedah-kaedah syarak di dalam Al-Quran yang mengatakan sesiapa yang memperjuangkan Islam maka ganjaran pahala akan diberikan.

“Maka, jika dilihat dalam konteks negara Malaysia, kita boleh melaksanakan tugas itu melalui pilihanraya, jika mahu menyokong mestilah dengan cara mengundi.?

Manakala Ketua Penerangan Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pendirian Pas selari dengan ketetapan hukum syarak.

?Jika kita menyokong perbuatan jahat kita turut akan mendapat dosa,” katanya apabila dihubungi TVSelangor.
Mereka mengulas kenyataan Pengerusi Jawantankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya di dalam satu laporan akhbar pro-Umno hari ini.

Fathul mengatakan PAS perlu menarik balik ‘fatwa’ mengatakan individu yang mengundi PAS akan mendapat balasan syurga kerana ia ternyata terkeluar daripada ajaran Islam.

Akhbar pro-Umno tersebut juga mengeluarkan kenyataan dari seorang ulama Saudi Arabia yang menegaskan fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah satu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
Kenyataan itu dikeluarkan ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi.

Ahmad menambah, PAS tidak menjanjikan syurga kerana ianya hanya dijanjikan oleh Allah SWT.

“Kita cuma mengikut apa yang di dalam Al-Quran dan Hadis. Jika seseorang mendapat pahala, tidak mustahil dia akan mendapat ganjaran syurga seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT,” katanya.

Berkenaan kenyataan Sulaiman, Ahmad menyifatkan ulama tersebut seperti ‘katak di bawah tempurung’.

Katanya, Sulaiman sepatutnya faham di Arab Saudi tidak sama dengan Malaysia kerana negara beliau mengharamkan parti politik dan pilihanraya.

“Jadi sesiapa ulama tidak kira dari negara mana sekali pun tidak boleh bercakap pasal politik Malaysia kerana setiap negara berbeza.

“Kita di Malaysia banyak parti politik yang memperjuangkan fahaman dan ideologi.

?Jadi beliau kena faham. Datang ke sini, tengok apa yang sebenarnya berlaku kerana beliau tidak berhak untuk mengeluarkan pendapat melainkan dia mengetahui.

?Ini menunjukkan kejahilan beliau,? katanya.

Selain itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman pula berkata jangan disebabkan terdesak dan menggelabah, Umno-BN terpaksa mencari orang lain untuk membantu mereka.

Katanya, PAS tidak akan bersengkokol dengan parti yang makan duit rakyat.

“Dari kecil lagi kita sudah diajar untuk memilih makanan yang halal, tetapi jika makanan itu dicuri ianya tetap haram.
“Begitu juga dengan pendirian PAS. Kita bukan menjanjikan syurga tetapi akan mendapat pahala jika menyokong perjuangan Islam. Itu sudah termaktub di dalam Al-Quran,” katanya.