Categories
NASIONAL

Penganalisis: Komitmen PKR jadi ‘orang tengah’ mampu selesai kemelut DAP-PAS

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 10 JUN: Komitmen berterusan PKR menjadi orang tengah dalam penyelesaian pergeseran antara PAS dan DAP adalah usaha terbaik demi memastikan Pakatan Rakyat (Pakatan) kembali di posisi sebenar sebagai parti harapan rakyat.

Penganalisa Politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata usaha itu hanya akan berjaya selagi PAS dan DAP akur menamatkan perbalahan dan kembali bersama membawa aspirasi rakyat seterusnya melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Bukan soal PAS keluar Pakatan sertai Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan kerana itu soal kedua. Malah, jika PAS dipecat dari Pakatan, belum tentu lagi parti itu sertai Umno.

Grafik Selangor-Pakatan“Pokoknya, marah DAP kepada PAS hanya membuka peluang dan ruang untuk Umno-BN menyaksikan Pakatan tumbang. Itu menguntungkan mereka.

“Dalam hal ini, peranan yang dibawa PKR untuk memulihkan kedua parti itu melalui meja rundingan amat tepat dan menghormati rakyat yang punya harapan tinggi kepada mereka,” katanya kepada Selangor Kini.

Mohamad berkata, sewajarnya Pakatan melihat krisis (DAP-PAS) itu sebagai peluang untuk bermuhasabah diri sebelum kembali bersama sebagai sebuah gagasan yang kukuh untuk berdepan Umno-BN pada PRU-14.

“Pakatan berjaya capai objektif jangka pendeknya dengan menguasai sebahagian negeri bagi membentuk kerajaan.

PR Selangor Kemuka Bantahan PRU13 02“Kejayaan ini perlu diteruskan untuk mencapai objektif jangka panjang iaitu memerintah negara dengan menumbangkan Umno-BN.

“Dalam keghairahan ini, timbul persaingan sesama sendiri apabila PAS tekad perjuangkan hudud yang memberi kesan kepada DAP untuk menjaga pengaruh politik dan penyokongnya,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkeyakinan tinggi PAS sukar mencapai kemenangan seperti dikecapin dalam PRU 2008 dan 2013 jika meninggalkan Pakatan walaupunparti itu ‘ideological based’ yang kukuh akar umbinya.

“PAS sukar untuk mencapai kemenangan kerana mereka hanya bergantung kepada undi Melayu-Islam sahaja.

“Sebaliknya, Pakatan akan terus kekal memberi saingan kepada Umno-BN sebagai gabungan alternatif kepada rakyat membuat pilihan,” kata Agus dalam status di laman Facebooknya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir?

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir

SHAH ALAM, 17 OKT: Penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dijangka tersingkir daripada persaingan merebut kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan dalam Pemilihan Umno 2013.

Antara faktor penyumbang kekalahan Hishamuddin adalah kerana gagal mencapai prestasi diharapkan Umno baik sebagai Naib Presiden Umno mahupun sebagai Menteri Kabinet.

Penganalisis politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata kemenangan Hishamuddin dalam Pemilihan Umno sebelum ini dibantu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan sepupu beliau.

Selain Hishamuddin, turut dijangka tewas dalam perebutan enam penjuru itu, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

“Saya tidaklah boleh meramalkan dengan tepat tetapi saya boleh katakan beberapa orang yang lama itu dalam Umno semakin tidak disenangi banyak pihak dalam Umno dan luar Umno seperti Hishamuddin, Isa Samad dan Ali Rustam.

“Ali Rustam sendiri tidak menang di Melaka, Isa Samad pernah dikenakan tindakan disiplin manakala Hishammuddin dalam pemilihan Umno yang lalu pernah dikatakan tidak popular tetapi diselamatkan Najib,” ujar pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata tiga calon lain, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dijangka menang dalam perbezaan undi kecil.

“Bagi mereka yang menang mereka tidak lagi berkedudukan seperti pemimpin Umno sebelum ini, pemimpin dahulu, apabila menang mereka dianggap sebagai pemimpin yang bukan sahaja mencorak Umno tetapi juga mencorak dalaman BN dan juga negara.

“Dahulu bila menang dalam Umno, parti-parti komponen lain dalam BN seperti MCA, MIC sujud dan pembangkang pula, suara mereka tidak diambil kira kerana tidak mempunyai sokongan majoriti pada masa itu.

Tetapi sekarang Pakatan Rakyat memperolehi lebih 50 peratus sokongan rakyat, menjadikan mereka lebih kuat dari Umno,” ujar Mohamad lagi.

Categories
NASIONAL

Penganalisa: Sistem pemilihan umno tidak cerminkan suara akar umbi

Prof Datuk Mohamad Abu BakarSHAH ALAM,  15 OKT: Sistem pemilihan “satu bahagian satu undi” yang dipraktikkan dalam Pemilihan Umno 2013 tidak menzahirkan kehendak majoriti ahli akar umbi parti itu.

Penganalisa politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata melalui sistem seperti itu, pemimpin yang menang perebutan jawatan tidak semestinya menang dari segi undi popular.

Ini berbeza dengan sistem pemilihan “satu ahli satu undi” yang diamalkan PKR dan memberi kuasa kepada setiap ahli untuk memilih pemimpin mereka hingga ke peringkat tertinggi.

“Saya tak begitu pasti sejauh mana sistem ini mampu memberi kesan transformasi pemilihan.

“Cuma yang digembar-gemburkan kononnya suatu suasana yang lebih demokratik sudah menjalar dalam kepimpinan dan pemilihan Umno tetapi apakah perasaan peringkat yang berbagai itu benar-benar dapat disalurkan dari segi pemilihan akhir, itu sukar untuk disukat,” kata pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.

Sebelum ini penulis Blog terkenal pro Umno, Syed Akhbar Ali menganggap kemenangan yang diraih Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Wanita Umno dan Khary Jamaluddin Abu Bakar sebagai Ketua Pemuda Umno bukan kemenangan mutlak kerana undi yang dibuang ahli-ahli Umno akhirnya dianggap satu undi sahaja di peringkat bahagian.

Selain itu beliau turut mempersoalkan ketelusan jawatankuasa Pemilihan Umno yang beliau dakwa merahsiakan jumlah undi popular seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu.

Selain sistem pemilihan yang bercelaru, suasana pemilihan kali ini didakwa dicemari kewujudan pengundi hantu, kertas undi tidak cukup, jumlah undi melebihi perwakilan, insiden melempar mikrofon, kertas undi mengelirukan dan lain-lain.

Categories
NASIONAL

Nasrudin : Selebriti Dan Artis Dalam Pas Bukti Parti Itu Bukan Fanatik

SHAH ALAM, 20 JUL : Sambutan hangat dari kalangan selebriti tanah air terhadap perjuangan PAS sejak kebelakangan ini membuktikan parti itu bukanlah fanatik agama semata-mata dan menolak hiburan.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi, PAS berjaya memberi pemahaman kepada golongan selebriti dan masyarakat umumnya bahawa parti itu adalah fleksibel dan menerima hiburan berasaskan syarak.

Beliau berkata, masyarakat kini lebih bijak menilai dan tidak lagi dimomokkan dengan dakwaan Umno-BN yang kononnya PAS berfikiran sempit dan akan menyebabkan negara kucar-kacir sekiranya diberi peluang memerintah Malaysia kelak.

“Kita dimomokkan dengan dakwaan bahawa ramai golongan selebriti akan diasingkan daripada PAS, kononnya kalau PAS memerintah negara, mereka akan kehilangan punca rezeki dan periuk nasi mereka akan ditutup.

“Tetapi, kita menjelaskan apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dibenarkan oleh syarak. Ternyata mereka berjaya memahaminya dan menyertai perjuangan PAS untuk menegakkan Islam di tanah air ini,” katanya ketika menjawab soalan moderator semasa Debat Sinar di Auditorium Karangkraf, di sini petang tadi.

Debat itu  menggandingkan Nasrudin bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya untuk membincangkan Topik PRU13: Orang Muda Pilih Siapa.

Debat berkenaan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Sementara itu ketika menjawab soalan moderator berhubung pemilihan calon PAS dari kalangan artis, Nasrudin berkata, ia tertakluk di bawah keputusan jawatan kuasa Pas untuk menilai karaktor dan kewibawaan seseorang individu untuk menjadi pemimpin.

Katanya lagi, populariti bukan menjadi pengukur yang menentukan seseorang itu layak diangkat sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Bukan makna apabila dia menjadi tokoh atau selebriti, maka dia akan diangkat menjadi calon dalam pilihan raya.
?Itu adalah soal teknikal, dalaman parti kita akan putuskan. Yang pasti kita akan berikan yang terbaik kerana kita tidak mahu calonnya nanti tidak telus dan tidak adil,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan golongan muda kini semakin berani membuat pilihan dan mahukan perubahan dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, golongan muda semakin jelak dengan fahaman politik yang berasaskan emosi dan auta, sebaliknya mereka mahukan politik ilmu dan fakta.

Selain itu katanya, pemimpin yang dipilih juga haruslah mempunyai asas agama yang baik serta bermoral untuk memastikan pentadbiran negara adalah bersih dan bebas daripada amalan korupsi.

Prof Mohamad: Pandangan Tokoh Luar Tak Jamin Tepat

SHAH ALAM, 21 JUN: Tokoh asing yang menyentuh isu tempatan negara ini tidak menjamin pandangan itu boleh dijadikan panduan untuk membuat keputusan sekaligus menyelesaikan isu tersebut.

Demikian menurut pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar ketika dihubungi TVS hari ini.

Menurut Prof Mohamad, antaranya termasuklah pendapat yang dikeluarkan oleh ulama yang dijemput dalam satu seminar yang diadakan di ibu negara berhubung isu pilihan raya di musim haji.

“Setiap kali ada isu tercetus mereka ini suka mengheret tokoh luar, jemput mereka datang untuk berseminar, berforum dan kemudian media akan tanya pendapat.

“Perkara ini sudah menjadi fenomena yang lumrah sedang berlaku dikalangan parti pemerintah dan parti politik.

“Akhir-akhir ini kita melihat kehadiran ulama luar dari Masjidil Haram sebagai contoh.

‘Mereka ini datang sehari, dua sahaja. Adakah mereka didedahkan dengan sejarah, budaya, atau keadaan yang mereka tanggapi sebelum mereka memberikan hujah mereka,” kata Mohamad.

Selain itu, menurut Prof Mohamad, soalan petugas media yang kadang kala keluar dari realiti sebenar turut memburukkan lagi keadaan.

Malah menurut beliau, layanan istimewa yang diberikan kepada tokoh asing terlibat akan menyebabkan mereka merasa janggal untuk memberikan sebarang pandangan yang memberi kesan negatif kepada pihak tuan rumah.

“Mereka ini didatangkan khas sebagai tetamu khas yang dijamu khas, diletakkan dalam bilik khas, tentulah juga terpaksa memikirkan perasaan tuan rumah.

“Adakah mereka ini berhujah datang dari hati mereka dengan jujur atau sekadar memuaskan hati pihak tuan rumah?

“Saya juga sebut, kadang-kadang apabila mereka ini nyatakan sesuatu pandangan ikhlas mereka, adakah akan disiarkan media nanti?

“Jadi sebenarnya, saya tak kata pandangan mereka tak jujur atau salah, tetapi apa yang diterbitkan di media belum tentu mewakili pandangan sebenar mereka,” kata Mohamad.

Baru-baru ini, bekas Timbalan Syeikh Universiti Al-Azhar, Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour berkata pilihan raya di negara ini boleh diadakan di musim haji.

Mahmoud berkata demikian ketika berkunjung di negara ini untuk menghadiri Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 15 hingga 17 Jun baru-baru ini.